Julaibib Sahabat Yang Disayangi Rasulullah
Julaibib merupakan seorang Ansar. Ketika Nabi sampai ke Madinah, beliau masih kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Akan tetapi hatinya telah terpaut dengan Islam dan diri Rasulullah SAW sejak kali pertama baginda sampai ke Madinah lagi. Beliau meninggalkan segala keseronokan alam kanak-kanak bersama rakan sebaya, kerana hatinya telah dipenuhi kecintaan terhadap baginda SAW.
Julaibib hidup sebatang kara. Beliau tak punya keluarga atau harta. Tempat tinggal beliau adalah masjid Rasulullah. Beliau adalah ahli suffah. Makan dan minum hanya sedikit, hasil pemberian orang kepadanya.
Julaibib adalah budak yang disenangi semua orang. Gelagatnya menghiburkan dan keberadaannya menyenangkan. Dia bebas keluar masuk rumah sesiapa sahaja di Madinah. Tiada yang menutup pintu kepada beliau. Para wanita juga tidak merasa segan, kerana Julaibib masih budak.
Apabila Julaibib meningkat remaja dan akil baligh, suatu hari Rasulullah bertanya kepadanya.
“Inginkah kamu untuk berkahwin wahai Julaibib?”
Beliau menjawab:
“Siapalah yang mahukan aku. Aku budak miskin, tak mampu beri nafkah dan apa-apa mahar.”
Baginda menjawab:
“Aku akan carikan kamu perempuan solehah. Dan Allah akan mencukupkan rezeki kamu berdua.”
Beberapa tempoh selepas itu, Rasulullah SAW bertemu seorang lelaki Ansar lalu berkata:
“Kahwiniku akan anakmu si fulanah.”
Lelaki itu dengan gembira berkata:
“Ya wahai Rasulullah. Ya. Semoga Allah menambah kemuliaanmu dengan hubungan ini.”
“Bukan aku inginkan anakmu untuk diriku”. Balas Rasullah SAW
Tersenyap lelaki itu.
“Lalu untuk siapa?” Soal lelaki itu kebuntuan.
“Untuk Julaibib.” Jawab baginda ringkas.
Tatkala itu terus hilang kegembiraan di wajah lelaki tersebut. Beliau berkata:
“Nanti dulu wahai Rasulullah. Aku mahu berbincang dengan ibunya dahulu. Aku tak mahu buat keputusan besar ini tanpa bertanya padanya.”
Lalu lelaki itu pulang dalam hati yang gundah gulana. Dia tahu isterinya pasti tak mahu bermenantukan orang seperti Julaibib. Dalam waktu yang sama beliau tidak tergamak mahu menolak lamaran Rasulullah.
Sampai di rumah, beliau menyampaikan hasrat Rasulullah. Seperti dijangka, isterinya menolak keras. Berlaku pertikaman lidah yang agak hebat sehingga keduanya meninggikan suaranya.
Akhirnya si suami mengalah. Beliau tidak mampu memujuk isterinya. Si isteri tetap berkeras tidak mahu bermenantukan Julaibib.
Dalam keadaan hampa, lelaki itu bersiap untuk menuju Rasulullah SAW. Sebelum berangkat keluar, anak gadisnya yang mendengar pertengkaran kedua ibubapanya keluar dari bilik dan bertanya:
“Siapakah sebenarnya yang meminangi diriku?”
Si Ibu pantas menjawab:
“Rasulullah pinang kamu untuk Julaibib. Tapi aku tolak pinangan itu.”
Gadis solehah itu terus bersuara:
“Kenapa begitu? Sampai hati ibu. Sanggup menolak permintaan Rasulullah. Demi Allah. Aku tak akan sekali-kali sanggup menolak sebarang permintaan Rasulullah.
Penuhilah permintaan baginda. Sesungguhnya Nabi lebih utama menentukan urusan orang beriman dari diri mereka sendiri.
Berikan aku pada Julaibib. Percayalah bahawa Allah tak akan sekali-kali sia-siakan nasibku.”
Si ibu senyap tidak terkata. Si bapa terus menuju Rasulullah dan menyampai khabar gembira itu. Baginda SAW turut bergembira dengan berita tersebut lalu berdoa:
“Ya Allah. Limpahkanlah kebaikan untuk si gadis itu. Jangan kau susahkan hidupnya.”
Maka termeterailah ikatan kasih kedua mereka. Julaibib dan isteri selamat diijab kabulkan. Cinta dari dua insan yang saling tidak mengenali, tetapi disatukan oleh sebaik-baik manusia.
Belum sempat Julaibib menikmati hari-hari bahagia bersama, tiba seruan jihad dari Rasulullah kepada umat Islam, untuk bersama keluar berperang di jalan Allah. Julaibib meninggalkan tempoh bulan madunya, menyarungkan baju perang dan menyahut seruan baginda SAW.
Ditakdirkan Allah, umat Islam memenangi peperangan tersebut. Rasulullah SAW mengumpul tenteranya sebelum pulang dan dipastikan agar tidak ada yang tertinggal. Setelah semua sahabat dikumpulkan, baginda bersabda:
“Ada sesiapa lagi yang masih belum jumpa?”
Para sahabat menjawab: “Dah tiada wahai Rasulullah.”
Nabi berkata:
“Tapi aku masih tidak jumpa di mana Julaibib. Tolong carikan beliau.”
Maka sahabat kembali ke medan perang dan mencari di setiap sudut tanah, di manakah perginya Julaibib.
Akhirnya di kawasan tentera musuh, mereka menjumpai satu jasad menyerupai Julaibib. Terbujur kaku berlumuran darah di sisi tujuh bangkai musuh.
Para sahabat segera menyampaikan berita itu kepada Rasulullah. Rasulullah bergegas ke depan jenazah Julaibib lalu berkata:
“Tujuh orang ini telah dibunuh oleh Julaibib. Dan mereka juga membunuhnya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya.”
Rasulullah memerintahkan para sahabat menggali kubur di kawasan itu. Baginda sendiri yang mendukung jasad Julaibib, menurunkannya ke kubur, membaringkannya di lahad, dan menimbus sang syahid itu dengan tanah.
Sungguhpun Julaibib baru sahaja merasai kehangatan cinta bersama isteri yang baru dikenali, semua itu tak menghalang dirinya dari melupakan tanggungjawab sebagai hamba Ilahi. Kasih Julaibib kepada makhluk tidak sekuat kasihnya kepada Allah dan Rasul. Kedua pemuda syurga dan gadis solehah itu wajib dijadikan contoh buat semua yang sedang kemaruk berkasih. Jangan tenggelam dalam lamunan cinta, sehingga terabai tanggungjawab untuk agama.
Usah sedih dengan nasib Julaibib. Beliau kini sedang bahagia bersama bidadari syurga. Sudah tentu isterinya sendiri menjadi ketua para bidadari. Mereka mungkin tak sempat menghabiskan bulan madu. Tetapi tuhan mengganjarkan pakej berbulan muda di syurga, selama-lamanya. Apakah ada yang lebih indah dari itu?
Usah risau dengan nasib balu Julaibib. Beliau telah menjadi buruan ribuan jejaka beriman. Doa Rasulullah terhadap wanita itu menjadikan dirinya amat berharga di mata setiap yang mencari keberkatan hidup.
Tapi risaulah dengan nasib kita. Apakah perhubungan kita diredhai Allah? Apakah ia direstui Rasulullah? Apakah bahagia ini akan kekal hingga ke syurga?
Wallahualam..