Alam menyintai Nabi Yahya



YAHYA adalah seorang nabi yang menjadi cermin ibadah, zuhud dan cinta. Nabi Yahya mengungkapkan cinta kepada semua makhluk.

Baginda dicintai manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya tertumpah ketika baginda mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang zalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang pelacur. Yahya hidup sezaman dengan Nabi Isa. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat. Baginda lahir ketika ayahnya Nabi Zakaria berusia lanjut sehingga hampir putus asa mendapat keturunan. Baginda lahir melalui doa suci Nabi Zakaria. Ketika kecil, Yahya tidak seperti kanak-kanak lain. Yahya suka memberi makan kepada binatang dan burung, malah baginda makan daun pohon atau buahnya. Ketika usia dewasa, wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada Allah. Yahya suka membaca. Ketika masih kecil, Allah memanggilnya: “Wahai Yahya, ambillah Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi kanak-kanak.” Yahya mendapatkan perintah di saat Baginda masih kecil untuk mengambil kitab dengan kekuatan. Yahya seorang yang alim di zamannya dan paling banyak menerima hikmah. Baginda mempelajari syariat secara sempurna dan mampu me­nyelesaikan persoalan antara manusia dan menjelaskan rahsia agama. Yahya seseorang yang sangat dicintai masyarakatnya kerana dia memang seorang penya­yang, bertakwa, alim dan berbudi mulia. Baginda keluar dan ke gunung dan kebun bahkan gurun dan tinggal selama berbulan-bulan untuk menyembah Allah dan menangis di hadapan-Nya. Baginda makan belalang dan rumput selain tidur di gua yang ditemuinya sama ada gunung atau lubang.

Kadangkala ketika masuk ke gua, baginda bertemu haiwan buas seperti serigala atau singa, tetapi kesibukan berzikir kepada Allah dan bersolat menyebabkan baginda tidak mempedulikan haiwan itu.

Lebih pelik, haiwan buas itu menundukkan kepala ketika melihat Nabi Yahya dan mening­galkan tempat itu kerana tahu kenabiannya.

Baginda tidak takut memberi makan kepada haiwan buas dengan penuh kasih sayang, malah ada kalanya terpaksa berlapar untuk memberi makanan kepada binatang.

Solat dan zikir adalah makanan batinnya. Baginda bermalam dalam keadaan air matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah dan sentiasa bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi Yahya berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah, baginda mampu membuat mereka menangis. Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid dipenuhi orang ramai dan baginda mula berbicara: “Sesungguhnya Allah memerintahkan aku untuk menyampaikan kalimat yang aku kerjakan dan aku memerintahkan kalian juga untuk mengerjakannya. “Hendaklah kalian menyem­bah Allah dan tidak me­nyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah dan menyembah selain-Nya, maka dia seperti seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. “Siapakah antara kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan kalian untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah melihat hamba-Nya saat mereka bersolat. Oleh kerana itu, jika kalian bersolat maka hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. “Aku pun memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian, maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan yang baunya harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum daripadanya. “Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan zikir kepada Allah maka orang seperti itu seperti seorang lelaki yang dicari-cari oleh musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng yang kuat. Dan benteng yang paling kuat adalah zikrullah dan tiada keselamatan tanpa benteng itu.” Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya dan kembali ke gurun yang tiada sesiapa selain suara angin dan pohon serta binatang buas. Di sanalah Yahya berdiri di tengah-tengah kesunyian itu. Baginda melaksanakan solat dan menangis. Kemudian berlaku pergolakan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah yang berkuasa. Salah seorang raja di zaman itu adalah seorang yang zalim. Dia mendengar berita mengenai Nabi Yahya. Dia hairan mengapa manusia memberikan penghormatan luar biasa kepada Nabi Yahya berbanding dirinya seorang raja.

Diceritakan, raja ingin memperkosa isteri saudaranya yang mempunyai anak perempuan yang amat jelita. Anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang mengagumkan sambil memakai tujuh helai baju. Setiap kali menari, maka terlepaslah setiap baju yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir dia dalam keadaan tanpa seurat benang.

