Kisah Nabi Yaakub A.S

Kisah Nabi Yaakub A.S


PADA satu hari, Nabi Yaakub pergi menemui bapanya iaitu Nabi Ishak yang ketika itu sudah sangat tua, sudah berkedut kulitnya dan bongkok.

Yaakub berkata kepada bapanya: "Ya, bapaku! Aku datang mengadu tentang kedengkian saudaraku sendiri dengan harapan agar dia dinasihati dan diajar oleh bapa. "Sejak aku dipelihara bapa selalu mendoakan agar aku mendapat berkat, menjadi keturunan bapa yang baik, menjadi raja yang turun-temurun dan hidup bahagia.

"Sejak itulah saudaraku berasa dengki denganku bahkan kadang-kadang aku dihina, diancam dengan pelbagai ancaman sehingga putuslah tali kasih dan persaudaraan antara kami berdua.

"Maka hilang sama sekali rasa kasih dan sayang. Lebih-lebih lagi, saya merasa tidak tahan dengan sikap sombongnya dengan dua orang isterinya yang cantik yang berasal dari Kanan itu, dengan anaknya yang ramai sedangkan saya tidak mempunyai isteri dan anak dan tiada pula harta. "Aku mengadu semua keluhanku ini kepada bapa, agar bapa dapat menetapkan hukum antara saya dan dia dengan hukum yang baik.

"Bapa selalu mendapat wahyu daripada Allah, sentiasa mempunyai pemandangan dan fikiran yang dalam." Mendengar pengaduan dan keluhan itu, Nabi Ishak lalu menjawab: "Aku sedih mendengar ceritamu itu wahai anakku, sedang aku sudah begini tua pula, lihatlah janggutku yang putih, kulitku yang berkedut, aku sudah sangat tua dan tidak kuat lagi dan tidak lama lagi aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini seluruhnya. "Alangkah sedihnya aku, kalau mati dalam kesedihan daripada ceritamu itu. Alangkah sedihnya aku, sekiranya aku mati dan kamu tidak berbaik dengan saudaramu itu. "Aku nasihatkan kepadamu agar engkau berangkat saja ke negeri Faddan Aram di Irak di mana engkau tinggal bapa saudara yang bernama Laban bin Batwail. "Kahwinlah dengan salah satu dari anak perempuannya, engkau akan mendapat kesenangan dan kebahagiaan. 

Kemudian kembalilah engkau ke negeri ini (Syam). "Aku doakan engkau dapat mengatasi ejekan saudara engkau dan mendapat keturunan yang lebih baik dari keturunan dan anak-anaknya. "Mudah mudahan Allah akan memelihara dan menjaga engkau dan rakyatmu." Nasihat bapanya itu masuk dalam hatinya dan dapat menenangkan jiwanya yang gelisah itu. Dia akan menuju ke negeri Faddan Aram iaitu negeri nenek moyangnya sendiri. Lalu dia mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya yang sudah sangat tua itu serta mendoakannya kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan memanjangkan umurnya dan memeliharanya daripada segala bencana. Yaakub mula menempuh Padang Sahara yang luas dan tandus dengan berjalan kaki, siang dan malam tanpa henti menuju ke tempat yang dimaksudkan bapanya itu. Setiap kali Baginda kepenatan, lapar dan ditimpa kesusahan, teringatlah Baginda cita-cita dan harapan yang diberi bapanya kepadanya sebelum berangkat sehingga hilanglah susah dan payahnya dan Baginda meneruskan perjalanan. Pada suatu hari, di satu tempat, di tengah-tengah padang pasir yang luas matahari menyinari bumi dengan sinar cahaya yang sangat panas sehingga pasir pasir itu menjadi api layaknya, angin yang mendinginkan badan sekarang berganti menjadi bertambah panasnya badan. Nabi Yaakub seakan akan tidak berkuasa lagi melangkahkan kakinya sedang di hadapannya terbentang padang pasir yang luas dan tandus. Di situlah Baginda merasakan amat susahnya berjalan, haus dan lapar yang tidak terhingga sehingga Baginda terhenti dari melangkah.

Apakah Baginda sanggup meneruskan perjalanan yang memenatkan itu atau Baginda terpaksa pulang kembali? Ketika termenung Baginda melihat batu besar yang mempunyai sedikit bayang lindungan cahaya matahari yang sedang terik. Baginda menghampiri batu besar itu lalu duduk berhenti di bawah naungan itu untuk melepaskan lelah, mendinginkan kakinya yang sudah panas dan letih itu, lantas Baginda tertidur. Dalam tidur seketika itulah datang kepadanya mimpi yang benar, wahyu yang pertama daripada Allah yang mengangkat baginda sebagai Nabi.

Dalam mimpi itu, Allah ilhamkan ke dalam hatinya bahawa Baginda akan menemui hidup bahagia, akan mendapat kerajaan yang besar, keturunan yang baik, mendapat Kitab daripada Allah sebagai Nabi dan Rasul Allah. Setelah terjaga daripada tidurnya itu, Baginda kembali bertenaga. Di hadapannya padang harapan yang luas seluas-luasnya. Baginda melangkah kaki menuju tempat yang dicita-citakannya. Beberapa hari kemudian, sampailah Baginda di tempat bernama Sawadimah iaitu dusun pertama termasuk negeri yang didiami oleh bapa saudaranya, Syeikh Laban. Sudah ternyata benar bahawa memang itulah tempat yang dituju. Hatinya menjadi bertambah senang, hilang rasa penat selama ini. Baginda mula nampak padang rumput tempat pemeliharaan kambing, pohon kayu yang rendang di mana burung bersarang, bahkan mula terdengar nyanyian anak pengembala. Baginda rupanya sudah tidak di Padang Sahara yang tandus lagi, tetapi sudah berada di sebuah daerah yang ramai dengan manusia, ternakan dan tanam-tanaman iaitu kampung bapa saudaranya. Di situ pulalah dahulunya nenek moyangnya yang bernama Nabi Ibrahim menerima wahyu dan pangkat kerasulannya. 

Nabi Yaakub sujud ke tanda kesyukuran menunjukkan Baginda jalan ke sana. Baginda bertanyakan kepada orang yang dia jumpa jika mereka kenal dengan Laban bin Batwail. Setiap orang yang ditanya itu kenal Syeikh Laban. Ketika Nabi Yaakub bertanya siapa antara mereka yang dapat menghantarkannya ke rumah Syeikh Laban, mereka menunjukkan kepada seorang anak perempuan yang menjaga kambingnya dan berkata: "Inilah dia Rahil, anak perempuan Syeikh Laban sendiri." Nabi Yaakub melihat wajah anak gadis itu, hatinya berdebar kerana gadis itu memang cantik paras rupanya. Lidahnya seakan akan terpaku tidak dapat berkata. "Antara saya dengan engkau, ya Rahil, ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat. "Sayalah Yaakub anak Ishak al-Rasul, ibu saya Rifakah anak perempuan dari nenek engkau yang bernama Batwail. Saya datang ke sini dari negeri Kanan merentas Gurun Sahara yang tandus. "Kedatanganku ke sini adalah dengan tujuan dan maksud mulia, lagi suci," katanya.

Setelah gadis Rahil mengucapkan selamat datang kepada Nabi Yaakub, kedua-dua mereka berjalan menuju ke rumah yang dituju. Dalam penjalanan itu, Nabi Yaakub merasakan sebahagian nikmat yang dijanjikan Tuhan dalam mimpinya kerana sudah tidak syak lagi gadis yang mengiringinya itulah bakal teman hidupnya. Hatinya berdebar-debar kegembiraan, tetapi dengan kekuatan yang ada Baginda dapat berjalan dengan tenang. Akhirnya sampailah mereka ke rumah Laban, bapa saudaranya. Mereka berpelukan setelah berjumpa.

Mata Nabi Yaakub penuh dengan air mata kegembiraan. Baginda diberi tempat yang sebaik-baiknya, diterima dengan segala hormat. Nabi Yaakub menerangkan pesanan ayahnya kepada bapa saudaranya itu, pesan untuk menerimanya sebagai menantu.

Baginda sudah melihat Rahil dan Rahil sudah mengambil tempat yang istimewa dalam hatinya itu. Diharapkannya agar bapa saudaranya memperkenankan anaknya itu untuk dijadikan isterinya. Laban mendengarnya dengan penuh perhatian. Setelah Nabi Yaakub habis berbicara dengan nada tegas dijawabnya permohonan Yaakub itu diterima seluruhnya dengan senang hati, tetapi dengan bersyarat bahawa Nabi Yaakub perlu tinggal di kampung itu selama tujuh tahun untuk mengembala kambing-kambingnya sebagai mahar perkahwinannya. Syarat yang dikemukakan itu diterima Nabi Yaakub. 

