Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga


Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga

Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.

Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman Wanita Syurga

Gambar Hiasan

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman bercerita,”Pada suatu malam Rasulullah s.a.w bangun dari tidurnya dan membuang air kecil di dalam sebuah bekas. Pada malam itu juga aku bangun kerana rasa haus yang amat sangat.Lantas aku mengambil bekas yang berisi air itu dan meminumnya tanpa mengetahui apa yang terdapat di dalamnya. Keesokan paginya baginda bertanya kepadaku,”Wahai Ummu Aiman, adakah engkau telah buang apa yang terdapat di dalam bekas itu?”. Aku menjawab,”Wahai Rasulullah, demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku telah meminum air itu”. Ketawalah Rasulullah s.a.w sehingga kelihatan gigi gerahamnya lalu berkata,”Sesungguhnya ia membuatkanmu tidak akan merasa lapar selamanya”. Begitulah antara kisah baginda Rasulullah s.a.w bersama pemeliharanya, Ummu Aiman.



Beliau ialah Barkah bintu Tsa’labah, namun lebih dikenali dengan nama gelarannya Ummu Aiman iaitu bermaksud Ibu Aiman. Aiman adalah anak hasil perkahwinannya dengan ‘Ubayd bin al-Harith al-Khazrajiy. Aiman turut berperanan melakar sejarah hidupnya tersendiri bersama baginda Rsulullah s.a.w, turut berhijrah, berperang sehinggalah ia syahid pada Perang Hunain.

Pada asalnya, Ummu Aiman adalah hamba milik Abdullah bin Abdul Muttalib, bapa Rasulullah s.a.w. Apabila Abdullah wafat dan Aminah melahirkan nabi Muhammad s.a.w, beliaulah yang banyak berperanan mencarikan ibu susuan dan memelihara baginda dengan penuh kasih sayang setelah tempoh penyusuan dan kehidupannya bersama Halimatuussa’diah tamat.

Sebagai penghormatan dan pengiktirafan baginda Rasulullah s.a.w terhadap segala jasa, didikan dan keikhlasan Ummu Aiman terhadap baginda, Ummu Aiman dimerdekakan ketika baginda mengahwini Khadijah. Dikhabarkan bahawa Ummu Aiman menerima Islam sejak di peringkat awal dakwah lagi. Beliau sangat elok keislamannya dan ini dibuktikan dengan kemuliaan yang Allah berikan padanya iaitu berhijrah pada kedua-dua hijrah ke Habsyah dan Madinah.

Suatu ketika dalam salah satu perjalanan hijrahnya, Ummu Aiman menempuhnya dengan berpuasa. Tiba saat berbuka, tak ada bekal air yang dapat digunakan untuk melepaskan dahaganya yang sangat. Tiba-tiba didapatinya setimba air terhulur dari langit dengan tali timba yang berwarna putih. Ummu Aiman pun meminumnya. Ummu Aiman menuturkan, “Semenjak itu, aku berpuasa di siang yang panas dan berjalan di bawah terik matahari agar aku merasa haus, namun aku tidak pernah merasakan dahaga.” Itulah kelebihan beliau yang diberikan oleh ALlah kepadanya.

Hijrahnya ke Madinah ditempuhnya selang beberapa waktu setelah Rasulullah s.a.w hijrah ke Madinah. Ketika itu Rasulullah s.a.w mengutus Zaid bin Haritsah dan Abu Rafi’ radhiallahu ‘anhuma dengan berbekalkan dua ekor unta dan 500 dirham untuk membawa dua puteri beliau, Fatimah dan Ummu Kaltsum r.a, serta Saudah bintu Zam’ah r.a. Pada saat itu pulalah Ummu Aiman bersama puteranya Usamah bin Zaid bertolak menuju Madinah bersama rombongan ini.

“Inilah ahliku yang kekal”, itulah kata-kata baginda Rasulullah s.a.w yang menjanjikan Ummu Aiman dengan ganjaran syurga. Baginda turut menyebarkan khabar tersebut kepada para sahabatnya dengan mengatakan, “Siapa yang berasa senang untuk menikahi seorang wanita ahli syurga, maka nikahilah Ummu Aiman”. Seruan itu disambut oleh Zaid b. Harithah anak angkat Rasulullah s.a.w yang mengahwini Ummu Aiman dan perkahwinan mereka dianugerahi seorang anak lelaki bernama Usamah bin Zaid seorang pahlawan terbilang. 

Ummu Aiman terus mengiringi kehidupan Rasulullah s.a.w hingga wafatnya baginda. Setelah kewafatan baginda, Abu Bakr r.a berkata kepada ‘Umar bin Al-Khaththab r.a, “Mari kita mengunjungi Ummu Aiman sebagaimana dulu Rasulullahs.a.w biasa mengunjunginya.” Keduanya pun beranjak menemui Ummu Aiman. Ketika keduanya tiba, Ummu Aiman dalam keadaan menangis, hingga mereka pun bertanya, “Apa yang membuatmu menangis? Apa yang di sisi Allah lebih baik bagi RasulNya.” Beliau menjawab,”Aku menangis bukan kerana tidak mengetahui apa yang di sisi Allah itu lebih baik bagi RasulNya, tetapi aku menangis kerana wahyu dari langit telah terputus.” Mendengar penuturan Ummu Aiman, berlinanglah air mata Abu Bakr dan Umar radhiallahu ‘anhuma hingga keduanya pun turut menangis bersama Ummu Aiman.

Beliau pergi menemui Ilahi pada zaman Khilafah Uthman bin Affan, 20 hari selepas pembunuhan Uthman. Allah merahmati beliau. Betapa besarnya jasa beliau sehingga baginda Rasulullah s.a.w menggambarkan beliau dengan kata-katanya, “Ummu Aiman, ibuku selepas ibuku”.

Kredit/Sumber: Mahmud Ta’mah Halbi(2000), Nisa’ Haul al-Rasul, Beirut; Darul Makrifah.

Kisah wanita menjadi ketua bidadari di syurga

Kisah wanita menjadi ketua bidadari di syurga
Gambar Hiasan

Kisah wanita menjadi ketua bidadari di syurga


BILA dikatakan bahawa para bidadari di syurga nanti kesemuanya jelita, terlalu rupawan serta serba-serbinya paling menarik, maka bagaimana pula dengan kedudukan kaum wanita ‘Ahli Dunia’ akan muncul dan mengisi syurga kelak?


Di dalam syurga kelak, kaum wanita ‘Ahli Dunia’ akan muncul jauh lebih rupawan berbanding para bidadari sendiri. Wajah mereka lebih cantik dan jelita, kulit tubuh mereka lebih halus dan licin, demikian juga dengan perhiasan dan pakaian mereka.


Pada ketika yang sama wanita dari dunia yang menghuni syurga akan dijadikan sebagai ketua bidadari bagi suami masing-masing. Inilah ganjaran yang akan Allah kurniakan kepada wanita syurga sesuai dengan kebajikan dan amal ibadat yang telah mereka kerjakan semasa di dunia dahulu.

Kaum wanita diberi kemuliaan dan tempat yang lebih tinggi berbanding para bidadari biasa dari syurga, lantaran mereka telah melalui berbagai-bagai ujian pahit manis serta pelbagai ujian serta bertungkus lumus beribadat kepada Allah SWT ketika hidupnya dahulu.

Di syurga nanti seorang wanita yang telah bersuami akan terus kembali berpasangan dengan suami asalnya ketika di dunia dahulu dan di syurga nanti dialah yang bakal menjadi ketua para bidadari di mahligai suaminya.

Manakala bagi seorang wanita yang berkahwin lebih dari seorang lelaki ketika di dunia, mereka di beri kelebihan untuk memilih salah satu lelaki yang pernah mereka kahwini dahulu.

Wanita-wanita ini nanti tujuh puluh kali ganda lebih baik mutunya dari kemuliaannya biadadari biasa di taman syurga. Para penghuni syurga tidak akan mengalami masa gelap seperti malam. Sebaliknya di syurga nanti para penghuninya melalui hari-harinya seperti bertemu pagi dan petang dengan satu nur ajaib menjadi cahaya yang bakal meliputi seluruh taman syurga.

Di syurga, tidak akan berlaku sebarang kekecohan pergaduhan, pertengkaran, sakit hati, hasad dengki dan berbagai-bagai perkara negative di kalangan para penghuninya, apatah lagi di kalangan berpuluh orang bidadari yang menjadi isteri setiap seorang dari lelaki syurga.

Ini kerana segala bibit perasaan dengki, irihati, sombong, bongkak serta sesuatu yang seumpamanya di kikis dan dibersihkan daripada hati para penghuninya. Maka aman damailah dan akan sentiasa bergemerlapan perkampungan syurga di setiap saat.

Apabila lelaki yang beruntung mula dihantar ke mahligai masing-masing di perkampungan syurga, maka akan menunggulah para bidadari yang bakal menjadi isteri masing-masing di pintu mahligai itu dengan kerinduan yang amat sangat.

Akan berkata para bidadari itu ketika menyambut suami mereka di hari pertemuan paling bererti di syurga nanti.

“Terlalu lama kami menunggu kedatanganmu. Kami sentiasa riang dan tidak pernah bersedih. Kami sentiasa lurus dan tidak pernah serong, kami juga hidup dan tidak pernah mati”.

Mata bidadari itu mengerdip redup dan manis dan tidak henti-henti menatap wajah suami masing-masing dengan hati yang penuh kerinduan.

Berkatalah lagi para bidadari itu, “Engkau adalah kekasih kami. Dan kami adalah kekasihmu dan kami juga tidak mengenal orang lain selain darimu.”

Demikianlah suci dan bersihnya cinta dan kasih para bidadari di taman syurga terhadap suami maising-masing. Cinta mereka tidak berbelah bagi, mereka tidak akan terpikat dengan lelaki lain meskipun semuanya tampan dan bergaya.

Suami kepada para bidadari itu telah ditentukan awal-awal lagi. Mereka sudah tahu siapakah bakal suami mereka di akhirat kelak. Mereka mulai mengenal suami masing-masing sejak kelahiran lelaki berkenaan ke dunia lagi.

Apa yang berlaku ke atas diri lelaki tersebut sentiasa diperhatikan oleh para bidadari itu yang tidak sabar menunggu saat pertemuan yang paling bererti di syurga kelak.

Apabila seorang isteri di dunia menyakiti hati suaminya dan menyebabkan suami tersinggung atau marah, maka akan segeralah para bidadari di syurga yang bakal menjadi isteri kepada suami itu dengan berkata:

“Janganlah engkau menyakiti dia kerana ini akan menyebabkan kemarahan Allah ke atasmu. Di sisimu cuma untuk sementara sahaja sebab di akhirat nanti dia akan menjadi suami kami pula”.

Di syurga nanti kaum lelaki yang menjadi penghulu dan raja di mahligai masing-masing akan menghadapi tempoh perkahwinan dan perkelaminan yang paling nikmat dan lazat.

Perkelaminan mereka tidak akan pernah digugat oleh perasaan resah dana tenaga yang melemahkan, tanpa dihambat oleh perasaan bimbang akan memperolehi anak yang ramai lantaran mereka tidak akan beranak lagi di syurga.

Kemewahan , kebahagiaan dan kesejahteraan para penghuni syurga menjalani suatu kehidupan yang sebenar dengan kesenangan yang tidak pernah susut mahupun berkurangan iaitu suatu kehidupan yang kekal abadi.

Inilah taman syurga untuk manusia yang mahu berfikir dan menggunakan akalnya kepada perkara-perkara ghaib yang dijanjikan oleh Allah SWT. Dan syurga itu bukanlah untuk golongan manusia yang melampaui batas dalam kehidupan setiap hari ketika di dunia.

Sumber: Kisah -kisah benar 7-Nurulbasri

Kisah wanita tua yang sangat bencikan Nabi Muhammad SAW

Kisah wanita tua, Nabi Muhammad SAW
Kisah wanita tua yang sangat bencikan Nabi Muhammad SAW 

Kisah wanita tua yang sangat bencikan Nabi Muhammad SAW 

"Aku benci, benci dengar namanya. Aku sungguh-sungguh tidak mahu mendengar namanya lagi! Kalau aku terus menetap di negeri ini pasti dan pasti namanya itu akan sampai ke telinga ku ini", keluh seorang wanita tua sambil membawa beberapa karung (beg) berisi barang-barang miliknya dengan niat berpindah dari negeri itu. 

Wanita tua itu tetap bernekad untuk berpindah dari negeri itu memandangkan dia tidak sukakan seorang manusia mulia. Di mana sahaja orang bercakap tentang diri si mulia itu. Itu membuatkan dia tidak selesa tinggal di negeri itu. Dalam panas matahari yang membelah kepala dia sekuat kudrat mengheret karung yang penuh dengan barangan miliknya. 

Kesan heretan karung itu jelas kelihatan pada lantai padang pasir tersebut, larat atau tidak dia telah membulatkan nekadnya untuk pergi jauh dari bandar tersebut. Yang dia inginkan adalah nama orang mulia itu tidak sampai ke gegendang telinganya, itu sahaja hasratnya buat masa ini. Rasa benci membuak-buak di dalam dada wanita tua tersebut. 

Melihat keadaan wanita tua yang terumbang-ambing tersebut tergerak hati seorang pemuda untuk menghulurkan bantuan. Tanya pemuda tersebut : "wahai mak cik kemanakah arah tujuan makcik?, sekiranya makcik membenarkan saya membawa karung makcik, saya boleh bawakan untuk makcik". Wanita tua itupun berkata: "makcik tidak tahan mendengar nama Muhammad (s.a.w), dimana-mana nama dia bermain di bibir orang, makcik benci mendengar nama si Muhammad (s.a.w*). Sebab itulah makcik mahu pergi jauh dari negeri ini ". "Kalau begitu biarlah saya tolong bawakan karung ini, sehingga makcik sampai ke tempat tujuan" , 

Pemuda itu menawarkan bantuan kepada wanita tua tadi. Sepanjang perjalanan pemuda itu telah disajikan dengan berbagai berita "kurang baik" dan cercaan demi cercaan mengenai Muhammad, tiada satu pun yang baik melainkan semuanya buruk-buruk belaka. Pemuda yang membawa barang itu sepanjang perjalanan hanya diam dan mendengar dengan penuh tekun. Pesan wanita tua itu "wahai pemuda yang baik hati, kamu telah menolongku dikala tiada siapa yang datang membantuku untuk membawa barangku ini, ramai pemuda gagah telah melewatiku namun tiada siapa yang membantuku melainkan kamu, untuk membalas jasamu itu aku ingin berpesan kepadamu dengan pesanan yang penting, dengarlah baik-baik, jauhilah dirimu dari Muhammad (s.a.w)". 

"Apakah makcik pernah jumpa muhammad (s.a.w) sebelum ini ?" tanya pemuda tersebut. "Tidak, belum pernah bertemu dengannya" jawab wanita tua tersebut. Pemuda itu hanya senyum dan meminta izin untuk kembali ke Makkah memandangkan destinasi wanita itu telah sampai. "Wanita jenis apa aku ini? Pemuda itu telah menolongku tanpa diminta dan telah bersusah payah membawa karungku ini tetapi aku tidak pun mengucapkan terima kasih atau menanyakan namanya?" bisik wanita tua menyalahkan dirinya. 

Kemudian si wanita itu bertanya dengan suara yang lembut: "Wahai pemuda yang baik hati siapakah namamu?" Pemuda itu tersenyum, dengan senyuman itu beliau menjawab "Namaku Muhammad, Muhammad Bin Abdullah.. Terduduk wanita tua itu, dan Wanita tua itu terasa langit terbelah dan jatuh ke atas kepalanya. Dia tidak percaya pada apa yang telah berlaku padanya. "Apakah benar kamu Muhammad ? tidak mungkin kamu Muhammad (s.a.w) kerana tiada satu berita baik pun yang sampai kepadaku mengenai Muhammad (s.a.w) melainkan semuanya adalah yang tidak elok mengenainya. Tetapi kamu wahai pemuda yang baik hati, kamu sungguh-sungguh berakhlak mulia, dan bersifat kasih. Apa kamukah yang telah ku cerca sepanjang perjalanan, bagaimana orang musyrikin Makkah sampai hati sanggup mencercamu sedangkan kamulah satu-satunya Al-Amin yang pernah muncul di kalangan kami ?. 

Kalau benarkamu Muhammad (s.a.w) bersaksilah kamu wahai pemuda yang mulia Ashhadualla I la ha illallah wa ash hadu anna muhammadar rasulullah. Pada masa itu juga wanita tua itu mengucap kalimah syahadah beriman kepada Allah dan rasulNya yang mulia Muhammad (s.a.w).. "sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik" "siapa (manusia) atau apapun (binatang, kayu kayan) ia maka tunjukkilah akhlak dan belas kasih yang baik, sebagaimana Allah telah tunjukkan rahimNya pada kamu tanpa mengira siapa kamu. 

*orang yang kikir (bakhil, kedekut) adalah orang yang nama Muhammad di sebut dihadapannya tetapi tidak berselawat ke atas diri Muhammad (s.a.w). Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga." (SahihMuslim)

Wallahualam..
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE