Home » , , , , » Iblis Buka Rahsianya Pada Rasullullah SAW (Siri 1)

Iblis Buka Rahsianya Pada Rasullullah SAW (Siri 1)

Iblis Buka Rahsianya Pada Rasullullah SAW (Siri 1)


Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa raja iblis dan menyuruh raja iblis mengadap kehadhirat Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W. bagi membuka segala jenis rahsia kegemaran dan kebencian raja iblis. 

Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian darjat Baginda Rasulullah S.A.W. serta menjadi perisai dan peringatan kepada sekelian umat Baginda. Malaikat menyatakan Titah Allah SWT kepada raja iblis : 

"Hai iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maha Besar telah menitahkan engkau supaya mengadap kehadhirat Rasulullah S.A.W. dan hendaklah engkau membuka segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah engkau menjawab dengan benar dan sekiranya engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya diputuskan segala anggotamu dan uratmu serta engkau akan disiksa dengan azab yang amat keras."

Mendengar sahaja perkataan Malaikat berkenaan, iblis terasa dahsyat dan amat gerun sekali. Dengan segera iblis datang mengadap Baginda Rasulullah S.A.W. dengan menyamar menjadi seorang tua yang buta sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang panjangnya seperti ekor lembu. iblis memberikan salam dengan penuh hormat dan takzim sebanyak 3 kali yang tiada dijawab oleh Baginda Rasulullah S.A.W.. 

Iblis pun bertanya :- Yaa Rasulullah, mengapakah Tuan Hamba tidak menjawab akan salam hamba kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT? Maka sabda Baginda S.A.W. :- 

"Hai aduwullah musuh Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan helahmu? Patutkah engkau dengan urusanmu itu hendak menipu aku sebagaimana engkau menipu Nabi Allah Adam A.S. sehingga terkeluar dari syurga dan Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau serta Nabi Allah Ayub A.S. engkau tipu asap racun semasa baginda sujud di dalam solatnya hingga begitu lama baginda menanggung sengsara oleh perbuatan engkau. Dan Nabi Allah Daud A.S. dengan perempuan pahlawan Urya serta Nabi Allah Sulaiman A.S. meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya untuk melarikan cincin baginda; demikian juga beberapa Anbiya A.S.W.S serta para ulama yang telah menanggung kesengsaraan dan penganiayaan oleh perbuatan mu yang khianat. Hai iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan Azza Wajalla. Hanya salam engkau sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini terlaknat serta telah ditentukan kepada engkau kedalam neraka yang amat keras bagi menyiksa dirimu. Maka aku kenal sangat bahawa engkaulah iblis yang menjadi raja segala syaitan telah datang dalam bentuk penyamaran. Apakah tujuan engkau datang mengadapku ini?"

Maka sembah iblis : "Ya Nabi Allah, janganlah Tuan Hamba murka. Demi sesungguhnya, Tuan Hambalah Nabi yang terakhir lagi mulia dan kekasih Allah S.W.T. maka dapatlah Tuan Hamba mengenali hamba. Ya Nabi Allah, tujuan kedatangan hamba ke mari ialah dengan keizinan Tuhan Azza Wajalla. Allah SWT telah mengutuskan malaikatNya dengan Titah supaya hamba datang mengadap ke hadhirat Tuan Hamba. Ini supaya Tuan Hamba dapat bertanyakan apa juga persoalan mengenai keadaan umat Tuan Hamba. Hamba sedia menkhabarkan secara terus-terang mengenai tipu daya hamba di atas sekelian manusia bermula daripada zaman Nabi Allah Adam A.S. sehinggalah kepada zaman yang akan datang selepas zaman Tuan Hamba. Mereka yang hamba goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang sesat supaya mereka binasa dengan tipu daya hamba yang amat halus. Ya Nabi Allah, setiap pertanyaan Tuan Hamba akan hamba jawab satu persatu dengan sebenar-benarnya tanpa sembunyi."

Maka raja iblis pun bersumpah dengan nama Tuhan dan berkata : "Ya Nabi Allah, sekiranya hamba berdusta barang sepatah kata sekalipun, nescaya hancur leburlah diri hamba terbakar menjadi abu." 

Mendengarkan pengakuan Raja iblis dan sumpahnya, maka Rasulullah S.A.W. berasa sukacita dan merasakan inilah peluang keemasan untuk baginda menyiasat segala perbuatan raja iblis dengan disaksikan oleh sekelian sahabat yang hadir di majlis berkenaan. Ianya juga akan menjadi senjata atau perisai kepada sekelian umat hingga kemudian hari.

Nantikan "Iblis Buka Rahsianya Pada Rasullullah SAW (Siri 2)"

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE