Kesemua manusia yang
beriman akan melalui hisab iaitu timbangan amal di atas dosa dan pahala yang
telah dikerjakannya ketika di dunia. Tetapi amat malang terdapat 6 golongan
manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa hisab di sebabkan dosa besar
dan kemugkaran yang mereka lakukan ketika di dunia.
Abu Hurairah r.a
berkata, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
"Enam kerana enam
akan dimasukkan ke neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal)
iaitu :
1. Kerajaan yang
zalim
2. Orang yang
fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
3. Ketua
kampung/pemimpin yang sombong.
4. Pedagang atau
ahli perniagaan yang berkhianat.
5. Orang kampung
yang kerana kebodohannya.
6. Dan ahli ilmu
kerana hasad dengkinya."
Huraiannya adalah
seperti berikut :
Golongan pertama :
Kerajaan yang zalim.
Pemimpin yang telah
dipilih oleh rakyat dan diberikan amanah untuk mentakbirkan negara sekiranya ia
melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil tidak akan dapat
mencium keharuman syurga dan dimasukkan kedalam neraka sebelum hisab
(perhitungan amal).
Ma’qil Ibnu Yasar
r.a berkata “ Saya mendengar Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “ Tidak ada seorang
hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia
tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada
kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”
(Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah
S.A.W maksudnya : "Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu
sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan
mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah
mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka
dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah
boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama
mereka menunaikan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Abdullah bin
Mas’ud.Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan melihat
selepasku sikap (pemerintah) mementingkan diri dan kamu akan melihat
perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata:
Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda:
Tunaikan untuk mereka hak mereka dan mintalah kepada ALLAH hak kamu.” (Hadis
Riwayat Bukhari)
Dalam realiti kita
hari ini di dalam seluruh dunia Islam pemimpin negara Islam kebanyakkannya tidak
berlaku adil kepada rakyat dibawah pemerentahannya. Selagi mereka tidak berhukum
dengan hukum yang diturunkan Allah S.W.T. selagi itulah mereka tidak akan dapat
berlaku adil. Pemimpin kerapkali merampas hak rakyat, rasuah, menyalah gunakan
dana kerajaan dan menagkap dan memenjarakan rakyat yang tidak berdosa tanpa
dibicarakan di mahkamah terbuka. Para ulama yang bertanggungjawab menyampaikan
dakwah kepada rakyat disekat dan dikenakan berbagai halangan dan sekatan
sehingga rakyat yang dahagakan ilmu terbiar tanpa mendapat tarbiah dan kesedaran
Islam.
Perkembangan terkini
dua buah negara Arab yang mana pemimpinnya cukup zalim dan kejam, rakyatnya
telah bangkit memberontak dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran,
yang satu telah jatuh dan menanti yang satu lagi bila-bila masa akan jatuh
dibawah gelombang rakyat yang dahagakan keadilan dan kebebasan. Cuba kita
bayangkan bagaimana zalimnya seorang pemimpin Islam sanggup menjadi 'budak
suruhan' Yahudi laknatullah, saudara kita Palestin membawa makanan dan
ubat-ubatan melalui trowong bawah tanah pihak tentera telah melepaskan gas
beracun hinggakan mereka yang berada di trowong mati kerana sesak nafas.
Tunggulah balasan Allah kepada mereka yang menzalimi saudara muslim yang tidak
berdosa!
Para pemimpin
pergerakan Islam di dua negara tersebut telah di tangkap dan diseksa dengan
berbagai-bagai seksaan sedangkan mereka bukan penjenayah, mereka hanya
menyampaikan dakwah untuk menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kemurkaan
Allah. Kebangkitan gelombang rakyat adalah suatu yang tidak dapat disekat lagi
kerana rakyat memerlukan pemimpin yang adil , amanah dan pemimpin berhati
rakyat.
Ingatlah wahai
pemimpin umat Islam! Kedudukan kalian sentiasa dibawah pengawasan Allah!
Andainya kalian adil , kalian akan mendapat naungan Arasy di Padang Mahsyar
nanti. Sebaliknya jika kalian zalim dan menindas rakyat maka kalian adalah
golongan pertama akan di masukkan ke dalam neraka tanpa hisab kerana betapa
besarnya dosa kalian disisi Allah S.W.T.
Golongan Kedua :
Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
Islam melarang
umatnya mengutamakan kemegahan atau taksub kepada sesuatu kaum/bangsa dan sifat
separti ini dipanggil memperjuangkan asabiyah.
"Seorang lelaki
(ayah perempuan yang meriwayatkan hadis) bertanya: 'Wahai Rasulullah, adakah
dianggap asabiyah puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?' Jawab baginda
S.A.W : 'Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya
kepada kezaliman". (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)
Imam Al-Munawi
ketika mensyarahkan perkataan asabiyah lalu berkata:
“Iaitu membantu
kezaliman…” (rujuk Aun Al-Ma’bud)
Dapat difahami
bahawa sayang kepada bangsa sendiri yang di amanahkan pula oleh Allah untuk
menerajui Islam di negara ini tanpa melakukan penindasan kepada bangsa-bangsa
lain adalah tidak di larang. Dalam masa yang sama sebarang kezaliman ,
kemungkaran dan kemaksiatan tetap dibenteras walaupun dilakukan oleh bangsa
sendiri.
Maksud umum kepada
asabiyah bukan setakat berlaku apabila pembelaan kezaliman kepada bangsa tetapi
ia juga boleh berlaku apabila kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan, puak,
organisasi, keluarga, parti atau jamaah lalu dibela dan dipertahankan.
Dalam hadis yang
lain Nabi S.A.W bersabda maksdnya : "Bukan termasuk kalangan ummatku orang yang
mengajak pada asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang berperang
atas dasar asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang mati atas
dasar asabiyah." (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Golongan Ketiga :
Ketua kampung/ pemimpin yang sombong.
Sifat sombong adalah
satu sifat yang amat dimurkai oleh Allah S.W.T. Tiada sebab manusia mesti
sombong kerana sesuatu kekuasaan dan kekayaan kerana semuanya adalah milik
Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kesemua itu.
Dari Abdullah bin
Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak
akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari
kesombongan."
Salah seorang
berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang
bagus."
Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai
keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat
Muslim)
Seorang ketua
kampung atau pemimpin dikawasan mukim tidak seharusnya dia bersifat sombong
kerana tugas untuk memimpin kampung atau mukim adalah satu amanah bukan satu
keistimewaan dan boleh bermegah-megah.
Begitu juga orang
kaya tidak sepatutnya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan
usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang
bodoh dan malas berusaha.
Firman Allah S.W.T.
maksudnya : "Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia
bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya
perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah
orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau,
'Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang terlalu membanggakan diri (sombong)' ” (Surah al-Qashash ayat 76)
Firman-Nya lagi yang
bermaksud : "Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Sesungguhnya telah datang
kepada mereka Musa dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya ,
namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab
perit Allah Taala".
(Surah al-Ankabut
ayat 39).
Jauhilah sifat
sombong kerana sifat ini akan menjadikan seseorang termasuk di dalam golongan
ketiga akan masuk neraka tanpa hisab.
Keempat : Pedagang
atau ahli perniagaan yang berkhianat.
Salah satu cara
untuk mendapatkan harta dengan cara yang halal adalah dengan perniagaan.
Perniagaan adalah
suatu kegiatan ekonomi yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana
aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga
yang berusaha bersungguh-sungguh.
Rasulullah S.A.W.
pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 (90%) rezeki itu adalah datang daripada
perniagaan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Peniaga yang
berniaga melakukan penipuan dengan menaikkan harga barang atau menyorok barang
keperluan harian tanpa memilirkan kesusahan orang lain adalah dikira berkhianat
dan menipu orang ramai.
Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang
bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis
riwayat Bukhari).
Tujuan perniagaan
mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan
memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala
yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari
keredaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Sekiranya seorang
peniaga itu berkhianat atau menipu dalam perniagaannya, menipu timbangan atau
mengurangkan spesifikasi yang telah ditetapkan sesuatu barangan/ pembinaan maka
dia termasuk golongan keempat akan di masukkan kedalam neraka sebelum di
hisab.
Kelima : Orang
kampung yang kerana kebodohannya. ( Orang bodoh yang mempertahankan
kejahilannya)
Islam amat mengambil
berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan
menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.
Nabi S.A.W.
bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke
syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya orang
yang berilmu adalah tidak sama dengan orang jahil (bodoh). Orang jahil yang
melakukan maksiat dan membuat dosa, tidak akan terlepas seksaan Allah S.W.T di
atas kejahiliannya kerana kemalasannya untuk menuntut ilmu. Pepatah ada
mengatakan 'bodoh sombong'.
Orang jahil jika
dia memberi pendapat ia hanya berkata menurut fikiran logik sahaja dan mengikut
hawa nafsu, dan keadaan ini amat berbahaya jika silap memberi komen bab agama
boleh sesat dan menyesatkan orang lain.
Golongan kelima yang
jahil ini akan di masukkan kedalam neraka sebelum hisab kerana
kejahilannya.
Golongan Keenam :
Ahli ilmu kerana hasad dengkinya.
Hasad atau dengki
diertikan sebagai sifat seseorang yang tidak suka orang lain lebih daripadanya
atau tidak suka orang lain mendapatkan kenikmatan Allah. Ia ingin nikmat itu
hilang daripada orang lain. Perasaan dan sifat ini adalah sifat yang dimiliki
oleh Iblis laknatullah betapa dia cukup irihati kepada Nabi Adam a.s. dan anak
cucunya.
Hasad dengki yang
paling membahaya adalah apabila ulama menaruh hasad dengki kepada ulama yang
lain. Apabila seseorang itu di gelar alim ulama maka dia adalah seorang yang
berilmu dan mengetahui dosa dan pahala.
Dalam sejarah umat
Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah
difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya. Mereka menaruh hasad dengki kepada
beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti
pengajiannya. Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa
itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. Tetapi dengan izin Allah,
Allah S.W.T. membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat
buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata
dan beliau dibebaskan.
Dari Abu Yazid
Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari Qiyamat, lalu
dilempar ke Neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar
itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni
neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang
terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang makruf dan mencegah
dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada
yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar,
namun aku melanggarnya'."
(Hadis Riwayat
Muttafaq Alaih)
Biasanya ulama yang
memiliki sifat hasad dengki adalah ulama dunia, ulama yang mementingkan diri
sendiri dan tidak mahu menyatakan kebenaran kepada pemimpin zalim walaupun
kezaliman itu terang-terangan berlaku dihadapan matanya. Ulama seperti ini akan
masuk neraka tanpa hisab dan dia lebih dahulu masuk neraka daripada penyembah
berhala .