Home » , , , , , , » Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar

Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar


Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar

Dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini, tersembunyi satu malam iaitu malam al-Qadar yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang mukmin yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى buat hambaNya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ sedang duduk i’tikaf semalaman suntuk pada hari-hari terakhir Bulan Suci Ramadhan. Para sahabat pun mengikuti apa yang dilakukan Nabi ﷺ ini. Baginda berdiri solat, mereka juga solat, baginda menadahkan tangannya untuk berdoa dan para sahabat pun turut mengaminkannya.

Ketika itu langit mendung, angin pun meniup tubuh-tubuh yang memenuhi masjid. Dalam riwayat tersebut malam itu adalah malam ganjil dari bulan Ramadhan. Semasa Rasulullah ﷺ dan para sahabat sujud, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Masjid yang tidak berbumbung itu basah dipenuhi air hujan.

Salah seorang sahabat ada yang ingin membatalkan solatnya dengan niat ingin berteduh dan lari dari saf, namun niat itu dibatalkan selepas dia melihat Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain tetap sujud dengan khusyuk tidak bergerak.

Air hujan semakin memenuhi seluruh masjid dan membasahi seluruh tubuh Rasulullah ﷺ serta para sahabatnya yang berada di dalam masjid tersebut, akan tetapi Rasulullah ﷺ dan para sahabat tetap sujud dan tidak berganjak sedikitpun dari tempatnya.

Rasulullah ﷺ basah kuyup dalam sujud. Namun sama sekali tidak bergerak seolah-olah Baginda sedang asyik masuk ke dalam suatu alam yang melupakan segala-galanya. Baginda ﷺ sedang masuk ke dalam suatu alam keindahan. Baginda sedang diliputi oleh cahaya Ilahi. Baginda takut keindahan yang baginda saksikan ini akan hilang jika Baginda bergerak dari sujudnya.

Baginda ﷺ takut cahaya itu akan hilang jika Baginda mengangkat kepalanya. Rasulullah ﷺ terpaku lama sekali di dalam sujudnya. Beberapa sahabat ada yang menggigil kedinginan. Ketika Rasulullah ﷺ mengangkat kepala dan mengakhiri solatnya, hujan pun berhenti seketika.

Anas bin Malik, sahabat Rasulullah ﷺ bangun dari tempat duduknya dan berlari ingin mengambil pakaian kering untuk Rasulullah ﷺ. Namun baginda mencegahnya dan berkata; “Wahai Anas bin Malik, janganlah engkau mengambilkan sesuatu untukku, biarkanlah kita sama-sama basah, nanti juga pakaian kita akan kering dengan sendirinya.”

Anas pun duduk kembali dan mendengar dengan khusyuk cerita Rasulullah ﷺ mengapa baginda begitu lama bersujud.

Masya Allah …. ternyata sebentar tadi Rasulullah ﷺ dan ketika hujan mulai turun, disaat itu juga malaikat di bawah pimpinan Jibril turun dalam keindahan dan bentuk asalnya. Mereka berbaris rapi dengan suara gemuruh tasbih dan tahmid mereka bergema di langit dan di bumi serta alam semesta ketika itu dipenuhi dengan cahaya Ilahi.

Inilah yang membuat Rasulullah ﷺ terpaku menyaksikan keindahan dan cahaya yang sama sekali tidak pernah dilihat. Gema tasbih dan tahmid malaikat yang tak pernah didengar oleh telinga sambil memohon keampunan kepada Allah bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh fikiran manusia. Itulah Lailatul Qadar ….

ALLAH سبحانه وتعالى berfirman,

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ﴿٥﴾

“Sesungguhnya KAMI telah turunkan pada malam kemuliaan. Dan, tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: Ayat 1-5)

Kredit/Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE