Biodata 4 Sahabat Nabi SAW





Siapakah Yang Memandikan Jenazah Nabi Muhammad SAW?



Siapakah Yang Memandikan Jenazah Nabi Muhammad SAW?


Anas Bin Malik berkata:

Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf.[1]

[1] Iaitu ibarat yang menggambarkan bahawa wajah Rasulullah SAW yang lawa, suci putih dan bercahaya. 

Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. 

Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi : Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.” Riwayat Muslim (874) 

Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat islam. 

Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW. Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya : 

Maksudnya :” Kata Ibnu Ishak : ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. 

Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali : Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar. Kata Ali : masuklah. 

Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. 

Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata : Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.” Rujuk Sirah Ibnu Hisyam (4/451) 

Kesimpulannya ,berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah : 

Ali Bin Abi Talib 
Abbas Bin Abdul Muttalib 
Al-Fadhl Bin Abbas 
Qutham Bin Abbas 
Usamah Bin Zaid 
Syuqran Maula kepada Rasulullah 
Aus Bin Khauli 

Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. 

Wallahu’alam. 

Kredit/Sumber:
salam.my/ Mufti Wilayah Persekutuan (Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Kaum Wanita Membantu Tentera Rasullulah Di Medan Uhud

Kaum Wanita Membantu Tentera Rasullulah Di Medan Uhud


PASUKAN tentera Islam yang mendengar teriakan Ibnu Qam'ah bahawa Rasulullah telah terbunuh benar-benar menyangka baginda syahid sehingga menyebabkan keadaan jadi bertambah huru-hara.

Ini menyebabkan tentera Islam ketika itu dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan yang menyebabkan kedudukan mereka menjadi semakin goyah.

Satu kumpulan mahu melarikan diri ke Madinah bagi menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain dan hanya mahu menunggu agar perang selesai.

Golongan ini terdiri daripada Walid bin Uqbah, Karijah bin Zaid dan Rifaah bin Ma'la.

Golongan kedua masih mahu bertempur dengan hebat dan bersemangat tinggi tanpa menghiraukan apa yang berlaku sama ada benar-benar baginda Rasulullah syahid mahupun tidak.

Ini kerana yang penting kemenangan kepada pasukan Islam.

Salah seorang daripada mereka, Tsabit bin Dahdah mengingatkan anggota tentera Islam dengan berkata: "Wahai kawan-kawanku kalangan Ansar! Sekiranya benar Muhammad sudah syahid, biarlah baginda syahid kerana Allah sahaja yang tidak akan mati buat selama-lamanya.

"Oleh itu berpeganglah kamu kepada agama kamu dengan kukuh dan kuat apatah lagi di medan perang ini.

"Allah sendirilah akan menolong dan memberikan kemenangan kepada kamu!"

Peringatan oleh Tsabiy ini sangat besar pengaruhnya kepada para tentera Muslimin yang tidak dinafikan ramai yang berada dalam keadaan bingung ketika itu.

Namun setelah mendengarkan kata-kata daripada Tsabit itu walaupun Tsabit bukannya kalangan pemimpin atau sahabat besar, ia berjaya membentuk kembali semangat juang yang tinggi untuk tentera Islam meneruskan peperangan dan cuba mengalahkan tentera Musyrikin.

Sementara golongan ketiga terdiri daripada 46 para sahabat dan panglima-panglima perang yang tetap teguh berada di sekeliling baginda Rasulullah.

Hanya mereka sahaja yang mengetahui keadaan dan kedudukan Rasulullah yang sebenarnya masih hidup. Golongan ini terus mempertahan dan melindungi baginda kerana itu lebih penting daripada segala-galanya.

Mereka membalas setiap serangan yang dilakukan terhadap baginda.

Kumpulan itu terdiri daripada Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Al Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin.

Sementara golongan Ansar yang mengelilingi untuk mempertahankan Rasulullah terdiri daripada Abu Dujanah, Al Hubab bin Mundzir, Ashim bin Tsabit, Al Harits bin Shammah, Sahal bin Hanif, Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair.

Namun dikatakan terdapat golongan keempat di saat-saat kedudukan tentera Islam mulai goyah.

Golongan itu ialah kaum wanita yang pada awalnya tidak ikut serta dalam pasukan tentera Islam. Tetapi apabila mereka mendapat tahu berita mengenai kematian Rasulullah dan begitu ramai tentera Islam yang terkorban, mereka bergegas ke medan Uhud.

Kaum wanita itu diketuai oleh Ummul Mukminin sendiri, Saidatina Siti Aishah dan rakan-rakannya yang lain iaitu terdiri daripada Nusaibah bin Kaab, Rumaisa bin Milhan dan ramai lagi.

Mereka membawa bersama uncang-uncang berisi air dan ubat-ubatan bagi merawat tentera-tentera Islam yang tercedera.

Kalangan wanita ini sebenarnya turut terdedah kepada bahaya dan ancaman serangan dari pihak musuh, sehinggakan dikatakan Nusaibah binti Kaab sendiri mengalami 12 luka di badannya.

Seorang lagi, Ummu Umarah iaitu daripada golongan Ansar, ikut terlibat dalam pertempuran. Pada awalnya dia hanya menyertai suaminya yang turut berperang bagi membantu menyediakan air untuk tentera Muslimin.

Namun apabila diketahui pasukan Islam dalam keadaan yang sangat terdesak, dia pun ikut bertempur melawan musuh dengan gagah berani.

Manakala Ummu Aiman daripada kalangan Muhajirin ikut bertempur melawan musuh sehingga dapat membunuh seorang askar Musyrikin bernama Hubab bin Arafah.

Walaupun mereka terdiri daripada golongan wanita yang sentiasa dilabel golongan yang lemah namun mereka tidak berganjak malah turut sama berjuang dengan barisan tentera lelaki yang lain bagi memastikan kemenangan tetap berpihak kepada Islam.

Perkuburan Baqi (Jannatul Baqi)

Perkuburan Baqi (Jannatul Baqi)


Perkuburan ni terletak berhampiran dengan masjid nabawi. Jannatul Baqi ertinya Taman Syurga. Dahulunya pada zaman Rasul ianya jauh dari masjid, tetapi oleh kerana pembesaran masjid nabawi yang dilakukan beberapa kali oleh pemerintah, maka perkuburan ini dah jadi bersebelahan dengan pagar masjid. Baqi adalah khusus untuk penduduk Madinah. 

Rasulullah saw menjadikan tanah perkuburan ini untuk keluarga dan para sahabat Beliau. Dikatakan lebih 10 ribu sahabat telah dikebumikan disini. Para istri Rasul juga semuanya disemadikan di perkuburan ini kecuali Siti Khadijah, makamnya di Jannat al-Maula Makkah.





Baqi adalah tanah perkuburan yang paling mulia. Rasulullah saw sering menziarahi perkuburan ini. Ada hadis mengatakan, ahli-ahli kubur Baqi adalah yang pertama akan dibangkitkan di akhirat kelak.

Perkuburan Baqi

Bersebelahan Masjid Nabawi
Ianya adalah tanah lapang, tidak ada tumbuhan, kering dan berbatu. Semua makam disini tidak bertanda, tak ditulis apa-apa pun. Hanya diletakkan batu nesan sahaja, bukan batu ukiran macam kat negara kita yang ditempah dan ada pelbagai design. Batu nesan kat sini betul-betul batu...batu bukit.

Batu nisan tidak bertanda
Dulu disini dipenuhi kubah-kubah sebagai tanda makam, tetapi dimusnahkan oleh pemerintah Saudi atas alasan bidaah. Perkuburan Baqi telah melalui beberapa proses ubah suai. Dulu takda pagar, sekarang dibuat pagar macam tembok. Ini untuk menghalang jemaah dari masuk dan keluar sesuka hati dan membuat perkara-perkara syirik dan bidaah seperti berdoa mengadap kubur, tawaf disekeliling makam dan banyak lagi perkara khurafat.

Kubah sebelum dihancurkan oleh pemerintah.
Dalam ni dibuat jalan khusus untuk pejalan kaki. Tidak boleh berjalan diatas makam. Ada ramai askar yang mengawasi jemaah dan mengawal trafik. Perkuburan ini ada masa lawatan, hanya dibuka selepas subuh hingga 8.00 am dan selepas asar sehingga 30 minit sebelum maghrib. Perempuan tidak dibenarkan masuk, hanya boleh melihat melalui pagar sahaja.

Laluan pejalan kaki
Bagi mereka yang datang ke Madinah, mesti mengambil peluang menziarahi perkuburan ini kerana letaknya hanya bersebelahan dengan masjid nabawi. Sepatutnya penulis pergi bersama mutawif selepas ziarah makam Rasul, tetapi oleh kerana kepenatan, penulis tak ikut. Penulis hanya ziarah Baqi keesokan harinya.


Makam Ahlulbayt
Masuk sahaja di pintu besar, sebelah kanan selepas signboard biru besar tu adalah perkuburan yang dikhaskan untuk keluarga Nabi saw. Mudah sahaja nak kenal, ada tembok setinggi 2 meter disitu. Dahulunya kawasan ni boleh masuk, tetapi sekarang dihadang oleh rantai. Ramai askar jaga kawasan ni sebab ianya menjadi tumpuan utama jemaah. Makam keluarga Nabi antara yang paling menjadi kewajipan untuk diziarahi. Memang agak sesak disitu.

Makam Ahlulbayt

Antara keluarga Nabi yang dimakamkan di kawasan ni ialah:

Imam Hassan bin Ali, cucu Rasulullah anak kepada Imam Ali bin Abi Thalib dan Siti Fatimah. 

Imam Jakfar Shodiq, cucu Imam Ali Zainal Abidin bin Husein bin Ali. 

Imam Ali Zainal Abidin, anak Imam Husein bin Ali. 

Imam Muhammad Al-Baqir, anak Imam Ali Zainal Abidin dan ayah kepada Imam Jakfar Shodiq.

Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi saw.

Siti Fatimah binti Muhammad, anak Rasulullah saw dan isteri kepada Imam Ali bin Abi Thalib


4 kubur yang seolah digabungkan seperti gambar diatas adalah Hassan, Ali Zainal Abidin, Jakfar Shadiq dan Muhammad Al-Baqir. Satu di depan tu adalah Abbas. Makam Siti Fatimah disebelah kanan paling hujung disitu. Adapun riwayat mengatakan, makam Siti fatimah tidak soheh dan sehingga sekarang masih tidak diketahui dimanakah lokasi tepat makamnya. Tapi yang pasti Beliau dikebumikan disini. Sejarah menceritakan bahwa terdapat konflik yang berlaku antara Siti Fatimah dengan beberapa sahabat selepas kewafatan Rasulullah saw menyebabkan Beliau mewasiatkan suaminya supaya mengkebumikannya di tengah malam dan ratakan kuburnya supaya tidak bertanda. Wallahuallam.


Makam Siti Fatimah. Wallahualam



Dulu boleh masuk. Tapi sekarang tak boleh kerana banyak amalan khurafat.

Makam Ibrahim bin Rasulullah

Ini adalah makam Ibrahim, anak lelaki Rasulullah saw. Walaupun tak bertanda mudah je nak kenal sebab makam ni adalah yang paling kecil disitu. Ibrahim wafat ketika umurnya 2 tahun. Ibu Ibrahim adalah Maryam al-Qibtiah, salah seorang dari isteri Rasul saw.

Ibrahim bin Muhammad


Makam para Isteri Rasul

Selepas beberapa langkah melepasi makam Ahlulbayt, terdapat makam para isteri Rasul saw. Jumlahnya seramai 9 orang. Semasa penulis berada disitu, ada jemaah yang berdoa mengadap ke arah makam, dan dihalau oleh askar yang jaga kawasan tu. Dia suruh pusing mengadap kiblat. Memang berdoa cara begitu ditegah oleh askar.

Makam para isteri Rasul saw
Ramai lagi sahabat dan keluarga Rasul yang dikebumikan disini. Tapi semuanya tak bertanda. Nak cari bukannya senang tapi taklah susah sangat. Kalau ada askar yang jaga makam tu memang sahla ianya makam sahabat atau keluarga Rasul. Soalnya makam siapa? Uthman bin Affan khalifah ke 3 juga dimakamkan disini. Makam beliau berada ditengah-tengah perkuburan Baqi. Penulis tak berkesempatan untuk pergi ke sana. Jannatul Baqi ni luas...kalau bawa anak kecil memang tak sesuaila nak duduk lama-lama sebab panas. Penulis pergi ziarah selepas solat asar.


Halimahtul Saadiah, ibu susuan Nabi juga ada disini. Makam Fatimah binti Asad, ibu kepada Imam Ali bin Abi Thalib juga disini. Imam Malik pelopor mazhab Maliki juga disini. Semua makam mereka penulis tak berkesempatan untuk ziarah. Faktornya ialah kerana tak bertanda, kena cari dan tanya dulu. Takut nanti tersilap kubur.

Baqi juga ada banyak burung merpati. Ramai jugak yang datang bawa makanan dan tabur atas kubur. Perbuatan ni tak dihalang cuma jangan melangkah masuk dalam kawasan kubur, dah ada dibuat jalan khusus.

Kredit: http://umrahku-ak7mac.blogspot.my/
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE