Home » , , , , , , , » Sejarah Pembinaan Telaga Zamzam

Sejarah Pembinaan Telaga Zamzam

Pembinaan Telaga Zamzam

Orang pertama menggunakan kain yang mempunyai lebihan labuh di belakang dari kalangan wanita ialah ibu Nabi Ismail a.s yang digunakan untuk menyembunyikan kesan kakinya daripada Siti Sarah. Nabi Ibrahim a.s membawa ibu Nabi Ismail (Siti Hajar) serta anaknya Nabi Ismail a.s yang masih lagi menyusu dan kemudian meninggalkannya berhampiran Kaabah di sebatang pokok yang besar di atas Zamzam. 

Ketika itu Kota Mekah masih belum berpenghuni serta tidak mempunyai air. Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua di sana. Diletakkan di sisi mereka berdua sebungkus buah tamar dan sebekas air. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertolak pulang, lalu baginda diikuti oleh ibu Nabi Ismail a.s lalu bertanya: Wahai Ibrahim! Ke manakah kamu hendak pergi dan meninggalkan kami di lembah yang tidak mempunyai seorang manusia dan apa-apa pun ini? 

Siti Hajar bertanya mengenai perkara itu berkali-kali, tetapi baginda tidak menghiraukannya. Siti Hajar bertanya lagi: Adakah Allah memerintah kamu berbuat begini? Baginda menjawab: Memang benar. Isterinya berkata: Kalau begitu tiada halangan bagi kami. Kemudian ibu Nabi Ismail kembali semula ke tempatnya, lalu Nabi Ibrahim a.s bertolak pergi sehingga baginda tidak kelihatan lagi. Setelah itu Nabi Ibrahim a.s menghadapkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah sekarang ini) kemudian terus mengangkat tangan sambil berdoa: 

(رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ، رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ)

Yang bermaksud: (Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ditumbuhi tanaman, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur). 

Sepeninggalan Nabi Ibrahim a.s, ibu Nabi Ismail a.s menyusukan anaknya dan memberi minum air yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam bekas. Apabila air di dalam bekas itu habis, anaknya terus kehausan. Kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang kehausan, Siti Hajar terus menuju ke bukit Safa yang paling hampir dengan tempat beliau duduki. Beliau berdiri di atas bukit itu dan berpaling ke lembah untuk melihat kalau-kalau ada seseorang. Siti Hajar tidak melihat walau seseorang pun ada di sana, lalu beliau turun semula dari bukit Safa sehingga menghampiri perlembahan tersebut. 

Kemudian beliau menuju ke bukit Marwah dan berdiri di atasnya untuk melihat kalau-kalau ada seseorang di sana. Tetapi beliau tidak juga mendapatinya. Beliau melakukan keadaan sedemikian sebanyak tujuh kali. Ketika berada di atas bukit Marwah, Siti Hajar telah mendengar suatu suara membisikkan kepadanya: Diamlah. Siti Hajar cuba memerhatikan suara tersebut. Suara itu masih tetap kedengaran, lalu suara tersebut berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar bahawa di sisimu ada pertolongan. Tiba-tiba dia mendapati malaikat menunjukkan tempat Zamzam, lalu beliau terus menggalinya dengan tumit, ada yang mengatakan beliau menggali dengan menggunakan kedua tangannya sehingga keluar air. 

Kemudian beliau membatasinya dan beliau berkata dengan tangannya begini untuk memenuhkan bekasnya dengan air tersebut, setelah bekasnya dipenuhi dengan air beliau terus berlalu untuk meminum dan menyusu anaknya, lalu malaikat berkata kepadanya: Janganlah kamu takut kepada kesusahan, sesungguhnya di sana akan dibina sebuah rumah Allah (Baitullah) yang akan dibina oleh kanak-kanak ini dan ayahnya, sesungguhnya Allah tidak akan menyusahkan keluarganya. 

Setelah itu beliau bertemu dengan satu rombongan dari Jurhum lalu mereka turun dan menuju ke kawasan yang paling rendah di Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan dan berkata, sesungguhnya burung-burung ini berterbangan mengelilingi air, kami percaya bahawa di lembah (wadi) ini terdapat air, mereka mengutus seorang atau dua orang untuk melihatnya dan utusan tersebut mendapati di sana terdapat air lalu kembali dan memberitahu kepada rombongan mereka. Lalu mereka meminta kebenaran dari ibu Ismail untuk pergi mendapatkan air tersebut, ibu Nabi Ismail membenarkannya dengan berkata: Ya, tetapi jangan kamu jadikan air itu sebagai hak kamu, mereka menjawab: Ya.

Menggali Semula Zamzam

Ketika Abdul Mutalib sedang tidur di Hijir, datang seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Barrah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Barrah? Sehingga keesokan harinya pula, beliau tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Madnunah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Madhnunah? Kemudian beliau pun beredar dari situ sehinggalah keesokan harinya, beliau kembali tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Tayyibah" (iaitu nama telaga Zamzam). 

Beliau menjawab: Apakah Tayyibah? Pada hari yang keempat, beliau bermimpi lagi dan telah dikatakan kepada beliau: Galilah Zamzam. Beliau menjawab: Apakah Zamzam? Beliau berkata: Janganlah kamu menimba air itu dan membatasnya. Kemudian beliau ditunjukkan tempatnya. Setelah itu baginda menggalinya sebagaimana yang telah ditunjukkan kepadanya. Orang-orang Quraisy bertanya kepada beliau: Apakah ini semua wahai Abdul Mutalib? Beliau menjawab: Aku diperintahkan supaya menggali telaga Zamzam. Ketika dijumpai Zamzam dan melihat patung kijang. 

Orang-orang Quraisy terus mempercayainya. Abdul Mutalib terus menggalinya. Beliau menemui dua ekor patung kijang yang diperbuat dari emas. Kedua-duanya adalah patung kijang yang di tanam oleh Bani Jurhum ketika mereka keluar dari Mekah. Tempat tersebut merupakan telaga Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. Setelah Abdul Mutalib menggali telaga Zamzam dan setelah Allah tunjukkan tempat serta memilih beliau untuk menggali Zamzam, Allah s.w.t telah menambahkan kemuliaan beliau dengan sebab Zamzam tersebut dan kaumnya juga dapat menikmatinya.

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE