Gambaran ALAM MAHSYAR

Gambaran ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala
(bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain.. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a. s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar
(umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit- bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( ??? ) kepunyaan Nabi Muhammad s. a. w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.

2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi
(tidak diketahui orang ramai).

7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a. s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a. s., Nabi Ibrahim a. s., Nabi Musa a. s., Nabi Isa a. s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a. s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s. a. w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
15. ‘Arasy ( ??? ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
16. Kursi ( ???? ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s. a. w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s. a. w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s. a.. w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.

27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan
5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Keadaan Manusia Di Padang Mahsyar

Setelah semua mahkluk yang bernyawa dialam nyata ini mati dan hancur binasa Allah s.w.t. memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan angin Sangakala yang hebat itu untuk menghidupkan semula semua mahkluk yang sudah mati Israfil meniup dan berteriak dengan sekuat-kuatnya:

“Wahai nyawa yang telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah buruk, urat yang telah putus berkecai,kulit-kulit yang telah pecah hancur, rambut-rambut yang telah luruh!
Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman dari Allah s.w.t. yang menjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!”.

Maka dengan tiba-tiba mereka pun tegak bangun berdiri. Mereka lihat langit, didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah, tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada dihadapan mereka. Dilihat matahari telah hilang cahayanya. Maka sedarlah dan tahulah mereka bahawa mereka berada ditempat yang dijanjikan kiamat.

Lantas mereka berkata: “Inilah dia sebagaimana yang telah Allah janjikan dan inilah menunjukkan kebenaran para Rasul.” Seperti yang telah Allah sebutkan dalam Al-Quran: “Mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,

Lalu dikatakan kepada mereka: “Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul !” (Yassin, Ayat: 52)

Mereka pun keluar dari kubur tanpa pakaian, tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dibadan.Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan bermacam-macam rupa.

1. Sesetengah mereka ada yang berupa kera kerana di dunia mereka suka
membuat fitnah kepada orang lain.

2. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

3. Ada yang buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

4. Ada yang pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang
mereka lakukan.

5. Ada yang mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan
sentiasa menikam-nikam lidah sendiri.Ini adalah kumpulan ULAMA yang
bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang
diucapkan.

6. Ada pula yang luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi bohong.

7. Ada yang telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada
ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada
bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat
(mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

8. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan
terhuyung-hayang. Mereka inilah yang sanggup menyimpan harta dari
belanjakan ke jalan Allah.

9. Ada yang berkeadaan benar-benar mabuk,orang ini suka
bercerita-cerita dalam masjid akan hal dunia.

10. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan harta riba.

11. Ada yang tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini suka
menyakiti orang-orang sekampungnya.

12. Ada yang berupa khinzir kerana mereka mempermudah-mudahkan
sembahyang lalai dalam sembahyang)

13. Ada pula yang bangkit dengan perut mereka penuh dengan ular dan
kala jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat.
Mereka ini di dunia payah hendak mengeluarkan zakat.

14. Ada yang berkeadaan dimana darah yang amat busuk sentiasa keluar
dari mulut mereka.Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

15. Ada yang sampai terasing daripada manusia serta badannya sangat
busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana
takutkan manusia,tidak takut pada Allah.

16. Ada yang terpotong halkum,keadaannya tercerai dari leher. Orang
ini selalu sanggup untuk bersaksi bohong.

17. Ada yang bangun dari kubur tiada berlidah dan mengali darah busuk
dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.

18. Ada pula yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas
langit.Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka.Mereka
itu suka berbuat zina semasa hidup.

19. Ada yang berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api
neraka.Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

20. Ada pula yang bangun dengan mengidap penyakit kusta dan sopak.
Mereka inilah yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

21. Ada yang gigi mereka seperti tanduk lembu, lidah mereka terjelir
hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari perut mereka.
Mereka adalah orang yang suka meminum arak.

semoga kita tergolong dalam golongan yang segera menginsafi diri dan bertaubat di atas dosa dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap sesama manusia.

“Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan
di dunia mahupun akhirat….”

WALLAHU’ALAM

Perihal Syaitan Laknatullah

Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan biru.

Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah SWT jadikan Jaan.

Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA pula menyatakan bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.

Dari api yang amat panas inilah Allah SWT telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah SWT masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Jin juga di beri izin oleh Allah SWT menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah SAW mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga diperintahkan oleh Allah SWT menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah SWT dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 % mirip kepada manusia.

Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah SWT dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian Jin. Manakala makhluk-makluk lain pula Allah SWT jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata.

Manusia memerlukan masa mengandung selama 9 bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh. Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis laknatullah pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.

Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam AS). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah SWT telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.

Jin, Ifrit, Syaitan laknatullah dan Iblis laknatullah adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah SWT. Iblis laknatullah dan Syaitan laknatullah juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah SWT sehingga ke hari kiamat.

Lafaz "syaitan" sebenarnya berlaku untuk golongan jin dan manusia yang melampaui batas dan membangkang terhadap hukum-hakam Allah. Orang Arab kadangkala menamakan "ular" sebagai syaitan kerana ia membangkang, cepat bergerak dan amat membahayakan. Allah SWT menyebutkan bahawa pohon "Zaqqum" bagaikan kepala syaitan. Pohon Zaqqum adalah pohon yang tumbuh di dasar neraka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Muncungnya bagaikan kepala syaitan." (Ash-Shaffat: 65)

Syaitan laknatullah sentiasa melihat kita sedangkan kita tidak dapat melihatnya. Dia mendengar apa yang kita katakan sedangkan kita tidak merasa apa bisikannya. Iblis laknatullah menggoda manusia dengan cara yang halus dan tidak dirasakan. Rasulullah SAW ada bersabda: "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia seperti berjalan atau mengalirnya darah."

Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk salah seorang kamu (setiap orang) ketika tidur pada waktu malam dengan tiga ikatan. Apabila orang yang tidur itu bangun dari tidurnya kemudian dia mengingati Allah SWT (membaca doa bangun tidur) maka terbukalah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terbukalah satu ikatan lagi dan jika dia mengerjakan solat (fardu Subuh) terbukalah yang ketiga, sehingga dia menjadi sihat dan cergas. Kalau tidak melakukan yang tiga itu, dia merasakan rimas atau malas."

Permusuhan iblis laknatullah serta syaitan laknatullah dengan bani Adam sampai kemuncaknya pada waktu munculnya Al Masih Ad-Dajjal. Pada waktu itu, syaitan laknatullah akan menggandakan usahanya untuk menjerumuskan bani Adam sama-sama menemaninya ke neraka Jahannam. Moga Allah SWT memberi kita perlindungan dari tipudaya syaitan laknatullah ini.

Umar al-Khattab RA berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan:
Zalituun laknatullah - Duduk di pasar atau kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.
Wathiin laknatullah - Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah SWT.
A'awanlaknatullah - Menghasut sultan, raja, pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan atau kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
Haffaf laknatullah - Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat.
Murrah laknatullah - Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah SWT. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour.
Masuud laknatullah - Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.
Daasim laknatullah - Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim laknatullah akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).
Walahaan laknatullah - Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.
Lakhuus laknatullah - Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.
Wallahu'alam.

Jaafar Abu Talib diberi sayap syurga

JAAFAR bin Abi Talib atau dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.

Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.

Jaafar memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Mereka juga telah menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.

Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.

Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.

Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: "Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali."

Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: "Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?"

Jaafar pun bangkit berdiri dan menjawab dengan sopan serta lancar sekali.

Katanya: "Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.

"Tetapi kini Allah SWT mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami berpindah ke negeri paduka."

Najashi pun bertanya lagi: "Apa pandangan kalian tentang Isa?"

Jaafar pun bangkit lagi: "Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya."

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.

Jaafar telah syahid ketika menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.

Ketika beliau syahid, terdapat lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.

Rasulullah menyifatkan kedudukan Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurga

SUMBER : Utusan Online

Kematian Abu Jahal


Kematian Abu Jahal

ABU Jahal atau namanya yang sebenar adalah Abu Hakam bin Syams. Beliau adalah pemimpin Quraisy yang sangat kuat dalam menentang usaha Rasulullah SAW untuk menyebarkan Islam. Beliau mendapat gelaran Abu Jahal kerana sikapnya yang jahil dengan kebenaran.

Apabila beliau mendengar bahawa Rasulullah serta umat Islam di Madinah cuba menyekat kafilah Abu Sufian, beliaulah orang yang paling lantang mengapi-apikan permusuhan kaumnya dengan Rasulullah.

Abu Jahal selalu memaki dan memburuk-burukkan Rasulullah di hadapan kaumnya. Beliau sangat sombong dan selalu bercakap besar. Beliau pernah berkata bahawa, beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali sebelum tiba di Badar.

Mereka akan tinggal di sana selama tiga hari tiga malam, berpesta dengan riang ria sambil memotong kambing dan meminum khamar (arak), serta dihiburkan dengan syair-syair merdu yang dinyanyikan oleh wanita-wanita yang dibawa oleh mereka.

Semasa dalam Perang Badar, beliau dikawal oleh tentera-tentera yang ditugaskan khas untuk mengawalnya. Abdul al-Rahman bin Auf menceritakan bahawa telah datang kepadanya dua orang pemuda iaitu Muaz bin Amru dan Muawiz bin Afra bertanyakan perihal Abu Jahal. Lalu ditunjukkan kepada mereka kedudukan Abu Jahal.

Berlakulah pertembungan yang sengit antara kedua-dua pemuda itu dengan Abu Jahal. Muaz terus memukul dan memenggal separuh daripada kaki Abu Jahal. Tiba-tiba anak Abu Jahal telah menetak sebelah tangannya sehingga terkulai, lalu Muaz mengheret tangannya yang tergantung itu dan ditanggalkan terus daripada badannya.

Muaz pun terus mengasak Abu Jahal dengan pedangnya sehingga terhumban jatuh dan hampir menemui ajal. Sementara Muawiz pula terus berperang sehingga gugur sebagai seorang syahid. Setelah selesai peperangan, Rasulullah memerintahkan orang-orang Islam supaya mencari Abu Jahal. Akhirnya Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal yang ketika itu masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Abdullah meletakkan kakinya ke atas leher Abu Jahal dan memegang janggut beliau lalu memenggal kepala Abu Jahal dan dibawa ke hadapan Rasulullah. Lalu baginda pergi ke tempat jasad Abu Jahal yang tersadai itu dan berkata, "Inilah dia Firaun umat ini".

Melihat kepala Abu Jahal itu maka, Rasulullah SAW pun turun dari tunggangan baginda. Rasulullah mengadakan sujud syukur serta memuji kebesaran Allah SWT apabila musuh nombor satu Islam itu akhirnya mati di tangan tentera Islam.

Kematian Abu Jahal bermakna lumpuhnya kepimpinan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Sehingga kini nama Abu Jahal masih disebut-sebut sebagai orang yang menjadi musuh Rasulullah. Begitulah tragisnya kematian Abu Jahal di tangan tentera Muslimin.

Firaun perintah Haman bina bangunan tinggi

DAN berkatalah Firaun, “Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta...” (al-Mu’min: 36-37)

PADA suatu hari, Firaun memerintahkan para menteri serta para pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman, iaitu salah seorang menterinya, supaya mengetuai pertemuan tersebut.

Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firaun mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam itu.

Sebaik sahaja semua rakyatnya berkumpul, Firaun terus berkata, “Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?”

“Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku,” Kata Haman.

Firaun berkata dengan marah, “Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit.”

“Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong,” kata Haman lagi.

“Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta.”

Firaun menoleh ke arah Haman dan mengeluarkan perintah kepadanya. “Aku mahu kau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai ke pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?”

“Saya akan melaksanakan perintah tunku itu. Saya akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang batu dan tukang kayu untuk membinanya,” kata Haman, berjanji kepada Firaun.

Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya dibuatnya anak panah untuknya.

Anak panah itu dipanah ke arah langit. Dengan takdir Allah, anak panah itu kemudian terjatuh semula di hadapan Firaun. Anak panah itu berlumuran dengan darah. Padahal panah itu telah dicelupnya dengan darah sebelum dia memanah langit.

Dengan bangganya Firaun berkata, “Tengok, aku sudah pun membunuh Tuhan Musa, Tuhan Musa itu telah mati ditangan ku. Aku yakin Musa adalah pendusta kerana dia mendakwa ada Tuhan di langit yang dapat menolongnya dan melantiknya sebagai Rasul”.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE