6 Penyakit Akhir Zaman

6 Penyakit Akhir Zaman






PADA akhir zaman ini terdapat penindasan berlaku di mana-mana sahaja termasuklah sesama umat Islam sendiri kerana sifat tamak dalam diri manusia.

Jutaan saudara kita ditindas dengan pelbagai cara seperti wanita dirogol dan dibunuh dan kanak-kanak dibunuh, tanah dan rumah mereka dirampas, dibakar, dihalau dari kampung halaman, hatta dihalau dari negara asal masing-masing.

Kita dapat lihat keadaan ini berlaku di merata dunia seperti kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, penduduk asal Islam di Palestin, Ahli Sunnah di Syria, bangsa Islam Ughyur di China, bangsa Moro Islam di Selatan Filipina, penduduk Islam di selatan Thai, muslim di Bosnia dan muslim di Iraq.

Kalau kita teliti beberapa hadis Nabi Muhammad SAW, Nabi SAW sudah menceritakan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kenapa ia berlaku kepada umat Islam atau apa salah dan dosa umat Islam diperlakukan dan dihina sehina-hinanya?

Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka."

Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”

Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih I.8 billion (setakat 2012).

Dua penyakit dikatakan itu ialah;

Pertama: Cintakan dunia sehingga memperhambakan diri dan seluruh kehidupan kepada dunia. Apa-apa sahaja yang ditawarkan dunia akan disentap dengan rakusnya sehinggakan mereka lupa halal haram dan dosa pahala, lupa kita akan mati dan akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita lakukan di dunia.

Kedua: Takutkan mati. Akhirnya kerana terlampau cintakan dunia dengan segala kemewahan dan kenikmatannya menyebabkan mereka takutkan kematian, nak buat kerja agama takut diancam dan dibunuh sedangkan umat terdahulu sanggup bergolok gadai hatta terbunuh di medan peperangan demi mewariskan Islam kepada kita hari ini.


Ramai anak muda kini lebih mementingkan keseronokkan tanpa mengetahui halal dan haram.

Malangnya umat Islam akhir zaman takutkan kematian sebab itulah kata Nabi SAW kita dikerumuni seperti makanan dikerumuni.

Ada penyakit lain lagi tak disebut oleh Nabi SAW yang menjadi sebab keadaan ini berlaku?

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu.” Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?”

Nabi SAW menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah [HR Hakim]:

1. Terlalu banyak bersukaria
2. Terlalu mewah
3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin
4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia
5. Saling memarahi
6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.

MasyaAllah, kalau kita perhatikan masyarakat kita hari ni betapa penyakit yang Rasulullah SAW sebutkan dalam hadis ini telah menular seperti wabak yang sangat bahaya dan tidak dapat dibendung penularannya dan menjadi penyakit kronik.

Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.

Akibat turutkan hawa nafsu, tentunya segala cara akan digunakan termasuk segala tipu muslihat tidak mengira halal haram dan dosa pahala.

Ketika itu lenyaplah nilai-nilai akhlak yang murni dan tinggallah kecurangan, khianat-mengkhianati, dengki mendengki dan zalim menzalimi… Nauzubillah.


Peperangan banyak mengorbankan nyawa insan tidak berdosa.

Apa ubatnya untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ini?

Beberapa ubat dan vaksin kepada penyakit kronik akhir zaman ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang mencipta kita dan baginda Nabi SAW adalah seperti berikut:

Firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Agama Islam) [Ali Imran:103].

Rasulullah SAW berpesan kepada kita: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegang dengannya nescaya kamu tak akan sesat selamanya iaitu: al-Quran dan sunnahku.”

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda: “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan yang enggan.”

Sahabat berasa kehairanan lalu bertanya; “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak mahu masuk syurga?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk syurga dan siapa yang menyalahi ajaranku maka itulah yang tidak mahu masuk syurga - [Riwayat Bukhari].

Maka marilah kita kembali ke pangkal agama Islam kita dan berpegang kuat kepada ajaran-ajarannya, insya-Allah kita akan diselamatkan oleh Allah di dunia dan akhirat.

Semoga sama-sama kita sebarkan perkongsian ini dan menjadi sebahagian dari amal jariah kita, insyaAllah.

Kredit/Sumber: mstar.com.my

Adakah Wabak Covic-19 Antara Tanda Akhir Zaman?

Wabak Penyakit Tanda Akhir Zaman

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.



Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” - [HR Ibnu Majah 4009].

Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". - [HR Bukhari 3215]2.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” - [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. - [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Wallahualam

Sumber/Kredit: mstar.com.my
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE