UMAT Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dianggap syahid akhirat.


UMAT Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dianggap syahid akhirat. Berikut merupakan hujah/ pandangan daripada para alim Ulamak berkaitan status kematian akibat wabak Covic-19.


1. Pandangan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana kematian mereka disebabkan mudarat akibat penularan wabak maut itu.

Menurutnya, mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 juga perlu disempurnakan sama seperti jenazah lain.

“Mangsa yang meninggal dunia perlu dimandikan, dikafankan dan disolat seterusnya dikebumikan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Mereka yang meninggal dunia ini sama seperti individu yang meninggal dunia ketika bersalin dan kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahman berkata, mereka yang meninggal dunia ini juga dihapuskan dosa kerana penyakit yang dihidapi itu adalah asbab Allah SWT untuk menghapuskan dosa seseorang.

Katanya, mereka akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT atas ujian yang diberikan ketika hayatnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam agar menggunakan waktu lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.

“Banyakkan solat hajat berjemaah, berzikir, berdoa agar Allah SWT permudahkan ujian yang sedang kita hadapi ini.

“Ujian ini juga menjadikan kita insan yang lebih baik selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga,” katanya.

2. Pandangan Presiden PAS Tuan Guru Dato' Haji Abdul Hadi Bin Awang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana kematian mereka disebabkan mudarat akibat penularan wabak maut itu selepas berusaha dan berikhtiar termasuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 juga perlu disempurnakan sama seperti jenazah lain.

“Syahid akhirat ialah mereka yang mati dalam menjalan tugas dengan tidak berperang, orang yang mati kerana wabak, penyakit taun sebagai contoh, wabak corona pada hari ini atau Covid-19 di mana mereka menghadapi wabak ini setelah berikhtiar, berubat, sabar menghadapi ujian selepas itu dia mati itu syahid akhirat.

“Ia termasuklah mereka yang mati ketika menjalankan tugas sebagai doktor, jururawat, sukarelawan untuk melindungi orang daripada penyakit ini, begitu juga orang yang mati akibat kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas mencari nafkah, mati kerana banjir, kebakaran termasuklah wanita mati ketika bersalin, itu semua syahid akhirat dan jenazah mereka perlu diurus sebagaimana biasa, dimandi, dikafan dan disembahyang,” katanya.

Hadi berkata, ulama turut mengariskan 3 kategori mereka yang mati syahid selain syahid akhirat iaitu syahid dunia akhirat dan syahid dunia.

“Syahid dunia akhirat ialah orang yang mati dalam peperangan, menentang musuh-musuh yang menceroboh agama Islam, tanah air Islam dan orang Islam.

“Dan ketiga ialah syahid dunia sahaja, ialah orang munafik yang pura-pura tunjuk Islam kononnya kerja untuk Islam tapi niatnya bukan kerana Islam, orang anggap dia mati syahid di dunia tapi di akhirat tidak diterima,” katanya.

Menerusi ucapannya Hadi meminta mereka yang dijangkiti Covid-19 bersabar menghadapi wabak dan berdoa supaya rakyat dilindungi dari terus dijangkiti.

“Kita diajar sabar dan berikhtiar, bukan sabar sahaja, kita perlu berikhtiar mencari ubat, mesti ada pencegahan, jangan duduk diam tunggu takdir Allah, itu pandangan salah sebab itu kita kena cari penyelesaian sebaiknya dengan cara bertanggungjawawab,” katanya.

3. Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan

Terdapat banyak riwayat yang menyebutkan akan perkara ini. Antaranya riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya : “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)

Di dalam riwayat yang lain bahawa Baginda SAW bersabda :

مَن قُتِلَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في الطّاعُونِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في البَطْنِ فَهو شَهِيدٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah ialah orang yang syahid, sesiapa yang mati kerana taun juga ialah orang yang syahid dan sesiapa yang mati kerana penyakit perut juga ialah orang yang syahid.” Riwayat Muslim (1915)

Begitu juga, hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الطّاعُونُ شَهادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya : “Wabak taun itu adalah (penyebab) mati syahid bagi setiap Muslim.”

Riwayat al-Bukhari (2830) dan Muslim (1916)

Hadis-hadis di atas jelas menunjukan bahawa orang Islam yang mati kerana wabak (taun) dianggap sebagai mati syahid. Kurniaan gelaran syahid ini adalah dianugerahkan sendiri oleh Baginda SAW sebagaimana yang dapat kita lihat menerusi hadis-hadis tersebut.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT (kepada mereka) kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan di dalam kitabnya bahawa melalui hadis-hadis ini kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu :

Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (menegakkan agamaNya), ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri (daripada musuh).

Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia (yakni tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya).

(Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55)

Manakala Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550) Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan mereka ialah sesiapa yang gugur (terbunuh) di dalam perang melawan orang-orang kafir (yakni bagi menegakkan agamaNya) tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 189)

Oleh itu, kita ketahui bahawa mati kerana wabak taun adalah termasuk dalam syahid di akhirat tetapi tidak di dunia. Ini bermakna bagi mereka di akhirat pahala mati syahid tetapi di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa :

المراد بشهادة هؤلاء كلهم غير المقتول فى سبيل الله انهم يكون لهم فى الآخرة ثواب الشهداء وأما فى الدنيا فيغسلون ويصلى عليهم

Maksudnya : “Syahid yang dimaksudkan ialah mereka semua kecuali yang gugur di jalan Allah, kelak di akhirat akan mendapat pahala mati syahid. Adapun di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan (tidak seperti yang gugur di jalan Allah).” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)

Pahalanya sebagaimana pahala syahid di jalan Allah

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa pahala syahid yang diperoleh mereka yang mati kerana taun adalah sepertimana pahala syahid mereka yang gugur di jalan Allah SWT. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 196)

Mengenai perkara ini, adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

يختصِمُ الشُّهداءُ والمتوفَّونَ على فُرُشِهِم إلى ربِّنا في الَّذينَ يتوفَّونَ منَ الطَّاعونِ ، فيقولُ الشُّهداءُ : إخوانُنا قُتِلوا كما قُتِلنا ، ويقولُ المتوفَّونَ في فرشِهِم : إخوانُنا ماتوا على فرشِهِم كما مُتنا ، فيقولُ ربُّنا : انظُروا إلى جراحِهِم ، فإن أشبَهَ جراحُهُم جراحَ المقتولينَ ، فإنَّهم منهم ومعَهُم ، فإذا جراحُهُم قد أشبَهَت جراحَهُم

Maksudnya : “Orang-orang yang syahid dan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka saling berselisih kepada Allah SWT mengenai orang-orang yang meninggal dunia kerana wabak taun. Orang-orang yang syahid berkata : Mereka adalah saudara-saudara kami, iaitu mereka dibunuh sebagaimana kami dibunuh. Sedangkan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka pula berkata : Mereka adalah saudara-saudara kami, mereka meninggal di atas katil mereka sebagaimana kami meninggal. Kemudian Allah SWT berfirman : Lihatlah kepada luka mereka, sekiranya luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh, maka mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang terbunuh, dan bersama mereka, dan ternyata luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh itu." Riwayat al-Nasaie (3164) dan Ahmad (17195)

Bolehkah Covid-19 dikategorikan sebagai taun ?

Dalam menjawab isu ini kami kongsikan beberapa definisi taun seperti yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa). Antaranya ialah :

Al-Jauhari mengatakan : Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.

Syeikh Ibrahim al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis pula menyatakan : Wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum.

Ibn Al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi : Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun).

(Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 95)

Maka seperti yang diketahui umum Covid-19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh dianggap sebagai taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19 ini dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang telah difahami daripada hadis-hadis yang sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Walau bagaimanapun, kita terus berdoa kepada Allah SWT, agar menerima saudara-saudara seagama kita yang terkorban kerana Covid-19 ini sebagai mati syahid di sisiNya.

Kami akhiri dengan sabda Nabi SAW :

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).” Riwayat Muslim (1909)

Semoga Allah SWT menghilangkan wabak yang sedang melanda negara kita dengan segera serta melindungi kita semua. 

Wallahualam.

Kredit/Sumber: hmetro.com.my/ msn.com /muftiwp.gov.my

Adakah Wabak Covic-19 Antara Tanda Akhir Zaman?

Wabak Penyakit Tanda Akhir Zaman

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.



Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” - [HR Ibnu Majah 4009].

Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". - [HR Bukhari 3215]2.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” - [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. - [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Wallahualam

Sumber/Kredit: mstar.com.my

Translate

CLOSE