Sejak hari itu tenanglah hatinya, baginda tinggal di situ mengembala kambing selepas cita-citanya tercapai. Rahil anak perempuan Laban yang paling kecil. Dia mempunyai kakak, bernama Laiya. Sekalipun cantik rupanya, namun kakaknya tidak secantik adiknya. Sudah menjadi kebiasaan, penduduk kampung itu tidak akan mengahwinkan anak yang kecil dahulu sebelum anak yang besar dikahwinkan. Laban tidak mahu melanggar kebiasaan ini, tetapi dia tidak mahu menghalangi cita-cita Nabi Yaakub untuk kahwin dengan Rahil. Setelah difikirkannya masak-masak, maka tidak jalan lain kecuali menyerahkan kedua anak perempuannya itu kepada Nabi Yaakub untuk dijadikan isterinya.

Hal demikian tidaklah terlarang menurut syariat yang ditentukan Allah di saat itu. Setelah memperoleh cara yang demikian, lalu Nabi Yaakub dipanggil dan berkata: "Wahai anakku, sudah menjadi syariat di negeri ini, bahawa saya tidak dapat mengahwinkanmu dengan anakku yang kecil sebelum yang besar kahwin. Laiya sekalipun kurang cantik daripada Rahil, tetapi perangai dan akalnya tidaklah kurang. "Sebab itu ambillah Laiya sebagai isterimu dengan mahar yang tujuh tahun itu dan apabila engkau ingin juga kahwin dengan Rahil harus ditambah maharnya tujuh tahun lagi mengembala kambing di sini." Yaakub menerima baik akan keputusan bapa saudaranya itu. Setelah tujuh tahun lamanya dia mengembala kambing di situ, lalu Baginda berkahwin dengan Laiya.

Setelah berlangsung tujuh tahun dia mengembala kambing, lantas baginda berkahwin dengan Rahil. Tetapi akhirnya Yaakub tertarik pula hatinya kepada dua orang Jariah dan Baginda mengahwininya pula. Dari keempat isterinya itu, iaitu Laiya, Rahil dan dua orang Jariah, Nabi Yaakub mempunyai dua orang anak yang mana semua mereka itu disebut al-Asbat. Mereka ialah: Rawbin, Syamun, Lawi, Yahuza, Yasakir dan Zabulon yang kesemuanya itu dari Laiya; Yusuf dan Bunyamin dari Rahil; yang bernama Dan dengan Naftali dari Jariah Rahil; Jad dan Asin dari Jariah Laiya. Semuanya lahir di kampung Faddan Aram, kecuali Bunyamin yang lahir di Kanan.

Keberanian Nabi Daud diakui

BANI Israel menerima seorang lagi nabi dan rasul di kalangan mereka, Daud bin Yisya, keturunan ke-12 Nabi Ibrahim.

Sejak kanak-kanak hingga remaja, Baginda tinggal bersama bapanya di Baitullaham, kota kelahiran Nabi Isa. Nabi Daud diberikan kitab Zabur yang mengandungi puisi dan lagu berkaitan penyucian dan pujian kepada Allah, kisah umat terdahulu dan berita kalangan nabi akan datang termasuk mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Mengenai perkara itu, Allah berfirman dalam surah al-Isra yang bermaksud: "Dan Tuhanmu mengetahui siapa yang ada di langit dan bumi. Sesungguhnya Kami lebihkan sebahagian nabi itu atas sebahagian yang lain dan Kami berikan Zabur kepada Nabi Daud." Allah juga menundukkan gunung dan memerintahkannya bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud setiap pagi dan petang.

Burung turut bertasbih mengikuti Nabi Daud berulang kali, malah Baginda sendiri diberi kelebihan dapat mengerti maksud suara burung. Kekuatan Nabi Daud amat luar biasa kerana dapat melembutkan besi sehingga dapat membuat baju besi dengan tangan sendiri tanpa dimasukkan ke api. Baginda dikurniakan Allah suara merdu, sehingga orang sakit yang mendengarnya sembuh. Firman Allah dalam surah Saba yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman) wahai gunung-ganang dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud. "Dan Kami melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar dan ukurlah anyamannya dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan." Nabi Daud seorang yang berani. Keberaniannya terserlah apabila Baginda bersama Thalut dalam peperangan dengan bangsa Palestin di bawah pimpinan Jalut.

Ketika di medan perang kedengaran Jalut melaungkan amaran dengan suara yang bengis hingga semua pahlawan di kalangan Bani Israel berdiam diri kerana takut. Namun, Nabi Daud yang masih muda menyahut cabaran untuk berperang dengan Jalut. Disebabkan keberaniannya, Nabi Daud dapat mengalahkan Jalut dan sebagai ganjarannya, Baginda dikahwinkan dengan Mikyal, seorang puteri Thalut. Mulai saat itu Baginda disanjungi masyarakat Bani Israel. Pengaruhnya dalam masyarakat semakin menebal hingga Thalut berasa iri hati dan curiga lalu memerintahkan tentera membunuh Nabi Daud. Rancangan jahat itu diketahui Nabi Daud dan Baginda terpaksa bersembunyi jauh dari kota bagi menyelamatkan diri. Thalut dan tenteranya mengejar Nabi Daud sehingga hampir ke tempat persembunyiannya.

Nabi Daud menugaskan pengikutnya meninjau kemaraan mereka dan mendapati semua tentera termasuk Thalut sedang tidur. Ketika Thalut nyenyak tidur, Nabi Daud menggunting pakaiannya (Thalut) sebagai peringatan pertama supaya tidak bermusuh dengannya. Apabila Thalut bangun daripada tidur, dia mendapati Nabi Daud di hadapannya.

Nabi Daud berkata: "Lihatlah bajumu yang aku guntingkan sewaktu kamu tidur. Jika aku mahu, aku dengan mudah membunuhmu dan menceraikan kepalamu daripada tubuhmu. "Namun, aku masih mahu memberikan peluang supaya kamu bertaubat dan ingat kepada Tuhan serta membersihkan hati dan fikiranmu daripada sifat hasad dan buruk sangka yang kamu jadikan alasan untuk membunuh orang sesuka hati." Thalut dengan perasaan segan berkata: "Sungguh kamu lebih adil dan lebih baik hati daripada aku.

Kamu benar-benar menunjukkan jiwa yang besar dan tingkah laku baik. Aku perlu mengakui perkara itu." Peringatan itu dilupakan Thalut, malah kerana jiwanya dikuasai iblis membuatkan keinginannya untuk membunuh Nabi Daud tidak pernah padam. Dia terus mengatur langkah untuk membunuh Nabi Daud dengan apa cara sekali pun. Melihat nafsu Thalut yang tidak kunjung padam untuk membunuhnya, Nabi Daud terpaksa memikirkan helah seterusnya bagi menyelamatkan diri. Sewaktu Thalut dan pengikutnya tidur, baginda memberanikan diri mengambil anak panah dan kendi di sisi Thalut.

Kemudian, baginda mengumumkan keselamatan Thalut sendiri tidak terjamin kerana anak panah dan kendi di sisinya mudah diambil orang. Mendengar kata-kata itu, Thalut berfikir panjang, sehingga meninggalkan takhta kerajaan dan Nabi Daud diangkat sebagai ganti. Nabi Daud wafat pada usia 100 tahun di Baitulmaqdis. Pada masa pemerintahannya ada satu kaum Bani Israel di kawasan Ailat, tepi Laut Merah, hidup bertukang, berdagang dan menangkap ikan setiap hari kecuali Sabtu kerana dilarang agama. Sesetengah mereka yang tidak mempedulikan larangan itu tetap menangkap ikan pada Sabtu kerana hasilnya lumayan. Puas dinasihatkan Daud, akhirnya mereka dihancurkan dengan gempa bumi dahsyat.

Allah Makbul Doa Nabi Ilyas



Allah Makbul Doa Nabi Ilyas
NABI Ilyas diutuskan Allah kepada kaumnya Bani Israel yang gemar menyembah patung Ba’al.


Nabi Ilyas menyeru mereka meninggalkan Ba’al dan menyembah Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ilyas adalah seorang Rasul Allah. Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapakah kamu tidak takut kepada Allah? Mengapakah kamu menyembah Ba’al yang sebaik-baik-Nya (Allah)? Tuhan Allah itulah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu.’” (Surah ash-Shafaat ayat 123-126)


Kaum Nabi Ilyas sering berdusta terhadap seruan Nabi Ilyas. Mereka akan menerima balasan Allah dengan seksaan yang berat. Akibat daripada sikap derhaka kepada Allah, mereka ditimpa seksaan musim kemarau yang berpanjangan. Hujan tidak turun membasahi bumi selama beberapa tahun sehingga menyebabkan mereka kehausan. Seluruh binatang ternakan dan kebun tanaman mereka mati kebuluran dan menjadi kering-kontang. Kaumnya yang derhaka itu mengalami kebuluran yang sangat teruk keadaannya. Kesengsaraan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam diri mereka.

Pada satu ketika Ilyas memasuki rumah seseorang wanita bersama seorang putera bernama Ilyasa’. Anak itu berada di bawah penjagaan Baginda. Kanak-kanak itu sebenarnya Ilyasa’ bin Akhtab bin Ayuz. Ilyas yang menjadikannya anak angkat sering membawanya ke mana saja sehingga Allah mengurniakan keberkatan kepada mereka.

Allah menganugerahkan rezeki yang melimpah kepada Ilyas dengan makanan terus terhidang di mana saja Baginda singgah untuk bersembunyi. Anugerah yang luar biasa itu berlaku apabila Ilyasa’ sudah dewasa. Keadaan itu menyebab­kan kaum Bani Israel sentiasa memburu Ilyas. Seorang daripada mereka berkata: “Tentu rumah ini dimasuki Ilyas.”

Walaupun nasihat dan amaran diberikan, kaumnya langsung tidak mendengarnya, malah terus memburunya. Disebabkan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman dan tidak tahan dengan kesengsaraan yang menimpa itu akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menemui IIyas dengan cara baik.

Rakyat datang berjumpa Nabi Ilyas supaya Baginda memohon kepada Allah hujan, sekali gus mengembalikan semula kesuburan di kawasan itu dan mereka terhindar daripada kebuluran. Ilyas berdoa kepada Allah: “Ya Allah! Hindarilah mereka daripada bahaya kelaparan yang menimpa mereka. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur kepada Engkau.”

Bagi memastikan Ilyas melakukan permintaan itu, seterusnya diterima Allah, mereka berjanji mahu mengikuti ajaran Ilyas, beriman kepada Allah dan meninggalkan penyembahan berhala. Ternyata doa Nabi Ilyas dimakbulkan dan Allah terus menurunkan hujan sehingga kawasan yang tandus tadi bertukar menjadi subur dan mereka dapat menjalani kehidupan dalam kemakmuran seperti dulu.

Namun, lama-kelamaan janji itu dilupai dan akhirnya Allah lenyap dalam hati mereka. Mereka kembali dengan amalan sebelum ini iaitu menyembah berhala. Malah, mereka bertambah kerap melakukan penyembahan itu. Memandangkan nikmat yang dikurniakan dibalas dengan perbuatan syirik, Allah menurunkan azab sekali lagi dan ia adalah azab terakhir sehingga semua mereka hancur binasa.

Bagaimanapun, Nabi Ilyas dan Ilyasa’ terkecuali daripada azab itu kerana mereka berdua beriman dan berbakti kepada Allah. Bagi Nabi Ilyasa’, kisahnya agak berlainan sedikit kerana tidak mendapat tentangan daripada kaumnya. Mereka patuh kepada ajarannya dan beriman kepada Taurat yang menyeru kepada mengesakan Allah. Baginda diangkat menjadi rasul ketika dewasa. Kerasulannya disebut di dalam al-Quran bersama beberapa rasul sebelumnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Lut, masing-masing Kami lebih­kan darjatnya atas umat pada masanya.”

Sewaktu hayat Nabi Ilyasa’, umatnya memang patuh kepada segala ajaran supaya beriman kepada Allah, dengan mengikuti nasihat yang terkandung dalam kitab Taurat, tetapi selepas kewafatannya keadaan berlaku sebaliknya. Umatnya terus membelakangkan kitab Taurat, menyebabkan mereka berada dalam kesesatan sehingga melakukan penderhakaan terhadap Allah. Perbuatan mereka yang salah itu dibalas Allah dengan azab iaitu menarik segala nikmat yang dikecapi mereka selama ini.

Kisah Nabi Shuib



NABI Shuib adalah keturunan Nabi Luth daripada pihak anak perempuannya. Baginda diutuskan Allah ke negeri Madyan yang penduduknya ingkar kepada Allah serta mengamalkan pergaulan hidup jauh daripada batasan agama.

Mereka merampas harta orang lain secara haram, menipu dan berbohong. Kaum Madyan ­diutuskan oleh Allah seorang Rasul iaitu Nabi Shuib.

Baginda adalah bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri daripada masyarakat kafir yang tidak mengenali Tuhan Yang Maha Esa.

Mereka menyembah ‘Aikah’ iaitu padang pasir yang ditumbuhi beberapa jenis pohon dan tanaman.

Nabi Shuib mengajak mereka meninggalkan penyembahan itu semua kerana ia tidak bermanfaat dan baginda menyeru mereka agar menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa.

Cara hidup dan adat istiadat mereka terpesong daripada ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi sebelum Shuib.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada Madyan (Kami utus) saudara mereka Shuib. Dia berkata: ‘Hai kaumku! Sembahlah Allah kerana tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya datang kepada kamu satu keterangan dari ­Tuhan kamu. Lantaran itu cukup­kanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan (dari) manusia akan hak-hak mereka dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi. Yang demikian itu baik buat kamu jika kamu orang yang beriman.’” (Surah al-A’raf ayat 85)

Seruan Nabi Shuib kepada kaumnya sedikit pun tidak dihiraukan, malah beranggapan bahawa kepercayaan mereka itu adalah yang benar sedangkan Nabi Shuib dianggap sebagai seorang yang menimbulkan huru-hara dan pergaduhan.

Namun Nabi Shuib tidak berputus asa, malah terus bersemangat mengajar dan mendidik mereka. Nabi Shuib mengingat­kan mereka bahawa apabila mereka tidak mahu sedar dan kembali kepada jalan benar mengikuti ajaran dan perintah Allah yang dibawanya, nescaya Allah akan menarik nikmat dan kurniaan-Nya kepada mereka.

Bahkan menurunkan azabnya ke atas mereka di dunia selain seksa dan azab menanti mereka kelak di akhirat.

Allah Maha Kuasa dan berkenan menerima permohonan Nabi Shuib maka diturunkan kepada ke atas mereka udara yang sangat panas lalu ­mengeringkan tekak kerana dahaga.

Ia tidak dapat dihilangkan dengan air selain membakar kulit yang tidak dapat diubati walaupun berteduh di bawah atap rumah atau pokok.

Ketika berada dalam situasi itu mereka mencari perlindungan daripada panas terik mentari itu. Tiba-tiba mereka ternampak di atas kepala mereka awan hitam yang tebal.

Semua berlari bertempiaran dengan harapan ingin berteduh di bawahnya. Namun ketika berada di bawah gumpalan awan hitam itu dalam keadaan bersesak-sesak itu jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan hitam itu dan diiringi ­dengan panahan petir serta guruh yang dahsyat.

Sementara itu, bumi di bawah mereka bergoyang sekuatnya menjadikan mereka jatuh ­bertimbun antara satu dan lain.

Demikian seksaan Allah yang datang secara tiba-tiba tanpa mengira malam ataupun siang, pagi atau petang.

Sebelum seksaan Allah datang kepada mereka, Nabi Shuib berserta orang yang ­beriman berhijrah ke negeri lain.

Ketika itu baginda berkata kepada kaumnya sebagaimana yang difirmankan di dalam ­al-Quran yang bermaksud: “Maka Nabi Shuib berpaling dari mereka, kemudian berkata: ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya aku menyampaikan risalah Tuhan kepadamu dan memberikan nasihat. Bagaimanakah aku akan berdukacita atas orang kafir?’ (Surah al-A’raf ayat 93)

Nabi Shuib berhijrah ke Aikah iaitu sebuah dusun yang tidak jauh dari Madyan. Di situ rakyatnya juga tidak ada bezanya keadaan mereka sebagaimana penduduk Madyan. Mereka juga membangkang dan menderhaka Tuhan.

Nabi Shuib tidak mengalah menyeru serta mengajar mereka menyembah Allah. Nabi Shuib menjelaskan kepada mereka seksaan yang bakal menimpa bagi yang menderhaka kepada Allah.

Tongkat mukjizat Nabi Musa



NABI Musa adalah anak kepada Imran bin Yashar bin Qaahits. Nasab terakhirnya ialah Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim yang dilahirkan di Mesir ketika pemerintahan Firaun dan bersaudara dengan Nabi Harun.

Kelahirannya mencemaskan kerana ketika itu Firaun atau nama sebenarnya Al-Walid ibnu Mus’ab menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki daripada kalangan Bani Israel yang dilahirkan perlu terus dibunuh.

Tindakan itu diambil kerana dia terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya mengatakan kuasa pemerintahan Mesir akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Disebabkan khuatir kejatuhan pemerintahannya, Firaun memerintahkan supaya setiap rumah penduduk diperiksa bagi memastikan tiada bayi lelaki.

Jika mendapati bayi lelaki maka perlu dibunuh tanpa sebarang alasan. Musa dilahirkan secara rahsia kerana bimbang turut menjadi mangsa tindakan tidak bertamadun Firaun.

Musa disusui ibunya secara senyap-senyap. Masyarakat tidak mengetahui Musa satu-satunya bayi lelaki Bani Israel yang terselamat daripada kekejaman Firaun.
Apabila usianya tiga bulan, Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Kemudian Musa dijumpai isteri Firaun sendiri, Asiah yang membawanya ke istana. Melihat tindakan isterinya membawa Musa yang ketika itu masih bayi ke dalam istana, Firaun dengan pantas menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Baginya, bayi lelaki tidak boleh dibenarkan hidup. Lalu Asiah merayu kepada suaminya supaya Musa tidak dibunuh dengan berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.”


Mendengar luahan hati isteri tercinta itu, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa. Asiah berasa lega dan amat gembira kerana Musa terselamat.

Dia mencari pengasuh untuk menjaga Musa, tetapi tidak seorang pun yang dapat menjaga Musa dengan baik. Musa asyik merengek dan menangis dan memberikan isyarat tidak mahu disusui.

Tidak lama kemudian, ibunya mendapat tahu Musa berada di istana Firaun lalu tampil untuk memberikan khidmat kepada Asiah. Dialah me­ngasuh dan membesarkan Musa di istana Firaun.

Pada satu hari, Firaun sendiri mendukung Musa yang masih kanak-kanak sehingga tiba janggutnya ditarik menyebabkannya berasa sakit.

Disebabkan tindakan Musa itu, Firaun berkata kepada isterinya: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.”

Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Musa tinggal di istana itu cukup lama, sejak usianya tiga bulan hingga dewasa, sehingga orang ramai memanggil dan menggelarkannya Musa bin Firaun.
Nama Musa sendiri diberikan keluarga Firaun. ‘Mu’ bermakna air dan ‘sa’ bermaksud pokok sempena tempat penemuan­nya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Pada suatu hari Nabi Musa meninjau keadaan di sekitar kota. Baginda terserempak dengan dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing dari kalangan Bani Israel dan bangsa Firaun.

Melihat pergaduhan itu, Musa mahu mendamaikan mereka, tetapi ditepis lelaki berbangsa Firaun itu. Tanpa berlengah Musa terus melepaskan penumbuk ke atas lelaki itu lalu dia tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu rebah dan mati kerana tumbukannya, Musa memohon ampun ke hadrat Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”

Berita kematian lelaki berbangsa Firaun disebabkan Musa tersebar meluas dan diketahui masyarakat. Baginda turut diketahui pemimpin kanan Firaun lalu mereka mahu menangkap Musa.

Musa melarikan diri dari bumi Mesir menuju ke Madyan berjalan kaki, tanpa bekalan makanan, hanya mengalas perut dengan daun kayu dalam perjalanan selama lapan malam.

Tiba di sana, Musa berehat di bawah pokok dan ketika itu Baginda terlihat dua pengem­bala kambing yang mahu memberi minum ternakan mereka di telaga besar.

Musa memberikan pertolongan kepada dua wanita terbabit. Sekembalinya ke rumah, wanita itu memaklumkan mengenai pertolongan Musa kepada bapanya, Nabi Syuaib. Lalu Musa dijemput ke rumah mereka.

Kemudian, Musa bekerja di rumah Syuaib sebagai pe­ngembala kambing bertahun-tahun sebagai mas kahwin untuk mengahwini seorang daripada anaknya.

Selepas 10 tahun di bumi Madyan, Musa rindu mahu kembali ke Mesir. Baginda memulakan perjalanan ke Mesir dalam keadaan sungguh gelap dan dingin.

Isteri yang mengandung ketika itu sudah sampai waktu untuk bersalin. Musa dalam keadaan bingung, Baginda merenung ke ufuk.

Ketika itu Baginda melihat di Bukit Thur Sina satu cahaya, di sana dia merasakan bakal mendapatkan api untuk memanaskan badan.

Baginda mendekati bukit itu dan merasa gementar manakala anggota badannya bergerak-gerak ketika mendengar Allah berbicara terhadapnya dengan memerintahkannya melepaskan terompahnya.

Kemudian Baginda memasuki lembah suci bukit itu kerana Allah berbicara dengannya menjadikannya utusan dan disuruh bertemu dengan Firaun menyampaikan risalah Allah.

Allah memberikan kepada­nya bukti yang menunjukkan kebenaran kenabiannya iaitu mukjizat dengan tongkat dan tangan.

Nabi Ishak berakhlak tinggi

NABI Ishak adalah anak kedua Nabi Ibrahim daripada perkahwinannya dengan Sarah. Dia anak yang soleh. Perkataan Ishak berasal daripada bahasa Ibrani iaitu Yashhak.

Ini disebabkan Sarah sebelum itu mandul dan kelahiran Ishak terlalu lama jaraknya dengan kelahiran Ismail. Jadi, tidak hairan Sarah tertawa bersendirian kerana gembira apabila diberitahu malaikat dia bakal melahirkan anak.

Jika keturunan Nabi Ismail melahirkan bangsa Arab Musta’ribah, keturunan Nabi Ishak pula melahirkan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Yaakub, muncul ramai nabi daripada kalangan Bani Israel. Firman Allah: “Dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya.” Ishak adalah seorang yang soleh. Keberkatannya dikhususkan Allah seperti keberkatan pada bapanya, Nabi Ibrahim. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang soleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishak dan antara cucunya ada yang berbuat baik dan ada yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.” Allah menghuraikan kebijaksanaan Ibrahim, anaknya, Ishak dan cucunya, Yaakub dalam firmannya: “Dan ingatlah hamba Kami bahawa Ibrahim, Ishak dan Yaakub mempunyai perbuatan besar dan ilmu tinggi. Sesungguhnya Kami menyucikan mereka dengan (menganugerahkan mereka) akhlak tinggi, iaitu sentiasa mengingatkan (manusia) kepada akhirat. Dan mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang pilihan yang paling baik.” Kenabian Ishak dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami memberikan wahyu kepadanya sebagaimana Kami memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi yang kemudiannya. Dan Kami memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, Isa, Yunus, Harun, Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” Al-Quran tidak menjelaskan mengenai Nabi Ishak secara khusus. Namun, menurut riwayat, pada saat Nabi Ibrahim hampir menemui ajal, Nabi Ishak mahu berkahwin.

Namun Nabi Ibrahim tidak mahu Ishak berkahwin dengan wanita Kan’an kerana mereka tidak mengenali Allah. Bapanya kemudian mengutuskan seorang hamba untuk melamar gadis di Hanan (Iraq). Gadis yang dipilih bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur. Nahur adalah saudara Nabi Ibrahim, manakala Rifqah adalah cucu saudaranya.

Genap 10 tahun perkahwinan mereka, Ishak dikurniakan dua anak lelaki, iaitu ‘Iso (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub. Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub. Ishak selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan. Kemudian Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub. Al-Ish yang nampak keadaan itu lantas memarahi Yaakub, lalu mengugut saudaranya.

Rifqah yang melihat kejadian itu meminta kebenaran Ishak untuk menyuruh Yaakub pergi ke rumah saudaranya bernama Laban di kawasan Haron, Iraq. Ia bertujuan supaya Yaakub akhirnya tinggal di sana dan berkahwin dengan anak saudaranya. Setiba di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya. Dia ingin berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya yang bernama Rahil tetapi bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai’ah, iaitu kakak kepada Rahil.

Yaakub berkata: “Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pakcik yang lebih cantik berbanding kakaknya.” Bapa saudaranya berkata: “Menurut kebiasaan, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun.” Bagaimanapun, akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya (syariat yang diizinkan ketika itu). Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kan’an (Palestin). Yaakub berasa kepulangan akan dihalang saudaranya, Al-Ish. Bagi mengelak kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberi hadiah kepada Al-Ish, sekali gus menggembirakannya.

Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya’ir. Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Habrun kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil. Ahli sejarah menjelaskan, nama Yaakub digunakan sebagai perkataan Israel. Isra membawa erti hamba, kesucian, manusia atau muhajir, manakala el bererti Allah. Jadi, Israel adalah merujuk kepada hamba daripada kesucian Allah.

Nabi Ishak yang wafat ketika berusia 180 tahun dikebumikan di Jirun (kini Madinah). Ada juga mengatakan Nabi Ishak disemadikan di al-Mughirah, tempat bapanya dikebumikan.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE