Home » , , , , » 10 Sunnah Nabi SAW Sebagai Amalan Harian

10 Sunnah Nabi SAW Sebagai Amalan Harian

10 Sunnah Nabi SAW Sebagai Amalan Harian

Tanya pada diri, “Selama hidup ini, apakah amalan sunnah yang telah aku lakukan?”

Tahukah anda, terlalu banyak amalan sunnah yang boleh dilakukan setiap hari. Jika bukan setiap hari, mungkin boleh dilakukan seminggu sekali, sebulan sekali atau setahun sekali.

Mengapa perlunya amalan sunnah dipraktikkan dalam hidup seharian? Mungkin, ada yang bertanya. Bukankah sebagai umat Islam, rujukan dan panduan utama dalam hidup kita ini berdasarkan dua perkara, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah Nabi S.

Amalan sunnah ini adalah apa-apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sama ada melalui perlakuan, perbuatan, percakapan dan ikrar Baginda. Sunnah juga bermaksud, sesiapa yang melaksanakannya beroleh pahala dan tiada dosa bagi yang meninggalkannya.

Berikut merupakan 10 amalan sunnah yang mudah dan boleh dijadikan sebagai amalan seharian kita, iaitu;

1. Sebelum Tidur

Sebelum tidur disunnahkan untuk menutup pintu, tingkap, memadamkan api dan lampu, berwuduk, bermuhasabah diri, mengibas-ngibas tempat pembaringan sebanyak 3 kali dan berbaring miring sebelah kanan.

Setelah itu, bacalah ayat Kursi, 3 qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, kemudian hembuskan pada tapak tangan dan usapkan ke seluruh anggota badan. Sekiranya ketika tidur kita berasa terkejut, takut atau gelisah, disunatkan untuk membaca doa perlindungan.

2. Bangun Dari Tidur

Setelah bangun tidur, disunatkan untuk mengusap wajah dengan tangan, seperti sabda Nabi saw;

“Rasulullah bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya.” Hadis Riwayat Muslim.

Kemudian, membaca doa;

“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya dan kepadanNyalah kami dikembalikan). Hadis Riwayat Bukhari.

3. Masuk Dan Keluar Ke Bilik Air/Tandas

Masuk dengan kaki kiri dan membaca doa ;

“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadau dari godaan syaitan lelaki dan perempuan).” Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim.

Keluar dengan kaki kanan sambil membaca doa;

“Ghufranak (Aku memohon ampun kepadaMu).” Hadis Riwayat An-Nasa’ie.

4. Ketika Berpakaian

Disunatkan untuk membaca “Bismillah” ketika hendak memakai pakaian dan apabila ingin melepaskannya. Hakikatnya, membaca “Bismillah” ini disunatkan untuk setiap perbuatan. Memulakan bahagian sebelah kanan ketika memakai pakaian dan sebelah kiri apabila ingin menanggalkannya.

Doa memakai baju/pakaian;

“Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan kepadaku pakaian ini dan telah memberikan rezeki pakaian ini kepadaku tanpa ada daya dan kekuatan dariku.” Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah.

5. Ketika Masuk Dan Keluar Rumah

Ketika hendak keluar dari rumah, disunatkan untuk membaca;

“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi.

Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.

Ini kerana syaitan akan berkongsi tempat tinggal dengan kita, apabila penghuninya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya.

6. Ketika Memakai Kasut/Sandal/Selipar

Rasulullah saw mengajar kepada kita untuk memulakan kaki kanan apabila hendak memakai kasut/sandal atau selipar dan apabila melepaskannya dimulakan dengan kaki kiri.

Hal ini seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah r.anhu bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Jika kalian memakai sandal, maka dahulukanlah kaki kanan, dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sama sekali.” Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim.

7. Ketika Makan Dan Minum

Sebelum dan selepas makan, disunatkan untuk berdoa. Apabila terlupa membaca doa sehingga makanan sudah habis dimakan, ucapkanlah,

“Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya.” Hadis Riwayat Abu Daud Dan At-Tirmizi.

Antara sunnah ketika makan dan minum ialah memulakan dengan menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita. Tidak meniup makanan atau minuman, menjilat jari-jemari untuk membersihkan sisa makanan, tidak mencela makanan apabila tidak menyukainya, tidak membazir, duduk dengan sopan atau bersimpuh.

8. Mengucap Salam Dan Bersalaman

Apabila bertemu dengan sesama Muslim, disunatkan untuk kita mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, bersalam-salaman.

Hal ini seperti sabda Baginda saw;

“Keutamaan dalam Islam adalah dengan memberi makan dan mengucapkan salam pada orang yang kamu kenali atau tidak kenal.” Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim.

“Kedua orang muslim yang bertemu kemudian bersalaman, maka diampuni dosanya sebelum keduanya berpisah.” Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah.

9. Senyum

Senyum merupakan ‘sedekah’ yang paling mudah untuk dilakukan oleh setiap orang, dan Rasulullah saw adalah orang yang paling pemurah dengan senyuman yang tak lekang di wajahnya. Hal ini membuatkan orang sekeliling senang padanya.

Abdullah bin al-Harith r.anhu berkata,

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” Hadis Riwayat At-Tirmizi.

10. Berzikir

Amalan berzikir juga merupakan perkara kebiasaan yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW. Bahkan, lidah Baginda tidak lekang memuji nama-nama Allah yang indah tidak mengira waktu.

Selain menggunakan lisan atau lidah, kita juga boleh berzikir melalui hati sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring. Sesungguhnya, dengan berzikir akan membuatkan hati kita tenteram, seperti firman Allah swt;

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, maka hati menjadi tenteram.” Ar- Ra’d : 28.

Demikianlah beberapa amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan boleh kita contohi serta amalkan dalam kehidupan seharian. Di samping mengikuti perlakuan Baginda, amalan sunnah juga mampu menampung segala kekurangan pada amalan wajib yang kita lakukan setiap hari.

Siapa tahu, berkat kesungguhan kita mengamalkan sunnah Rasulullah saw sepenuh jiwa dan penuh keikhlasan ini, kita akan beroleh syaafat Baginda di akhirat kelak.

Wallahua’lam.

Kredit/Sumber: tzkrh.com

Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE