Qarin? Siapakah Qarin disisi manusia?

qarin, jin, genie, qareen
Gambar Hiasan : Qarin 

Siapakah Qarin? 

Tentu ramai daripada kita telah tahu tentang kewujudan qarin ini tetapi kemungkinan ada yang masih tidak mengetahui tentang Qarin ini. Hakikatnya, begitulah kehendak Allah SWT bahawa setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah matinya anak Adam, kita mempunyai satu jin kafir yang menjadi peneman ke mana sahaja kita pergi samada siang mahupun.

Qarin ini akan mengajak kita melakukan kejahatan dan menahan daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Oleh kerana ia terlalu rapat dengan manusia maka ianya digelar Qarin atau Jin pendamping manusia.

Qarin dijadikan Allah sebagai pendamping setiap manusia.Oleh yang demikian, maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah pula yang membuat pilihan sama ada mentaati arahan malaikat ataupun jin qarin.

Rasulullah SAW ada bersabda :

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدً إِلَّا وَمَعَهُ قَرِينُهُ مِنَ الجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنَ المَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رسولَ اللهِ قَالَ وَإِيَّايَ وَلَكِنِّ اللهَ تعالى أَعَانَنِي عليه فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah “ sabdanya “ Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Abdullah bin Mas’ud RA)

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ianya sebagai “kembar” setiap manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Qarin mendorong manusia ke arah kejahatan (gambar hiasan sahaja). Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong manusia membuat kejahatan. Sebagai contoh dalam situasi kita hari ini, qarin akan sering membisikkan was-was, melalaikan solat, berasa berat hendak membaca al-Quran, terasa manisnya tatkala melakukan maksiat dan sebagainya. Malah ia akan bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya daripada membuat ibadah dan kebaikan.

Maka dengan itu, untuk mengimbangi usaha qarin ini lalu Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat.

Amalan zikir menjadi pendinding manusia daripada gangguan syaitan

Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Sayyidatina Aisyah menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:

“Aku merasa cemburu.” tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa yang terjadi, apakah yang menyebabkan engkau cemburu?”

Maka Aisyah berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.”

Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aisyah bertanya lagi : “Apakah aku juga mempunyai syaitan?”

Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aisyah bertanya : “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

فُضِّلْتُ عَلَى آدَمَ بِخَصْلَتَيْنِ كَانَ شَيْطَانِي كَافِرًا فَأَعَانَنِي اللهُ عَلَيْهِ حَتَّى أَسْلَمَ وَكَانَ أَزْوَاجِي عَوْنًا لِي وَكَانَ شَيْطَانُ آدَمَ كَافِرًا وَزَوْجَتُهُ عَوْنًا على خَطِيئَتِهِ

“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam AS dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantunya membuat kesalahan.” (Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi pula menceritakan: “Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang yang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk.

Maka ditanya mengapa engkau kurus? Jawab syaitan tadi “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, tatkala makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Saat Qarin Berpisah Dengan Manusia

Seterusnya, Qarin hanya akan berpisah dengan “kembar”nya hanya apabila manusia itu meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang.Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Source: Jambubatumedia

Malaikat bantu tentera Islam



KEMUNCULAN tiga pahlawan Islam, iaitu Ubaidah bin Harith, Ali bin Abi Talib dan sepupu Ali yang juga bapa saudara Rasulullah, Hamzah Abdul Mutalib sama sekali tidak menggentarkan pihak lawan.

Mereka ialah Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan para pahlawan Islam itu.

Ibarat buku bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah', Hamzah.

Namun Ubaidah sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan dengan Utbah. Sebelah tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan Hamzah segera membantu Ubaidah dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.

Namun Ubaidah dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah akhirnya gugur sebagai syahid.

Setelah ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera Quraisy tergamam dan tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu lawan satu. Lalu strategi ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap tentera Islam.

Pihak musuh yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera Quraisy yang lebih ramai berbanding pihak lawan, kemenangan di medan Badar akan menjadi milik mereka.

Rasulullah yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh pihak musuh terus mengeluarkan arahan kepada anggota tentera baginda, satu arahan yang disifatkan agak pelik dan luar biasa kerana tidak pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini.

Lazimnya serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik pertempuran kedua-dua belah akan bertempur dan berlawan antara satu sama lain.

Tetapi kali ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.

Baginda memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak musuh.

"Kalau pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di belakang perisai masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan menyerbu untuk menyerang ketika itulah kamu segera bangun dan serentak itu juga kamu balas serangan dengan cara mengejut," tegas Rasulullah.

Sebagaimana yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan apabila mendapati pihak Islam tidak turut mara, mereka begitu galak untuk terus menyerang dengan anak-anak panah dihala dan menghujani tentera Islam.

Sebagaimana diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik perisai masing-masing. Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui ajal akibat terkena anak panah yang beracun dari pihak musuh itu.

Namun pasukan tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan mengeluarkan pedang masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan Quraisy yang menyerbu mereka.

Lalu berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan tentera Islam.

Walaupun dalam jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera Islam tetap bertarung seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu mampu mengalahkan lebih dari seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah 1:3.

Begitupun dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama dengan pasukan tentera Islam.

"Bergembiralah wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini Jibrail, malaikat yang sedang menunggang kuda putih datang bagi mengetuai 1,000 malaikat lain yang turun membantu kita," kata Rasulullah SAW.

Kehadiran para malaikat untuk membantu itu sebenarnya tidak disedari oleh para anggota tentera Islam yang lain. Ini kerana mereka tetap beradu berlawan dan bertempur walaupun ada malaikat yang turut memerangi kafir Quraisy itu.

Dalam satu riwayat oleh Ibnu Saad menyebutkan: "Pada hari itu ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang putus sehingga terpelanting jatuh ke tanah tanpa diketahui siapa yang mencantasnya."

Dan pelbagai lagi dikisahkan oleh para sahabat mengenai kehadiran para malaikat yang membantu tentera Islam.

Begitu pun dikatakan di pihak musuh ada Iblis yang menyamar untuk membantu mengalahkan tentera Islam pula.

Iblis menyamar diri sebagai Suraqah bin Malik (terkenal sebagai musuh Islam dan pernah memburu Rasulullah ketika baginda keluar menyelamatkan diri bersama Abu Bakar As Siddiq sehingga mereka menyembunyikan diri ke Gua Tsur).

Tetapi apabila Iblis itu menyaksikan kehadiran ribuan para malaikat, dia menjadi gentar dan tahu adalah mustahil untuknya membantu mengalahkan tentera Islam.

Apabila iblis itu ditahan apabila dilihat cuba melarikan diri, Iblis itu berkata dengan ketakutan: "Aku melihat apa yang kamu tidak lihat, aku benar-benar takut!"

Tentera musuh mula melihat tanda-tanda kekalahan apabila satu demi satu atau semakin ramai tentera mereka yang berjaya dibunuh oleh tentera Islam.

Begitupun mereka masih diperkuatkan dari aspek semangat oleh ketua panglima mereka yang tak pernah mengenal erti kalah, Abu Jahal.

Sesuai dengan peranannya, Abu Jahal akan mengeluarkan kata-kata semangat dan menyeru kepada bala tenteranya supaya meneruskan serangan kerana inilah sahaja peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk mereka menghancurkan umat Islam.

Jika ada di kalangan tentera Quraisy yang mati ditangan tentera Islam, tuduh Abu Jahal hanya disebabkan mereka bertindak terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.

Namun Abu Jahal benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahan akan hanya menjadi milik kepada tentera yang beliau pimpin.

Malah nyawanya sendiri dalam bahaya kerana sentiasa diintai dan diambil kesempatan untuk dibunuh oleh mereka yang begitu marah dengan tindak tanduk beliau selama ini yang begitu memusuhi Islam.

Credit to: Utusan Malaysia

Translate

CLOSE