Raja bertanya kepada Yahya sama ada dia boleh menikahi isteri saudaranya. Yahya menjawab, itu tidak dibolehkan. Raja mendesak perkara itu dibolehkan, tetapi Baginda tetap berkeras.

Yahya meninggalkan raja itu. Ini menimbulkan kemarahanan raja yang memerintahkan Nabi Yahya dipenjara. Ketiadaan Nabi Yahya membolehkan raja memperkosa isteri saudaranya. Anak perempuan wanita itu yang suka menari melihat Yahya ketika menghadapi perbicaraan di hadapan raja. Dia amat tertarik dengan ketampanan Yahya dan kemuliaan peribadiya.

Wanita itu jatuh cinta kepada Yahya dan menemui Baginda di penjara. Ketika itu Nabi Yahya duduk bersolat dan menangis. Wanita itu terus melihat baginda bersolat sehingga selesai. Kemudian, wanita itu meletakkan dirinya di bawah kaki Yahya dan meminta baginda mencintai dirinya. Yahya menjawab di dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta kepada Allah. Wanita itu pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan putus asa. Dia meninggalkan Yahya dengan hati dipenuhi kebencian. Dia kembali ke istana raja. Ketika akhir waktu Isyak, raja minum minuman kegemarannya, khamr dengan banyak sehingga mabuk. Penari wanita itu segera memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Ketika melihat wanita itu, raja memukul rebana dan pelbagai alat muzik sehingga wanita itu menari dan menikmati tariannya.

Ketika tarian ketujuh, dia berhenti lalu memperlihatkan wajahnya sambil berkata kepada raja: “Wahai tuanku, aku ingin bertanya kepadamu.” Raja yang sedang mabuk itu berkata: “Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan kepadamu sekarang juga.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan kepala Yahya bin Zakaria.” Mendengar perkataan itu, raja segera sedar daripada mabuknya lalu amat takut.

Dia berkata: “Mintalah kepadaku perkara yang lain.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria.” Raja berkata: “Bunuhlah Yahya!” Akhirnya, raja mengeluarkan perintah kepada ternteranya membunuh Yahya. Demikian berakhir ajal Yahya, seorang pesuruh Allah.

Nabi Yusuf Tafsir Mimpi

Nabi Yusuf Tafsir Mimpi

PADA suatu hari, pembesar, penasihat dan orang arif dan bijaksana berkumpul di istana raja Mesir. Mereka diundang untuk memberi tafsir mimpi yang sering merunsing­kan hatinya.

Dia bermimpi seakan-akan melihat tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus. Di samping itu dia melihat dalam mimpinya tujuh butir gandum hijau di samping tujuh butir lain yang kering.

Tidak seorang pun daripada pembesar yang didatangkan itu yang dapat memberi tafsiran bagi mimpi raja itu bahkan sebahagian daripada mereka menganggapnya mimpi kosong. Pelayan raja, pemuda teman Yusuf dalam penjara, pada masa pertemuan Raja dengan tetamunya, kemudian teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia akan dikeluarkan dari penjara dan bahawa tafsir yang diberikan oleh Nabi Yusuf bagi mimpinya adalah tepat.

Ia terjadi sebagaimana yang ditakdirkan. Lalu dia memberanikan diri menghampiri raja dan berkata: “Wahai tuanku! Hamba mempunyai seorang teman kenalan di dalam penjara yang pandai mentafsir mimpi. Dia adalah seorang yang cekap, ramah dan berbudi pekerti luhur. “Dia tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan. Dia dipenjara kerana fitnah dan tuduhan palsu. Dia memberi tafsiran bagi mimpiku sewaktu hamba berada dalam tahanan bersamanya.

“Ternyata tafsirannya tepat dan benar sesuai dengan apa yang hamba alami. Jika Tuanku berkenan, hamba akan pergi mengunjunginya di penjara untuk menanyakan dia berkenaan mimpi tuanku.” Dengan izin Raja, pelayan itu pergi mengunjungi Nabi Yusuf dalam penjara. Dia menyampaikan kepada Nabi Yusuf kisah mimpi raja.

Tidak seorang pun daripada anggota dan penasihatnya dapat memberikan tafsiran yang dapat melegakan hati raja berkenaan. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf bahawa jika raja berpuas hati dengan tafsir mimpinya, mungkin dia akan dikeluarkan dari penjara. Dengan demikian akan berakhirlah penderitaan yang dialami selama bertahun-tahun Nabi Yusuf di dalam penjara. Nabi Yusuf menguraikan mimpi Raja: “Negara akan menghadapi masa makmur, subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur-mayur akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah.

“Kemudian masuk musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya di mana Sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rosak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian selama bertahun subur sudah habis dimakan.” Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat.

Maka jika tafsiranku ini menjadi kenyataan, Nabi Yusuf berkata: “Seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa dihasilkan dalam tahun-tahun subur serta berjimat dalam pemakaiannya untuk persiapan menghadapi masa kering, agar supaya rakyat terhindar daripada bencana kelaparan dan kesengsaraan.” Apa yang diceritakan nabi Yusuf berkenaan mimpinya, berasakan bahawa tafsir yang didengar itu masuk akal dan boleh dipercayai.

Apa yang diramalkan Yusuf menjadi kenyataan. Tafsiran Nabi Yusuf adalah tepat kerana dia seorang yang pandai dan bijaksana dan sangat berguna untuk negara. Maka raja menyuruh pelayannya ke penjara untuk membawa Yusuf menghadapnya di istana. Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai orang tahanan dalam penjara itu bagaimanapun enggan keluar sebelum tuduhan serta fitnah yang dikenakan ke atas dirinya diterangkan. Nabi Yusuf ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci daripada dosa. Raja Mesir yang sudah banyak kali mendengar kehebatan Nabi Yusuf mentafsir mimpi mula berasa hormat kepadanya dan mendengar tuntutan­nya agar diselesaikan lebih dahulu. Ia adalah tuduhan dan fitnah yang dilemparkan atas dirinya. Tuntutan Nabi Yusuf diterima raja Mesir dan segera dikeluarkan dari penjara.

Kemudian raja memerintah­kan supaya mengumpulkan wanita yang menghadiri jamuan makan Zulaikha yang terhiris hujung jari tangan masing-masing ketika melihat wajahnya. Di hadapan raja mereka menceritakan apa yang mereka lihat dan alami. Mereka menyatakan Nabi Yusuf se­orang yang jujur, soleh, bersih dan bukan dialah yang salah dalam peristiwa dengan Zulaikha. Zulaikha pun dalam pertemuan itu, mengakui memang dialah yang berdosa dalam kejadian dengan Yusuf. Dialah yang menyuruh suaminya agar memenjarakan Yusuf untuk memberikan gambaran palsu kepada masyarakat dialah yang salah dan memperkosa kehormatannya.

Hasil pertemuan raja de­ngan wanita-wanita itu, dihebahkan agar seluruh lapisan masyarakat mengetahui hal yang sebenarnya. Dengan demikian tersingkaplah cerita sebenar peristiwa Nabi Yusuf dan Zulaikha. Atas perintah raja, Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara secara hormat, bersih dari segala tuduhan. Beliau kemudian pergi ke istana bagi memenuhi undangannya. 

Wallahualam.

Rujukan: Harian Metro

Nabi Ibrahim membina Kaabah

ALLAH memerintahkan Nabi Ibrahim membangunkan Baitul 'Atiq, iaitu masjid bagi manusia menyembah Allah.

Ulama salaf mengatakan setiap tingkat langit terdapat sebuah rumah. Penduduk langit beribadah kepada Allah di rumah itu.

Kerana itulah Allah memerintahkan nabi Ibrahim membuat bangunan seperti itu di muka bumi ini. Inilah kisah pembangunan Kaabah oleh nabi Ibrahim yang dibantu putera baginda, nabi Ismail.

Kisah bermula apabila nabi Ibrahim membawa isterinya, Hajar dan Ismail ke Makkah. Ketika itu, Hajar dalam masih menyusukan Ismail.

Nabi Ibrahim kemudian meletak Hajar dan Ismail di bawah pohon besar tetapi tiada sesiapa di situ termasuk sumber air.

Nabi Ibrahim hanya meninggalkan kurma dan bejana berisi air. Ketika nabi Ibrahim hendak pergi, Hajar mengikuti dari belakang dan bertanya, "Wahai Ibrahim, ke mana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah ini yang tiada sesiapa dan makanan apa pun?"

Hajar mengucapkan berkali-kali, namun nabi Ibrahim tidak menghiraukannya. Hajar bertanya lagi, "Apakah Allah yang memerintahkan engkau berbuat ini?"

Nabi Ibrahim kemudian menjawab, "Ya." Hajar lalu berkata, "Dia tidak akan membiarkan kami." Hajar kemudian kembali.


Di daerah Tsaniah, ketika kelibatnya hilang dari pandangan keluarga, nabi Ibrahim berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Rabb Kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."

Ketika persediaan air mereka habis, Hajar pun mencari air untuk dia dan puteranya. Dia ke bukit Safa, mencari-cari adakah orang di sana, namun tiada sesiapa ditemui.

Hajar kemudian ke Marwah dan mencari-cari orang di sana tetapi hampa. Hajar berulang alik dari Safa ke Marwah dan dari Marwah ke Safa sebanyak tujuh kali.
Oleh kerana itu, di dalam ibadat haji terdapat ibadat namanya Saei, iaitu berlari-lari kecil dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali.

Apabila sampai ke Marwah, Hajar mendengar suara. Lalu dia berkata, "Diamlah". Dia mendengar suara itu lagi lalu mencarinya dan berkata, "Aku mendengarmu, apakah engkau dapat memberikan bantuan?"

Ternyata dia berada bersama malaikat di tempat di mana terdapat air zam-zam. Lalu, malaikat itu menggali tanah hingga akhirnya muncul air.

Dia mendapatkan air itu mengisi dalam bejananya dan kembali kepada Ismail dan menyusuinya.

Malaikat berkata kepada Hajar, "Janganlah engkau takut disia-siakan, kerana di sini akan dibina sebuah rumah oleh anak ini dan bapanya. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan keluarganya."

Selepas beberapa waktu berlalu, serombongan suku Jurhum datang ke tempat itu dan tinggal di sekitar air zam-zam bersama Hajar dan Ismail. Ia atas izin dari Hajar.

Sementara itu, nabi Ismail kian meningkat dewasa dan belajar bahasa Arab dari Suku Jurhum. Baginda berkahwin dengan salah seorang wanita mereka.

Diceritakan bahawa tidak lama kemudian, Hajar meninggal dunia. Nabi Ibrahim datang menjenguk nabi Ismail dan hanya bertemu nabi Ismail dan isterinya.

Nabi Ibrahim bertanya kepada wanita itu ke mana nabi Ismail. Isterinya menjawab, "Dia mencari nafkah untuk kami."

Nabi Ibrahim bertanya keadaan mereka. Isteri nabi Ismail menjawab, "Kami dalam hidup dalam kesempitan dan kemiskinan."

Mendengar jawapan itu, sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan kepada wanita itu menyampaikan salam kepada nabi Ismail bahawa Baginda akan dan berpesan agar nabi Ismail mengganti pegangan pintunya.

Selepas nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menceritakan peristiwa tadi dan menyampaikan pesan nabi Ibrahim kepada suaminya.

Mendengar hal berkenaan, nabi Ismail berkata kepada isterinya, "Itu tadi adalah bapaku. Dia menyuruhku untuk menceraikanmu, maka kembalilah engkau kepada orang tuamu."

Nabi Ismail pun menceraikan isterinya sesuai dengan pesan nabi Ibrahim dan kemudian berkahwin lagi dengan seorang wanita dari Bani Jurhum.

Selepas beberapa waktu, nabi Ibrahim kemudian kembali mengunjungi nabi Ismail. Namun, nabi Ismail tidak ada di rumah. Nabi Ibrahim pun menemui isteri nabi Ismail yang baru.

Beliau bertanya di mana nabi Ismail sekarang. Isterinya menjawab nabi Ismail sedang mencari nafkah. Nabi Ibrahim juga bertanya keadaan mereka.

Wanita itu menjawab keadaan mereka baik-baik saja sambil kemudian memuji Allah. Nabi Ibrahim bertanya makanan serta minuman mereka.

Wanita itu menjawab makanan mereka adalah daging, dan minuman adalah air. Maka nabi Ibrahim mendoakan mereka, "Ya Allah berkatilah mereka pada daging dan air."

Selepas itu, nabi Ibrahim pergi dari rumah nabi Ismail. Namun, Baginda berpesan kepada wanita itu agar nabi Ismail memperkukuh pegangan pintunya.

Ketika nabi Ismail pulang, beliau bertanya kepada isterinya, "Adakah tadi orang yang bertamu?" Isterinya menjawab, "Ada, seorang tua yang penampilannya baik." Dia memuji nabi Ibrahim. "Dia bertanya kepadaku dirimu, maka aku jelaskan keadaanmu kepadanya. Dia juga bertanya kehidupan kita, dan aku jawab kehidupan kita baik-baik saja."

Nabi Ismail kemudian bertanya, "Adakah dia ada berpesan sesuatu kepadamu?" Isterinya kembali menjawab, "Ya. Dia menyampaikan salam kepadamu dan menyuruhku mengukuhkan pegangan pintumu."

Nabi Ismail berkata, "Itu adalah ayahku dan engkau adalah pegangan pintu itu. Beliau menyuruhku untuk tetap berkahwin denganmu (menjagamu)."

Ketika nabi Ismail meraut anak panah, nabi Ibrahim pun datang. Nabi Ismail pun bangun menyambutnya dan mereka pun saling melepaskan rindu.

Selanjutnya, nabi Ibrahim berkata, "Wahai anakku, sesungguhnya Allah menyuruhku menjalankan perintah."

Ismail menjawab, "Lakukanlah apa yang diperintahkan Tuhanmu." "Apakah engkau akan membantuku?," tanya nabi Ibrahim.

"Aku pasti akan membantumu," jawab Ismail. Nabi Ibrahim kemudian menunjuk ke tompokan tanah yang lebih tinggi dari yang sekitarnya.

Baginda berkata, "Sesungguhnya Allah menyuruhku membuat rumah di sini." Pada saat itulah, Ismail mulai mengangkut batu, sementara Ibrahim memasangnya untuk membina Baitullah.

Selepas bangunan tinggi, Ismail membawakan sebuah batu untuk menjadi pijakan bagi nabi Ibrahim. Batu inilah yang akhirnya disebut sebagai maqam (tempat berdiri) nabi Ibrahim.

Mereka bekerja dan berdoa, "Wahai Tuhan kami terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui". Sampai akhirnya Kaabah pun berdiri di bumi Allah.





Credit to Mymetro

Kisah Ashabul Kahfi



Ashabul Kahfi; tauladan buat pemuda umat ini Pemuda sebagai tunggak kepada kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja. Pemuda Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah iaitu;

1.Untuk mengabdikan diri kepada Allah
2.Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3.Membantu membangunkan ummah dan negara Pemuda Islam juga harus menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu.

Asas-asas kekuatan itu ialah;
-Iman yang mantap di dalam jiwa
-Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
-Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan malu.
-Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan malas.
-Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.


Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”. Kisah ashabul kahfi adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang sebenar iaitu;

1.Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim
2.Yakin kepada diri sendiri
3.Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4.Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5.Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6.Sanggup berkorban
7.Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8.Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun.


Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah; “Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.

2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar Zulkarnain.

3. Kisah tentang hakikat ruh.

Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut”. Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya).

Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1.Maksalmina
2.Tamlikha
3.Martunus
4.Bainunus atau Nainunus
5.Sarbunus
6.Dzunuanus
7.Kasyfitatanunus


Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya; “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian.

Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah; “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.

Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.

Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11). Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18) Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan.

Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja. “Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu; “Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.

FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.

Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi. “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Iblis uji keadilan Nabi Zulkifli

Seseorang yang ditentukan Allah untuk menjadi nabi dan rasul adalah hamba yang terbaik, sabar dan soleh.

Nama nabi Zulkifli adalah di antaranya. Bapa nabi Zulkifli bernama nabi Ayyub. Manakala ibunya bernama Rahmah. Nama sebenar nabi Zulkifli adalah Basyar. Namun, kerana selalu berpegang kepada amanah dan janji, maka baginda digelar Zulkifli. Zulkifli bererti orang yang sanggup. Sejak kecil hingga dewasa dia tidak pernah berbohong kepada sesiapa.

Semua janji yang diucap­kannya sentiasa ditepati sehingga teman dan ramai orang amat senang kepadanya. Baginda terkenal di kalangan masyarakat lantaran tingkah lakunya mencerminkan kebaikan dan kebenaran. Sikap dan pendiriannya tidak mudah goyah. Emosinya mampu dikawal secara baik. Saat ditimpa cubaan dan dirundung masalah, Baginda menerimanya dengan sabar, tanpa mengeluh. Nabi Zulkifli dibesarkan di sebuah negara yang dipimpin seorang raja yang arif dan bijaksana. Raja tidak suka mementingkan dirinya. Semua fikiran, tenaga dan harta kekayaannya ditumpahkan demi wilayah dan bangsa yang dicintainya. Justeru, rakyat hidup dalam aman dan makmur. Sayangnya raja itu sangat tua dan tidak memiliki keturunan. Raja sangat gelisah mengenai penggantinya kelak, termasuk nasib negara dan warganya.


Hampir setiap hari raja memikirkan persoalan itu. Maka, baginda meminta pertimbangan dan berbincang dengan penasihat istana. Akhirnya ditemukan jalan keluar terbaik, iaitu mengada­kan sayembara terbuka dan ia tersebar ke seluruh negara. Sayembara itu untuk memberi kesempatan kepada seluruh rakyatnya agar memimpin negara. Rakyat diminta hadir di istana pada hari dan waktu yang ditentukan.


Saat yang ditunggu tiba. Sejak pagi hari rakyat datang beramai-ramai untuk menyertai sayembara berkenaan.


Nabi Zulkifli adalah antara yang hadir. Kemudian, muncul raja dengan baju kebesarannya dan berdiri di mimbar. Baginda memandang lautan manusia dan mereka mulai diam dalam suasana hening itu. “Wahai seluruh rakyat yang beta cintai, seperti diketahui, usia beta sudah lanjut. “Beta pun tidak mempunyai keturunan yang boleh meneruskan kejayaan kerajaan ini. Beta tidak akan lama lagi berada di antara kalian semua. “Sebagaimana yang berlaku selama ini, titah raja selalu dituruti dan tingkah lakunya diikuti rakyatnya. Maka dari itu, beta akan mengambil seorang daripada kalian yang terbaik. “Syarat utamanya, orang yang akan menggantikan tempat beta adalah orang yang pada siang hari melakukan puasa dan malam hari mengerjakan ibadah.” Demikian kandungan ucapan raja dengan nada yang tegas dan berwibawa. Raja mempersilakan rakyatnya yang sanggup dengan syarat yang diberikan itu agar mengangkat tangan. Namun selepas menunggu beberapa ketika, tidak ada seorang pun yang berani mengangkat tangan. Bagi mereka, syarat itu terlalu berat. Tiba-tiba nabi Zulkifli meng­angkat tangan, melangkah ke hadapan raja, kemudian berkata dengan rendah hati; “Maaf, hamba sanggup menjalankan puasa di siang hari dan mengerjakan ibadah pada malam hari.” Semua yang hadir terkejut, tidak terkecuali raja. Raja tidak yakin kepadanya melihat usia nabi Zulkifli yang masih muda. Raja merenung nabi Zulkifli. Nabi Zulkifli kembali menegaskan; “Wahai tuanku, hamba tidak main-main dengan ucapan hamba. Apa yang tuanku minta akan hamba laksanakan.” Raja terdiam lantas memutuskan untuk menerima permohonan nabi Zulkifli. Malam harinya raja tidur dengan tenang. Sejak itu nabi Zulkifli tinggal di istana. Namun, kemewahan di istana, kilauan permata, hamparan permaidani tidak membuat nabi Zulkifli lupa diri. Beliau tetap hidup sederhana seperti dulu. Menjelang detik kemangkatan raja, baginda berpesan kepada nabi Zulkifli agar menjalankan tanggungjawab yang diamahkan kepadanya.


Nabi Zulkifli bersumpah menjaga amanat itu hingga akhir hayat. Kewafatan raja menimbulkan kedukaan rakyatnya.


Rakyat berharap pemimpin mereka lebih membawa kebaikan, kemakmuran dan kedamaian. Selepas menjadi raja, nabi Zulkifli mulai mengatur jadual berpuasa, beribadah serta melayani rakyatnya sepenuh jiwa.


Nabi Zulkifli bekerja siang dan malam. Seluruh keperluan rakyatnya dipenuhi. Urusan mereka diselesaikan secara baik dan adil tanpa menimbulkan sebarang konflik.


Beliau tidak membezakan orang yang mahu meminta pertolongan. Semua diperlakukan sama rata dengan sabar. Hasilnya, di bawah kepemimpinan nabi Zulkifli rakyat hidup dengan senang dan bahagia. Sejak menjadi raja, nabi Zulkifli makin bertambah kuat ketakwaannya kepada Allah.


Pada satu malam, ketika nabi Zulkifli beranjak ke tempat tidur, pintu katilnya diketuk seorang pembantu istana. Menurut pembantunya, seorang warga datang untuk meminta bantuan. Nabi Zulkifli kemudian menemuinya dengan sikap ramah. Warga itu segera mengadukan persoalannya dengan menundukkan wajahnya. Dia mengaku baru dirompak di tengah perjalanan. Harta bendanya dirampas orang. Nabi Zulkifli mendengarnya dengan penuh kesabaran. Setelah meneliti apa yang disampaikan, nabi Zulkifli berasa ada yang ganjil. Lokasi yang tempat berlakunya peristiwa rompak itu adalah kawasan aman. Di wilayah negeri itu tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu. Nabi Zulkifli kemudian bertanya siapa sebenar­nya tetamu berkenaan. Dia mengaku identiti sebenarnya adalah iblis yang menyerupai manusia. Tujuan kedatangannya itu hanya untuk menguji dan membuktikan kesabaran, kebaikan dan kesolehan Nabi Zulkifli. Kemudian, iblis itu pun menghilangkan diri.

Kilat musnahkan kaum Tsamud

Kaum Ad sudah lenyap dan selepas sekian lama muncul pula kaum Tsamud mendiami negeri yang sama. Negeri yang musnah itu dibangunkan semula hingga menjadi lebih maju daripada sebelumnya dengan hasil bumi melimpah ruah.

Kehidupan kaum Tsamud tidak ubah seperti Ad, tidak mensyukuri nikmat Allah malah dengan bangga dan tinggi diri menonjolkan kekayaan dimiliki. Bagi mereka harta yang dimiliki kekal selama-lamanya. Harta benda dan keseronokan duniawi menyebabkan mereka lupa diri dan Tuhan Yang Maha Pencipta sehingga menjadikan batu sebagai tempat pemujaan. Batu yang disembah itu diberi pelbagai nama seperti Wad, Jad, Syams, Manaf, Manat dan al-Lata. Akidah mereka terpesong, lalu Allah mengutuskan Nabi Salleh untuk menunjukkan jalan kembali kepada kebenaran, iaitu mengakui Allah sebenarnya berhak disembah, bukan batu berhala yang tidak mempunyai sebarang kuasa. Kaum Tsamud yang sudah hidup selesa menolak Nabi Salleh. Segala diucapkan Nabi Allah itu ditentang mereka, malah bagi mereka Salleh terkena ilmu sihir sehingga sanggup mengaku sebagai utusan Allah.

Satu ketika, mereka bersemuka dengan Nabi Salleh untuk melihat bukti kenabiannya. Kalangan mereka mencabar Nabi Salleh dengan berkata: "Jika kamu dapat mengadakan mukjizat, kamu memang benar nabi. Jika tidak, kamu bohong." Kerana dicabar, Nabi Salleh segera berdoa kepada Allah supaya dikurniakan mukjizat. Allah memakbulkan permintaan itu dan memerintahkan Nabi Salleh mengumpulkan kaumnya (Tsamud) di kaki gunung. Di kaki gunung nanti bakal muncul seekor unta betina luar biasa yang cantik, besar dan gemuk malah ia tidak pernah dilihat sebelum ini. Namun, unta itu tidak boleh diganggu sesiapa. Janji Allah ditunaikan dan orang beriman makin bertambah imannya, manakala orang kafir di kalangan kaum berkenaan yang penuh dengan perasaan dengki makin marah, lalu merancang membunuh unta terbabit.

Pemimpin mereka menjadikan wanita muda lagi cantik sebagai perangsang kepada mana-mana lelaki supaya melakukan kerja terkutuk itu. Seorang wanita cantik bernama Shaduq binti Mahya tampil dan dia mahu menyerahkan kehormatannya dengan sepuas-puasnya kepada lelaki bernama Masdak Ibn Hajar dengan syarat lelaki itu membunuh unta terbabit. Di samping itu, seorang perempuan tua derhaka juga menyatakan hasratnya, mahu menyerahkan kehormatan anak gadisnya kepada lelaki bernama Qudar Ibn Salif jika berjaya membunuh unta yang dilarang Allah itu. Berikutan tawaran itu, kedua-dua lelaki terbabit menyahut cabaran membunuh unta berkenaan. Unta itu mati selepas ditusuk dengan pedang hingga terburai susunya.

Masdak dan Qudar sungguh girang kerana membunuh unta itu lalu menemui pemimpin mereka dan masing-masing menagih gadis cantik berkenaan yang dijanjikan sebagai ganjaran. Tindakan membunuh unta itu jelas menunjukkan mereka melampaui batasan. Mereka sengaja mendustakan firman Allah, yang memberikan peringatan kepada sesiapa membunuh unta itu bakal menerima balasan. Mereka pula langsung tidak menyesal atas pembunuhan itu, malah mempersendakan Nabi Salleh. Mereka memanggil seksaan Allah itu. Lalu Nabi Salleh berkata: "Kamu sebenarnya melakukan dosa. Sekarang kamu hanya boleh bergembira tiga hari atas kematian unta itu.

Selepas tiga hari, yang dijanjikan Tuhan akan datang dan bukanlah ini janji palsu." Belum sampai tiga hari, mereka datang lagi kepada Nabi Salleh dengan menghamburkan kata-kata: "Percepatkanlah datangnya seksa yang kamu janjikan itu." Sehari sebelum genap tempoh dijanjikan Nabi Salleh itu, mereka mengadakan mesyuarat tergempar secara rahsia bagi membunuh Nabi Salleh pada malam itu juga, namun utusan Allah itu terselamat. Masa yang dijanjikan sudah tiba. Belum sempat mereka berbuat apa-apa, petir dan kilat sambar menyambar. Berikutan petir itu terlalu kuat, bukan saja mereka, malah rumah dan bangunan yang dirikan mereka turut ranap. Peristiwa kaum Tsamud menerima seksaan itu digambarkan dalam surah al-Haqqah, antaranya berbunyi: "Ada pun kaum Tsamud, maka mereka dibinasakan dengan luar biasa."
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE