Home » , , , , , , » Syafaat Rasulullah Sebagai Peluang Terakhir

Syafaat Rasulullah Sebagai Peluang Terakhir

Syafaat Rasulullah Sebagai Peluang Terakhir

Sesungguhnya perkataan syafaat itu tidaklah bagitu asing kepada kebanyakan penganut islam di Nusantara ini, kerana sebahagian orang lantaran ghairahnya kepada syafaat itu maka ia menamakan anaknya dengah nama Supaat yang berasal dari perkataan Syafaat yang ertinya pertolongan dari nabi SAW pada hari kiamat nanti. Dalam Al-Quran kalimat syafaat ini disebut sebanyak empat kali, antara lain Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 109:

“Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredai perkataannya”. 

Al-Imam Al-Tahawiy dalam matan Al-Tahawiyyah ada menegaskan:

“Sesungguhnya Syafaat yang disimpan untuk umatnya adalah benar seperti mana yang diriwayatkan dalam beberapa banyak hadis Nabi SAW. Hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: 

“Setiap para Nabi mempunyai satu doa yang mustajab, aku ingin menyimpan doa itu untuk memberikan syafaat kepada umatku pada hari kiamat nanti”. (Riwayat al-Bukhari). Hadis dari Usman bin Affan, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga golongan yang akan memberikan syafaat pada hari kiamat nanti, mereka ialah para Anbia, para Ulama dan para Syuhada.” (Riwayat Ibnu Majah). 

Menelusuri ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, para ulama menyimpulkan bahawa syafaat terbahagi kepada dua: iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus. Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada. Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW. Syafaat ini juga dikenali sebagai alSyafaat al-Uzma. Ia adalah permohonan yang dirafakkan oleh baginda nabi SAW kepada Allah SWT supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan mahsyar. Hadis daripada Aisyah Radhiallahu Anha beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: 

“Kamu akan dihimpunkan di padang Mahsyar dalam keadaan tiada berpakaian”. (Riwayat Al-Bukhari). Jelasnya semua manusia sudah tidak tahan dengan kesengsaraan yang dialami di mahsyar itu, akhirnya mereka beramai-ramai pergi berjumpa Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa supaya dipercepatkan proses perbicaraan dan pengadilan. Kesemua Nabi tersebut enggan menolong malah ada yang mengatakan bahawa kami dapati hari ini Allah sedang murka yang amat sangat dan tidak pernah Allah murka sebegitu rupa sebelumnya. 

Mereka masing-masing mengatakan “nafsi nafsi ” diriku, diriku, dirimu dirimu selamatkanlah diri masing-masing. Akhirnya orang ramai sepakat pergi berjumpa Nabi kita Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya perbicaraan dan pengadilan segera dijalankan, Nabi Muhammad SAW bersetuju lantas sujud bermunajat kepada Allah di bawah Arasy, permohonan nabi itu dikabulkan dan pengadilan pun dimulakan. 

Selain dari Syafaat al-Uzma ada lagi syafaat-syafaat yang lain yang dianugrahkan kepada Nabi SAW seperti berikut: 

Pertama: Syafaat yang diberi kepada para aulia dan solihin untuk meninggikan tingkat kedudukan mereka di dalam syurga. 

Kedua: Syafaat untuk menjemput orang-orang yang masih ada saki baki iman dalam diri mereka walau sebesar gandum, mereka dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Syafaat ini diperolehi oleh Rasulullah SAW dengan rasa belas kasihan baginda SAW yang berdoa sambil menangis kepada Allah. Al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis melalui Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW berdoa “Ya Allah! Umatku umatku (mereka masih berada didalam neraka). Permintaan Nabi dikabulkan Allah dengan firmannya: ِ

“…Kami sesungguhnya redha terhadap umatmu dan kami tidak akan menyakitkan hatimu (maksudnya mereka dikeluarkan dari neraka)”  

Ketiga: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk membantu orang yang timbangan amal kebaikannya dan kejahatannya sama berat. Maka dengan pertolongan tersebut akhirnya orang itu berjaya memasuki Syurga. 

Keempat: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memasukkan orang-orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab dan azab. Mereka yang sangat bernasib baik ini akan masuk kedalam syurga melalui laluan khas yang telah ditentukan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kumpulan ini, Amin!. Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis melalui Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Tuhanku telah mengurniakan kepadaku seramai tujuh puluh ribu dalam kalangan umatku mereka masuk syurga tanpa hisab. Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW, “tidakkah tuan minta ditambah bilangan itu?, Rasulullah menjawab ya! Saya telah memohon tambahan, lalu Allah mengurniakan kepadaku tambahan setiap seorang membawa tujuh puluh ribu orang bersama. Umar berkata: tidakkah Tuan meminta tambah lagi?, Rasulullah menjawab ya! Setiap seorang membawa tujuh puluh ribu lagi. Umar bertanya lagi: tidakkah Tuan meminta tambah lagi? Rasulullah SAW menjawab ya! Aku telah meminta tambah tetapi setakat itu sahaja yang diberi. 

Kelima: Syafaat yang dikurniakan kepada Nabi SAW untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar dari seksaan neraka. Hadis daripada Anas Bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Syafaatku untuk orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan ummatku.” (Imam Ahmad).

Akhirnya mari kita bisikkan ke lubuk hati kita dengan pertanyaanpertanyaan seperti berikut: Adakah kita termasuk orang yang layak mendapat habuan dari syafaat-syafaat tersebut? Adakah Rasulullah cukup mengenali kita melalui selawat dan salam yang telah kita tujukan kepadanya? Adakah kita telah menjadi pendokong setia kepada ajaran yang Baginda bawa sehingga melayakkan kita mendapat pertolongan baginda?

Wallahualam.

Kredit/Sumber: e-masjid.jais.gov.my

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE