Kisah nabi Yaakub dan Wahyu dalam mimpi
PADA satu hari, Nabi Yaakub pergi menemui bapanya iaitu Nabi Ishak yang ketika itu sudah sangat tua, sudah berkedut kulitnya dan bongkok.
Yaakub berkata kepada bapanya: "Ya, bapaku! Aku datang mengadu tentang kedengkian saudaraku sendiri dengan harapan agar dia dinasihati dan diajar oleh bapa. "Sejak aku dipelihara bapa selalu mendoakan agar aku mendapat berkat, menjadi keturunan bapa yang baik, menjadi raja yang turun-temurun dan hidup bahagia.
"Sejak itulah saudaraku berasa dengki denganku bahkan kadang-kadang aku dihina, diancam dengan pelbagai ancaman sehingga putuslah tali kasih dan persaudaraan antara kami berdua.
"Maka hilang sama sekali rasa kasih dan sayang. Lebih-lebih lagi, saya merasa tidak tahan dengan sikap sombongnya dengan dua orang isterinya yang cantik yang berasal dari Kanan itu, dengan anaknya yang ramai sedangkan saya tidak mempunyai isteri dan anak dan tiada pula harta. "Aku mengadu semua keluhanku ini kepada bapa, agar bapa dapat menetapkan hukum antara saya dan dia dengan hukum yang baik.
"Bapa selalu mendapat wahyu daripada Allah, sentiasa mempunyai pemandangan dan fikiran yang dalam." Mendengar pengaduan dan keluhan itu, Nabi Ishak lalu menjawab: "Aku sedih mendengar ceritamu itu wahai anakku, sedang aku sudah begini tua pula, lihatlah janggutku yang putih, kulitku yang berkedut, aku sudah sangat tua dan tidak kuat lagi dan tidak lama lagi aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini seluruhnya. "Alangkah sedihnya aku, kalau mati dalam kesedihan daripada ceritamu itu. Alangkah sedihnya aku, sekiranya aku mati dan kamu tidak berbaik dengan saudaramu itu.
"Aku nasihatkan kepadamu agar engkau berangkat saja ke negeri Faddan Aram di Irak di mana engkau tinggal bapa saudara yang bernama Laban bin Batwail. "Kahwinlah dengan salah satu dari anak perempuannya, engkau akan mendapat kesenangan dan kebahagiaan. Kemudian kembalilah engkau ke negeri ini (Syam). "Aku doakan engkau dapat mengatasi ejekan saudara engkau dan mendapat keturunan yang lebih baik dari keturunan dan anak-anaknya. "Mudah mudahan Allah akan memelihara dan menjaga engkau dan rakyatmu." Nasihat bapanya itu masuk dalam hatinya dan dapat menenangkan jiwanya yang gelisah itu.
Dia akan menuju ke negeri Faddan Aram iaitu negeri nenek moyangnya sendiri. Lalu dia mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya yang sudah sangat tua itu serta mendoakannya kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan memanjangkan umurnya dan memeliharanya daripada segala bencana. Yaakub mula menempuh Padang Sahara yang luas dan tandus dengan berjalan kaki, siang dan malam tanpa henti menuju ke tempat yang dimaksudkan bapanya itu. Setiap kali Baginda kepenatan, lapar dan ditimpa kesusahan, teringatlah Baginda cita-cita dan harapan yang diberi bapanya kepadanya sebelum berangkat sehingga hilanglah susah dan payahnya dan Baginda meneruskan perjalanan.
Pada suatu hari, di satu tempat, di tengah-tengah padang pasir yang luas matahari menyinari bumi dengan sinar cahaya yang sangat panas sehingga pasir pasir itu menjadi api layaknya, angin yang mendinginkan badan sekarang berganti menjadi bertambah panasnya badan. Nabi Yaakub seakan akan tidak berkuasa lagi melangkahkan kakinya sedang di hadapannya terbentang padang pasir yang luas dan tandus. Di situlah Baginda merasakan amat susahnya berjalan, haus dan lapar yang tidak terhingga sehingga Baginda terhenti dari melangkah.
Apakah Baginda sanggup meneruskan perjalanan yang memenatkan itu atau Baginda terpaksa pulang kembali? Ketika termenung Baginda melihat batu besar yang mempunyai sedikit bayang lindungan cahaya matahari yang sedang terik. Baginda menghampiri batu besar itu lalu duduk berhenti di bawah naungan itu untuk melepaskan lelah, mendinginkan kakinya yang sudah panas dan letih itu, lantas Baginda tertidur. Dalam tidur seketika itulah datang kepadanya mimpi yang benar, wahyu yang pertama daripada Allah yang mengangkat baginda sebagai Nabi.
Dalam mimpi itu, Allah ilhamkan ke dalam hatinya bahawa Baginda akan menemui hidup bahagia, akan mendapat kerajaan yang besar, keturunan yang baik, mendapat Kitab daripada Allah sebagai Nabi dan Rasul Allah. Setelah terjaga daripada tidurnya itu, Baginda kembali bertenaga. Di hadapannya padang harapan yang luas seluas-luasnya. Baginda melangkah kaki menuju tempat yang dicita-citakannya. Beberapa hari kemudian, sampailah Baginda di tempat bernama Sawadimah iaitu dusun pertama termasuk negeri yang didiami oleh bapa saudaranya, Syeikh Laban.
Sudah ternyata benar bahawa memang itulah tempat yang dituju. Hatinya menjadi bertambah senang, hilang rasa penat selama ini. Baginda mula nampak padang rumput tempat pemeliharaan kambing, pohon kayu yang rendang di mana burung bersarang, bahkan mula terdengar nyanyian anak pengembala. Baginda rupanya sudah tidak di Padang Sahara yang tandus lagi, tetapi sudah berada di sebuah daerah yang ramai dengan manusia, ternakan dan tanam-tanaman iaitu kampung bapa saudaranya. Di situ pulalah dahulunya nenek moyangnya yang bernama Nabi Ibrahim menerima wahyu dan pangkat kerasulannya.
Nabi Yaakub sujud ke tanda kesyukuran menunjukkan Baginda jalan ke sana. Baginda bertanyakan kepada orang yang dia jumpa jika mereka kenal dengan Laban bin Batwail. Setiap orang yang ditanya itu kenal Syeikh Laban. Ketika Nabi Yaakub bertanya siapa antara mereka yang dapat menghantarkannya ke rumah Syeikh Laban, mereka menunjukkan kepada seorang anak perempuan yang menjaga kambingnya dan berkata: "Inilah dia Rahil, anak perempuan Syeikh Laban sendiri."
Nabi Yaakub melihat wajah anak gadis itu, hatinya berdebar kerana gadis itu memang cantik paras rupanya. Lidahnya seakan akan terpaku tidak dapat berkata. "Antara saya dengan engkau, ya Rahil, ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat. "Sayalah Yaakub anak Ishak al-Rasul, ibu saya Rifakah anak perempuan dari nenek engkau yang bernama Batwail. Saya datang ke sini dari negeri Kanan merentas Gurun Sahara yang tandus. "Kedatanganku ke sini adalah dengan tujuan dan maksud mulia, lagi suci," katanya.
Setelah gadis Rahil mengucapkan selamat datang kepada Nabi Yaakub, kedua-dua mereka berjalan menuju ke rumah yang dituju. Dalam penjalanan itu, Nabi Yaakub merasakan sebahagian nikmat yang dijanjikan Tuhan dalam mimpinya kerana sudah tidak syak lagi gadis yang mengiringinya itulah bakal teman hidupnya. Hatinya berdebar-debar kegembiraan, tetapi dengan kekuatan yang ada Baginda dapat berjalan dengan tenang. Akhirnya sampailah mereka ke rumah Laban, bapa saudaranya. Mereka berpelukan setelah berjumpa.
Mata Nabi Yaakub penuh dengan air mata kegembiraan. Baginda diberi tempat yang sebaik-baiknya, diterima dengan segala hormat. Nabi Yaakub menerangkan pesanan ayahnya kepada bapa saudaranya itu, pesan untuk menerimanya sebagai menantu.
Baginda sudah melihat Rahil dan Rahil sudah mengambil tempat yang istimewa dalam hatinya itu. Diharapkannya agar bapa saudaranya memperkenankan anaknya itu untuk dijadikan isterinya. Laban mendengarnya dengan penuh perhatian. Setelah Nabi Yaakub habis berbicara dengan nada tegas dijawabnya permohonan Yaakub itu diterima seluruhnya dengan senang hati, tetapi dengan bersyarat bahawa Nabi Yaakub perlu tinggal di kampung itu selama tujuh tahun untuk mengembala kambing-kambingnya sebagai mahar perkahwinannya.
Syarat yang dikemukakan itu diterima Nabi Yaakub. Sejak hari itu tenanglah hatinya, baginda tinggal di situ mengembala kambing selepas cita-citanya tercapai. Rahil anak perempuan Laban yang paling kecil. Dia mempunyai kakak, bernama Laiya. Sekalipun cantik rupanya, namun kakaknya tidak secantik adiknya. Sudah menjadi kebiasaan, penduduk kampung itu tidak akan mengahwinkan anak yang kecil dahulu sebelum anak yang besar dikahwinkan. Laban tidak mahu melanggar kebiasaan ini, tetapi dia tidak mahu menghalangi cita-cita Nabi Yaakub untuk kahwin dengan Rahil. Setelah difikirkannya masak-masak, maka tidak jalan lain kecuali menyerahkan kedua anak perempuannya itu kepada Nabi Yaakub untuk dijadikan isterinya.
Hal demikian tidaklah terlarang menurut syariat yang ditentukan Allah di saat itu. Setelah memperoleh cara yang demikian, lalu Nabi Yaakub dipanggil dan berkata: "Wahai anakku, sudah menjadi syariat di negeri ini, bahawa saya tidak dapat mengahwinkanmu dengan anakku yang kecil sebelum yang besar kahwin. Laiya sekalipun kurang cantik daripada Rahil, tetapi perangai dan akalnya tidaklah kurang. "Sebab itu ambillah Laiya sebagai isterimu dengan mahar yang tujuh tahun itu dan apabila engkau ingin juga kahwin dengan Rahil harus ditambah maharnya tujuh tahun lagi mengembala kambing di sini." Yaakub menerima baik akan keputusan bapa saudaranya itu. Setelah tujuh tahun lamanya dia mengembala kambing di situ, lalu Baginda berkahwin dengan Laiya.
Setelah berlangsung tujuh tahun dia mengembala kambing, lantas baginda berkahwin dengan Rahil. Tetapi akhirnya Yaakub tertarik pula hatinya kepada dua orang Jariah dan Baginda mengahwininya pula. Dari keempat isterinya itu, iaitu Laiya, Rahil dan dua orang Jariah, Nabi Yaakub mempunyai dua orang anak yang mana semua mereka itu disebut al-Asbat. Mereka ialah: Rawbin, Syamun, Lawi, Yahuza, Yasakir dan Zabulon yang kesemuanya itu dari Laiya; Yusuf dan Bunyamin dari Rahil; yang bernama Dan dengan Naftali dari Jariah Rahil; Jad dan Asin dari Jariah Laiya. Semuanya lahir di kampung Faddan Aram, kecuali Bunyamin yang lahir di Kanan.