Home » , , , , , » Abu Talhah sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah SWT

Abu Talhah sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah SWT

Abu Talhah sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah SWT 


Saidina Zaid bin Sahl al-Ansari atau lebih dikenali sebagai Abu Talhah al-Ansari seorang yang kuat berpuasa. Selepas memeluk Islam, beliau sentiasa memberi perhatian kepada agama Allah SWT, serta meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Beliau juga tergolong dalam 70 orang yang berjanji taat setia kepada Rasulullah SAW dalam perjanjian 'Aqabah. 

Selepas termeterai perjanjian itu, beliau termasuk dalam kalangan 12 orang naqib dilantik oleh Rasulullah SAW untuk membimbing dan memimpin kaumnya, Bani Najjar. Abu Talhah menyertai seluruh peperangan pada zaman Rasulullah SAW dan pengorbanan terbesar beliau adalah ketika mempertahankan Baginda SAW pada serangan kedua dalam Perang Uhud. 

Ketika serangan itu, tentera Muslimin berada dalam keadaan berkecamuk dan jauh daripada Rasulullah SAW sehingga Musyrikin berjaya menyerang menyebabkan gigi Baginda patah serta luka di dahi dan bibirnya. Pada saat itu, ada dalam kalangan Musyrikin menjerit dan melaungkan: "Muhammad telah mati." Maka kegusaran dan kebimbangan menguasai hati golongan Muslimin. Jadi benteng manusia pertahankan Rasulullah Abu Talhah tetap setia berada bersama Rasulullah SAW dan sekumpulan kecil sahabat yang sanggup menjadi benteng manusia mempertahankan Baginda. 

Abu Talhah berdiri tegap di hadapan Baginda bagaikan bukit yang tidak goyah sambil memanah angkatan musuh. Satu demi satu anak panah mengenai musuh. Baginda SAW sesekali menjengah untuk melihat Abu Talhah. Melihatkan Baginda SAW, Abu Talhah berkata: "Ya Rasulullah, tunduklah. Aku tebus kamu demi ibu dan ayahku. Aku tidak mahu kamu cedera walaupun sedikit Ya Rasulullah. Biarlah kematianku mendahului kematianmu dan biarlah dadaku lebih dulu merasai tikaman musuh daripada dadamu. Aku berjanji sebagaimana yang aku sering katakan, aku adalah tebusan untukmu Ya Rasulullah." 

Panahan demi panahan diluncurkan oleh Abu Talhah mengenai tentera musuh. Saat anak panahnya kehabisan, lalu digantikan dengan yang baharu daripada angkatan Muslimin lain. Dikatakan, dalam peperangan Uhud, tiga batang busur panah miliknya patah. Selain kesungguhan mempertahankan Rasulullah SAW dan kecintaan untuk berjihad di jalan Allah SWT, Abu Talhah juga bersungguh-sungguh meraih syurga Allah SWT melalui harta yang dimilikinya. 

Beliau mempunyai kebun kurma yang segar dan baik yang paling besar di Kota Madinah sehingga dikatakan sebaik-sebaik tanaman adalah tanaman di kebun Abu Talhah. Di kebun itu mempunyai perigi yang sangat baik airnya. Rasulullah SAW kerap berehat di kebun itu. Dikisahkan, satu hari ketika sedang menunaikan solat sunat di kebunnya, Abu Talhah terlihat seekor burung berterbangan dari dahan ke dahan pohon kurma. Keasyikan melihat burung yang cantik itu menyebabkan beliau terlupa rakaat solatnya. Hadiah hasil kebun ke jalan Allah SWT Disebabkan tidak mahu terganggu khusyuk beribadah kepada Allah SWT, beliau sanggup menghadiahkan kebun itu di jalan Allah SWT. Sesudah solat, Abu Talhah terus bertemu Rasulullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, kebunku ini aku hadiahkan fi sabilillah." 

Sepanjang hidupnya, Abu Talhah sentiasa berpuasa dan berjihad di jalan Allah SWT. Dikatakan, beliau tidak pernah berbuka puasa dan makan pada siang hari kecuali pada hari raya dan hari yang diharamkan berpuasa. Sekalipun keluar berperang, beliau tidak pernah berbuka puasa. Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman ibn Affan, Abu Talhah mengambil kelengkapannya untuk keluar berperang. Saat itu, anak-anaknya berkata kepada beliau: "Semoga Allah merahmati kamu wahai ayah kami. Sesungguhnya engkau sudah tua dan engkau berperang bersama Rasulullah SAW serta bersama pasukan sahabat yang lain. Kenapakah tidak ayah rehat sahaja sekarang? Biarlah kami berperang bagi pihak ayah." 

Lantas Abu Talhah menjawab dengan membacakan ayat Allah SWT bermaksud: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang di jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Surah al-Taubah, ayat 41) 

Abu Talhah berkata kepada anaknya: "Aku ingin melaksanakan kedua-dua daripada perintah Allah. Saat aku kuat mahupun aku lemah." Begitulah kuatnya semangat juang sahabat demi mempertahankan Islam dan menegakkan agama Allah SWT. Semoga semangat juang sahabat dapat menjadi contoh terbaik buat kita dalam menegakkan syiar Islam.

Kredit/Sumber: BeritaHarian

Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE