Malaikat bantu tentera Islam



KEMUNCULAN tiga pahlawan Islam, iaitu Ubaidah bin Harith, Ali bin Abi Talib dan sepupu Ali yang juga bapa saudara Rasulullah, Hamzah Abdul Mutalib sama sekali tidak menggentarkan pihak lawan.

Mereka ialah Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan para pahlawan Islam itu.

Ibarat buku bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah', Hamzah.

Namun Ubaidah sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan dengan Utbah. Sebelah tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan Hamzah segera membantu Ubaidah dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.

Namun Ubaidah dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah akhirnya gugur sebagai syahid.

Setelah ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera Quraisy tergamam dan tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu lawan satu. Lalu strategi ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap tentera Islam.

Pihak musuh yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera Quraisy yang lebih ramai berbanding pihak lawan, kemenangan di medan Badar akan menjadi milik mereka.

Rasulullah yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh pihak musuh terus mengeluarkan arahan kepada anggota tentera baginda, satu arahan yang disifatkan agak pelik dan luar biasa kerana tidak pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini.

Lazimnya serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik pertempuran kedua-dua belah akan bertempur dan berlawan antara satu sama lain.

Tetapi kali ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.

Baginda memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak musuh.

"Kalau pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di belakang perisai masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan menyerbu untuk menyerang ketika itulah kamu segera bangun dan serentak itu juga kamu balas serangan dengan cara mengejut," tegas Rasulullah.

Sebagaimana yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan apabila mendapati pihak Islam tidak turut mara, mereka begitu galak untuk terus menyerang dengan anak-anak panah dihala dan menghujani tentera Islam.

Sebagaimana diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik perisai masing-masing. Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui ajal akibat terkena anak panah yang beracun dari pihak musuh itu.

Namun pasukan tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan mengeluarkan pedang masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan Quraisy yang menyerbu mereka.

Lalu berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan tentera Islam.

Walaupun dalam jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera Islam tetap bertarung seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu mampu mengalahkan lebih dari seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah 1:3.

Begitupun dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama dengan pasukan tentera Islam.

"Bergembiralah wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini Jibrail, malaikat yang sedang menunggang kuda putih datang bagi mengetuai 1,000 malaikat lain yang turun membantu kita," kata Rasulullah SAW.

Kehadiran para malaikat untuk membantu itu sebenarnya tidak disedari oleh para anggota tentera Islam yang lain. Ini kerana mereka tetap beradu berlawan dan bertempur walaupun ada malaikat yang turut memerangi kafir Quraisy itu.

Dalam satu riwayat oleh Ibnu Saad menyebutkan: "Pada hari itu ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang putus sehingga terpelanting jatuh ke tanah tanpa diketahui siapa yang mencantasnya."

Dan pelbagai lagi dikisahkan oleh para sahabat mengenai kehadiran para malaikat yang membantu tentera Islam.

Begitu pun dikatakan di pihak musuh ada Iblis yang menyamar untuk membantu mengalahkan tentera Islam pula.

Iblis menyamar diri sebagai Suraqah bin Malik (terkenal sebagai musuh Islam dan pernah memburu Rasulullah ketika baginda keluar menyelamatkan diri bersama Abu Bakar As Siddiq sehingga mereka menyembunyikan diri ke Gua Tsur).

Tetapi apabila Iblis itu menyaksikan kehadiran ribuan para malaikat, dia menjadi gentar dan tahu adalah mustahil untuknya membantu mengalahkan tentera Islam.

Apabila iblis itu ditahan apabila dilihat cuba melarikan diri, Iblis itu berkata dengan ketakutan: "Aku melihat apa yang kamu tidak lihat, aku benar-benar takut!"

Tentera musuh mula melihat tanda-tanda kekalahan apabila satu demi satu atau semakin ramai tentera mereka yang berjaya dibunuh oleh tentera Islam.

Begitupun mereka masih diperkuatkan dari aspek semangat oleh ketua panglima mereka yang tak pernah mengenal erti kalah, Abu Jahal.

Sesuai dengan peranannya, Abu Jahal akan mengeluarkan kata-kata semangat dan menyeru kepada bala tenteranya supaya meneruskan serangan kerana inilah sahaja peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk mereka menghancurkan umat Islam.

Jika ada di kalangan tentera Quraisy yang mati ditangan tentera Islam, tuduh Abu Jahal hanya disebabkan mereka bertindak terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.

Namun Abu Jahal benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahan akan hanya menjadi milik kepada tentera yang beliau pimpin.

Malah nyawanya sendiri dalam bahaya kerana sentiasa diintai dan diambil kesempatan untuk dibunuh oleh mereka yang begitu marah dengan tindak tanduk beliau selama ini yang begitu memusuhi Islam.

Credit to: Utusan Malaysia

Translate

CLOSE