Muka Rasullulah SAW Berdarah Dibaling Batu

Muka Rasullulah SAW Berdarah Dibaling Batu


DI KALANGAN kita sudah tentu pernah mendengar bahawa Rasulullah mengalami luka yang agak parah ketika Perang Uhud. Walaupun dikelilingi pahlawan Islam namun dalam satu kejadian baginda parah apabila seketul batu yang agak besar melayang tepat mengenai baginda.

Batu itu dikatakan dibaling oleh pihak musuh iaitu Utbah bin Abu Waqqas (dalam setengah riwayat yang lain, baginda sebenarnya dipanah tepat mengenai topeng muka besi yang dipakai).

Batu tersebut tepat mengenai muka baginda menyebabkan luka yang teruk walaupun baginda memakai topeng besi ketika itu.

Bayangkan kuat dan besarnya batu yang dibaling sehingga topeng daripada besi itu pecah. Akibatnya serpihan batu yang pecah itu menusuk menembusi pipi Rasulullah dan sebatang gigi baginda turut patah.

Baginda juga dikatakan diserang oleh seorang tentera berkuda dari pihak musuh, iaitu Abdullah bin Qamiah.

Abdullah melibas pedangnya pada bahu baginda, namun tidak berhasil untuk mengoyak baju besi apatah lagi mencederakan baginda.

Namun akibat tetakan itu dikatakan baginda rasa sakit pada bahu itu lebih sebulan lamanya.

Akibat tidak puas hati baginda tidak berjaya dibunuh, Abdullah lagi sekali cuba menetak baginda dengan kuat sehingga perisai kepala dan muka daripada rajutan rantai besi terpecah dua dan menambahkan lagi kecederaan muka yang dialami oleh baginda.

Abdullah ketika itu berkata: "Rasakanlah kau wahai Muhammad, akulah anaknya Qamiah (Qamiah yang bermakna orang yang hina)!"

Sambil membersihkan darah di wajahnya, baginda Rasulullah pun menjawab: "Semoga Allah SWT menghina kamu!"

Ketika itu datanglah para sahabat yang lain membantu baginda. Namun dalam keadaan luka dan kesakitan itu, baginda terjatuh dalam sebuah lubang.

Lubang itu dikatakan digali oleh seorang musuh, iaitu Abu Amir Ar Rahib. Abu Amir sengaja berbuat demikian bagi memerangkap dan mencederakan tentera Muslim terutama baginda sendiri.

Lubang tersebut agak dalam yang menyebabkan baginda tidak mampu keluar. Datang seorang sahabat, iaitu Talhah bin Ubaidullah melompat masuk ke dalam lubang itu.

Lalu dia membongkokkan badannya bagi membolehkan Rasulullah memanjat dan memijak bahunya dan mengangkat nabi ke atas. Ali bin Abi Talib pula menyambut tangan nabi daripada atas lubang itu.

Kemudian Abu Ubaidah bin Jarrah membantu nabi dengan membukakan topeng muka besi pada baginda itu. Setelah dibuka didapati ada serpihan besi topeng itu yang mencucuk pipi baginda lalu Abu Ubaidah menggigit serpihan itu dan dicabutnya. Lalu baginda dibawa berlindung di penjuru Bukit Uhud untuk dirawat.

Pihak musuh berusaha pelbagai cara bagi menembusi benteng para sahabat yang mengelilingi dan melindungi baginda.

Namun, semua usaha itu gagal kerana kukuhnya 'benteng manusia' para sahabat.

Kaum Wanita Membantu Tentera Rasullulah Di Medan Uhud

Kaum Wanita Membantu Tentera Rasullulah Di Medan Uhud


PASUKAN tentera Islam yang mendengar teriakan Ibnu Qam'ah bahawa Rasulullah telah terbunuh benar-benar menyangka baginda syahid sehingga menyebabkan keadaan jadi bertambah huru-hara.

Ini menyebabkan tentera Islam ketika itu dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan yang menyebabkan kedudukan mereka menjadi semakin goyah.

Satu kumpulan mahu melarikan diri ke Madinah bagi menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain dan hanya mahu menunggu agar perang selesai.

Golongan ini terdiri daripada Walid bin Uqbah, Karijah bin Zaid dan Rifaah bin Ma'la.

Golongan kedua masih mahu bertempur dengan hebat dan bersemangat tinggi tanpa menghiraukan apa yang berlaku sama ada benar-benar baginda Rasulullah syahid mahupun tidak.

Ini kerana yang penting kemenangan kepada pasukan Islam.

Salah seorang daripada mereka, Tsabit bin Dahdah mengingatkan anggota tentera Islam dengan berkata: "Wahai kawan-kawanku kalangan Ansar! Sekiranya benar Muhammad sudah syahid, biarlah baginda syahid kerana Allah sahaja yang tidak akan mati buat selama-lamanya.

"Oleh itu berpeganglah kamu kepada agama kamu dengan kukuh dan kuat apatah lagi di medan perang ini.

"Allah sendirilah akan menolong dan memberikan kemenangan kepada kamu!"

Peringatan oleh Tsabiy ini sangat besar pengaruhnya kepada para tentera Muslimin yang tidak dinafikan ramai yang berada dalam keadaan bingung ketika itu.

Namun setelah mendengarkan kata-kata daripada Tsabit itu walaupun Tsabit bukannya kalangan pemimpin atau sahabat besar, ia berjaya membentuk kembali semangat juang yang tinggi untuk tentera Islam meneruskan peperangan dan cuba mengalahkan tentera Musyrikin.

Sementara golongan ketiga terdiri daripada 46 para sahabat dan panglima-panglima perang yang tetap teguh berada di sekeliling baginda Rasulullah.

Hanya mereka sahaja yang mengetahui keadaan dan kedudukan Rasulullah yang sebenarnya masih hidup. Golongan ini terus mempertahan dan melindungi baginda kerana itu lebih penting daripada segala-galanya.

Mereka membalas setiap serangan yang dilakukan terhadap baginda.

Kumpulan itu terdiri daripada Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Al Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin.

Sementara golongan Ansar yang mengelilingi untuk mempertahankan Rasulullah terdiri daripada Abu Dujanah, Al Hubab bin Mundzir, Ashim bin Tsabit, Al Harits bin Shammah, Sahal bin Hanif, Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair.

Namun dikatakan terdapat golongan keempat di saat-saat kedudukan tentera Islam mulai goyah.

Golongan itu ialah kaum wanita yang pada awalnya tidak ikut serta dalam pasukan tentera Islam. Tetapi apabila mereka mendapat tahu berita mengenai kematian Rasulullah dan begitu ramai tentera Islam yang terkorban, mereka bergegas ke medan Uhud.

Kaum wanita itu diketuai oleh Ummul Mukminin sendiri, Saidatina Siti Aishah dan rakan-rakannya yang lain iaitu terdiri daripada Nusaibah bin Kaab, Rumaisa bin Milhan dan ramai lagi.

Mereka membawa bersama uncang-uncang berisi air dan ubat-ubatan bagi merawat tentera-tentera Islam yang tercedera.

Kalangan wanita ini sebenarnya turut terdedah kepada bahaya dan ancaman serangan dari pihak musuh, sehinggakan dikatakan Nusaibah binti Kaab sendiri mengalami 12 luka di badannya.

Seorang lagi, Ummu Umarah iaitu daripada golongan Ansar, ikut terlibat dalam pertempuran. Pada awalnya dia hanya menyertai suaminya yang turut berperang bagi membantu menyediakan air untuk tentera Muslimin.

Namun apabila diketahui pasukan Islam dalam keadaan yang sangat terdesak, dia pun ikut bertempur melawan musuh dengan gagah berani.

