Rabiah Teman Rasulullah Di Syurga

Rabiah Teman Rasulullah Di Syurga

Sahabat ini seorang yang tekun beribadah kerana mengharapkan dapat menjadi teman Rasulullah SAW di syurga. Namanya, Saidina Rabiah bin Ka'ab. Ketika Islam mula tersebar dikota Madinah, usianya masih kecil. Bagaimanapun, Islam sudah meresap ke dalam kalbunya sehingga beliau merasai nikmat keimanan. Tatkala kali pertama melihat Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah Baginda, Rabiah berkata: "Aku langsung jatuh hati pada Rasulullah SAW. Aku amat mencintai dan merinduinya sehinggakan ke mana sahaja Baginda pergi, aku pasti akan cuba sedaya upayaku untuk mengikut Baginda."

Rabiah Teman Rasulullah Di Syurga
Gambar Hiasan
Satu hari Rabiah berkata kepada dirinya: "Wahai Rabiah, mengapa engkau tidak menghadiahkan dirimu untuk Rasulullah SAW sebagai orang yang berkhidmat kepada Baginda. Serahkanlah dirimu kepada Baginda dan jika Baginda meredai engkau, maka berbahagialah engkau kerana dapat mendekati Baginda SAW. Bahkan meraih cinta Rasulullah SAW. Engkau akan meraih kebaikan dunia mahupun akhirat." 

Tidak lama sesudah itu, beliau bertemu Rasulullah SAW untuk menawarkan dirinya menjadi pembantu Baginda dan Baginda tidak menghampakan harapan Rabiah. Inilah antara sunah Baginda yang sentiasa menunaikan harapan dan permintaan orang lain. Rabiah diterima menjadi pembantu Rasulullah SAW dan sejak itu, Rabiah umpama bayang-bayang Baginda. Ke mana sahaja Baginda pergi, pasti Rabiah akan mengikutinya. Apabila malam berlabuh dan selesai Rasulullah SAW mengerjakan solat Isyak, barulah Rabiah pulang. Tetapi, terdetik di hatinya jika beliau pulang dan Rasulullah SAW bangun di tengah malam serta berhajatkan sesuatu, siapakah yang akan menyempurnakan permintaan Baginda. 

Memikirkan perkara itu, Rabiah terus setia menunggu di hadapan pintu rumah Rasulullah SAW. Beliau menjadikan bendul rumah Baginda sebagai bantal. Kebaikan dibalas Rasulullah Rasulullah SAW selalu sembahyang malam dan sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan kepadanya, Baginda akan membalas kebaikan dilakukan oleh orang itu. Ini sunah Rasulullah SAW. Disebabkan Rabiah sudah lama berkhidmat dan berbakti kepadanya, Rasulullah SAW ingin membalas kebaikan Rabiah itu. 

Pada satu hari, Baginda memanggilnya dan Rabiah segera datang kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda berkata: "Mintalah sesuatu kepadaku dan hari ini akan aku berikan kepadamu." Rabiah membalas: "Tidak pernah terlintas di hatiku ya Rasulullah untuk meminta sesuatu daripadamu." Kemudian Baginda menyuruh Rabiah berfikir dahulu dan kembali semula jika ada permintaan. Rabiah seorang anak muda yang fakir dan tidak mempunyai apa-apa. 

Beliau kemudian berfikir untuk meminta sesuatu kebaikan daripada kebaikan dunia supaya keluar daripada kemiskinan. Saat Rabiah melangkah menuju ke rumah Baginda SAW, hatinya berbicara: "Wahai Rabiah, kenapakah perlu kamu meminta kebaikan kehidupan dunia yang tidak kekal, sedangkan Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang sangat besar di sisi Allah SWT. Andai kata kamu meminta kepadanya kebaikan akhirat, pasti Allah SWT akan tunaikan dan kabulkan permintaan kamu." 

Pada ketika Rabiah berasa tenang kerana tahu apakah yang mahu diminta kepada Rasulullah SAW. Kakinya melangkah laju. Tatkala melihat Rabiah, Rasulullah SAW tersenyum lantas berkata: "Sekarang, apa yang kamu ingin minta wahai Rabiah?" Rabiah kemudian menjawab tanpa bertangguh: "Ya Rasulullah, aku meminta kepadamu untuk berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menjadikan aku sebagai teman baikmu di dalam syurga." Maka Rasulullah SAW terkejut dengan permintaan itu lalu Baginda bertanya: "Siapa yang menasihatimu untuk meminta sebegini?" Rabiah mengatakan: "Tiada sesiapa." Rasulullah bertanya lagi: "Tidakkah kamu mahu menukar kepada permintaan yang lain?" Kata Rabiah: "Tidak ya Rasulullah." Baginda kemudian berkata: "Jika begitu wahai Rabiah, bantulah aku dengan kamu memperbanyakkan sujud." Perbanyak sujud dalam solat Maka, dengan sebab ini jika kita teliti daripada kehidupan orang soleh, mereka memperbanyakkan sujud dengan banyaknya solat. 

Disebutkan oleh anak Imam Ahmad ibn Hanbal, bahawa Imam Ahmad solat malam sehingga 300 rakaat kerana ingin menjadi teman Rasulullah SAW di syurga. Sejak itu, Rabiah sangat menekuni bukan hanya solat tetapi seluruh ibadah supaya dapat mengecapi cita-cita untuk bersama Rasulullah SAW di syurga. Beginilah kisah sahabat yang seluruh hidupnya diberikan untuk berkhidmat kepada kekasih Allah SWT. Semoga kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang kita lafazkan, dapat kita ungkaplan dengan perbuatan dan amalan.

PERBANYAKKAN sujud kita ketika solat supaya dapat menjadi teman baik Rasulullah di syurga. ALANGKAH indahnya hidup kita jika dapat berdampingan dengan Rasulullah SAW di dalam syurga. 

Wallahualam

Kredit/Sumber: BeritaHarian

Translate

CLOSE