Perkuburan Baqi: Sejarah dan Kepentingannya dalam Islam

Perkuburan Baqi


Perkuburan Baqi: Sejarah dan Kepentingannya dalam Islam

Perkuburan Baqi atau Jannat al-Baqi adalah salah satu tempat yang paling suci dalam Islam. Terletak di sebelah timur Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi, ia menjadi tempat peristirahatan terakhir bagi ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, dan para Muslimin terdahulu. Berikut adalah penjelasan terperinci tentang sejarah, tokoh-tokoh yang dikebumikan di Baqi, serta kepentingannya bagi umat Islam.


Sejarah Perkuburan Baqi

Baqi, yang secara harfiah bermaksud "taman" atau "padang yang penuh pohon", mula digunakan sebagai tempat perkuburan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Sebelum itu, kawasan ini dipenuhi dengan pohon tamar. Menurut catatan sejarah, jenazah yang pertama kali dikebumikan di Baqi ialah seorang sahabat bernama As'ad bin Zurarah (RA), seorang Ansar yang wafat tidak lama selepas hijrah Nabi ke Madinah.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memilih Baqi sebagai tempat peristirahatan terakhir anak lelakinya, Ibrahim, yang meninggal dunia sewaktu kecil. Sejak itu, Baqi menjadi lokasi utama pengebumian umat Islam di Madinah.


Tokoh-Tokoh yang Dimakamkan di Baqi

Jannat al-Baqi menjadi tempat istimewa kerana ramai tokoh penting dalam sejarah Islam dikebumikan di sini, termasuk:

  1. Isteri-Isteri Nabi Muhammad SAW

    • Hampir kesemua isteri Nabi, kecuali Khadijah (RA) yang dikebumikan di Mekah, dimakamkan di Baqi. Antaranya termasuk Aisyah, Hafsah, dan Ummu Salamah (RA).
  2. Ahli Keluarga Nabi

    • Anak-anak Nabi, seperti Fatimah Az-Zahra (RA), Ruqayyah (RA), dan Zainab (RA), dipercayai dikebumikan di sini. Namun, lokasi pasti makam Fatimah Az-Zahra masih menjadi perdebatan.
  3. Para Sahabat

    • Ramai sahabat besar Nabi Muhammad SAW, termasuk Uthman bin Affan (RA), khalifah ketiga, dimakamkan di sini. Makam Uthman terletak di sudut tertentu di kawasan Baqi.
  4. Imam-Imam Syiah

    • Beberapa imam daripada keturunan Nabi, seperti Imam Hasan Al-Mujtaba (RA), Imam Zainul Abidin (RA), Imam Muhammad Al-Baqir (RA), dan Imam Jaafar As-Sadiq (RA), turut dimakamkan di Baqi.

Kepentingan Perkuburan Baqi

1. Hubungan dengan Zaman Nabi

Perkuburan Baqi mengingatkan umat Islam kepada zaman Nabi Muhammad SAW dan generasi awal umat Islam. Ia menjadi simbol perjuangan, pengorbanan, dan keimanan sahabat dan keluarga Nabi.

2. Sumber Ilham

Umat Islam yang mengunjungi Baqi sering merasa terinspirasi dengan kisah para tokoh yang dimakamkan di sini. Mereka adalah individu yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam dan menegakkan keadilan.

3. Pusat Ziarah

Bagi umat Islam yang menunaikan haji atau umrah, ziarah ke Baqi menjadi sebahagian daripada pengalaman rohani. Walaupun ziarah ini bukanlah rukun wajib, ia dianggap sebagai satu cara untuk mengenang para pendahulu dan mendoakan mereka.


Keadaan Perkuburan Baqi Hari Ini

Hari ini, perkuburan Baqi merupakan kawasan berpagar yang dijaga rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Semua makam di Baqi kini dalam bentuk tanah rata tanpa binaan atau penanda nama, sejajar dengan pandangan rasmi Arab Saudi tentang kesederhanaan dalam kematian. Ini berbeza dengan zaman dahulu di mana terdapat struktur dan penanda di atas makam tokoh tertentu.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga telah melaksanakan beberapa peraturan ketat bagi ziarah ke Baqi, termasuk melarang sebarang bentuk penghormatan berlebihan seperti mencium atau menyentuh tanah perkuburan.


Adab Ziarah ke Baqi

Bagi mereka yang berkesempatan menziarahi Baqi, terdapat beberapa adab yang disarankan:

  1. Memelihara Kesopanan

    • Menjaga adab berpakaian dan tingkah laku sepanjang berada di kawasan perkuburan.
  2. Berdoa

    • Mendoakan kesejahteraan roh mereka yang dimakamkan, terutama doa seperti:

      "Assalamu'alaikum, ya ahli kubur. Kami insyaAllah akan menyusul kalian. Kami memohon kepada Allah keselamatan untuk kami dan kalian."

  3. Menjauhi Perbuatan Khurafat

    • Elakkan daripada menganggap tempat ini sebagai keramat atau melakukan amalan yang tidak bersesuaian dengan ajaran Islam.

Kesimpulan

Jannat al-Baqi adalah tempat yang penuh sejarah dan makna bagi umat Islam. Ia bukan sahaja menjadi simbol penghormatan kepada mereka yang telah berjuang demi Islam tetapi juga mengingatkan kita tentang kematian dan kehidupan akhirat. Semoga kunjungan ke Baqi membantu memperkuatkan keimanan dan rasa syukur kita terhadap pengorbanan generasi awal umat Islam.

Wallahu a'lam.

Enam (6) Telaga Bersejarah Di Madinah

telaga Madinah

Telaga Bersejarah Di Madinah

Di Madinah juga terdapat beberapa telaga bersejarah yang ada kaitannya dengan Rasullulah saw dan sahabat-sahabat saw. Ada yang masih wujud lagi dan ada yang telah tertimbus kerana pembangunan. Marilah kita sama-sama teliti dan mengenal 6 telaga-telaga yang bersejarah di Madinah ini. 

1- Telaga As-Suqya

Telaga ini terletak di tanah kepunyaan Saad bin Abi Waqqas as mempunyai air yang jerniah sehingga menjadi minuman Rasullulah saw. Telaga ini asalnya di punyai oleh Malik bin Anas, bapa kepada Anas bin Malik. Tempat ini asalnya dikenali sebagai Falahan. 

Telaga ini telah terhapus. Diatasnya dijadikan jalanraya menuju ke Mekah. Lokasinya sekarang ialah kawasan yang berdekatan dengan Stesen Keretapi Anbariyah. 

2- Telaga Budha'ah

Nama Budha'ah telah disebutkan di dalam beberapa hadis sahih. Ibnu Syabbah meriwayatkan Sahal bin Saad berkata bahawa dia mengambil air dari telaga ini dengan tangannya untuk Rasullulah saw minum. 

Dia juga memberitahu dengan air telaga inilah Rasullulah saw telah mengeluarkan hukum bahawa air adalah sentiasa suci selagi ia tidak berubah disebabkan benda-benda asing. 

Rasullulah saw telah berwuduk di telaga ini dan Rasullulah saw juga telah berludah ke dalamnya. Telaga ini terletak di bahagian belakang Masjid Nabawi di kawasan yang terkenal sebagai Bab Asy-Syami. Kini telaga ini telah terhapus akibat pembangunan pesat Madinah. 

3- Telaga Ha.

Telaga ini adalah kepunyaan seorang Ansar Al-Khazraji. Rasullulah saw selalu meminum air dari telaga ini. Apabila turun ayat Al-Quran menggalakkan supaya orang-orang kaya memberikan nafkah atau sedekah harta mereka yang mereka sayang, beliau datang menghadap Rasullulah saw dan memberitahu bahawa telaga ini adalah di antara harta yang paling disayanginya dan ianya disedekahkan pada jalan Allah. Rasullulah saw menyarankan agar telaga tersebut diberikan kepada keluarganya yang terdekat. 

Kedudukannya terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi di sebelah utara kawasan Bab Al-Majidi, di sebelah timur Telaga Budha'ah. Ia juga telah terhapus dan kini termasuk dalam binaan masjid baru. 

4- Telaga Aris atau Khatam 

Aris ialah nama seorang Yahudi yang bererti 'peladang'. Mengikut sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Musa Al-Asy'ari as:"Pada suatu hari beliau berazam untuk mengikuti pergerakan baginda Rasullulah saw. Lantas beliau pergi mencari Baginda di Masjid Nabawitetapi tidak menjumpainya disitu. Beliau terus mencarinya sehingga beliau mendapati Rasullulah saw berada di dalam sebuah kebun sedang duduk di pinggir telaga dengan kakinya terjuntai ke dalam telaga itu. Beliau pun memberi salam kepada Baginda dan kembali semula ke pintu telaga itu sambil berazam untuk menjadi pengawal kepada Baginda untuk hari itu. 

Tiba-tiba pintu telaga ditolak dari luar dan Abu Musa mendapati Saidina Abu Bakar As-Siddiq berada di pintu. Abu Musa pergi memberitahu Rasullulah saw tentang kedatangan Abu Bakar itu. Rasullulah saw menyuruh Abu Musa membenarkannya masuk dan mengkhabarkan berita gembira bahawa dia (Abu Bakar As-Siddiq) adalah ahli syurga. Abu Musa pun mempersilakan Abu Bakar As-Siddiq masuk. 

Kemudian, Abu Musa terus menunggu di pintu itu sambil mengharapkan agar ada saudaranya yang datang. Tiba-tiba pintu diketuk lagi. Saidina Umar bin Al-Khattab pula muncul di muka pintu. Beliau pun pergi memberitahu Rasullulah saw dan Baginda memberi arahan seperti sebelumnya. Umar bin Al-Khattab pun masuk dan duduk di sebelah kanan Rasullulah saw dengan kaki mereka terjulur ke dalam telaga itu. 

Abu Musa pun kembali semula ke pintu dengan perasaan tertunggu siapakah lagi orang yang bertuah pada hari itu. Pintu telaga diketuk lagi dan kali ini Saidina Uthman bin Affan pula yang muncul. Abu Musa pergi meminta keizinan Rasullulah saw dan Uthman juga dibenarkan masuk. Rasullulah saw juga menjaminkan syurga untuknya (saidina Uthman) dengan sebab musibah dan fitnah yang bakal menimpa dirinya. Apabila saidina Uthman mendengarnya beliau pun mengucapkan ...... Kemudian apabila Uthman ra hendak duduk di telaga itu, tempat di sebelah Rasullulah saw telah penuh lalu beliau pun duduk berhadapan dengan mereka bertiga.

Mengikut riwayat Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasullulah saw mempunyai sebentuk cincin yang kemudiannya diwarisi oleh saidina Abu Bakar As-Siddiq kemudiannya diwarisi pula oleh Umar Al-Khattab dan akhirnya oleh Saidina Uthman bin Affan. Pada suatu hari, dalam tahun ke enam (6) zaman pemerintahannya, Uthman bin Affan sedang duduk di pinggir telaga itu. Dengan tiba-tiba cincin yang dipakainya tertanggal daripada jarinya dan terjatuh ke dalam telaga itu. Saidina Uthman mencarinya selama tiga (3) hari tiga malam tetapi hampa. Sejak hari itu, telaga ini dikenali sebagai telaga Khatam (cincin). 

Saidina Uthman bin Affan pula terus teringat kata-kata Rasullulah saw. Benarlah sabda Baginda kerana semenjak hari itu bermulalah huru-hara dan fitnah ke atas beliau sehingga berakhir dengan syahidnya beliau ditangan seorang pembunuh. 

Hari ini telaga ini telah tiada lagi. Tapaknya sudah menjadi jalan raya iaitu disebelah barat Masjid Quba'. 

5- Telaga Al-Ghars

Ibnu Majah meriwayatkan daripada saidina Ali bin Abi Thalib bahawa Rasullulah saw bersabda:"Apabila aku mati (wafat) mandikan aku dengan tujuh (7) timba air dari Telaga Al-Ghars. 

Saidina Ali ra juga menyatakan bahawa Rasullulah saw selalu minum air dari telaga ini. Telaga ini juga telah tiada tapaknya. Dahulunya ia terletak di timur Masjid Quba' dan dikelilingi oleh pohon-pohon tamar. 

6- Telaga Ar-Rumah

Telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dipunyai oleh seorang Yahudi yang menjual airnya kepada orang muslim. Sewaktu Rasullulah saw sampai di Madinah , tidak ada air yang sedap untuk diminum kecuali dari telaga ini. Memandangkan keadaan ini Rasullulah saw pun bersabda:"Sesiapa yang membeli telaga Ar-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang miskin, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga".

Menurut riwayat Ibnu Bar,saidina Uthman bin Affan telah menawarkan untuk membeli telaga itu, tetapi sebaliknya bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk ambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui. 

Maka pada hari giliran Saidina Uthman bin Affan semua orang islam datang mengambil air percuma itu untuk bekalan selama dua (2) hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada esoknya. Melihat keadaan ini Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Saidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya. 

Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid Al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar As-Siddiq. Kini ia diletakkan dsi bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. 

Sumber : 
Rujukan Buku Madinah Kelebihan dan Sejarah 
Ustad Abdul Basit 
Halaman 106-111

Kredit/Sumber: mselim3.blogspot.my

Translate

CLOSE