Cara-cara Rawatan Nabi SAW Untuk Memulihkan Daripada Gangguan Jin dan Syaitan
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian", tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?", jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah SAW. "Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".(Hadis Riwayat Bukhari)
Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.
Selain daripada qarin (jin pendampin), satu lagi bentuk gangguan keatas manusia adalah jin kafir yang bernama 'saka'.
'Saka' adalah jin yang berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku sama ada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunannya. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek- moyangnya dahulu. Boleh jadi Jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki tersebut ditinggalkan oleh nenek moyang pembawa saka apabila mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka hidup, mereka telah berkawan dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama. Jin yang dijadikan khadam oleh nenek moyang inilah akhirnya menjadi saka yang diperturunkan dari ayah kepada anak dan kepada cucu oleh pembela-pembela jin-jin tersebut.
Kebiasannya seseorang yang ada mendapat gangguan daripada jin saka adalah selalu mendapat gangguan di malam hari dan mengalami mimpi-mimpi ngeri :
1. Susah tidur malam atau tidak boleh tidur malam.
2. Sering terjaga pada waktu malam jam 2 malam atau 3 dan malamselepas itu sukar untuk tidur.
3. Mimpi melihat binatang-binatang seperti kucing, anjing, ular, serigala,dan sebagainya.
4. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
5. Mimpi di Kawasan Kotor atau Perkuburan.
6. Mimpi Jatuh tempat tinggi.
7. Mimpi Berjumpa atau melihat Makhluk halus.
8. Mimpi Budak Kecil (Menyusukan bayi bagi wanita).
9. Mimpi di ancam benda tajam seperti pisau,paku dan sebagainya.
Ketika berjaga sering mendapat gangguan seperti :
1. Selalu pening kepala (perubatan moden tidak dapat kesan).
2. Hilang ingatan atau cepat lupa dan mungkin menjadi gila.
3. Sering lesu dan malas bekerja.
4. Sentiasa sakit di tulang belakang.
5. Lenguh-lenguh sendi.
6. Terasa sesuatu berjalan didalam badan.
7. Mudah marah dan panas baran.
8. Cepat mengantuk (terutama mendengar ayat-ayat al-Quran dan tazkirah)
9. Lemah semangat untuk meneruskan kehidupan
10. Bila memejamkan mata, bulu mata berkedip-kedip.
Sahabat yang dimuliakan,
Cara yang berkesan untuk melawan gangguan jin-jin kafir atau syaitan adalah dengan kita kuatkan semangat ,berfikiran positif semasa berubat dan yakin janji-janji Allah SWT bahawa syaitan adalah makhluk yang lemah.. Lidah sentiasa berzikir dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan yang terkutuk.
Antara kesan-kesan daripada gangguan iblis dan syaitan adalah:
1) Rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.
2) Rasa takut yang tidak diketahui puncanya.
3) Terlalu sukar untuk bangun solat.
4) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.
5) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.
Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.
Terdapat beberapa kaedah perubatan Rasulullah SAW yang dijalankan :
Di antara cara Nabi SAW bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah seperti berikut :-
1) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah.
Sabda Nabi SAW di dalam musnad Ahmad Hanbal yang bermaksud, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".
2) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.
3) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu "Aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan".
Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah SAW kepada para sahabat.
Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".
4) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah SAW.
5) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq",
Bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau".
Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika Nabi terkena sihir, dan Rasulullah SAW sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.
6) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.
7) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.
8) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita.
Begitu juga syaitan, syirik, hasad dengki dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan sunah Nabi SAW ketika kita menjalankan rawatan untuk mengubati daripada gangguan jin kafir dan syiatan.
Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah SAW, dan tiada sunah yang lebih baik dari sunah Rasulullah SAW. dengan bantuan Al-Quran dan sunah yang sahih, in shaa Allah segala gangguan dapat kita hindari.
Wallahualam.
Kredit/Sumber: Facebook Ustaz Makmum Sundari
Share artikel ini:
0 comments:
Catat Ulasan