Home » » Keberanian Nabi Daud diakui

Keberanian Nabi Daud diakui

BANI Israel menerima seorang lagi nabi dan rasul di kalangan mereka, Daud bin Yisya, keturunan ke-12 Nabi Ibrahim.

Sejak kanak-kanak hingga remaja, Baginda tinggal bersama bapanya di Baitullaham, kota kelahiran Nabi Isa. Nabi Daud diberikan kitab Zabur yang mengandungi puisi dan lagu berkaitan penyucian dan pujian kepada Allah, kisah umat terdahulu dan berita kalangan nabi akan datang termasuk mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Mengenai perkara itu, Allah berfirman dalam surah al-Isra yang bermaksud: "Dan Tuhanmu mengetahui siapa yang ada di langit dan bumi. Sesungguhnya Kami lebihkan sebahagian nabi itu atas sebahagian yang lain dan Kami berikan Zabur kepada Nabi Daud." Allah juga menundukkan gunung dan memerintahkannya bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud setiap pagi dan petang.

Burung turut bertasbih mengikuti Nabi Daud berulang kali, malah Baginda sendiri diberi kelebihan dapat mengerti maksud suara burung. Kekuatan Nabi Daud amat luar biasa kerana dapat melembutkan besi sehingga dapat membuat baju besi dengan tangan sendiri tanpa dimasukkan ke api. Baginda dikurniakan Allah suara merdu, sehingga orang sakit yang mendengarnya sembuh. Firman Allah dalam surah Saba yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman) wahai gunung-ganang dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud. "Dan Kami melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar dan ukurlah anyamannya dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan." Nabi Daud seorang yang berani. Keberaniannya terserlah apabila Baginda bersama Thalut dalam peperangan dengan bangsa Palestin di bawah pimpinan Jalut.

Ketika di medan perang kedengaran Jalut melaungkan amaran dengan suara yang bengis hingga semua pahlawan di kalangan Bani Israel berdiam diri kerana takut. Namun, Nabi Daud yang masih muda menyahut cabaran untuk berperang dengan Jalut. Disebabkan keberaniannya, Nabi Daud dapat mengalahkan Jalut dan sebagai ganjarannya, Baginda dikahwinkan dengan Mikyal, seorang puteri Thalut. Mulai saat itu Baginda disanjungi masyarakat Bani Israel. Pengaruhnya dalam masyarakat semakin menebal hingga Thalut berasa iri hati dan curiga lalu memerintahkan tentera membunuh Nabi Daud. Rancangan jahat itu diketahui Nabi Daud dan Baginda terpaksa bersembunyi jauh dari kota bagi menyelamatkan diri. Thalut dan tenteranya mengejar Nabi Daud sehingga hampir ke tempat persembunyiannya.

Nabi Daud menugaskan pengikutnya meninjau kemaraan mereka dan mendapati semua tentera termasuk Thalut sedang tidur. Ketika Thalut nyenyak tidur, Nabi Daud menggunting pakaiannya (Thalut) sebagai peringatan pertama supaya tidak bermusuh dengannya. Apabila Thalut bangun daripada tidur, dia mendapati Nabi Daud di hadapannya.

Nabi Daud berkata: "Lihatlah bajumu yang aku guntingkan sewaktu kamu tidur. Jika aku mahu, aku dengan mudah membunuhmu dan menceraikan kepalamu daripada tubuhmu. "Namun, aku masih mahu memberikan peluang supaya kamu bertaubat dan ingat kepada Tuhan serta membersihkan hati dan fikiranmu daripada sifat hasad dan buruk sangka yang kamu jadikan alasan untuk membunuh orang sesuka hati." Thalut dengan perasaan segan berkata: "Sungguh kamu lebih adil dan lebih baik hati daripada aku.

Kamu benar-benar menunjukkan jiwa yang besar dan tingkah laku baik. Aku perlu mengakui perkara itu." Peringatan itu dilupakan Thalut, malah kerana jiwanya dikuasai iblis membuatkan keinginannya untuk membunuh Nabi Daud tidak pernah padam. Dia terus mengatur langkah untuk membunuh Nabi Daud dengan apa cara sekali pun. Melihat nafsu Thalut yang tidak kunjung padam untuk membunuhnya, Nabi Daud terpaksa memikirkan helah seterusnya bagi menyelamatkan diri. Sewaktu Thalut dan pengikutnya tidur, baginda memberanikan diri mengambil anak panah dan kendi di sisi Thalut.

Kemudian, baginda mengumumkan keselamatan Thalut sendiri tidak terjamin kerana anak panah dan kendi di sisinya mudah diambil orang. Mendengar kata-kata itu, Thalut berfikir panjang, sehingga meninggalkan takhta kerajaan dan Nabi Daud diangkat sebagai ganti. Nabi Daud wafat pada usia 100 tahun di Baitulmaqdis. Pada masa pemerintahannya ada satu kaum Bani Israel di kawasan Ailat, tepi Laut Merah, hidup bertukang, berdagang dan menangkap ikan setiap hari kecuali Sabtu kerana dilarang agama. Sesetengah mereka yang tidak mempedulikan larangan itu tetap menangkap ikan pada Sabtu kerana hasilnya lumayan. Puas dinasihatkan Daud, akhirnya mereka dihancurkan dengan gempa bumi dahsyat.

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE