Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” menuju ke Sidratul Muntaha bertemu dengan ALLAH SWT

Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” menuju ke Sidratul Muntaha bertemu dengan ALLAH SWT

Gambar Hiasan

Pengembaraan Israk Mikraj adalah kisah agung ini ditempuh Rasulullah SAW, dicatat oleh ilmuwan Islam melalui jalurjalur hadis yang sahih. Kisah pengembaraan secara horizontal dan vertikal yang dijalani dalam satu malam sahaja. 

Perjalanan berjuta batu ditempuh dengan sekelip mata. Ajaib malah di luar logika; seperti magis! Kerana itu al-Quran memulakan kisah ini dengan sebuah ungkapan tasbih. “Maha Suci ALLAH, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’, ayat 1) Kalimat tasbih ini diucapkan ketika daun telinga mendengar peristiwa besar dan saat mata melihat perkara yang menakjubkan.

Sedangkan perkataan hamba menunjukkan berkumpulnya roh dan jasad. Demikian pula jika jasad tanpa roh dikenal sebagai mayat. Oleh itu, perjalanan yang ditempuh Rasulullah SAW dari Makkah ke Sidratul Muntaha berlaku secara sedar dan bukannya mimpi. Imam Ja’far At Thahawi berkata dalam kitab Aqidahnya: “Mikraj adalah benar. Nabi SAW melakukan Israk dan Mikraj dengan tubuh beliau dalam keadaan terjaga ke atas langit...” Baginda melakukan Israk dengan menunggang Buraq, sejenis haiwan berwarna putih yang kakinya boleh melangkau sejauh mata memandang; panjangnya lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal (rujuk: Shahihain). Setelah sampai di Masjidil Aqsa, kemudian Nabi mengikat Buraq lalu bersolat sebentar di dalam Masjidil Aqsa.

Setelah itu, Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” bagi meneruskan perjalanan menuju ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan ALLAH SWT.

Tangga inilah yang diistilahkan sebagai Mikraj. Sesetengah riwayat menyebutkan Nabi SAW bersabda: “Maka aku mendapati dua tangga, salah satunya daripada emas dan yang lainnya daripada perak”. Wallahu’alam. Pastinya beriman kepada Mikraj adalah wajib, tanpa mempersoalkan bentuk dan rupanya. (rujuk: Mu’jam Alfazhil Qur`an karya Ar-Raghib Al- Ashfahany dan Syarh Al-‘Aqidah Ath-Thohawiyah karya Ibnu Abil ‘Izz) 

Setiap kali Jibrail sampai ke tingkat langit, dia harus meminta kebenaran untuk dibukakan pintu langit agar boleh dilintasi Rasulullah SAW. Perkara ini berulang sehingga mereka sampai ke langit yang ke tujuh. Dalam setiap tingkat langit ini Rasulullah SAW bertemu dengan golongan Rasul yang sebelum baginda. Tatkala setelah sampai di Pohon Muntaha yang daunnya seperti telinga gajah dan buah-buahannya seperti guci yang besar, lalu wahyu ALLAH menyeliputi pohon tersebut, lantas berubahlah bentuknya. 

Tidak ada seorang pun daripada makhluk ALLAH yang mampu untuk menggambarkan keadaan Pohon Muntaha ini setelah wahyu menyeliputinya disebabkan tersangat indah. (Sahih Muslim) Solat lima waktu Setelah itu ALLAH menurunkan kewajipan solat 50 waktu kepada umat Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW bersabda: “ALLAH pun mewahyukan kepada ku dengan memerintahkan kepada ku solat 50 waktu sehari semalam. Aku pun turun dan berjumpa dengan Musa AS. Dia pun bertanya: ‘Apa yang diwajibkan Rabbmu kepada umatmu?’ Aku pun menjawab: ‘Solat 50 waktu.’ Musa berkata: ‘Kembalilah kepada Rabbmu, mohonlah keringanan kepada-Nya kerana umatmu tidak akan sanggup memenuhi kewajipan ini, sungguh aku telah menguji Bani Israil.” (Shahih Muslim) Berlakulah setelah itu proses turun naik antara langit ke enam dan Sidratul Muntaha yang dilakukan Nabi uhammad SAW dalam upaya mengurangkan jumlah solat. Sehinggalah Rasulullah SAW berasa malu untuk terus meminta pengurangan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terus menerus aku turun-naik antara Rabbku tabaraka wata’ala dengan Musa ‘alaihissalam sampai ALLAH menyatakan: ‘Wahai Muhammad, kewajipan solat itu sebanyak lima waktu sehari semalam, setiap solat bernilai sepuluh (kebaikan), sehingga nilai keseluruhan dari lima waktu solat adalah sebanyak 50 waktu solat.” (Sahih Muslim) Setelah termaktub pensyariatan solat sebanyak lima waktu, Rasulullah SAW turun ke bumi sehingga menjejakkan kakinya di Masjidil Aqsa. Lalu baginda menunggang Buraq untuk kembali ke Makkah. Peristiwa ini disampaikan kepada golongan Sahabat. Lantas ada daripada kalangan kaum munafik yang membantah cerita ini. Lalu ALLAH menurunkan wahyu dari langit: “Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya. Maka apakah kamu hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya?

Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibrail) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar”. (Surah An-Najm : 11-18) Bantahan kaum yang sesat Kaum munafik menggunakan logik akal dalam berdalil; mereka mempersoalkan tentang perjalanan Israk yang berlangsung dari Makkah ke Palestin dalam masa beberapa saat, walhal perjalanan tersebut memakan masa berbulan-bulan.

Maka manusia yang mempercayai kerasulan Muhammad SAW akan terus beriman, dan yang ragu terus menjadi kafir. Waktu inilah pemisah antara manusia yang mempertuhankan akal dan manusia yang beriman kepada naqal (wahyu). Waktu ini jugalah tersingkap sifat kemunafikan di antara orang yang mengikuti seruan Nabi Muhammad SAW. Rupa-rupanya ada daripada kalangan umat Islam pada zaman ini yang menafikan peristiwa perjalanan vertikal – mikraj, atas alasan ia adalah peristiwa yang direkodkan hadis ahad.

Walhal hadis mengenai peristiwa ini direkodkan 16 Sahabat. Mereka adalah: Anas bin Malik, Abu Dzar, Malik bin Sho’sho’ah, Ibnu ‘Abbas, Jabir, Abu Hurairah, Ubay bin Ka’ab, Buraidah ibnul Hushoib Al-Aslamy, Hudzaifah Ibnul Yaman, Syaddad bin Aus, Shuhaib, Abdurrahman bin Quroth, Ibnu ‘Umar, Ibnu Mas’ud, ‘Ali, dan ‘Umar. Justeru Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah Ar Rojihy berkata dalam Syarh Ath-Thohawiyah: “Jadi, sesiapa yang mengingkari Israk, maka dia kafir. Kerana dia menganggap Allah berdusta. Sesiapa yang mengingkari Mikraj maka tidak dikafirkan sampai ditegakkan padanya hujah serta dijelaskan padanya kebenaran.”

Ada juga antara kaum Muslimin yang membaca kisah ini tanpa mengerti; dalam masa mereka menetapkan peristiwa turun naik yang dilakukan Nabi untuk berjumpa ALLAH bagi mengurangkan jumlah solat, mereka menetapkan ALLAH wujud tanpa tempat.

Seandainya ALLAH bukan bersemayam di atas Arasy, malah sebaliknya ALLAH wujud tanpa tempat, lalu mengapa berlakunya Mikraj? Lebih ironi mengapa Musa menyuruh Nabi Muhammad SAW menghadap ALLAH di Sidratul Muntaha berulang kali? Cukup sahaja di langit ke enam - tempat Nabi Musa tinggal - Rasulullah SAW menyeru Tuhannya, tidak perlulah baginda naik turun berulang kali. Lalu di sinilah pemisah antara golongan yang beriman kepada naqal dan akal.

Peristiwa Israk dan Mikraj

Peristiwa Israk dan Mikraj

Israk 

Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj

Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Kesahihan peristiwa israk dan mikraj

Tarikh berlaku Israk dan Mikraj

Tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Rentetan peristiwa

Sebelum israk

Ketika nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah.’

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Semasa Isra’ (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa )

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah),

Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah )

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Buraq kenderaan tunggangan Nabi Muhammad SAW

Buraq Kenderaan Tunggangan Nabi Muhammad SAW

Buraq adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda. Saiznya kecil sedikit daripada kuda tapi lebih besar dari keldai. Lariannya sepantas kilat. Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang jaraknya. Buraq akan memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki manakala akan memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun. Menggerak-gerakkan telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq. Di samping rupanya yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya. Sayap ini adalah untuk membantu kecepatan lompatannya.

Semasa peristiwa Israk dan Mikraj iaitu pada malam tanggal 27 Rejab, Allah telah memerintahkan Jibrail mengambil buraq sebagai kenderaan tunganggan Nabi Muhammad SAW dan ketika Jibrail pergi mendapatkan buraq di syurga, dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad SAW. 

Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail terpandang pada seekor buraq yang berwarna putih sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail lalu menghampirinya lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?" Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad SAW sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan." 

Berkata Jibrail, "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu." Kemudian Jibrail memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW. Ketika sampai di bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail itu menojang-nojangkan kakinya. Ia seolah-olah enggan ditunggangi. 

Melihat demikian, malaikat Jibrail memegangnya dan berkata: "Wahai buraq! tidak malukah engkau? Demi Allah, orang yang akan menunggangi engkau adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT". Mendengar perkataan Jibrail itu maka bercucuranlah peluhnya. Ia kelihatan kemalu-maluan dan tidak lagi resah. Nabi SAW pun naik ke tempat yang tersedia di atas badan buraq, sebagaimana dilakukan oleh nabi-nabi sebelum baginda nabi SAW. 

Setelah siap segalanya, terbanglah buraq membawa nabi Muhammad SAW memulakan Israk. Dalam perjalanan itu, Jibrail mendampingi nabi SAW di sebelah kanan baginda SAW manakala Mikail di sebelah kiri.Wallahu'alam.

Translate

CLOSE