Manakala Ummu Aiman daripada kalangan Muhajirin ikut bertempur melawan musuh sehingga dapat membunuh seorang askar Musyrikin bernama Hubab bin Arafah.

Walaupun mereka terdiri daripada golongan wanita yang sentiasa dilabel golongan yang lemah namun mereka tidak berganjak malah turut sama berjuang dengan barisan tentera lelaki yang lain bagi memastikan kemenangan tetap berpihak kepada Islam.

Bulan Rejab Dan Keberkatannya

Bulan Rejab Dan Keberkatannya


1 REJAB 1438H = 29 Mac 2017

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَـعْبَانَ وَبَلِّـغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.”

Apa Maksud ‘Rejab’?

‘Rejab’ bererti keagungan, kerana bulan ini diagungkan oleh Allah s.w.t

Mengapa Bulan Ini Diagungkan?

Ini kerana ia termasuk dalam 4 bulan suci dan mulia yang diharamkan berperang atau bersengketa dalam Islam. Bulan ini adalah bulan aman, damai dan selamat. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Sesungguhnya, bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, (sepertimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan suci tidak boleh berperang di dalamnya (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…” Surah at-Taubah:36.

Adakah Terdapat Peristiwa Penting Dalam Bulan Rejab?

Ya. Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab. 

Juga berlakunya Perang Tabuk, peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w.
Selain itu, pada bulan Rejab juga berlakunya hijrah pertama dalam Islam.

Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab?

Digalakkan kepada kita umat Islam untuk memperbanyakkan berzikir, istighfar, berpuasa serta melakukan amal kebajikan dalam bulan Rejab.

Juga digalakkan untuk kita melazimkan doa berikut;

“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.”

Apa Keistimewaan Bulan Ini?

Di antara keistimewaan bulan ini, malam pertama bulan Rejab adalah malam dikabulkan doa sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Lima malam doa tidak ditolak, iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Hari Raya Eidulfitri, malam hari raya Eiduladha.” Hadis Riwayat Al-Baihaqi.

Adakah Terdapat Ayat Al-Quran Yang Menyebut Mengenai Bulan Rejab?

Al-Quran tidak menyebut secara terperinci mengenai bulan Rejab dan kelebihannya. Akan tetapi terdapat dua surah al-Quran yang menyebut mengenainya secara tidak langsung, iaitu surah al-Baqarah ayat 194 dan 217 dan surah at-Taubah ayat 2, 36 dan 37.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca untuk merebut keistimewaan bulan Rejab yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Bahkan, bulan Rejab ini juga menjadi penanda aras atau tanbih (ingatan) kepada umat Islam agar bersedia untuk menghadapi bulan Ramadan; bulan yang di dalamnya terkandung 1001 rahmat dan maghfirah (keampunan) daripada Allah s.w.t. Wallahua’lam.

Kredit/Sumber: Ustaz Azrul SKPP

Nabi Uzair Ditidurkan Allah Selama 100 Tahun

Nabi Uzair Ditidurkan Allah Selama 100 Tahun


Pada suatu hari ketika ‘Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.

Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.

“Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?” begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.

Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal ‘Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah s.w.t. pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair hidup kembali seperti dahulu. ‘Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau tidur?” Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari.” Lalu malaikat pun berkata kepadanya, “Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk.”

Berkata malaikat lagi, “Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah s.w.t.. Allah s.w.t. dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu.”

Setelah ‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah s.w.t. itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.” Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah s.w.t. berkuasa di atas segala-galanya.” 

Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, “Inikah rumah tuan ‘Uzair?”

“Ya,” jawab perempuan itu. “Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi ‘Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja.” Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. ‘Sayalah ‘Uzair,” jawab ‘Uzair dengan pantas. “Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah s.w.t. kembali.” 

Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, “‘Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat.” Sambunya lagi, “Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini ‘Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan.”

“Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah ‘Uzair dia pun berkata, “Benar, tuanlah ‘Uzair. Saya masih ingat.” Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.

Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran ‘Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, “Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia ‘Uzair.”Tanda itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. 

Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada ‘Uzair, “Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali ‘Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul.”

‘Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah ‘Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil pun percaya bahawa dialah ‘Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan ‘Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. 

Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada ‘Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah s.w.t., maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah s.w.t., ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Quran, was-was terhadap kekuasaan Allah s.w.t. itu hanya datangnya dari syaitan.

Allah s.w.t. telah meletakkan akal dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.

Nabi Isa Menghidupkan Semula Sam Bin Nuh

Nabi Isa Menghidupkan Semula Sam Bin Nuh


Ada beberapa peristiwa yang Allah buat untuk menjadi pengajaran kepada kita bahwa Allah berkuasa menghidupkan dan mematikan sesuka Allah. Allah Maha Berkehendak.


Dalam kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Yang Lupa) disebutkan sebuah kisah Sam Bin Nuh yang hidup dua kali.

Diriwayatkan bahwa Nabi Isa A.S. telah menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah S.W.T. Orang-orang kafir telah berkata: "Wahai Isa, sesungguhnya kamu telah menghidupkan orang yang baru mati, mungkin mereka yang kamu hidupkan itu belum betul-betul mati. Kalau kamu orang yang benar maka cuba kamu hidupkan orang yang mati pada zaman pertama dahulu supaya dapat kami lihat."

Nabi Isa berkata: "Katakanlah orang yang hendak kamu lihat?" Orang-orang kafir berkata: "Hidupkanlah Sam bin Nuh supaya kami dapat lihat kebenaranmu."

Nabi Isa A.S. pun pergi ke kubur Sam bin Nuh lalu mengerjakan solat 2 rakaat dan berdoa kepada Allah. Maka dengan izin Allah S.W.T. maka hiduplah Sam bin Nuh.

Setelah Sam bin Nuh dihidupkan, Nabi Isa melihat rambut dan janggutnya sudah putih, lalu Nabi Isa A.S. berkata: "Wahai Sam kenapa rambut kamu putih beruban padahal rambut kamu tidak begini sebelumnya?"

Sam bin Nuh berkata: "Aku telah mendengar panggilan kamu, aku sangka Kiamat telah tiba maka rambut dan janggutku menjadi putih beruban sebab takutnya hari Kiamat."

Nabi Isa A.S. berkata: "Sudah berapa lama kamu meninggal?"

Sam bin Nuh berkata: "Aku telah meninggal sejak 4000 tahun, tetapi sampai sekarang belum lagi hilang sakitnya sakaratul maut dan cukup pedih."

Demikianlah Nabi Muhammad saw telah menceritakan kepada kita kisah Nabi Isa as tersebut.

Kisah Iblis Bertemu Nabi Muhammad SAW

Kisah Iblis Bertemu Nabi Muhammad SAW


Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Anshar, tiba - tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah:


"Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku. "

Rasulullah bersabda : "Tahukah kalian siapa yang memanggil?"

Kami menjawab : "Allah dan rasulNya yang lebih tahu."

Beliau melanjutkan, "Itu iblis, laknat Allah bersamanya."

Umar bin Khattab berkata: "Izinkan aku membunuhnya wahai Rasulullah"

Nabi menahannya :" Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahwa Allah memberinya kesempatan hingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu untuknya, sebab dia telah diperintahkan untuk ini, fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik."

Ibnu Abbas RA berkata: Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang tua yang cacat satu matanya. Di janggutnya terdapat 7 helai rambut seperti rambut kuda, taringnya terlihat seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi..

Iblis berkata: "Salam untukmu Muhammad.... Salam untukmu para hadirin..."

Rasulullah SAW lalu menjawab : "Salam hanya milik Allah SWT, sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu? "

Iblis menjawab : "Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa."

