Keindahan bilik & Sungai Syurga


Keindahan bilik & Sungai Syurga

RASULULLAH SAW menggambarkan bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga sangat indah dan cantik, di dalam keadaan terapung-apung di awangan dan kedudukannya menjulang tinggi ke langit sejauh 60 hasta dari permukaan lantainya. Bagi orang-orang yang bertakwa ditempatkan di dalam bilik yang tinggi dan dibawahnya mengalir anak-anak sungai yang indah sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT. Selain itu penghuni syurga berada di tempat yang penuh ketenangan, manakala di dalam setiap bilik itu ditempatkan bidadari yang sangat cantik di dalam khemah-khemah di bilik tersebut, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Rahman, ayat ke 70-72: “Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing…”

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada minggu ini, menerangkan bahawa Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW bersabda, “Ahli-ahli syurga ini, apabila dia masuk sahaja ke dalam syurga dan ke bilik-biliknya, bagaikan ahli dunia yang melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit.” Imam Ahmad juga pernah meriwayatkan, Abu Hurairah bertanya kepada Baginda,“Ya Rasulullah, jika kami boleh melihat kamu maka tenanglah hati kami dan menjadi ahli-ahli akhirat, tetapi saat kami berpisah denganmu maka kami hanyut dengan dunia yang menyebabkan kami lena dengan anak-anak dan isteri kami yang sering meracuni kami. Lalu Baginda menjawab, “Kalian ini tetap seperti ketika bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Malaikat akan berjabat tangan dengan kalian dan tangan-tangan mereka dan menziarahi kalian di rumah-rumah kalian. Jika kalian duduk denganku dan boleh ingat kepada Allah, mengapa apabila duduk bersama keluarga kalian tidak boleh mengingati Allah? Kerana nanti para malaikat akan datang merahmati dan mendoakan kalian, walaupun kalian berada di rumah. Seandainya kalian tidak pernah berdosa, Allah akan datangkan kaum yang melakukan dosa supaya Allah dapat mengampuni mereka.”

Kemudian para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang syurga, bagaimana bentuk bangunan-bangunannya?” Baginda menceritakan batu-batanya diperbuat daripada emas dan perak, campuran simennya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara dan yakut. Tanahnya daripada za’faran dan sesiapa yang memasuki syurga akan bersenang-senang dan tidak akan susah, kekal dan tidak mati. Pakaian penghuni syurga tidak akan lusuh dan usia menjadi muda dan tidak akan punah ranah. Seterusnya Rasulullah berkata, tiga kelompok manusia yang doanya tidak pernah ditolak ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga tiba waktu berbuka dan doa orang-orang yang teraniaya. Doa itu dibawa awan lalu dibuka pintu-pintu langit dan Rabb tabaraka wataala menyebut, “Demi kehormatan-Ku, aku akan menolong walaupun tertunda doa kamu dimustajabkan oleh Allah. Aku akan menjawab setiap doa yang kamu pohon itu, akan sampai kepada-Ku. Adapun firman Allah sungai-sungai yang mengalir dibawahnya itu tanpa ada lubang-lubang di dalamnya.”

Rasulullah sering menceritakan kepada para sahabat betapa indahnya syurga untuk memberi rangsangan kepada mereka. Pernah seorang tua Arab Badawi berkata kepada Baginda, “Ya Rasulullah, cerita-cerita kamu tentang bilik-bilik di dalam syurga ini, milik siapakah ya Rasulullah?” Baginda menjawab bahawa semuanya milik orang yang baik perkataannya, dan menjaga tutur katanya. Oleh itu elakkan menyebut perkataan yang tidak baik, jangan biasakan mulut dengan menyebut kalimah-kalimah yang boleh menyakiti hati orang yang mendengarnya dan jangan suka menulis perkara-perkara yang buruk dan caci-maki hingga menyebabkan akhirnya kita tidak melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah.

Selain itu orang yang suka memberi makan orang lain berhak memasuki syurga. Begitu juga golongan manusia yang solat pada waktu malam sedangkan manusia lain sedang nyenyak tidur. Saidina Ali pernah meriwayatkan Rasulullah menceritakan bahawa cantiknya syurga sehinggakan orang yang di luar boleh melihat orang di dalam dan orang di dalam boleh melihat orang di luar. Allah menyediakan syurga yang cantik sehingga jelas kelihatan butiran-butiran di dalamnya untuk manusia yang suka mengajak orang lain makan, orang yang lembut tutur katanya, orang yang sentiasa menjaga puasanya dan orang yang rajin berjaga malam di saat orang lain sedang tidur.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qais, Rasulullah SAW bersabda, bagi orang mukmin Allah sediakan bilik-bilik yang indah di dalam syurga dalam keadaan mutiara yang menjulang tinggi, jaraknya sepanjang 60 hasta dan ia memiliki keluarga-keluarga yang bergilir-gilir memasuki bilik itu tanpa dapat dilihat oleh orang lain. Ummu Habibah meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang rajin mengerjakan solat sunat 12 rakaat sehari semalam, Allah akan binakan istana yang indah untuknya di dalam syurga.” Manakala Uthman bin Affan menyebut Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang telah membina masjid di atas dunia untuk mengharapkan keredaan Allah, Allah akan bina secantik itulah istana untuknya di dalam syurga.”

Kredit/Sumber: ikimfm.my

Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut


Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."


Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu." Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.

Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami." Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu." Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.



Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh"
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah"

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh" Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya"

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah" kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri". Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa".

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman". Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu".

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna". Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah". Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie".

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Sahabat Nabi Melihat Gambar Para Nabi & Rasul

Sahabat melihat gambar-gambar Rasul a.s dari simpanan Heraklius

Imam al-Hakim (penulis kitab al-Mustadrak) mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdullah ibnu Ishaq al-Baghawi, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnul Aisam al-Baladi, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muslim ibnu Idris, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Idris, dari Syurahbil ibnu Muslim, dari Abu Umamah al-Bahili, dari Hisyam ibnul 'As al-Umawi r.a yang menceritakan bahawa dia dan seorang lelaki lain diutus untuk menemui Heraklius (Hercules, Raja Romawi) untuk mengajaknya masuk Islam.

"Kami berangkat, dan ketika kami sampai di al-Ghautah (bahagian dari kota Dimasyq / Damsyiq) kami turun istirehat di perkampungan Al-Jabalah ibnul Aiham Al-Ghassani. Lalu kami masuk menemuinya, tiba-tiba kami jumpai dia berada di atas singgahsananya. Dia mengirimkan utusannya kepada kami agar kami berbicara dengannya, tetapi kami mengatakan, "Demi Allah, kami tidak akan berbicara kepada utusan. Sesungguhnya kami diutus hanya untuk menemui raja (kalian). Jika kami diberi izin untuk masuk, maka kami akan berbicara langsung dengannya; dan jika tidak, kami tidak akan berbicara kepada utusan."

Kemudian utusan Jabalah ibnul Aiham kembali kepadanya dan menceritakan segala sesuatunya kepadanya. Akhirnya kami diberi izin untuk menemuinya, lalu Jabalah berkata, "Berbicaralah kalian." Maka Hisyam ibnul 'As berbicara dengannya dan menyerunya untuk memeluk agama Islam. 

Ternyata Jabalah memakai pakatan hitam, maka Hisyam bertanya kepadanya, "Pakaian apakah yang engkau kenakan itu?" Jabalah menjawab, "Saya memakainya dan saya telah bersumpah bahawa saya tidak akan menanggalkannya sebelum mengusir kalian dari negeri Syam."

Kami berkata, "Majlismu ini, demi Allah, akan benar-benar kami rebut dari tangan kekuasaanmu, dan sesungguhnya kami akan merebut kerajaan rajamu yang paling besar, Insya Allah. Perkara ini telah diberitakan kepada kami oleh Nabi kami, iaitu Nabi Muhammad S.a.w."

Jabalah mengatakan, "Kalian bukanlah mereka, bahkan mereka adalah suatu kaum yang puasa siang harinya dan shalat pada malam harinya, maka bagaimanakah cara puasa kalian?"

Maka kami menceritakan cara puasa kami. Wajah Jabalah menjadi hitam (marah) dan berkata, "Berangkatlah kalian," dan dia menyertakan seorang utusan bersama kami untuk menghadap kepada Kaisar (raja) Romawi. 

Kami berangkat, dan ketika kami sudah dekat dengan ibu kota, berkatalah orang yang bersama kami, "Sesungguhnya haiwan kenderaan kalian ini dilarang memasuki ibu kota kerajaan. Jika kalian suka, maka kami akan membawa kalian dengan kenderaan kuda dan baghal." Kami menjawab, "Demi Allah, kami tidak akan masuk melainkan dengan memakai kenderaan ini." 

Kemudian orang yang bersama kami itu mengirimkan utusan-nya kepada kaisar untuk menyampaikan bahawa para utusan kaum Muslim menolak peraturan tersebut. Akhirnya Raja Romawi memerintahkan kepada utusan itu untuk membawa kami masuk dengan kenderaan yang kami bawa.

Kami masuk ke dalam ibu kota dengan menyandang pedang-pedang kami, hingga sampailah kami pada salah satu bangunan milik Kaisar. Lalu kami istirehatkan unta kenderaan kami pada bahagian bawahnya, sedangkan Raja Romawi memandang kami. 

Lalu kami ucapkan, "Tidak ada Tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar." Allah-lah yang mengetahui, kerana sesungguhnya bangunan itu mendadak menjadi bergegar seperti pohon kurma yang tertiup angin besar. Lalu raja mengirimkan utusan-nya kepada kami untuk menyampaikan, "Kalian tidak usah menggembar-gemburkan agama kalian kepada kami." Dan raja mengirimkan lagi utusan-nya untuk menyampaikan, "Silakan kalian masuk."

Maka kami masuk menghadapnya, sedangkan dia berada di atas singgahsananya, di hadapan para paderi Romawi. Segala sesuatu yang ada di majlisnya berwarna merah, raja sendiri memakai baju merah, dan segala sesuatu yang ada di sekitarnya semuanya berwarna merah. 

Lalu kami mendekat kepadanya. Dia tertawa, lalu berkata, "Bagaimanakah menurut kalian jika kalian datang menghadap kepadaku dengan mengucapkan kalimat salam penghormatan yang berlaku di antara sesama kalian? Tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki yang fasih berbicara Arab lagi banyak bicara. 

Maka kami menjawab, "Sesungguhnya salam penghormatan kami di antara sesama kami tidak halal bagimu, dan salam penghormatan kamu yang biasa kamu pakai tidak halal pula bagi kami memakainya." Raja menjawab, "Bagaimanakah ucapan salam penghormatan kalian di antara sesama kalian?" Kami menjawab, "Assalamu 'alaika." Raja bertanya, "Bagaimanakah caranya kalian mengucapkan salam penghormatan kepada raja kalian?" Kami menjawab, "Sama dengan kalimat itu." Raja bertanya, "Bagaimanakah kalian mendapat jawabannya?" Kami menjawab, "kalimat yang sama."

Raja bertanya, "Kalimat apakah yang paling besar dalam ucapan kalian?" Kami menjawab, "Tidak ada Tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar!" Ketika kami mengucapkan kalimah itu, hanya Allah-lah yang lebih mengetahui, tiba-tiba bangunan istana itu bergegar sehingga si raja mengangkat kepalanya memandang ke atas bangunan itu. 

Raja berkata, "Kalimat yang baru saja kalian ucapkan membuat bangunan ini bergegar. Apakah setiap kali kalian mengucapkannya di dalam rumah kalian, lalu bilik-bilik kalian bergegar kerananya?" Kami menjawab, "Tidak, kami belum pernah melihat peristiwa ini kecuali hanya di tempatmu sekarang ini?"

Raja berkata, "Sesungguhnya aku mengharapkan seandainya saja setiap kali kalian mengucapkan segala sesuatu bergegar atas kalian. Dan sesungguhnya aku rela mengeluarkan separuh dari kerajaanku?" Kami bertanya, "Mengapa?" Dia menjawab, "Kerana sesungguhnya perkara itu lebih mudah dan lebih layak untuk dikatakan bukan merupakan perkara kenabian, dan bahawa perkara tersebut hanyalah terjadi semata-mata kerana perbuatan manusia."

Kemudian raja menanyai kami tentang tujuan kami, lalu kami menceritakan perkara itu kepadanya. Setelah itu raja bertanya, "Bagaimanakah shalat dan puasa kalian?" Kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu raja berkata. "Bangkitlah kalian." Kemudian dia memerintahkan agar menyediakan rumah yang baik dan tempat peristirehatan yang cukup buat kami, dan kami tinggal di sana selama tiga hari. 

Pada suatu malam raja mengirimkan utusannya kepada kami, lalu kami masuk menemui raja, dan dia meminta agar kami mengulangi ucapan kami, maka kami mengulanginya. Sesudah itu dia memerintahkan agar dibawakan sesuatu yang berbentuk seperti kota yang cukup besar, dibuat dari emas. Di dalamnya terdapat rumah-rumah kecil yang masing-masingnya berpintu. 

Raja membuka sebuah rumah dan membuka kuncinya, lalu mengeluarkan (dari dalamnya) selembar kain sutera hitam. Ketika kami membuka kain sutera itu, tiba-tiba padanya terdapat gambar merah, dan pada gambar yang merah itu terdapat gambar seorang lelaki yang bermata besar, lagi bahagian bawahnya besar, saya belum pernah melihat leher sepanjang yang dimilikinya. Ternyata lelaki itu tidak berjanggut, dan ternyata pada rambutnya terdapat dua tocang rambut yang paling indah di antara semua makhluk Allah. Lalu raja berkata, "Tahukah kalian gambar siapakah ini?" Kami menjawab, "Tidak." Dia berkata, "Ini adalah gambar Adam a.s." Ternyata Nabi Adam a.s. adalah orang yang sangat lebat rambutnya. 

Kemudian raja membuka rumah yang lain, lalu mengeluarkan kain sutera berwarna hitam darinya. Tiba-tiba di dalamnya terdapat gambar orang yang berkulit putih, memiliki rambut yang kerinting, kedua matanya merah, berkepala besar, dan sangat bagus janggutnya. Lalu raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Raja berkata, "Dia adalah Nuh a.s."

Kemudian dia membuka pintu yang lain dan mengeluarkan kain sutera hitam lainnya, tiba-tiba di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki yang sangat putih, kedua matanya sangat indah, keningnya lebar, dan pipinya panjang (lonjong), sedangkan janggutnya berwarna putih, seakan-akan gambar lelaki itu tersenyum. Lalu raja bertanya, "Tahukah kalian, siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Dia berkata, "Orang ini adalah Ibrahim a.s."

Lalu raja membuka pintu yang lain (dan mengeluarkan kain sutera hitam) tiba-tiba padanya terdapat gambar orang yang putih, dan tiba-tiba - demi Allah - dia adalah Rasulullah S.a.w sendiri. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Ya. Orang ini adalah Muhammad, utusan Allah S.w.t." Kami menangis, dan raja bangkit berdiri sejenak, kemudian duduk lagi, lalu bertanya, "Demi Allah, benarkah gambar ini adalah dia (Nabi S.a.w)?" Kami menjawab, "Ya, sesungguhnya gambar ini adalah gambar dia, seakan-akan engkau sedang memandang kepadanya."

Raja memegang kain sutera itu sebentar seraya memandangnya, lalu berkata, "Ingatlah, sesungguhnya rumah ini adalah rumah yang terakhir, tetapi sengaja saya segerakan buat kalian untuk melihat apa yang ada pada kalian."

Kemudian raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan kain sutera hitam darinya, tiba-tiba padanya terdapat gambar seseorang yang hitam manis, dia adalah seorang lelaki yang berambut kerinting dengan mata yang agak cekung, tetapi pandangannya tajam, wajahnya murung, giginya bertumpang tindih, bibirnya dicebikkan seakan-akan sedang dalam keadaan marah. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak tahu." Raja berkata, "Dia adalah Musa a.s." Sedangkan di sebelahnya terdapat gambar seseorang yang mirip dengan-nya, hanya rambutnya berminyak, dahinya lebar, dan kedua matanya kelihatan agak juling. Raja itu bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak tahu." Raja berkata, "Orang ini adalah Harun ibnu Imran a.s."

Lalu raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan kain sutera putih dari dalamnya. Ternyata di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki hitam manis, tingginya pertengahan, dadanya bidang, dan seakan-akan sedang marah. Lalu si raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Dia menjawab bahawa orang tersebut adalah Lut a.s. 

Kemudian raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan kain sutera berwarna putih, tiba-tiba padanya terdapat gambar seorang lelaki yang kulitnya putih kemerah-merahan dengan pinggang yang kecil dan memiliki wajah yang tampan. Lalu si raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Raja berkata, "Dia adalah Ishaq a.s."

Kemudian raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan kain sutera putih darinya, dan ternyata di dalamnya terdapat gambar seseorang yang mirip dengan Ishaq, hanya saja pada bibirnya terdapat tahi lalat. Raja bertanya, "Tahukah kalian, siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak tahu." Raja berkata, "Orang ini adalah Ya'qub a.s."

Lalu raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan darinya kain sutera yang berwarna hitam, di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki berkulit putih, berwajah tampan, berhidung mancung dengan tinggi yang cukup baik, pada wajahnya terpancar nur (cahaya), dan terbaca dari wajahnya petanda khusyu' dengan kulit yang putih kemerah-merahan. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak tahu." Raja berkata. "Orang ini adalah moyang nabi kalian, iaitu Nabi Ismail a.s." 

Kemudian raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan darinya kain sutera putih, dan ternyata di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki yang mirip dengan Nabi Adam, hanya wajahnya bercahaya seperti mentari. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak tahu." Raja berkata, "Orang ini ialah Yusuf a.s."

Kemudian raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan darinya kain sutera putih, tiba-tiba di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki yang berkulit merah, kedua betisnya kecil, dan matanya rabun, sedangkan perutnya besar dan tingginya sedang, seraya menyandang pedang. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Raja berkata, "Orang ini adalah Daud a.s." 

Lalu raja membuka pintu yang lain dan mengeluarkan darinya kain sutera putih, tiba-tiba di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki yang bahagian bawahnya besar, kedua kakinya agak panjang seraya mengendarai kuda. Lalu raja bertanya, "Tahukah kalian, siapakah orang ini?" Kami menjawab, "Tidak." Raja berkata, "Orang ini adalah Sulaiman ibnu Daud a.s."

Kemudian raja membuka pintu yang lain, lalu mengeluarkan kain sutera hitam darinya, pada kain sutera itu terdapat gambar orang yang berpakaian putih, dan ternyata dia adalah seorang pemuda yang janggutnya berwarna hitam pekat, berambut lebat, kedua matanya indah, dan wajahnya tampan. Raja bertanya, "Tahukah kalian siapakah orang ini?" Kami menjawab. "Tidak." Raja berkata, "Orang ini adalah Isa ibnu Maryam a.s."

Kami bertanya, "Dari manakah kamu mendapatkan gambar-gambar ini? Kerana kami mengetahui bahawa gambar-gambar tersebut sesuai dengan gambar nabi-nabi yang dimaksudkan, mengingat kami melihat gambar nabi kami sama seperti yang tertera padanya."

Raja menjawab, "Sesungguhnya Adam a.s pernah memohon kepada Tuhannya agar Dia memperlihatkan kepadanya para nabi dari keturunannya, maka Allah menurunkan kepadanya gambar-gambar mereka. Gambar-gambar tersebut berada di dalam perbendaharaan Nabi Adam a.s. yang terletak di tempat tenggelamnya matahari. Kemudian dikeluarkan oleh Zul-Qarnain dari tempat penyimpanannya di tempat tenggelamnya matahari, lalu Zul-Qarnain menyerahkannya kepada Nabi Danial a.s."

Kemudian raja berkata, "Ingatlah, demi Allah, sesungguhnya peribadiku suka bila keluar dari kerajaanku, dan sesungguhnya aku nanti akan menjadi orang yang memiliki kerajaan yang paling kecil di antara kalian hingga aku mati."

Lalu raja memberikan kami hadiah dan ternyata hadiah yang diberikan-nya sangat baik, lalu dia melepas kami pulang. Ketika kami sampai pada Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a, kami ceritakan kepadanya semua yang telah kami lihat, demikian pula perkataan raja serta hadiah yang diberikannya kepada kami. Maka Abu Bakar menangis dan berkata, "Kasihan dia. Seandainya Allah menghendaki kebaikan baginya, nescaya dia melakukannya (masuk Islam)."

Kemudian Abu Bakar As-Siddiq berkata, "Telah menceritakan kepada kami Rasulullah S.a.w, bahawa mereka (orang-orang Nasrani) dan orang-orang Yahudi menjumpai sifat Nabi Muhammad S.a.w pada kitab yang ada pada mereka." 

Perkara yang sama telah diketengahkan oleh Al-Hafidz Abu Bakar Al-Baihaqi dalam kitab Dalaailun Nubuwwah, dari Al-Hakim secara ijazah, lalu dia menuturkan kisah tersebut, sanad dari kisah ini tidak ada celanya.

Sahabat melihat gambar Nabi Muhammad S.a.w bersama Abu Bakr r.a

Al-Hafiz Abul Qasim at-Thabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Idris ibnu Warraq ibnul Humaidi, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Umar ibnu Ibrahim (salah seorang anak lelaki Jubair ibnu Mut'im) yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Ummu Usman, anak perempuan Sa'id (iaitu nenekku). Dari ayahnya (Sa'id ibnu Muhammad ibnu Jubair), dari ayahnya (Muhammad ibnu Jubair ibnu Mut'im) yang menceritakan, "Pada suatu hari dia berangkat menuju negeri Syam untuk berniaga. Ketika sampai di dataran rendah negeri Syam, saya ditemui oleh seorang lelaki dari kalangan Ahli Kitab. Lelaki Ahli Kitab itu berkata, "Apakah di kalangan kalian terdapat seorang lelaki yang menjadi nabi?" Saya menjawab, "Ya." Dia bertanya, "Apakah engkau mengenalnya jika aku perlihatkan gambarnya kepadamu?" Saya menjawab, "Ya. Lalu dia memasukkanku ke dalam sebuah rumah yang di dalamnya banyak terdapat gambar, tetapi saya tidak melihat gambar Nabi S.a.w.

Ketika kami dalam keadaan demikian, tiba-tiba masuklah seorang lelaki, lalu bertanya, "Sedang buat apakah kalian?" Maka kami ceritakan kepadanya perihal urusan kami. Lalu lelaki yang baru datang ini mengajak kami ke rumahnya. Ketika saya memasuki rumahnya, saya melihat gambar Nabi S.a.w, dan ternyata dalam gambar itu terdapat gambar seorang lelaki yang sedang memegang tumit Nabi S.a.w. Saya bertanya, "Siapakah lelaki yang sedang memegang tumitnya?" Dia menjawab, "Sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun melainkan sesudahnya ada nabi yang lain. Kecuali nabi ini, kerana sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahnya, dan lelaki yang memegang tumitnya ini adalah khalifah sesudahnya." Dan ternyata gambar lelaki itu sama dengan Abu Bakar r.a." 

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir , Surah al-A'raaf : ayat 157]

Sifat-sifat Sahabat Nabi juga disebut dalam kitab Taurat

p/s: Allah Ta'ala telah menurunkan banyak bukti dari langit, bukan sahaja tentang sifat-sifat para nabi dan rasul dalam kitab umat Yahudi dan Nasrani, tetapi juga termasuk gambar-gambar mereka sekali. Tetapi kebanyakan mereka (Yahudi dan Nasrani) telah menyembunyikannya dari pengetahuan manusia. Sungguh besar kemungkaran yang mereka perbuat, sehinggakan ramai manusia menjadi tidak percaya kepada para rasul (termasuk Nabi Muhammad S.a.w).

"Orang-orang yang telah Kami beri Al-Kitab mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri, dan sungguh segolongan di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui," (Surah Al-Baqarah : 146)

Wallahu a'lam .......

Kredit: unikversiti.blogspot.com

Air Wuduk Sayyidah Nafisah Menyembuhkan Sakit Lumpuh

Air Wuduk Sayyidah Nafisah Menyembuhkan Sakit Lumpuh

Sayyidah Nafisah dilahirkan pada tahun 145 Hijrah. Beliau merupakan anak kepada Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Talib, iaitu cicit kepada Nabi s.a.w. Sayyidah Nafisah dinikahkan dengan Mu'tamin bin Ja'far As Siddiq yang juga merupakan keturunan Rasulallah s.a.w. Setelah berkahwin dengan suaminya, beliau telah mengikuti suaminya ke Mesir.

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah dan sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.

Terlalu banyak kisah mengenai kehebatan Sayyidah Nafisah, yang merupakan seorang wali wanita yang dapat menjadi contoh kepada wanita di akhir zaman ini. Diantaranya, semasa di Mesir, jirannya adalah seorang yahudi. Anak perempan mereka lumpuh. Suatu hari siibu hendak pergi ke satu tempat, sedangkan suaminya tiada di rumah. Lalu siibu mencadangkan agar anaknya itu tinggal sementara waktu di rumah Sayyidah Nafisah. Si anak bersetuju, lalu dihantar ke rumah Sayyidah Nafisah yang sememangnya sangat menghormati tetamu. Anak wanita yahudi itu diletakkan di satu sudut di rumah Sayyidah Nafisah, dan ketika itu azan pun berkumandang menandakan masuk waktu sembahyang.

Sayyidah Nafisah yang menunggu waktu solat meminta kebenaran tetamunya untuk segera bersolat. Sayyidah Nafisah lalu dihadapan anak wanita Yahudi yang lumpuh itu untuk mengambil wudhuknya. Setelah selesai, beliau lalu lagi dihadapan anak wanita yahudi tersebut dan air wudhu Sayyidah Nafisah jatuh dihadapannya. Lalu datanglah ilham kepada anak yahudi yang lumpuh itu untuk menyapu air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh itu ke kakinya. Dengan izin Allah, kakinya yang lumpuh itu bergerak-gerak dan terasa boleh berjalan, sedangkan Sayyidah Nafisah tetap khusyuk mengerjakan solat. 

Kemudian, terdengarlah pula ibunya telah balik dan mengetuk pintu, sedangkan di waktu itu Sayyidah Nafisah masih lagi mengerjakan solat. Anak perempuan Yahudi itu memberanikan diri dengan berdiri dan ternyata dia mampu berdiri setelah menyapukan air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya. Dia membuka pintu dan memeluk ibunya. Ibunya sangat terkejut, dan bertanya apa yang telah terjadi, anak wanita Yahudi yang lumpuh itu menceritakan segala-galanya. 

Air wudhuk Sayyidah Nafisah yang jatuh dihadapannya itu telah menjadi penawar untuk menyembuhkan sakit lumpuh yang telah dialaminya sekian lama. Menangislah si ibu mendengarkan hal yang sangat ajaib itu. Lalu dia mendapatkan Sayyidah Nafisah, dan memeluknya seraya berkata: "Aku mengaku bahawa engkau adalah cucu Rasulullah dan datukmu itu adalah Rasul Allah dan Allah adalah Tuhan sekalian alam." Islamlah perempuan Yahudi tersebut. Melihatkan hal tersebut Sayyidah Nafisah memberitahu itu semua adalah kehendak dan izin Allah semata-mata. 

Wanita Yahudi dan anaknya yang telah Islam itu kembali ke rumahnya dan bertemu pula dengan suaminya yang bernama Ayub. Dan dia sangat terkejut melihatkan anaknya telah boleh berjalan. Mendengarkan penjelasan dari isteri dan anaknya, Ayub menadah tangannya lalu berkata: 

" Maha suci engkau ya Allah ! Engkau sesatkan orang yang engkau kehendaki dan engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki. Demi Allah, benarlah agamamu ini." 

Sejak itu Ayub dan keluarganya Islam, maka kemudian ramailah orang-orang Yahudi yang menjadi kenalan Ayub pula Islam, setelah mendengar kisah Ayub dan keluarganya. 

Demikianlah salah satu dari kisah yang sangat menyentuh perasaan bagaimana dengan air wudhunya sahaja Sayyidah nafisah telah mengislamkan berapa ramai orang. Hal yang demikian adalah dengan kehendak Allah jua. Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin. 

Sayyidah Nafisah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 208 hijrah sewaktu sedang membaca Al Quran dan sedang berpuasa. Beliau telah dikuburkan di dalam kubur yang telah dibinanya sendiri di dalam rumahnya. Kubur yang dibinanya itu adalah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya. Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Alah anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah Al Hassan yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat genarasi wanita akhir zaman ini. 

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Air gelegak, nanah minuman neraka

Air Gelegak, Nanah Minuman Neraka


AIR mendidih, peluh, nanah, minuman penghuni neraka yang ketika di dunia hidup bergelumbang dengan rasuah, minum arak dan memakan benda-benda haram. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan mereka dan antara jalan bagi mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan. 

BERDOA mohon keredaan Ilahi sepanjang hidup di dunia supaya sentiasa menjadi Mukmin bertakwa. Apabila tiba hari kebangkitan, manusia berada dalam keadaan sangat lapar dan kehausan yang lebih 70 kali ganda dahsyatnya daripada yang dirasakan ketika hidup di dunia dahulu. Melalui slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan dan antara jalan mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan. 

Walaupun hanya seteguk sahaja air Telaga Kauthar, ia mampu menghilangkan segala kelaparan, dahaga dan kesedihan sepanjang tempoh berada di Padang Mahsyar. Namun, tidak semua umat Nabi Muhammad SAW berpeluang meneguk air di telaga itu. Sebaliknya, mereka beroleh minuman yang disediakan di dalam neraka iaitu hamim. Abdullah bin Isa al-Kharras menyebut daripada Daud, daripada Iqrimah bahawa Ibnu Abbas menyebut, hamim adalah panas yang membakar iaitu air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi sehinggalah tiba waktu penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka. 

Air mata penghuni neraka Ibnu Wahab menyebut daripada Ibnu Zaid, hamim adalah air mata penghuni neraka yang terkumpul di dalamnya dan air itu diminum oleh mereka. Syabib menuturkan daripada Iqrimah, daripada Ibnu Abbas bahawa panasnya hamim itu sehingga tidak ada lagi tahap kepanasan selepasnya kerana kepanasan sudah berada di kemuncaknya. Diberi kepada penghuni neraka bersama besi pengait yang dimasukkan dalam tengkuk mereka. 

Manusia yang diazab begini adalah kalangan mereka yang meminum arak, memakan rasuah dan makanan yang diharamkan Allah SWT ketika hidup dahulu. Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya jangan sesekali memasukkan sesuatu yang haram ke dalam tubuh badan kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat sesuai bagi mereka. 

Jenis minuman kedua diberi kepada penghuni neraka ialah ghassaq. Ibnu Abbas menyebut, ia mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadahkan, lalu diberi minum kepada ahli neraka lainnya. Ghassaq sejuk sifatnya dan apabila memasuki tubuh badan menyebabkan rasa amat sakit. Abdullah bin Amru menyebut, ghassaq adalah nanah kental yang keluar daripada tubuh badan orang kafir, bersifat pekat dan likat. Seandainya setitis sahaja ghassaq tumpah di bahagian barat, nescaya ia akan mencemari sehingga di bahagian timur neraka. 

Mujahid pula berkata ghassaq sesuatu yang tidak mungkin dapat dirasakan kerana terlalu sejuk sifatnya. Qaab berkata, ia sengatan racun daripada seluruh binatang berbisa yang dikumpulkan dan apabila anak Adam mencelupnya dengan sekali celupan, kulit serta dagingnya terlepas daripada tulangnya, melekat di tumit lalu ditarik seperti dilakukan oleh seorang penarik pakaian. Saidi berkata, ghassaq adalah air mata penghuni neraka yang diminum bersama hamim. Diriwayatkan oleh Dharraj daripada Abu Haisam kepada Said, Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya satu timba daripada ghassaq ditumpahkan ke atas dunia, nescaya seluruh penghuninya akan berbau sangat busuk." Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air nanah yang mengalir." (Surah al-Naba', ayat 24-25) 

Minuman ketiga bagi penghuni neraka ialah al-syadid seperti mana disebut dalam surah Ibrahim, ayat 17: "Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat." Qatadah berkata, al-syadid adalah nanah bercampur darah yang mengalir antara daging dan kulit. Imam Ahmad dan al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Umamah, sabda Rasulullah SAW: "Ia didekatkan kepada air nanah lalu mereka meminumnya dengan terpaksa. 

Apabila air nanah itu berada dekat dengan mukanya maka terbakarlah ia dan berguguranlah kulit, kepala dan rambutnya. Apabila diminum air itu menyebabkan putus ususnya hingga keluar daripada duburnya." Arak rosakkan akal manusia Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berjanji, bagi sesiapa yang meminum satu minuman memabukkan yang dilarang di dalam Islam, kerana ia akan merosakkan akal dan menjatuhkan nilai dirimu lebih rendah daripada binatang. Dia akan diberi minuman di dalam neraka dengan peluh dan air bisa ahli neraka. 

Mereka terbabit dengan minuman memabukkan seperti arak termasuklah 10 golongan, di antaranya mereka yang menuangnya, menghidang atau membawanya, akan turut menerima azab diberi minuman itu di dalam neraka kelak. Di dalam neraka terdapat sungai yang dipenuhi dengan nanah bercampur darah dan berbau busuk. Penghuni neraka akan disembam ke dalamnya, dibukakan mulutnya dan dipaksa meminum air itu."

Kredit/sumber: bharian.com.my

Translate

CLOSE