Enam (6) Telaga Bersejarah Di Madinah

telaga Madinah

Telaga Bersejarah Di Madinah

Di Madinah juga terdapat beberapa telaga bersejarah yang ada kaitannya dengan Rasullulah saw dan sahabat-sahabat saw. Ada yang masih wujud lagi dan ada yang telah tertimbus kerana pembangunan. Marilah kita sama-sama teliti dan mengenal 6 telaga-telaga yang bersejarah di Madinah ini. 

1- Telaga As-Suqya

Telaga ini terletak di tanah kepunyaan Saad bin Abi Waqqas as mempunyai air yang jerniah sehingga menjadi minuman Rasullulah saw. Telaga ini asalnya di punyai oleh Malik bin Anas, bapa kepada Anas bin Malik. Tempat ini asalnya dikenali sebagai Falahan. 

Telaga ini telah terhapus. Diatasnya dijadikan jalanraya menuju ke Mekah. Lokasinya sekarang ialah kawasan yang berdekatan dengan Stesen Keretapi Anbariyah. 

2- Telaga Budha'ah

Nama Budha'ah telah disebutkan di dalam beberapa hadis sahih. Ibnu Syabbah meriwayatkan Sahal bin Saad berkata bahawa dia mengambil air dari telaga ini dengan tangannya untuk Rasullulah saw minum. 

Dia juga memberitahu dengan air telaga inilah Rasullulah saw telah mengeluarkan hukum bahawa air adalah sentiasa suci selagi ia tidak berubah disebabkan benda-benda asing. 

Rasullulah saw telah berwuduk di telaga ini dan Rasullulah saw juga telah berludah ke dalamnya. Telaga ini terletak di bahagian belakang Masjid Nabawi di kawasan yang terkenal sebagai Bab Asy-Syami. Kini telaga ini telah terhapus akibat pembangunan pesat Madinah. 

3- Telaga Ha.

Telaga ini adalah kepunyaan seorang Ansar Al-Khazraji. Rasullulah saw selalu meminum air dari telaga ini. Apabila turun ayat Al-Quran menggalakkan supaya orang-orang kaya memberikan nafkah atau sedekah harta mereka yang mereka sayang, beliau datang menghadap Rasullulah saw dan memberitahu bahawa telaga ini adalah di antara harta yang paling disayanginya dan ianya disedekahkan pada jalan Allah. Rasullulah saw menyarankan agar telaga tersebut diberikan kepada keluarganya yang terdekat. 

Kedudukannya terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi di sebelah utara kawasan Bab Al-Majidi, di sebelah timur Telaga Budha'ah. Ia juga telah terhapus dan kini termasuk dalam binaan masjid baru. 

4- Telaga Aris atau Khatam 

Aris ialah nama seorang Yahudi yang bererti 'peladang'. Mengikut sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Musa Al-Asy'ari as:"Pada suatu hari beliau berazam untuk mengikuti pergerakan baginda Rasullulah saw. Lantas beliau pergi mencari Baginda di Masjid Nabawitetapi tidak menjumpainya disitu. Beliau terus mencarinya sehingga beliau mendapati Rasullulah saw berada di dalam sebuah kebun sedang duduk di pinggir telaga dengan kakinya terjuntai ke dalam telaga itu. Beliau pun memberi salam kepada Baginda dan kembali semula ke pintu telaga itu sambil berazam untuk menjadi pengawal kepada Baginda untuk hari itu. 

Tiba-tiba pintu telaga ditolak dari luar dan Abu Musa mendapati Saidina Abu Bakar As-Siddiq berada di pintu. Abu Musa pergi memberitahu Rasullulah saw tentang kedatangan Abu Bakar itu. Rasullulah saw menyuruh Abu Musa membenarkannya masuk dan mengkhabarkan berita gembira bahawa dia (Abu Bakar As-Siddiq) adalah ahli syurga. Abu Musa pun mempersilakan Abu Bakar As-Siddiq masuk. 

Kemudian, Abu Musa terus menunggu di pintu itu sambil mengharapkan agar ada saudaranya yang datang. Tiba-tiba pintu diketuk lagi. Saidina Umar bin Al-Khattab pula muncul di muka pintu. Beliau pun pergi memberitahu Rasullulah saw dan Baginda memberi arahan seperti sebelumnya. Umar bin Al-Khattab pun masuk dan duduk di sebelah kanan Rasullulah saw dengan kaki mereka terjulur ke dalam telaga itu. 

Abu Musa pun kembali semula ke pintu dengan perasaan tertunggu siapakah lagi orang yang bertuah pada hari itu. Pintu telaga diketuk lagi dan kali ini Saidina Uthman bin Affan pula yang muncul. Abu Musa pergi meminta keizinan Rasullulah saw dan Uthman juga dibenarkan masuk. Rasullulah saw juga menjaminkan syurga untuknya (saidina Uthman) dengan sebab musibah dan fitnah yang bakal menimpa dirinya. Apabila saidina Uthman mendengarnya beliau pun mengucapkan ...... Kemudian apabila Uthman ra hendak duduk di telaga itu, tempat di sebelah Rasullulah saw telah penuh lalu beliau pun duduk berhadapan dengan mereka bertiga.

Mengikut riwayat Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasullulah saw mempunyai sebentuk cincin yang kemudiannya diwarisi oleh saidina Abu Bakar As-Siddiq kemudiannya diwarisi pula oleh Umar Al-Khattab dan akhirnya oleh Saidina Uthman bin Affan. Pada suatu hari, dalam tahun ke enam (6) zaman pemerintahannya, Uthman bin Affan sedang duduk di pinggir telaga itu. Dengan tiba-tiba cincin yang dipakainya tertanggal daripada jarinya dan terjatuh ke dalam telaga itu. Saidina Uthman mencarinya selama tiga (3) hari tiga malam tetapi hampa. Sejak hari itu, telaga ini dikenali sebagai telaga Khatam (cincin). 

Saidina Uthman bin Affan pula terus teringat kata-kata Rasullulah saw. Benarlah sabda Baginda kerana semenjak hari itu bermulalah huru-hara dan fitnah ke atas beliau sehingga berakhir dengan syahidnya beliau ditangan seorang pembunuh. 

Hari ini telaga ini telah tiada lagi. Tapaknya sudah menjadi jalan raya iaitu disebelah barat Masjid Quba'. 

5- Telaga Al-Ghars

Ibnu Majah meriwayatkan daripada saidina Ali bin Abi Thalib bahawa Rasullulah saw bersabda:"Apabila aku mati (wafat) mandikan aku dengan tujuh (7) timba air dari Telaga Al-Ghars. 

Saidina Ali ra juga menyatakan bahawa Rasullulah saw selalu minum air dari telaga ini. Telaga ini juga telah tiada tapaknya. Dahulunya ia terletak di timur Masjid Quba' dan dikelilingi oleh pohon-pohon tamar. 

6- Telaga Ar-Rumah

Telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dipunyai oleh seorang Yahudi yang menjual airnya kepada orang muslim. Sewaktu Rasullulah saw sampai di Madinah , tidak ada air yang sedap untuk diminum kecuali dari telaga ini. Memandangkan keadaan ini Rasullulah saw pun bersabda:"Sesiapa yang membeli telaga Ar-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang miskin, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga".

Menurut riwayat Ibnu Bar,saidina Uthman bin Affan telah menawarkan untuk membeli telaga itu, tetapi sebaliknya bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk ambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui. 

Maka pada hari giliran Saidina Uthman bin Affan semua orang islam datang mengambil air percuma itu untuk bekalan selama dua (2) hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada esoknya. Melihat keadaan ini Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Saidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya. 

Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid Al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar As-Siddiq. Kini ia diletakkan dsi bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. 

Sumber : 
Rujukan Buku Madinah Kelebihan dan Sejarah 
Ustad Abdul Basit 
Halaman 106-111

Kredit/Sumber: mselim3.blogspot.my

Dosa yang tidak diampun Allah SWT walaupun dengan Taubat

Dosa yang tidak diampun Allah SWT walaupun dengan Taubat


Berikut merupakan 6 jenis dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT walaupun dengan taubat. Wallahualam..

1- Makan harta anak yatim secara haram.

Untuk menghapuskan dosa tersebut pemakan harta anak yatim mesti membayar kembali harta yang telah digunakan serta memohon maaf kepada anak yatim tersebut . Jika anak yatim tersebut memaafkan perbuatannya, barulah boleh bertaubat kepada Allah SWT. Seandainya anak yatim tersebut tidak memaafkan perbuatannya maka dosanya tidak terhapus.

2- Menuduh wanita solehah berzina.

Orang yang menuduh wanita solehah hendaklah memohon maaf kepada wanita tersebut, jika wanita solehah tersebut memaafkan, maka terhapuslah dosa tersebut dan bolehlah penuduh bertaubat kepada Allah SWT. sekiranya wanita solehah tidak memaafkannya maka dosa tidak terhapus dan tidak boleh bertaubat kepada Allah SWT .

3- Lari dari medan Jihad yang memperjuangkan kalimah Allah SWT.

Mereka yang lari dari medan jihad adalah mereka yang dayus dan tidak layak memasuki Syurga, cuba kaji dalam sejarah Islam hukuman mereka yang lari dari medan Jihad sehingga Rasulullah SAW terpaksa menunggu Arahan Allah SWT untuk memaafkan kesalahan tersebut.

4- Melakukan sihir.

Mereka belajar sihir dan pengamal sihir adalah mereka yang Syirik kepada Allah SWT, memang tidak layak bertaubat kepada Allah SWT melainkan mengucap kembali kalimah Syahadah dan mesti menyerah kepada kerajaan Islam untuk melaksanakan hukuman yang sewajarnya.

5- Bersyirik kepada Allah SWT atau menyamakan kedudukan Allah SWT dengan makhluk.

Dosa syirik atau menyamakan Allah SWT dengan makhluk samada melalui niat,percakapan dan perbuatan yang disedari atau tidak disedari maka dosa ini tidak boleh bertaubat kecuali dengan mengucap kembali kedua Kalimah Syahadah dan pemerintah Islam mesti melaksanakan hukuman hudud barulah Allah SWT rela menerima kembali amal ibadat seseorang hamba yang telah menduakan Allah SWT atau menyamakan Allah SWT atau menyekutukan Allah SWT.

6- Membunuh Para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT.

Mereka yang membunuh Para Nabi hendaklah dihukum bunuh dan terserah kepada Allah SWT untuk mengazab mereka. Rasulullah SAW pernah mengutuskan utusan untuk membuuh mereka yang menghina atau mengejek Allah SWT dan Rasulullah SAW semasa penubuhan Negara Islam Madinah.

Kitab Tanbihul Ghafilin , Jilid 1 & 2. M/S : 532.

Kredit/Sumber: peribadirasulullah.wordpress.com

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman Wanita Syurga

Gambar Hiasan

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman bercerita,”Pada suatu malam Rasulullah s.a.w bangun dari tidurnya dan membuang air kecil di dalam sebuah bekas. Pada malam itu juga aku bangun kerana rasa haus yang amat sangat.Lantas aku mengambil bekas yang berisi air itu dan meminumnya tanpa mengetahui apa yang terdapat di dalamnya. Keesokan paginya baginda bertanya kepadaku,”Wahai Ummu Aiman, adakah engkau telah buang apa yang terdapat di dalam bekas itu?”. Aku menjawab,”Wahai Rasulullah, demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku telah meminum air itu”. Ketawalah Rasulullah s.a.w sehingga kelihatan gigi gerahamnya lalu berkata,”Sesungguhnya ia membuatkanmu tidak akan merasa lapar selamanya”. Begitulah antara kisah baginda Rasulullah s.a.w bersama pemeliharanya, Ummu Aiman.



Beliau ialah Barkah bintu Tsa’labah, namun lebih dikenali dengan nama gelarannya Ummu Aiman iaitu bermaksud Ibu Aiman. Aiman adalah anak hasil perkahwinannya dengan ‘Ubayd bin al-Harith al-Khazrajiy. Aiman turut berperanan melakar sejarah hidupnya tersendiri bersama baginda Rsulullah s.a.w, turut berhijrah, berperang sehinggalah ia syahid pada Perang Hunain.

Pada asalnya, Ummu Aiman adalah hamba milik Abdullah bin Abdul Muttalib, bapa Rasulullah s.a.w. Apabila Abdullah wafat dan Aminah melahirkan nabi Muhammad s.a.w, beliaulah yang banyak berperanan mencarikan ibu susuan dan memelihara baginda dengan penuh kasih sayang setelah tempoh penyusuan dan kehidupannya bersama Halimatuussa’diah tamat.

Sebagai penghormatan dan pengiktirafan baginda Rasulullah s.a.w terhadap segala jasa, didikan dan keikhlasan Ummu Aiman terhadap baginda, Ummu Aiman dimerdekakan ketika baginda mengahwini Khadijah. Dikhabarkan bahawa Ummu Aiman menerima Islam sejak di peringkat awal dakwah lagi. Beliau sangat elok keislamannya dan ini dibuktikan dengan kemuliaan yang Allah berikan padanya iaitu berhijrah pada kedua-dua hijrah ke Habsyah dan Madinah.

Suatu ketika dalam salah satu perjalanan hijrahnya, Ummu Aiman menempuhnya dengan berpuasa. Tiba saat berbuka, tak ada bekal air yang dapat digunakan untuk melepaskan dahaganya yang sangat. Tiba-tiba didapatinya setimba air terhulur dari langit dengan tali timba yang berwarna putih. Ummu Aiman pun meminumnya. Ummu Aiman menuturkan, “Semenjak itu, aku berpuasa di siang yang panas dan berjalan di bawah terik matahari agar aku merasa haus, namun aku tidak pernah merasakan dahaga.” Itulah kelebihan beliau yang diberikan oleh ALlah kepadanya.

Hijrahnya ke Madinah ditempuhnya selang beberapa waktu setelah Rasulullah s.a.w hijrah ke Madinah. Ketika itu Rasulullah s.a.w mengutus Zaid bin Haritsah dan Abu Rafi’ radhiallahu ‘anhuma dengan berbekalkan dua ekor unta dan 500 dirham untuk membawa dua puteri beliau, Fatimah dan Ummu Kaltsum r.a, serta Saudah bintu Zam’ah r.a. Pada saat itu pulalah Ummu Aiman bersama puteranya Usamah bin Zaid bertolak menuju Madinah bersama rombongan ini.

“Inilah ahliku yang kekal”, itulah kata-kata baginda Rasulullah s.a.w yang menjanjikan Ummu Aiman dengan ganjaran syurga. Baginda turut menyebarkan khabar tersebut kepada para sahabatnya dengan mengatakan, “Siapa yang berasa senang untuk menikahi seorang wanita ahli syurga, maka nikahilah Ummu Aiman”. Seruan itu disambut oleh Zaid b. Harithah anak angkat Rasulullah s.a.w yang mengahwini Ummu Aiman dan perkahwinan mereka dianugerahi seorang anak lelaki bernama Usamah bin Zaid seorang pahlawan terbilang. 

Ummu Aiman terus mengiringi kehidupan Rasulullah s.a.w hingga wafatnya baginda. Setelah kewafatan baginda, Abu Bakr r.a berkata kepada ‘Umar bin Al-Khaththab r.a, “Mari kita mengunjungi Ummu Aiman sebagaimana dulu Rasulullahs.a.w biasa mengunjunginya.” Keduanya pun beranjak menemui Ummu Aiman. Ketika keduanya tiba, Ummu Aiman dalam keadaan menangis, hingga mereka pun bertanya, “Apa yang membuatmu menangis? Apa yang di sisi Allah lebih baik bagi RasulNya.” Beliau menjawab,”Aku menangis bukan kerana tidak mengetahui apa yang di sisi Allah itu lebih baik bagi RasulNya, tetapi aku menangis kerana wahyu dari langit telah terputus.” Mendengar penuturan Ummu Aiman, berlinanglah air mata Abu Bakr dan Umar radhiallahu ‘anhuma hingga keduanya pun turut menangis bersama Ummu Aiman.

Beliau pergi menemui Ilahi pada zaman Khilafah Uthman bin Affan, 20 hari selepas pembunuhan Uthman. Allah merahmati beliau. Betapa besarnya jasa beliau sehingga baginda Rasulullah s.a.w menggambarkan beliau dengan kata-katanya, “Ummu Aiman, ibuku selepas ibuku”.

Kredit/Sumber: Mahmud Ta’mah Halbi(2000), Nisa’ Haul al-Rasul, Beirut; Darul Makrifah.

Kanak-kanak belum Baligh Penghuni Syurga

Kanak-kanak yang belum Baligh Penghuni Syurga
Gambar Hiasan

Kanak-kanak yang belum Baligh Penghuni Syurga

Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : " Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya : " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab : Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang." (HR. Abu Daud)

Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya.

Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahukannya: "Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu?Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. "Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan. 

Dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah. Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memegang air tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: "Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?" Menjawab malaikat: Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka." 

Mendengar ungkapan itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis dengan ratapan yang menyayat hati: "Wahai ibuku, wahai ayahku, apakah kesalahanmu, apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka? Begitulah ratapan mereka. Berkata Malaikat: "Wahai wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." Maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berada dalam neraka itu. Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya.

Wallahualam.

kredit: Delima Madu fb

Cara Dajjal Mencari Imam Mahdi


Cara Dajjal Mencari Imam Mahdi

Kali ini kita lihat kepada satu kaedah lain yang mungkin digunakan Dajjal (melalui agen-agennya) untuk mencari dan menghapuskan Imam Mahdi.
* Kaedah pencarian ini sekadar teori untuk mengesan cara Dajjal mencari Imam Mahdi.
Cara tersebut ialah penggunaan Face Recognition Technology (Teknologi Pengenalan Wajah).
Dajjal menggunakan teknologi yang telah dikembangkan ini untuk mencari Imam Mahdi. Teknologi ini mula-mulanya digunakan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat tetapi ianya dikembangkan menjadi sesuatu yang komersial.
Melalui beberapa ciri pada wajah kita, sistem ini boleh mengesahkan siapakah orang itu. Sistem akan mengimbas wajah dan menyimpannya di dalam database. Kemudian database akan melakukan kerja konfugurasi penyesuaian dengan data-data sedia ada. Dalam beberapa saat sahaja komputer akan memaparkan identiti lengkap orang tersebut.
Kegunaan FRT Dalam Pencarian Imam Mahdi
Bagaimana mahu mencari Imam Mahdi jika namanya bukan Imam Mahdi? Ini bukanlah suatu yang sukar. Untuk mencari Imam Mahdi menggunakan teknologi FRT, Dajjal memerlukan 2 sumber utama iaitu manusia dan jin.
Manusia dan Jin
Kedua-dua makhluk ini mempunyai peranan masing-masing untuk membantu Dajjal mencari Imam Mahdi. Pencarian Imam Mahdi mungkin sudah bermula sejak seribu tahun dahulu. Namun mungkin cuma cara pencariannya sahaja yang berbeza dan mengikut perkembangan semasa masyarakat.
“Aku berlindung pada Pemelihara manusia, Raja manusia, Tuhan manusia, Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap, Yang membisikkan di dalam dada manusia, Daripada jin dan manusia.” 
(An-Nas, 1-6)


#2 : Peranan Manusia
Agen-agen Dajjal akan bertindak mengumpul semua wajah-wajah manusia di seluruh dunia ke dalam suatu database yang besar. Cara mengambil identiti orang ramai termasuk negara-negara Islam adalah mudah.
Ianya boleh dilakukan dengan agen-agen ini menjual perisian FRT kepada kerajaan negara-negara dunia. Agensi yang bakal membeli perisian-perisian ini sudah pasti Jabatan-jabatan pendaftaran yang mengeluarkan kad pengenalan.
Perisian-perisian ini akan diformat oleh pembekal-pembekal agar semua database rakyat boleh diambil tanpa perlu meminta. Kepakaran teknologi sudah pastilah mudah kerana perisian ini akan dipasang dalam Operating System buatan Illuminati sendiri iaituWindows.
Bayangkan seorang pencuri laptop dapat mengesan dan mecuri laptop yang telah dimatikan yang disimpan di dalam kereta. Pencuri hanya perlu menggunakan alat frekuensi.
(Tidak lama dulu, rancangan jenayah 999 di TV3 ada menghuraikan tentang jenayah mencuri laptop dan handphone dengan alat frekuaensi)
Sekiranya perisian FRT dibangunkan oleh orang Islam sendiri pun, Dajjal melalui agen-agen Illuminatinya mampu memecahkan database perisian. Mengapa?
Kita harus ingat, sejauh mana canggih pun perisian itu, ia harus dibina menggunakan bahasa pengaturcaraan komputer (programming language). Bahasa-bahasa ini dibina oleh jurutera-jurutera Yahudi yang genius.
Kita mungkin hanya didedahkan dengan sejarah pembinaan bahasa seperti Fortran, Borland C, C++, Cobol, BASIC dan sebagainya tetapi tidak untuk belajar cara membinanya.
#1: Peranan Jin
Muhammad Isa Dawud memberitahu Dajjal akan dibantu oleh Jin dan Syaitan dalam setiap operasi jahatnya. Maka peranan jin dan syaitan di sini pada pandangan saya ialah memberikan gambaran fizikal maklumat wajah keturunan Imam Mahdi.
 
Kemampuan Jin dan Syaitan dalam menampakkan diri kepada bentuk nyata dan berjisim adalah sesuatu yang sahih.
Dalam tafsir al-Qurthubi ada menyebut :
“Diriwayatkan bahawa, syaitan pada hari itu menampakkan diri kepada mereka dalam bentuk Suraqah bin Malik bin Ju’syam. Dia berasal dari Bani Bakr bin Kinanah. Orang-orang Quraisy sangat takut kepada Bani Bakr…”

Rasululllah SAW menegaskan Imam Mahdi adalah dari keturunannya sebelah Saidatina Fatimah. Ini bermakna semua anak-anak dari keturunannya salah seorang bakal menjadi Imam Mahdi.

Cuma keturunannya sekarang berselerak dan tidak dapat dikenalpasti secara sahih.
Satu-satunya makhluk yang boleh mengecam wajah-wajah keturunan Fatimah ialah Jin dan Syaitan. Mereka hidup lama beribu-ribu tahun. Jadi peranan mereka di sini ialah menukar jisim mereka menyerupai sebarang wajah-wajah anak-anak cucu Fatimah yang boleh dikenalpasti.
Penukaran Kepada Bentuk Ramalan Imam Mahdi
Melalui penukaran ke bentuk jisim fizikal ini, maka titik-titik wajah diambil dan disimpan ke dalam database. Semua wajah-wajah keturunan fatimah disimpan dengan tujuan menjadikan maklumat berikut sebagai sumber utama identiti.
Secara logiknya, wajah Imam Mahdi sudah pastilah mempunyai iras-iras dan ciri-ciri datuk neneknya. Maka fungsi database sumber utama ialah melakukan proses penyesuaian dengan database wajah-wajah manusia seluruh dunia.
Komputer sebagai pemutus pencarian akan memutuskan wajah manakah yang dikira 90% hampir sama dengan database sumber utama. Maka wajah-wajah tersebut atau individu yang dikira sama akan dihapuskan pada peringkat seterusnya.
Rasulullah SAW telah pun memberikan gambaran yang jelas tentang Imam Mahdi mengenai rupanya, fizikalnya dan keturunannya. Adakah mungkin Dajjal hanya duduk sahaja berdiam diri dengan maklumat sebegini?
Kesimpulan
Peranan sesuatu teknologi dalam strategi Dajjal biasanya dikaburkan dengan langkah mengkomersialkan teknologi tersebut. Orang ramai mungkin akan mempertikai kembali teori ini kerana FRT telah pun dikembangkan dengan banyakkan oleh syarikat-syarikat kecil dan besar. Maka dari situ orang ramai tidak nampak ada kerahsian sulit tentang objektif penggunaannya.
Kekaburan ini biasanya dibina di atas alasan “Keselamatan dari Pengganas”.
Wallahu’alam…
Credit: linncomel

Cintai Rasullullah SAW

NABI MUHAMMAD SAW

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Nama: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim. 
Tarikh lahir: Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah)

Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah. 
Nama bapa: Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim. 
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf. 
Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW). 
Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab). 
Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. · Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

  • Khadijah Binti Khuwailid.
  • Saudah Binti Zam'ah.
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
  • Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
  • Zainab Binti Jahsy.
  • Maimunah Binti Harith.
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

  • Qasim
  • Abdullah
  • Ibrahim
  • Zainab
  • Ruqaiyah
  • Ummi Kalthum
  • Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW:

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN

  • Thuwaibah
  • Hamzah
  • Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN

  • Halimah Al-Saidiyyah
  • Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  • Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
  • Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
  • ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

  • Al-Harith
  • Muqawwam
  • Zubair
  • Hamzah ***
  • Al-Abbas ***
  • Abu Talib
  • Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
  • Abdul Ka ' bah
  • Hijl
  • Dhirar
  • Umaimah
  • Al-Bidha (Ummu Hakim)
  • Atiqah ##
  • Arwa ##
  • Umaimah
  • Barrah
  • Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Nabi Muhammad SAW - Manusia Agung

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
  1. Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah SAW
  2. Aku melihat cahaya dari lidahnya.
  3. Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
  4. Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
  5. Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
  6. Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
  7. Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
  8. Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
  9. Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
  10. Wajahnya seperti bulan purnama.
  11. Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
  12. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
  13. Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
  14. Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
  15. Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
  16. Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
  17. Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
  18. Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
  19. Janggutnya penuh dan tebal menawan.
  20. Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
  21. Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
  22. Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
  23. Rambutnya sedikit ikal.
  24. Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
  25. Rambutnya terbelah di tengah.
  26. Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
  27. Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
  28. Seimbang antara kedua bahunya.
  29. Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
  30. Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
  31. Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
  32. Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
  33. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
  34. Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
  35. Warna putihnya lebih banyak.
  36. Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
  37. Warna kulitnya putih tapi sihat.

Translate

CLOSE