"Siapa yang memaksamu? "

"Seorang malaikat utusan Allah mendatangiku dan berkata:

"Allah SWT memerintahkanmu untuk mendatangi Muhammad sambil menundukkan diri. Beritahu Muhammad tentang caramu dalam menggoda manusia. Jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah, andai kau berdusta satu kali saja, maka Allah akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin."

"Oleh kerana itu aku sekarang mendatangimu. Tanyalah apa yang hendak kau tanyakan. Jika aku berdusta, aku akan dicaci oleh setiap musuhku. Tidak ada sesuatu pun yang paling besar menimpaku daripada cacian musuh."

ORANG YANG DIBENCI IBLIS

Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Iblis: "Kalau kau benar jujur, siapakah manusia yang paling kau benci?"

Iblis segera menjawab: " Kamu, kamu dan orang sepertimu adalah mahkluk Allah yang paling aku benci."

"Siapa selanjutnya? "

"Pemuda yang bertakwa yang memberikan dirinya mengabdi kepada Allah SWT."

"Lalu siapa lagi?"

"Orang Alim dan wara'"

" Lalu siapa lagi?"

"Orang yang selalu bersuci."

"Siapa lagi?"

"Seorang fakir yang sabar dan tak pernah mengeluhkan kesulitannnya kepada orang lain."

"Apa tanda kesabarannya? "

" Wahai Muhammad, jika ia tidak mengeluhkan kesulitannya kepada orang lain selama 3 hari, Allah akan memberi pahala orang - orang yang sabar."

"Selanjutnya apa?"

"Orang kaya yang bersyukur."

"Apa tanda kesyukurannya ?"

"Ia mengambil kekayaannya dari tempatnya, dan mengeluarkannya juga dari tempatnya ."

"Orang seperti apa Abu Bakar menurutmu?"

"Ia tidak pernah menurutiku di masa jahiliyah, apalagi dalam Islam."

"Umar bin Khattab?"

"Demi Allah setiap berjumpa dengannya aku pasti kabur. "

"Usman bin Affan?"

"Aku malu kepada orang yang malaikat pun malu kepadanya ."

"Ali bin Abi Thalib?"

" Aku berharap darinya agar kepalaku selamat, dan berharap ia melepaskanku dan aku melepaskannya. Tetapi ia tak akan mahu melakukan itu." (Ali bin Abi Thalib selau berdzikir terhadap Allah SWT)

AMALAN YANG DAPAT MENYAKITI HATI IBLIS

"Apa yang kau rasakan jika melihat seseorang dari umatku yang hendak solat?"

"Aku merasa panas dingin dan gementar. "

"Kenapa?"

"Sebab, setiap seorang hamba bersujud 1x kepada Allah, Allah mengangkatnya 1 darjat."

"Jika seorang umatku berpuasa?"

"Tubuhku terasa terikat hingga ia berbuka ."

"Jika ia berhaji?"

"Aku seperti orang gila. "

"Jika ia membaca al-Quran?"

"Aku merasa meleleh laksana timah di atas api."

"Jika ia bersedekah?"

"Itu sama saja orang tersebut membelah tubuhku dengan gergaji."

"Mengapa jadi begitu? "

"Sebab dalam sedekah ada 4 keuntungan baginya... Iaitu keberkahan dalam hartanya, hidupnya disukai, sedekah itu kelak akan menjadi hijab antara dirinya dengan api neraka dan segala macam musibah akan terhalau dari dirinya."

"Apa yang dapat mematahkan pinggangmu?"

"Suara kuda perang di jalan Allah."

"Apa yang dapat melelehkan tubuhmu?"

"Taubat orang yang bertaubat."

"Apa yang dapat membakar hatimu?"

"Istighfar di waktu siang dan malam."

"Apa yang dapat mencoreng wajahmu?"

"Sedekah yang diam - diam. "

"Apa yang dapat menusuk matamu?"

"Solat fajar(subuh)."

"Apa yang dapat memukul kepalamu? "

"Solat berjamaah."

"Apa yang paling mengganggumu? "

"Majlis para ulama."

"Bagaimana cara makanmu?"

"Dengan tangan kiri dan jariku."

"Dimanakah kau menaungi anak - anakmu di musim panas?"

"Di bawah kuku manusia."

MANUSIA YANG MENJADI TEMAN IBLIS

Nabi lalu bertanya : "Siapa temanmu wahai Iblis?"

"Pemakan riba."

"Siapa sahabatmu?"

"Penzina."

"Siapa teman tidurmu?"

"Pemabuk.."

"Siapa tetamumu? "

"Pencuri."

"Siapa utusanmu?"

"Tukang sihir."

"Apa yang membuatmu gembira?"

"Bersumpah dengan cerai."

"Siapa kekasihmu? "

"Orang yang meninggalkan solat jumaat"

"Siapa manusia yang paling membahagiakanmu? "

"Orang yang meninggalkan solatnya dengan sengaja."

Iblis Tidak Berdaya Di hadapan Orang Yang Ikhlas

Rasulullah SAW lalu bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu. "

Iblis segera menimpali :" Tidak , tidak.. Tak akan ada kebahagiaan selama aku hidup hingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia dengan umatmu, sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tak boleh melihatku.

Demi yang menciptakan diriku dan memberikan ku kesempatan hingga hari akhir, aku akan menyesatkan mereka semua. Baik yang bodoh, atau yang pintar, yang boleh membaca dan tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh, kecuali hamba Allah yang ikhlas."

"Siapa orang yang ikhlas menurutmu ?"

"Tidakkah kau tahu wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas. Jika kau lihat seseorang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya. Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh padaku."

IBLIS DIBANTU OLEH 70000 ANAK-ANAKNYA

Tahukah kamu Muhammad, bahawa aku mempunyai 70000 anak.. Dan setiap anak memiliki 70000 syaitan.

Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian untuk menggangu anak - anak muda, sebahagian untuk menganggu orang - orang tua, sebahagian untuk menggangu wanita - wanita tua, sebahagian anak -anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.

Aku punya anak yang suka mengencingi telinga manusia sehingga ia tidur pada solat berjamaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat berjamaah.

Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata orang yang sedang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan pahalanya terhapus.

Aku punya anak yang senang berada di lidah manusia, jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia khabarkan kepada manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.

Pada setiap seorang wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya, lalu menghiasinya agar setiap orang memandanginya.

Syaitan juga berkata, "Keluarkan tanganmu", lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan pun menghiasi kukunya.

Mereka, anak - anakku selalu meyusup dan berubah dari satu tempat ke tempat lainnya, dari satu pintu ke pintu yang lainnya untuk menggoda manusia hingga mereka terhempas dari keikhlasan mereka.

Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.

Tahukah kamu, Muhammad? Bahawa ada rahib yang telah beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh seketika. Aku terus menggodanya hingga ia berzina, membunuh dan kufur.

Cara Iblis Menggoda

Tahukah kau Muhammad, dusta berasal dari diriku?

Akulah makhluk pertama yang berdusta.

Pendusta adalah sahabatku. Barangsiapa bersumpah dengan berdusta, ia kekasihku.

Tahukah kau Muhammad?

Aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah bahawa aku benar-benar menasihatinya.

Sumpah dusta adalah kegemaranku.

Ghibah (gosip) dan Namimah (adu domba) kesenanganku.

Kesaksian palsu kegembiraanku.

Orang yang bersumpah untuk menceraikan isterinya ia berada di pinggir dosa walau hanya sekali dan walaupun ia benar. Sebab barang siapa membiasakan dengan kata - kata cerai, isterinya menjadi haram baginya. Kemudian ia akan beranak cucu hingga hari kiamat. Jadi semua anak - anak zina dan ia masuk neraka hanya kerana satu kalimat, CERAI.

Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka lalai semasa solat. Setiap ia hendak berdiri untuk solat, aku bisikan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk, lalu ia manundanya hingga ia melaksanakan solat di luar waktu, maka solat itu dipukulkannya kemukanya.

Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya 'lihat kiri dan kananmu',

Dia pun menoleh. Pada masa itu aku usap dengan tanganku dan kucium keningnya serta aku katakan 'solatmu tidak sah'.

Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.

Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Dia pun solat seperti ayam yang mematuk beras.

Jika dia berhasil mengalahkanku dan dia solat berjamaah, aku ikat lehernya dengan tali, hingga dia mengangkat kepalanya sebelum imam, atau meletakkannya sebelum imam.

Kamu tahu bahawa melakukan itu batal shalatnya dan wajahnya akan dirubah menjadi wajah keldai.

Jika dia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya hingga dia menguap dalam solat. Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan masuk ke dalam dirinya, dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan gila dunia.

Dan diapun semakin taat padaku.

Kebahagiaan apa untukmu, sedang aku memerintahkan orang miskin agar meninggalkan solat. Aku katakan padanya, 'kamu tidak wajib solat, solat hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat. Orang sakit dan miskin tidak, jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.'

Dia pun mati dalam kekafiran. Jika dia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.

Wahai Muhammad, jika aku berdusta Allah akan menjadikanku debu.

Wahai Muhammad, apakah kau akan bergembira dengan umatmu padahal aku mengeluarkan seperenam mereka dari islam?

10 PERMINTAAN IBLIS KEPADA ALLAH

"Berapa yang kau pinta dari Tuhanmu?"

"10 macam"

"Apa saja?"

Aku minta agar Allah membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Allah mengizinkan.

Allah berfirman, "Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak. Dan janjikanlah mereka, tidaklah janji syaitan kecuali tipuan." (QS Al-Isra :64)

Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba, aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah.

Aku minta agar Allah membiarkanku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan isterinya tanpa berlindung dengan Allah, maka syaitan ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.

Aku minta agar boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.

Aku minta agar Allah menjadikan bilik mandi sebagai rumahku.

Aku minta agar Allah menjadikan pasar sebagai masjidku.

Aku minta agar Allah menjadikan syair sebagai Quranku.

Aku minta agar Allah menjadikan pemabuk sebagai teman tidurku.

Aku minta agar Allah memberikanku saudara , maka Ia jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku.

Allah berfirman, "Orang - orang boros adalah saudara - saudara syaitan. " (QS Al-Isra : 27)

Wahai Muhammad, aku minta agar Allah membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.

Dan aku minta agar Allah memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia.

Allah menjawab, "Silakan", aku bangga dengan hal itu hingga hari kiamat. Sebahagian besar manusia bersamaku di hari kiamat.

Iblis berkata : "Wahai muhammad, aku tak bolej menyesatkan orang sedikitpun, aku hanya boleh membisikan dan menggoda."

Jika aku boleh menyesatkan, tak akan tersisa seorangpun.

Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikitpun, engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah.

Jika kau boleh memberi hidayah, tak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini.

Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.

Orang yang bahagia adalah orang yang telah ditulis bahagia sejak di perut ibunya. dan orang yang sengsara adalah orang yang telah ditulis sengsara semenjak dalam kandungan ibunya.

Rasulullah SAW lalu membaca ayat : "Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang dirahmati oleh Allah SWT " (QS Hud :118 - 119)

Juga membaca, " Sesungguhnya ketentuan Allah pasti berlaku" (QS Al-Ahzab : 38)

Iblis lalu berkata : " Wahai Rasul Allah takdir telah ditentukan dan pena takdir telah kering. Maha Suci Allah yang menjadikanmu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk surga, dan yang telah menjadikan aku pemimpin makhluk-makhluk celaka dan pemimpin penduduk neraka. aku si celaka yang terusir, ini akhir yang ingin aku sampaikan kepadamu. Dan aku tak berbohong."
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE