Ubai Mati Di Tangan Nabi Muhammad SAW

Manusia Yang Mati Di Tangan Nabi Muhammad SAW

Kisah Ubai bin khalaf seorang yang nyata kekafirannya berazam untuk bunuh Nabi SAW. Dia membela seekor kuda dan memberinya cukup makan untuk dibawa ke medan perang.


Semasa beliau melihat Nabi SAW dalam perang Uhud, beliau telah ternampak Nabi SAW dan ingin membunuhnya. Nabi SAW melarang para sahabat untuk membunuh Ubai dan membiarkan Ubai bin Khalaf datang kepada Nabi SAW.

Semasa dia hampir kepada Nabi SAW, Nabi SAW telah mengambil lembing daripada salah seorang sahabat dan melemparnya kepada Ubai menyebabkan leher Ubai bin Khalaf sedikit luka.. Ubai bin Khalaf menjerit (dikatakan jeritan beliau seperti seekor lembu jantan) kerana Nabi SAW telah membunuhnya.

Tentera kafir menenangkannya dan mengatakan ini hanya luka kecil. Abu Sufian telah mengejeknya dengan berkata "Kamu menjerit begitu kuat sekali kerana luka yang sedikit?" Ubai berkata,, "Kamu tahukah pukulan siapakah ini? Ini adalah pukulan Muhammad. Demi Latta Wal Uzza, kesakitan yang aku alami ini begitu dahsyat. Sekiranya kesakitan ini dibahagikan kepada penduduk Hijaz (Tanah Arab) maka semuanya akan binasa.

Sejak Muhammad berkata kepada aku di Mekah bahawa dia akan membunuh aku, aku SUDAH YAKIN bahawa aku tidak akan terlepas daripadanya. Setelah Muhammad berkata demikian, jika Muhammad meludahi aku sekalipun nescaya aku akan MATI!!"

Cuba kita lihat kisah ni. Orang kafir yang jelas kekafirannya pun YAKIN dengan apa yang Nabi SAW cakap. Cuba kita renung diri kita..berapa banyak sunnah Rasulullah SAW yang kita ikut. Kita kata kita cintakan Rasulullah SAW tapi sunnahnya??

....dan akhirnya dia mati dalam perjalanannya pulang ke Kota Makkah.

Mengenai Ubai bin Khalaf ini ada hadith yang menyebutkan namanya secara jelas:

حَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، حَدَّثَنَا سَعِيدٌ ، حَدَّثَنِي كَعْبُ بْنُ عَلْقَمَةَ ، عَنْ عِيسَى بْنِ هِلَالٍ الصَّدَفِيِّ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ الصَّلَاةَ يَوْمًا ، فَقَالَ : مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا وَبُرْهَانًا وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا لَمْ يَكُنْ لَهُ نُورٌ وَلَا بُرْهَانٌ وَلَا نَجَاةٌ ، وَكَانَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ قَارُونَ ، وَفِرْعَوْنَ ، وَهَامَانَ ، وَأُبَيِّ بْنِ خَلَفٍ

Daripada Abdullah bin Amr daripada Rasulullah SAW bahawasanya Baginda menyebut (tentang) solat pada suatu hari, lalu Baginda bersabda:

"Barangsiapa yang memeliharanya (solat), adalah baginya cahaya, bukti dan penyelamat (pada) Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang tidak memeliharanya, tiadalah baginya cahaya, bukti dan penyelamat. Dan adalah dia (pada) Hari Kiamat bersama Qarun, Fir'aun, Haman dan Ubai bin Khalaf."

[Ahmad (6576 - Al-Arna'uth); Kata Syaikh al-Arna'uth: Isnadnya hasan.]

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Nabi SAW adalah manusia yang paling sempurna dalam keberanian yang amat diperlukan bagi seseorang pemimpin perang. Baginda tidak pernah membunuh seorangpun dengan tangan baginda sendiri melainkan Ubai bin Khalaf, yang dibunuh baginda dalam peperangan Uhud yang baginda tidak pernah membunuh seorang lain sebelum atau selepasnya sama sekali.” (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya daripada Ibn Mas’ud:

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling dahsyad diazab pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang dibunuh oleh Nabi atau membunuh seorang Nabi, pemimpin kesesatan dan pembuat berhala.” (HR Ahmad dan dinilai Hasan oleh al-Arnaut)

Wallahualam.

Kredit/Sumber: FB Surau Al Muttaqin Putrajaya 5r6, bin-sahak.blogspot.com

Mengenali Syafaat Rasulullah SAW

Syafaat Rasulullah

Marilah kita hayati betapa besarnya pengorbanan Nabi SAW untuk membawa umat Islam ke syurga dengan memberikan syafaatnya.

Syafaat terbahagi kepada dua iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus. Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada.

Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW iaitu alSyafaat al-Uzma.

Syafaat ini bermaksud permohonan oleh baginda nabi SAW kepada Allah supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan Mahsyar.

Ketika itu semua manusia sudah tidak tahan dengan kesengsaraan yang dialami di Mahsyar lalu mereka beramai-ramai pergi berjumpa Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa agar supaya dipercepatkan proses perbicaraan dan pengadilan.

Bagaimanapun kesemua Nabi tersebut enggan menolong malah ada yang mengatakan bahawa ketika itu Allah sedang murka yang amat sangat dan tidak pernah Allah murka sebegitu rupa sebelumnya.

Akhirnya orang ramai sepakat pergi berjumpa Nabi Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya perbicaraan dan pengadilan segera dijalankan.

Nabi Muhammad SAW bersetuju lantas sujud bermunajat kepada Allah di bawah Arasy, permohonan nabi itu dikabulkan dan pengadilan pun dimulakan.

Selain dari Syafaat al-Uzma ada lagi syafaat-syafaat yang lain yang dianugerahkan kepada Nabi SAW seperti berikut:

1. Syafaat yang diberi kepada para aulia dan solihin untuk meninggikan tingkat kedudukan mereka di dalam syurga.

2. Syafaat untuk menjemput orang-orang yang masih ada saki baki iman dalam diri mereka walau sebesar gandum, mereka dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Syafaat ini diperolehi oleh Rasulullah SAW dengan rasa belas kasihan baginda SAW lalu berdoa sambil menangis kepada Allah.

Al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis melalui Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW berdoa; “Ya Allah! Umatku umatku (mereka masih berada di dalam neraka). Permintaan Nabi dikabulkan Allah dengan firmannya: “…Kami sesunggunnya reda terhadap umatmu dan kami tidak akan menyakitkan hatimu (maksudnya mereka dikeluarkan dari neraka).

Membaca al-Quran juga boleh membantu seseorang itu untuk masuk syurga selain amalan solat yang tidak ditinggalkan.

3. Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk membantu orang yang timbangan amal kebaikannya dan kejahatannya sama berat. Maka dengan pertolongan tersebut akhirnya orang itu berjaya memasuki Syurga.

4. Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memasukkan orang-orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab dan azab. Mereka yang sangat bernasib baik ini akan masuk kedalam syurga melalui laluan khas yang telah ditentukan.

Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis melalui Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Tuhanku telah mengurniakan kepadaku seramai 70,000 dalam kalangan umatku mereka masuk syurga tanpa hisab.

Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW; “Tidakkah tuan minta ditambah bilangan itu? Rasulullah menjawab ya! Saya telah memohon tambahan, lalu Allah mengurniakan kepadaku tambahan setiap seorang membawa 70,000 orang bersama.

Umar berkata: Tidakkah tuan meminta tambah lagi? Rasulullah menjawab ya! Setiap seorang membawa 70,000 lagi. Umar bertanya lagi: Tidakkah Tuan meminta tambah lagi? Rasulullah SAW menjawab ya! Aku telah meminta tambah tetapi setakat itu sahaja yang diberi.

5. Syafaat yang dikurniakan kepada Nabi SAW untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar dari seksaan api neraka.

Hadis daripada Anas Bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Syafaatku untuk orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan ummatku.” - [Imam Ahmad].

Berdasarkan kepada keterangan di atas, adakan kita bakal termasuk dalam golongan umat Islam yang akan mendapat syafaat Nabi? Apakah amalan kita agar tergolong agar orang yang memperoleh syafaat itu?

Perkara yang membolehkan untuk mendapat syafaat Nabi SAW

1. Umat Islam mesti yakin bahawa kehadiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini adalah membawa rahmat kepada seluruh alam.

2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa mandat untuk memberikan syafaat adalah kurniaan dan keizinan Allah.

3. Umat Islam yang ingin mendapatkan syafaat Nabi SAW mestilah tidak pernah menyengutukan Allah SWT.

4. Orang-orang yang ingin mendapatkan syafaat dari Nabi SAW mestilah memperbanyak amalan dan selawat kepada baginda.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. - [al-Taubah: 128].

Wallahualam

Kredit/Sumber: mstar.com.my

Nabi Muhammad SAW Mengenali Umatnya Melalui Selawat

Nabi Muhammad SAW Mengenali Umatnya Melalui Selawat

NABI Muhammad SAW adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang dianugerahkan syafaat membantu umatnya di akhirat kelak.


Malangnya, masih ramai yang hanya mengakui bahawa mengasihi, mencintai dan mengharapkan syafaat Baginda tetapi tidak melakukan sebarang inisiatif mahupun berusaha mendekati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sedangkan Baginda sentiasa mendahulukan umatnya dalam segenap perkara, bahkan Rasulullah SAW sanggup dihina, dicerca, diuji dengan pelbagai fitnah bahkan menerima ugutan bunuh demi menegakkan syiar Islam.

Pengorbanan itu tidak lain tidak bukan demi memastikan umatnya tidak terjerumus ke lembah kesesatan. Rasulullah SAW menyatakan orang paling baik dan dekat dengan kedudukannya pada kiamat ialah insan paling baik akhlak dan berselawat kepadanya.

Dua perkara ini tidak boleh ditinggalkan atau cuma diambil satu daripadanya. Penuhkanlah diri dengan selawat kerana ia doa untuk diri kita sendiri.

Lebih banyak berselawat, Rasulullah SAW pasti lebih mengenali kita. Begitu juga jika sedikit jumlah selawat diucapkan, sudah tentulah Baginda sukar mengenali dan bagaimana pula untuk memberikan syafaat kepada kita kelak.

Rasulullah SAW terkenal dengan sifat amat luhur, Baginda bukan sahaja tidak menyakiti orang lain, bahkan tidak menzalimi orang berbuat jahat kepadanya.

Ada banyak sirah Rasulullah SAW wajar diteladani termasuk bagaimana Baginda menyantuni seorang Yahudi yang datang untuk mengutip hutang sedangkan belum tiba tempohnya dengan pelbagai makian.

Dalam satu kisah, Rasulullah SAW dicekik seorang pemuda sehingga Saidina Umar RA mengangkat pedang untuk menikamnya tetapi ditenangkan oleh Baginda.

Lihat sahaja kesabaran Rasulullah SAW ketika diuji dengan kata hinaan, dihalau dan dibaling dengan batu hingga cedera ketika menyampaikan dakwah kepada penduduk Kota Taif. Pada waktu itu, Jibril ingin menghancurkan bumi Taif sebagai balasan kepada kejahatan dilakukan mereka.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW pula bertindak sebaliknya dengan memohon doa kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati dan keturunan mereka menerima Islam. Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya berterusan sehingga di akhirat nanti.

Baginda Rasulullah SAW akan tampil sebagai satu-satunya pemilik syafaat. Ketika itu, semua Nabi selain Baginda tidak mampu mengangkat tangan untuk membantu umatnya. Namun, Baginda yang melihat umatnya kebingungan, dengan segera naik ke Arasy Allah untuk memohon pertolongan-Nya.

Walaupun Baginda sudah wafat 1,400 tahun lalu, tetapi tidak mustahil untuk mengembalikan adab dimiliki Baginda pada zaman serba moden ini. Misalnya, ketika hati kita disakiti orang, mengapa tidak ikut acuan Rasulullah SAW dengan menghadiahkan doa kebaikan kepadanya. Bangunlah solat di saat tengah malam, merayu kepada Allah SWT permudahkan urusan orang yang kita tidak sukai itu, dengan jalan ini syaitan akan kalah dan segera pergi.

Wallahualam

Kredit/Sumber: bharian.com.my

Adakah Wabak Covic-19 Antara Tanda Akhir Zaman?

Wabak Penyakit Tanda Akhir Zaman

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.



Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” - [HR Ibnu Majah 4009].

Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". - [HR Bukhari 3215]2.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” - [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. - [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Wallahualam

Sumber/Kredit: mstar.com.my

Doa Memohon Perlindungan Dari Penyakit Covid-19


Kredit/Sumber: facebook.com/SINARdotmy

Doa Hannah, Ibu Maryam Untuk Mendapatkan Anak


Doa Hannah, Ibu Maryam Untuk Mendapatkan Anak

Keluarga Imran antara keluarga yang dipilih oleh Allah dengan meninggikan darjat mereka sebagai hamba di muka bumi ini. Mereka lebih mulia daripada segala isi alam pada zamannya.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 33;

"Sesungguhnya Allah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi semua umat pada zaman mereka masing-masing."

Kisah Hanah binti Faqud, ibu Maryam terkandung di dalam al-Quran. Bapa Maryam, Imran menjadi salah satu nama surah di dalam Al-Quran iaitu surah Ali Imran. Nama Maryam juga diabadikan dengan surah Maryam.

Setelah sekian lama Hanah berkahwin dengan Imran, mereka masih belum memperoleh anak. Beliau berdoa kepada Allah swt,

"Ya Allah, kurniakanah seorang anak kepadaku."

Doanya dimakbulkan, beliau mendapat tanda-tanda hamil. Beliau gembira dan bersyukur kepada Allah swt. Beliau berdoa lagi,

"Ya Allah, semoga engkau jadikan bayi yang aku kandung ini anak yang soleh." beliau juga bernazar mahu menghantar anaknya berkhidmat di Baitulmuqaddis apabila besar nanti.

Semua sudah diaturkan oleh Allah swt, Hannah melahirkan anak perempuan dan menamakannya Maryam.

"Wahai isteriku, kamu melahirkan anak perempuan! Bagaimana dengan nazaarmu? Bolehkah anak kita ini menjadi khadam di Masjid Al-Aqsa, sedangkan dia perempuan?"

Hannah mengeluh mendengarkan pertanyaan suaminya itu.

"Ya Tuhanku, mengapa aku melahirkan anak perempuan?"

Beliau menamakan dengan panggilan Maryam, yang bermaksud pelayan Tuhan dalam bahasa mereka pada zaman itu. Beliau berdoa lagi,

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menamakan anakku Maryam dan aku memohon engkau memberikan perlindungan kepadanya dan kepada keturunannya daripada syaitan yang terkutuk."

Hanah menyerahkan anaknya Maryam kepada suami ibu saudaranya, Nabi Zakaria. Ketika itu Nabi Zakaria adalah khadam di Masjid Al-Aqsa. Beliau melakukan ini atas petunjuk Allah.

Nabi Zakaria dan isterinya Hamillah pada ketika itu tidak mempunyai anak hingga usia mereka sudah lanjut usia. Mereka gembira kerana dapat menjaga Maryam seperti anaknya sendiri.

Maryam terlihat ciri-ciri wanita yang cerdas, mulia dan suci terhormat. Semua itu menunjukkan Allah swt menerima doa dan nazar ibunya.

Maryam tinggal di mihrab Masjid Al-Aqsa yang dibina oleh Nabi Zakaria. Beliau membesar menjadi anak yang taat beribadah dan menunjukkan sifat sebagai pelayan Allah. pendapat lain mengatakan, Maryam adalah seorang gadis yang suci kerana tidak pernah mengalami haid.

Suatu hari, Nabi Zakaria masuk ke mihrab Maryam dan melihat terdapat banyak makanan dan buah-buahan segar. Beliau bertanya dari mana semua ini datang. Maryam hanya menjawab,

"Semua ini makanan daripada Allah."

Doa ibu Maryam, Hannah betul-betul dimakbulkan oleh Allah. Maryam menjadi wanita terbaik pada zamannya. Darjat beliau melebihi darjat lelaki. Inilah bukti dahsyarnya doa seorang ibu untuk anaknya.

Dengan kuasa dan izin Allah, Maryam melahirkan seorang bayi yang dinamakan Isa. semata-mata atas kehendak Allah swt, Allah menciptakan Nabi Isa tanpa persenyawaan dari seorang laki-laki, sama seperti Dia menciptakan Nabi Adam tanpa ibu bapa.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 4;

"Ingatlah ketika malaikat Jibrail berkata, Wahai, Maryam. Sesungguhnya Allah memilihmu, menyucikanmu dan melebihkan dirimu daripada semua wanita di dunia yang sezaman denganmu."

Wallahualam.

Sumber/Kredit: pts.com.my

Translate

CLOSE