Peristiwa Penting Maulidur Rasul

Peristiwa Penting Maulidur Rasul

Maulidur Rasul berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud kelahiran Nabi dimana Maulidur Rasul disambut bagi memperingati hari kelahiran junjungan Rasullullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w telah diputerakan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April Tahun Gajah.Kelahiran baginda membawa rahmat dan petanda dimana baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyebarkan syiar Islam. Ia merupakan peristiwa utama yang tercatat dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:

1. Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.

2. Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.

3. Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya:

Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata 

"Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''

Peristiwa Sewaktu Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W

Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah( bonda Rasullullah S.A.W) ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Semasa Baginda S.A.W dilahirkan, bondanya menyaksikan nur cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber dan rekod Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan dua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan "Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.

Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib( datuk Nabi Muhammad s.a.w), "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''

Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.

Api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya sewaktu Rasullullah S.A.W dilahirkan. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah. Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat. Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.

Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail.Lalu membelah dada baginda dan mengeluar kan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan dan kemuliaan disisi Allah S.W.T . Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah atau pun Penutup segala nabi.

Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya.Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir"

Kredit/Sumber: redzuan-ridz.blogspot.com

Julaibib Sahabat Yang Disayangi Rasulullah

Julaibib Sahabat Yang Disayangi Rasulullah

Julaibib merupakan seorang Ansar. Ketika Nabi sampai ke Madinah, beliau masih kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Akan tetapi hatinya telah terpaut dengan Islam dan diri Rasulullah SAW sejak kali pertama baginda sampai ke Madinah lagi. Beliau meninggalkan segala keseronokan alam kanak-kanak bersama rakan sebaya, kerana hatinya telah dipenuhi kecintaan terhadap baginda SAW.

Julaibib hidup sebatang kara. Beliau tak punya keluarga atau harta. Tempat tinggal beliau adalah masjid Rasulullah. Beliau adalah ahli suffah. Makan dan minum hanya sedikit, hasil pemberian orang kepadanya.

Julaibib adalah budak yang disenangi semua orang. Gelagatnya menghiburkan dan keberadaannya menyenangkan. Dia bebas keluar masuk rumah sesiapa sahaja di Madinah. Tiada yang menutup pintu kepada beliau. Para wanita juga tidak merasa segan, kerana Julaibib masih budak.

Apabila Julaibib meningkat remaja dan akil baligh, suatu hari Rasulullah bertanya kepadanya.
“Inginkah kamu untuk berkahwin wahai Julaibib?”

Beliau menjawab:
“Siapalah yang mahukan aku. Aku budak miskin, tak mampu beri nafkah dan apa-apa mahar.”

Baginda menjawab:
“Aku akan carikan kamu perempuan solehah. Dan Allah akan mencukupkan rezeki kamu berdua.”

Beberapa tempoh selepas itu, Rasulullah SAW bertemu seorang lelaki Ansar lalu berkata:
“Kahwiniku akan anakmu si fulanah.”

Lelaki itu dengan gembira berkata:
“Ya wahai Rasulullah. Ya. Semoga Allah menambah kemuliaanmu dengan hubungan ini.”

“Bukan aku inginkan anakmu untuk diriku”. Balas Rasullah SAW

Tersenyap lelaki itu.

“Lalu untuk siapa?” Soal lelaki itu kebuntuan.

“Untuk Julaibib.” Jawab baginda ringkas.

Tatkala itu terus hilang kegembiraan di wajah lelaki tersebut. Beliau berkata:
“Nanti dulu wahai Rasulullah. Aku mahu berbincang dengan ibunya dahulu. Aku tak mahu buat keputusan besar ini tanpa bertanya padanya.”

Lalu lelaki itu pulang dalam hati yang gundah gulana. Dia tahu isterinya pasti tak mahu bermenantukan orang seperti Julaibib. Dalam waktu yang sama beliau tidak tergamak mahu menolak lamaran Rasulullah.

Sampai di rumah, beliau menyampaikan hasrat Rasulullah. Seperti dijangka, isterinya menolak keras. Berlaku pertikaman lidah yang agak hebat sehingga keduanya meninggikan suaranya.

Akhirnya si suami mengalah. Beliau tidak mampu memujuk isterinya. Si isteri tetap berkeras tidak mahu bermenantukan Julaibib.

Dalam keadaan hampa, lelaki itu bersiap untuk menuju Rasulullah SAW. Sebelum berangkat keluar, anak gadisnya yang mendengar pertengkaran kedua ibubapanya keluar dari bilik dan bertanya:
“Siapakah sebenarnya yang meminangi diriku?”

Si Ibu pantas menjawab:
“Rasulullah pinang kamu untuk Julaibib. Tapi aku tolak pinangan itu.”

Gadis solehah itu terus bersuara:
“Kenapa begitu? Sampai hati ibu. Sanggup menolak permintaan Rasulullah. Demi Allah. Aku tak akan sekali-kali sanggup menolak sebarang permintaan Rasulullah.

Penuhilah permintaan baginda. Sesungguhnya Nabi lebih utama menentukan urusan orang beriman dari diri mereka sendiri.

Berikan aku pada Julaibib. Percayalah bahawa Allah tak akan sekali-kali sia-siakan nasibku.”

Si ibu senyap tidak terkata. Si bapa terus menuju Rasulullah dan menyampai khabar gembira itu. Baginda SAW turut bergembira dengan berita tersebut lalu berdoa:
“Ya Allah. Limpahkanlah kebaikan untuk si gadis itu. Jangan kau susahkan hidupnya.”

Maka termeterailah ikatan kasih kedua mereka. Julaibib dan isteri selamat diijab kabulkan. Cinta dari dua insan yang saling tidak mengenali, tetapi disatukan oleh sebaik-baik manusia.

Belum sempat Julaibib menikmati hari-hari bahagia bersama, tiba seruan jihad dari Rasulullah kepada umat Islam, untuk bersama keluar berperang di jalan Allah. Julaibib meninggalkan tempoh bulan madunya, menyarungkan baju perang dan menyahut seruan baginda SAW.

Ditakdirkan Allah, umat Islam memenangi peperangan tersebut. Rasulullah SAW mengumpul tenteranya sebelum pulang dan dipastikan agar tidak ada yang tertinggal. Setelah semua sahabat dikumpulkan, baginda bersabda:
“Ada sesiapa lagi yang masih belum jumpa?”

Para sahabat menjawab: “Dah tiada wahai Rasulullah.”

Nabi berkata:
“Tapi aku masih tidak jumpa di mana Julaibib. Tolong carikan beliau.”

Maka sahabat kembali ke medan perang dan mencari di setiap sudut tanah, di manakah perginya Julaibib.

Akhirnya di kawasan tentera musuh, mereka menjumpai satu jasad menyerupai Julaibib. Terbujur kaku berlumuran darah di sisi tujuh bangkai musuh.

Para sahabat segera menyampaikan berita itu kepada Rasulullah. Rasulullah bergegas ke depan jenazah Julaibib lalu berkata:
“Tujuh orang ini telah dibunuh oleh Julaibib. Dan mereka juga membunuhnya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya.”

Rasulullah memerintahkan para sahabat menggali kubur di kawasan itu. Baginda sendiri yang mendukung jasad Julaibib, menurunkannya ke kubur, membaringkannya di lahad, dan menimbus sang syahid itu dengan tanah.

Sungguhpun Julaibib baru sahaja merasai kehangatan cinta bersama isteri yang baru dikenali, semua itu tak menghalang dirinya dari melupakan tanggungjawab sebagai hamba Ilahi. Kasih Julaibib kepada makhluk tidak sekuat kasihnya kepada Allah dan Rasul. Kedua pemuda syurga dan gadis solehah itu wajib dijadikan contoh buat semua yang sedang kemaruk berkasih. Jangan tenggelam dalam lamunan cinta, sehingga terabai tanggungjawab untuk agama.

Usah sedih dengan nasib Julaibib. Beliau kini sedang bahagia bersama bidadari syurga. Sudah tentu isterinya sendiri menjadi ketua para bidadari. Mereka mungkin tak sempat menghabiskan bulan madu. Tetapi tuhan mengganjarkan pakej berbulan muda di syurga, selama-lamanya. Apakah ada yang lebih indah dari itu?

Usah risau dengan nasib balu Julaibib. Beliau telah menjadi buruan ribuan jejaka beriman. Doa Rasulullah terhadap wanita itu menjadikan dirinya amat berharga di mata setiap yang mencari keberkatan hidup.

Tapi risaulah dengan nasib kita. Apakah perhubungan kita diredhai Allah? Apakah ia direstui Rasulullah? Apakah bahagia ini akan kekal hingga ke syurga?

Wallahualam..

Harta Qarun masih diburu hingga kini


Harta Qarun masih diburu hingga kini 

Segelintir pihak percaya di suatu lokasi rahsia di Mesir, tersembunyi harta karun melimpah ruah yang masih belum dijumpai mana-mana pemburu harta sehingga kini.

Harta karun itu dipercayai masih kekal terkubur di lokasi rahsianya sejak tenggelam ke perut bumi ribuan tahun lalu dan usaha pihak tertentu untuk mencarinya masih gagal sehingga kini.

Kisah kewujudan harta itu adalah sahih lantaran dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 76-81 yang bermaksud: "Sesungguhnya Qarun adalah kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya daripada pelbagai jenis kekayaan yang anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah (seperti lagakmu itu).

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."

"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, daripada umat yang lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.

"Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar.

"Lalu Kami timbuskan dia bersama rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri".

Kisah al-Quran itu meyakinkan segelintir pihak bahawa Qarun ditenggelamkan ke dalam tanah bersama harta kekayaannya. Tanggapan itu kemudian menjadi pencetus semangat untuk mereka menjejaki lokasi Qarun ditenggelamkan dengan harapan dapat menjumpai harta lelaki terbabit. Mengikut riwayat silam dan kepercayaan masyarakat setempat, tempat tinggal Qarun dikenal pasti terletak di Al-Fayyum iaitu sekitar 90 kilometer dari Kaherah, Mesir.

Di daerah itu, terdapat danau besar dikenali sebagai Tasik Qarun. Penduduk sekitar tasik amat yakin di situlah Qarun ditenggelamkan bersama hartanya. Menurut buku Jejak Ketamadunan Dalam Islam, kajian geologi pernah dilakukan penyelidik Barat sekitar tasik itu dan hasilnya, mereka mendapati pernah berlaku gempa dahsyat di lokasi terbabit pada zaman dahulu.

Hasil kajian itu ternyata bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Qasas dan semakin meyakinkan ramai pihak bahawa Qarun dan hartanya ditelan bumi dalam gempa yang berlaku di lokasi itu pada ribuan tahun lalu. Bagaimanapun, usaha mencari kesan arkeologi tinggalan Qarun di tasik itu amat mencabar lantaran teramat luas iaitu sepanjang 30 kilometer, lebar sekitar 10 kilometer manakala kedalamannya sehingga 40 meter.

Penduduk sekitar Tasik Qarun percaya harta Qarun tersembunyi di dasar tasik tetapi dijaga 'makhluk' tertentu menyebabkan cubaan mencari kekayaan itu tidak pernah berjaya. Sekitar 1980 -an, tersebar khabar angin kononnya harta Qarun hanya akan muncul selepas 200 kanak-kanak dikorbankan. Khabar angin itu mencetuskan panik sehingga ibu bapa mengurung anak mereka kerana khuatir diculik pemburu harta. Walaupun harta Qarun tidak ditemui, bukti kekayaan tokoh antogonis itu dapat dilihat apabila satu daripada istana Qarun dikatakan masih wujud sehingga kini.

Istana terletak kira-kira dua kilometer dari Tasik Qarun itu dibina dengan hebat, berseni dan banyak bilik. Bagaimanapun, istana itu dikatakan belum habis digali. Banyak bilik dan ruang bawah tanah yang belum diteroka. Walaupun ramai pihak terutama penduduk setempat meyakini Al-Fayyum menjadi lokasi Qarun bersama hartanya ditenggelamkan, ada juga pihak berpendapat kejadian itu berlaku di tempat lain.

Sehingga kini, lokasi sebenar harta Qarun masih menjadi teka-teki tetapi legenda dan iktibar menimpa tokoh zaman Nabi Musa itu terus kekal diingati terutama dalam budaya Melayu.

Demi mengenangkan kisah Qarun yang tamakkan harta dunia sehingga mengabaikan perintah Allah, maka semua harta silam yang dijumpai akan disebut sebagai 'harta karun' oleh masyarakat Melayu.

Kredit/Sumber: bharian.com.my

Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar


Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar

Dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini, tersembunyi satu malam iaitu malam al-Qadar yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang mukmin yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى buat hambaNya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ sedang duduk i’tikaf semalaman suntuk pada hari-hari terakhir Bulan Suci Ramadhan. Para sahabat pun mengikuti apa yang dilakukan Nabi ﷺ ini. Baginda berdiri solat, mereka juga solat, baginda menadahkan tangannya untuk berdoa dan para sahabat pun turut mengaminkannya.

Ketika itu langit mendung, angin pun meniup tubuh-tubuh yang memenuhi masjid. Dalam riwayat tersebut malam itu adalah malam ganjil dari bulan Ramadhan. Semasa Rasulullah ﷺ dan para sahabat sujud, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Masjid yang tidak berbumbung itu basah dipenuhi air hujan.

Salah seorang sahabat ada yang ingin membatalkan solatnya dengan niat ingin berteduh dan lari dari saf, namun niat itu dibatalkan selepas dia melihat Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain tetap sujud dengan khusyuk tidak bergerak.

Air hujan semakin memenuhi seluruh masjid dan membasahi seluruh tubuh Rasulullah ﷺ serta para sahabatnya yang berada di dalam masjid tersebut, akan tetapi Rasulullah ﷺ dan para sahabat tetap sujud dan tidak berganjak sedikitpun dari tempatnya.

Rasulullah ﷺ basah kuyup dalam sujud. Namun sama sekali tidak bergerak seolah-olah Baginda sedang asyik masuk ke dalam suatu alam yang melupakan segala-galanya. Baginda ﷺ sedang masuk ke dalam suatu alam keindahan. Baginda sedang diliputi oleh cahaya Ilahi. Baginda takut keindahan yang baginda saksikan ini akan hilang jika Baginda bergerak dari sujudnya.

Baginda ﷺ takut cahaya itu akan hilang jika Baginda mengangkat kepalanya. Rasulullah ﷺ terpaku lama sekali di dalam sujudnya. Beberapa sahabat ada yang menggigil kedinginan. Ketika Rasulullah ﷺ mengangkat kepala dan mengakhiri solatnya, hujan pun berhenti seketika.

Anas bin Malik, sahabat Rasulullah ﷺ bangun dari tempat duduknya dan berlari ingin mengambil pakaian kering untuk Rasulullah ﷺ. Namun baginda mencegahnya dan berkata; “Wahai Anas bin Malik, janganlah engkau mengambilkan sesuatu untukku, biarkanlah kita sama-sama basah, nanti juga pakaian kita akan kering dengan sendirinya.”

Anas pun duduk kembali dan mendengar dengan khusyuk cerita Rasulullah ﷺ mengapa baginda begitu lama bersujud.

Masya Allah …. ternyata sebentar tadi Rasulullah ﷺ dan ketika hujan mulai turun, disaat itu juga malaikat di bawah pimpinan Jibril turun dalam keindahan dan bentuk asalnya. Mereka berbaris rapi dengan suara gemuruh tasbih dan tahmid mereka bergema di langit dan di bumi serta alam semesta ketika itu dipenuhi dengan cahaya Ilahi.

Inilah yang membuat Rasulullah ﷺ terpaku menyaksikan keindahan dan cahaya yang sama sekali tidak pernah dilihat. Gema tasbih dan tahmid malaikat yang tak pernah didengar oleh telinga sambil memohon keampunan kepada Allah bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh fikiran manusia. Itulah Lailatul Qadar ….

ALLAH سبحانه وتعالى berfirman,

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ﴿٥﴾

“Sesungguhnya KAMI telah turunkan pada malam kemuliaan. Dan, tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: Ayat 1-5)

Kredit/Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Tempat roh berhimpun selepas kematian


Tempat roh berhimpun selepas kematian

SELEPAS kematian, di mana tempat berkumpulnya roh orang beriman dan orang kafir?

Di dalam buku Teman di Barzakh kupasan kitab Ziarah Ke Alam Barzakh karya Al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi menyatakan Abdullah ibnu ‘Amr ibnu al-’As iaitu salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh seseorang berkenaan hal itu.

Beliau menjawab, roh orang beriman berada di dalam burung yang berwarna putih di bawah naungan Arasy Allah SWT dalam keadaan bersujud kepada-Nya. Setiap roh itu tidak berada di dalam satu tempat. Ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna putih dan ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna hijau berterbangan di dalam syurga Allah SWT.

Sementara itu, roh orang kafir ditempatkan di dalam bumi di lapisan ketujuh. Selepas nyawa seseorang dicabut, roh orang Mukmin akan dibawa melintasi roh orang yang beriman dan orang kafir. Ketika itu, akan berlaku sapa-menyapa dan bertanya khabar antara mereka. Ketika melintasi kumpulan roh orang beriman, kumpulan roh beriman itu bertanya hal keadaan sahabat mereka.

Sekiranya roh itu menjawab sahabat mereka sudah meninggal dunia, mereka akan menjawab roh si fulan sudah dihantar ke bawah iaitu lapisan bumi ketujuh. Itu bermaksud, roh berkenaan ditempatkan bersama-sama orang kafir. Apabila melintasi kum-pulan roh orang kafir, roh berkenaan akan bertanya keadaan kenalan mereka.

Jika roh itu menjawab si fulan sudah meninggal dunia, maka mereka membalas: “Sesungguhnya si fulan itu sudah dinaikkan ke bahagian atas” iaitu roh itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Di dalam satu riwayat daripada Abdullah ibnu Umar menyatakan, roh itu akan ditempatkan di dua tempat di dunia.

Jika roh itu dalam golongan orang baik, ia ditempatkan di Jabiyah iaitu lokasinya dikatakan berada di Syam. Ulama turut menyatakan, Syam adalah gabungan empat negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria.

Roh orang kafir pula ditempatkan di satu lembah dinamakan Barhut yang dikatakan terletak di Yaman. Ali ibnu Abi Talib r.a sebagaimana dituturkan oleh Abu Bakar an-Najjad menyatakan, “Sebaik-baik lembah manusia adalah lembah Makkah. Seburuk-buruk lembah manusia adalah lembah al-Ahqaf, suatu lembah yang terdapat di Hadramaut yang dinamakan Barhut. Di dalamnya berkumpul arwah orang kafir.”

Menurut riwayat lain, Saidina Ali ibnu Abi Talib mengatakan, roh orang beriman semuanya ditempatkan di sumur zamzam iaitu Makkah. Bagaimanapun, apa yang tersirat daripada riwayat itu adalah roh orang beriman semuanya di tempat yang baik. Ibnu Jarir dalam tafsirnya menuturkan riwayat daripada Muhammad ibnu ‘Awf ath Thai’i yang diterimanya daripada Abu Mughirah.

Abu Mughirah mendengar daripada Safwan. Safwan pernah bertanya kepada Amir ibnu Abdillah di Yaman, “Apakah arwah orang yang beriman itu berkumpul?” Ibn Abdillah menunjuk ke bumi lalu membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: ‘Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.’” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 105)

Selepas itu, beliau berkata: “Itulah bumi tempat berkumpul arwah orang yang beriman sehingga hari kebangkitan.”

Kredit/Sumber: hmetro.com.my

Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga


Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga

Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.

Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Translate

CLOSE