Home » , , , » Kisah Nabi Harun A.S

Kisah Nabi Harun A.S


Kisah Nabi Harun A.S

NAMA sebenar Nabi Harun ialah Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Baginda ialah adik-beradik seibu Nabi Musa yang diutuskan untuk membantu Musa memimpin Bani Israel ke jalan yang benar.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi.” Harun dilahirkan tiga tahun sebelum Musa. Baginda fasih berbicara dan mempunyai pendirian tetap sering mengikuti Musa dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun, Hamman dan Qarun. Nabi Musa sendiri mengakui saudaranya fasih berbicara dan berdebat, seperti diceritakan al-Quran: “Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan berdusta.” 

Sepanjang peninggalan Nabi Musa untuk bermunajat di Thur Sina, Harun juga diberikan amanah untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran, apa lagi menyekutukan Allah dengan benda lain. Musa berkata kepada Harun: “Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku dan perbaikilah, jangan kamu mengikuti jalan orang yang melakukan kerosakan.” Bagaimanapun, sepanjang kepergian Musa ke Thur Sina, berlaku ujian terhadap Bani Israel. Sebilangan mereka menyekutukan Allah dengan menyembah anak lembu yang diperbuat daripada emas oleh Samiri. Mereka menyembah patung lembu itu yang terpedaya dengan tipu daya Samiri yang menjadikannya sehingga boleh berbicara. Harun sudah mengingatkan mereka itu adalah dosa besar, namun segala nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan.

Selepas bermunajat selama 40 hari, Musa kembali kepada kaumnya dan sungguh terkejut dengan perbuatan menyembah patung sapi itu. Musa bukan saja marah kepada kaumnya, malah Harun sendiri turut ditarik kepala dan janggutnya. Musa bertanya kepada Harun: “Wahai Harun, apa yang menghalang engkau daripada mencegah mereka ketika engkau melihat mereka sesat? Apakah engkau tidak mengikut aku atau engkau menderhakai perintahku?”. 

Harun berkata: “Wahai anak ibuku, janganlah engkau tarik janggutku dan janganlah engkau tarik kepalaku, sesungguhnya aku takut engkau akan berkata, ‘engkau adakan perpecahan dalam Bani Israel dan engkau tidak pelihara perkataanku’.” Kemudian Musa mendapatkan Samiri, lalu berkata: “Pergilah kamu dari sini bersama pengikutmu. Patung sapi itu yang menjadi tuhanmu akan aku bakar, kemudian aku akan hanyutkan ke dalam laut. Kamu dan pengikutmu pasti mendapat seksa.” Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Baginda wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israel memasuki Palestin. Mengenai Bani Israel, mereka memang puak pembangkang, banyak bicara dan sukar dipimpin, namun dengan kesabaran Musa dan Harun, mereka dapat dipimpin supaya mengikuti syariat Allah, seperti terkandung dalam Taurat ketika itu.


Umat Nabi Musa sangat keras kepala. Kekufuran mereka sudah menjadi darah daging dan mempengaruhi jiwa mereka. Sekiranya mereka diseru menyembah Allah mereka menentang dengan berkata: “Wahai Musa, perlihatkanlah kepada kami Tuhan itu, nanti kalau kami melihat sudah tentu kami beriman kepada-Nya.” Allah berfirman yang bermaksud: “Ingatlah wahai Bani Israel, ketika kami berkata: ‘Wahai Musa! Kami takkan percaya kepada engkau sebelum kami melihat Allah itu jelas terang (dengan mata kami). Maka halilintarlah yang datang menyambar kamu melihatnya hingga mati semua.” (Surah al-Baqarah ayat 55-56). 

Selepas Harun dan Musa wafat, Bani Israel dipimpin Yusya’ bin Nun. Namun, selepas Yusya’ wafat, lama-kelamaan sebahagian besar mereka meninggalkan syariat yang terkandung dalam Taurat. Malah, ada kalangan mereka yang mengubah hukum di dalam kitab Taurat, sehingga menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat, akhirnya menyebabkan perpecahan Bani Israel.

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE