KISAH ROH ENGGAN MASUK KE DALAM TUBUH NABI ADAM


Allah s.w.t telah menjadikan sembilan rongga atau liang pada tubuh Nabi Adam a.s..Tujuh liang letaknya di kepala iaitu dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut. Dua liang lagi terletak di bawah merupakan satu liang kemaluan dan satu liang dubur.


Kemudian dijadikan pula lima buah pancaindera:

Mata sebagai alat penglihatan.
Hidung alat untuk menghidu
Telinga alat pendengaran
Mulut alat merasa manis,masam dan sebagainya
Kulit pada anggota tubuh lainnya dapat menyentuh, merasa halus, kasar dan sebagainya

Ketika Allah menjadikan patung Adam, tanah itu dicampurkan dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan nur haq-Nya ke dalam tubuh Adam dengan pelbagai sifat. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".

Sesungguhnya tanah yang dijadikan "patung Adam" adalah tanah pilihan sebagaimana diterangkan sebelum ini. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampuri dengan istilah rempah-rempah, wangi-wangian dari Nur-sifat Allah dan dirasmi dengan air hujan " Bahrul-Uluhiyah". Kemudian patung itu dibenamkan dengan air " Kudral 'Izzah-Nya" iaitu sifat " Jalan dan Jammal", lalu diciptakan menjadi patung Adam yang sempurna.

Lalu roh diperintah oleh Allah untuk masuk ke dalam tubuh Adam. Tetapi ia enggan dan malas untuk masuk ke dalam tubuh Adam malah ia berputar-putar mengelilingi patung Adam. Kejadian ini disaksikan oleh para malaikat seperti malaikat Jibril, Mikail Israfil, Izra'il dan malaikat lain.

Kemudian allah memerintahkan malaikat Izra'il untuk memaksa roh itu masuk ke dalam tubuh Adam. Akhirnya roh itu menurut pada Izra'il. kemudian ia masuk ke dalam tubuh Adam lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepala Adam mengambil masa selama 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izra'il untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Dahulu Izra'il ditugaskan untuk mengambil tanah untuk dijadikan Adam, kemudian dia ditugaskan memaksa roh masuk ke dalam tubuh Adam, kini dia pula ditugaskan untuk mencabut nyawa anak-anak Adam.

Setelah roh masuk ke kepala Adam maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat saraf dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya yang terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan. Adam melihat ke bawah di mana sebahagian dirinya masih merupakan tanah keras.Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat sedang menyaksikan kejadiannya. Ketika itu telinga Adam telah dapat mendengar para malaikat mengucap tasbih memuji kebesaran Allah s.w.t..

Kemudian ketika roh itu sampai ke hidung Adam, dia pun bersin serta mulutnya terbuka. Ketika itu Allah mengajarkan Adam mengucapkan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kali ke hadrat Allah. Kemudian Allah membalas dengan berkata " Yarhamukallah".Oleh kerana itu jika orang bersin sunat diucapkan "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucap "Yarhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai di dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian pada dirinya masih merupakan tanah keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 11:"Dan adalah manusia itu suka tergesa-gesa".

Tidak lama kemudian roh sampai ke bahagian perutnya lalu tersusunlah isi perut yang sempurna. Kemudian Adam berasa lapar. Akhirnya roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadilah darah daging, tulang urat-urat serta kulit yang sempurna. Begitulah proses kejadian Nabi Adam.

Menurut riwayat, ketika Adam masih berada di syurga sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini. Kerana setelah Adam diturunkan di dunia terjadilah perubahan pada kulitnya. Sebagai peringatan, yang masih tertinggal warnanya hanya pada kuku manusia. Hal ini biasa dilihat meskipun orang kulitnya hitam, tapi warna kuku adalah sama, putih kemerah-merahan.

Suatu ketarangan bahawa Nabi Adam digelar " Abu Basyar" iaitu bapa segala manusia dan Nabi Muhammad pula menggelarnya " Abul Ruh" iaitu bapa segala roh.

Wajah Nabi Adam a.s. cukup cantik sehingga membuatkan semua malaikat berasa kagum melihatnya. Mereka sama sekali tidak menyangka bahawa makhluk yang asalnya dari tanah kini kelihatan indah dan menawan.

Kemudian Nabi Adam dipakaikan dengan pakaian kebesaran dari syurga dengan mahkota yang bertatah berlian menambahkan lagi keagungan seorang khalifah. Setelah itu Nabi Adam dibawa duduk di atas kerusi keemasan bertatahkan permata sambil dikelilingi oleh para malaikat. Kemudian Nabi Adam diusung oleh empat malaikat serta diiringi oleh ribuan malaikat untuk diperkenalkan kepada penghuni langit yang pertama sehingga ke langit yang ke tujuh sampailah ke syurga.

Menurut riwayat mengatakan Nabi Adam diarak oleh malaikat selama lebih kurang 100 tahun. Setelah itu barulah Adam dibawa ke syurga iaitu tempat Adam mula-mula dijadikan. Kemudian datanglah Jibril membawa seekor kuda dari syurga yang bewarna hijau muda serta bersayap. Baunya sangat harum serta dapat berkata-kata seperti manusia. Di belakang kuda itu terdapat tempat duduk yang selesa. Jibril memegang tali pemacu, Mikail duduk di sebelah kanan Adam manakala Israfil duduk di sebelah kiri baginda.

Diceritakan di mana saja Adam pergi dia selalu mengucapkan "Assalamualaikum" kemudian dijawab oleh para malaikat "Waalaikumussalam".

Wallahu'alam~

Translate

CLOSE