Home » » Jaafar Abu Talib diberi sayap syurga

Jaafar Abu Talib diberi sayap syurga

JAAFAR bin Abi Talib atau dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.

Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.

Jaafar memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Mereka juga telah menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.

Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.

Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.

Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: "Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali."

Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: "Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?"

Jaafar pun bangkit berdiri dan menjawab dengan sopan serta lancar sekali.

Katanya: "Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.

"Tetapi kini Allah SWT mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami berpindah ke negeri paduka."

Najashi pun bertanya lagi: "Apa pandangan kalian tentang Isa?"

Jaafar pun bangkit lagi: "Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya."

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.

Jaafar telah syahid ketika menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.

Ketika beliau syahid, terdapat lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.

Rasulullah menyifatkan kedudukan Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurga

SUMBER : Utusan Online

Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE