Kisah Nabi Shuib



NABI Shuib adalah keturunan Nabi Luth daripada pihak anak perempuannya. Baginda diutuskan Allah ke negeri Madyan yang penduduknya ingkar kepada Allah serta mengamalkan pergaulan hidup jauh daripada batasan agama.

Mereka merampas harta orang lain secara haram, menipu dan berbohong. Kaum Madyan ­diutuskan oleh Allah seorang Rasul iaitu Nabi Shuib.

Baginda adalah bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri daripada masyarakat kafir yang tidak mengenali Tuhan Yang Maha Esa.

Mereka menyembah ‘Aikah’ iaitu padang pasir yang ditumbuhi beberapa jenis pohon dan tanaman.

Nabi Shuib mengajak mereka meninggalkan penyembahan itu semua kerana ia tidak bermanfaat dan baginda menyeru mereka agar menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa.

Cara hidup dan adat istiadat mereka terpesong daripada ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi sebelum Shuib.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada Madyan (Kami utus) saudara mereka Shuib. Dia berkata: ‘Hai kaumku! Sembahlah Allah kerana tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya datang kepada kamu satu keterangan dari ­Tuhan kamu. Lantaran itu cukup­kanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan (dari) manusia akan hak-hak mereka dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi. Yang demikian itu baik buat kamu jika kamu orang yang beriman.’” (Surah al-A’raf ayat 85)

Seruan Nabi Shuib kepada kaumnya sedikit pun tidak dihiraukan, malah beranggapan bahawa kepercayaan mereka itu adalah yang benar sedangkan Nabi Shuib dianggap sebagai seorang yang menimbulkan huru-hara dan pergaduhan.

Namun Nabi Shuib tidak berputus asa, malah terus bersemangat mengajar dan mendidik mereka. Nabi Shuib mengingat­kan mereka bahawa apabila mereka tidak mahu sedar dan kembali kepada jalan benar mengikuti ajaran dan perintah Allah yang dibawanya, nescaya Allah akan menarik nikmat dan kurniaan-Nya kepada mereka.

Bahkan menurunkan azabnya ke atas mereka di dunia selain seksa dan azab menanti mereka kelak di akhirat.

Allah Maha Kuasa dan berkenan menerima permohonan Nabi Shuib maka diturunkan kepada ke atas mereka udara yang sangat panas lalu ­mengeringkan tekak kerana dahaga.

Ia tidak dapat dihilangkan dengan air selain membakar kulit yang tidak dapat diubati walaupun berteduh di bawah atap rumah atau pokok.

Ketika berada dalam situasi itu mereka mencari perlindungan daripada panas terik mentari itu. Tiba-tiba mereka ternampak di atas kepala mereka awan hitam yang tebal.

Semua berlari bertempiaran dengan harapan ingin berteduh di bawahnya. Namun ketika berada di bawah gumpalan awan hitam itu dalam keadaan bersesak-sesak itu jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan hitam itu dan diiringi ­dengan panahan petir serta guruh yang dahsyat.

Sementara itu, bumi di bawah mereka bergoyang sekuatnya menjadikan mereka jatuh ­bertimbun antara satu dan lain.

Demikian seksaan Allah yang datang secara tiba-tiba tanpa mengira malam ataupun siang, pagi atau petang.

Sebelum seksaan Allah datang kepada mereka, Nabi Shuib berserta orang yang ­beriman berhijrah ke negeri lain.

Ketika itu baginda berkata kepada kaumnya sebagaimana yang difirmankan di dalam ­al-Quran yang bermaksud: “Maka Nabi Shuib berpaling dari mereka, kemudian berkata: ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya aku menyampaikan risalah Tuhan kepadamu dan memberikan nasihat. Bagaimanakah aku akan berdukacita atas orang kafir?’ (Surah al-A’raf ayat 93)

Nabi Shuib berhijrah ke Aikah iaitu sebuah dusun yang tidak jauh dari Madyan. Di situ rakyatnya juga tidak ada bezanya keadaan mereka sebagaimana penduduk Madyan. Mereka juga membangkang dan menderhaka Tuhan.

Nabi Shuib tidak mengalah menyeru serta mengajar mereka menyembah Allah. Nabi Shuib menjelaskan kepada mereka seksaan yang bakal menimpa bagi yang menderhaka kepada Allah.

Tongkat mukjizat Nabi Musa



NABI Musa adalah anak kepada Imran bin Yashar bin Qaahits. Nasab terakhirnya ialah Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim yang dilahirkan di Mesir ketika pemerintahan Firaun dan bersaudara dengan Nabi Harun.

Kelahirannya mencemaskan kerana ketika itu Firaun atau nama sebenarnya Al-Walid ibnu Mus’ab menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki daripada kalangan Bani Israel yang dilahirkan perlu terus dibunuh.

Tindakan itu diambil kerana dia terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya mengatakan kuasa pemerintahan Mesir akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Disebabkan khuatir kejatuhan pemerintahannya, Firaun memerintahkan supaya setiap rumah penduduk diperiksa bagi memastikan tiada bayi lelaki.

Jika mendapati bayi lelaki maka perlu dibunuh tanpa sebarang alasan. Musa dilahirkan secara rahsia kerana bimbang turut menjadi mangsa tindakan tidak bertamadun Firaun.

Musa disusui ibunya secara senyap-senyap. Masyarakat tidak mengetahui Musa satu-satunya bayi lelaki Bani Israel yang terselamat daripada kekejaman Firaun.
Apabila usianya tiga bulan, Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Kemudian Musa dijumpai isteri Firaun sendiri, Asiah yang membawanya ke istana. Melihat tindakan isterinya membawa Musa yang ketika itu masih bayi ke dalam istana, Firaun dengan pantas menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Baginya, bayi lelaki tidak boleh dibenarkan hidup. Lalu Asiah merayu kepada suaminya supaya Musa tidak dibunuh dengan berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.”


Mendengar luahan hati isteri tercinta itu, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa. Asiah berasa lega dan amat gembira kerana Musa terselamat.

Dia mencari pengasuh untuk menjaga Musa, tetapi tidak seorang pun yang dapat menjaga Musa dengan baik. Musa asyik merengek dan menangis dan memberikan isyarat tidak mahu disusui.

Tidak lama kemudian, ibunya mendapat tahu Musa berada di istana Firaun lalu tampil untuk memberikan khidmat kepada Asiah. Dialah me­ngasuh dan membesarkan Musa di istana Firaun.

Pada satu hari, Firaun sendiri mendukung Musa yang masih kanak-kanak sehingga tiba janggutnya ditarik menyebabkannya berasa sakit.

Disebabkan tindakan Musa itu, Firaun berkata kepada isterinya: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.”

Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Musa tinggal di istana itu cukup lama, sejak usianya tiga bulan hingga dewasa, sehingga orang ramai memanggil dan menggelarkannya Musa bin Firaun.
Nama Musa sendiri diberikan keluarga Firaun. ‘Mu’ bermakna air dan ‘sa’ bermaksud pokok sempena tempat penemuan­nya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Pada suatu hari Nabi Musa meninjau keadaan di sekitar kota. Baginda terserempak dengan dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing dari kalangan Bani Israel dan bangsa Firaun.

Melihat pergaduhan itu, Musa mahu mendamaikan mereka, tetapi ditepis lelaki berbangsa Firaun itu. Tanpa berlengah Musa terus melepaskan penumbuk ke atas lelaki itu lalu dia tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu rebah dan mati kerana tumbukannya, Musa memohon ampun ke hadrat Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”

Berita kematian lelaki berbangsa Firaun disebabkan Musa tersebar meluas dan diketahui masyarakat. Baginda turut diketahui pemimpin kanan Firaun lalu mereka mahu menangkap Musa.

Musa melarikan diri dari bumi Mesir menuju ke Madyan berjalan kaki, tanpa bekalan makanan, hanya mengalas perut dengan daun kayu dalam perjalanan selama lapan malam.

Tiba di sana, Musa berehat di bawah pokok dan ketika itu Baginda terlihat dua pengem­bala kambing yang mahu memberi minum ternakan mereka di telaga besar.

Musa memberikan pertolongan kepada dua wanita terbabit. Sekembalinya ke rumah, wanita itu memaklumkan mengenai pertolongan Musa kepada bapanya, Nabi Syuaib. Lalu Musa dijemput ke rumah mereka.

Kemudian, Musa bekerja di rumah Syuaib sebagai pe­ngembala kambing bertahun-tahun sebagai mas kahwin untuk mengahwini seorang daripada anaknya.

Selepas 10 tahun di bumi Madyan, Musa rindu mahu kembali ke Mesir. Baginda memulakan perjalanan ke Mesir dalam keadaan sungguh gelap dan dingin.

Isteri yang mengandung ketika itu sudah sampai waktu untuk bersalin. Musa dalam keadaan bingung, Baginda merenung ke ufuk.

Ketika itu Baginda melihat di Bukit Thur Sina satu cahaya, di sana dia merasakan bakal mendapatkan api untuk memanaskan badan.

Baginda mendekati bukit itu dan merasa gementar manakala anggota badannya bergerak-gerak ketika mendengar Allah berbicara terhadapnya dengan memerintahkannya melepaskan terompahnya.

Kemudian Baginda memasuki lembah suci bukit itu kerana Allah berbicara dengannya menjadikannya utusan dan disuruh bertemu dengan Firaun menyampaikan risalah Allah.

Allah memberikan kepada­nya bukti yang menunjukkan kebenaran kenabiannya iaitu mukjizat dengan tongkat dan tangan.

Nabi Ishak berakhlak tinggi

NABI Ishak adalah anak kedua Nabi Ibrahim daripada perkahwinannya dengan Sarah. Dia anak yang soleh. Perkataan Ishak berasal daripada bahasa Ibrani iaitu Yashhak.

Ini disebabkan Sarah sebelum itu mandul dan kelahiran Ishak terlalu lama jaraknya dengan kelahiran Ismail. Jadi, tidak hairan Sarah tertawa bersendirian kerana gembira apabila diberitahu malaikat dia bakal melahirkan anak.

Jika keturunan Nabi Ismail melahirkan bangsa Arab Musta’ribah, keturunan Nabi Ishak pula melahirkan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Yaakub, muncul ramai nabi daripada kalangan Bani Israel. Firman Allah: “Dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya.” Ishak adalah seorang yang soleh. Keberkatannya dikhususkan Allah seperti keberkatan pada bapanya, Nabi Ibrahim. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang soleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishak dan antara cucunya ada yang berbuat baik dan ada yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.” Allah menghuraikan kebijaksanaan Ibrahim, anaknya, Ishak dan cucunya, Yaakub dalam firmannya: “Dan ingatlah hamba Kami bahawa Ibrahim, Ishak dan Yaakub mempunyai perbuatan besar dan ilmu tinggi. Sesungguhnya Kami menyucikan mereka dengan (menganugerahkan mereka) akhlak tinggi, iaitu sentiasa mengingatkan (manusia) kepada akhirat. Dan mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang pilihan yang paling baik.” Kenabian Ishak dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami memberikan wahyu kepadanya sebagaimana Kami memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi yang kemudiannya. Dan Kami memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, Isa, Yunus, Harun, Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” Al-Quran tidak menjelaskan mengenai Nabi Ishak secara khusus. Namun, menurut riwayat, pada saat Nabi Ibrahim hampir menemui ajal, Nabi Ishak mahu berkahwin.

Namun Nabi Ibrahim tidak mahu Ishak berkahwin dengan wanita Kan’an kerana mereka tidak mengenali Allah. Bapanya kemudian mengutuskan seorang hamba untuk melamar gadis di Hanan (Iraq). Gadis yang dipilih bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur. Nahur adalah saudara Nabi Ibrahim, manakala Rifqah adalah cucu saudaranya.

Genap 10 tahun perkahwinan mereka, Ishak dikurniakan dua anak lelaki, iaitu ‘Iso (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub. Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub. Ishak selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan. Kemudian Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub. Al-Ish yang nampak keadaan itu lantas memarahi Yaakub, lalu mengugut saudaranya.

Rifqah yang melihat kejadian itu meminta kebenaran Ishak untuk menyuruh Yaakub pergi ke rumah saudaranya bernama Laban di kawasan Haron, Iraq. Ia bertujuan supaya Yaakub akhirnya tinggal di sana dan berkahwin dengan anak saudaranya. Setiba di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya. Dia ingin berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya yang bernama Rahil tetapi bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai’ah, iaitu kakak kepada Rahil.

Yaakub berkata: “Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pakcik yang lebih cantik berbanding kakaknya.” Bapa saudaranya berkata: “Menurut kebiasaan, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun.” Bagaimanapun, akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya (syariat yang diizinkan ketika itu). Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kan’an (Palestin). Yaakub berasa kepulangan akan dihalang saudaranya, Al-Ish. Bagi mengelak kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberi hadiah kepada Al-Ish, sekali gus menggembirakannya.

Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya’ir. Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Habrun kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil. Ahli sejarah menjelaskan, nama Yaakub digunakan sebagai perkataan Israel. Isra membawa erti hamba, kesucian, manusia atau muhajir, manakala el bererti Allah. Jadi, Israel adalah merujuk kepada hamba daripada kesucian Allah.

Nabi Ishak yang wafat ketika berusia 180 tahun dikebumikan di Jirun (kini Madinah). Ada juga mengatakan Nabi Ishak disemadikan di al-Mughirah, tempat bapanya dikebumikan.

Kisah Nabi Ismail Reda disembelih

Kisah Nabi Ismail Reda disembelih

Nabi Ismail adalah anak Nabi Ibrahim dan ibunya Siti hajar. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri yang pertama Siti Sarah di mana perkahwinan beliau dengan Siti Sarah pada peringkat awal tidak dikurniakan anak.

Baginda kemudian berkahwin dengan Siti Hajar yang juga hamba sahaya Raja Mesir. Isteri pertama baginda, Siti Sarah tidak dapat melahirkan anak pada usia muda kerana mandul. iti Sarah sentiasa menginginkan zuriat dan hanya selepas usianya lanjut dia dikurniakan seorang putera bernama Ishak. Siti Sarah sebenarnya tidak selesa meletakkan Siti Hajar sebagai madunya.

Begitulah lumrah sifat wanita apatah lagi madunya sudah mampu melahirkan anak sedangkan dia sendiri belum dapat merasainya. Nabi Ibrahim kemudian berhijrah bersama isterinya Siti Hajar bersama putera beliau Ismail ke Makkah yang waktu itu masih lautan padang pasir yang belum didiami walau seorang manusia pun.

Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan anak keturunan aku di lembah yang tiada tanaman (Makkah) dekat Kaabah yang mulia. Ya Tuhan kami! semoga mereka tetap mendirikan solat. Hendaklah Engkau jadikan hati manusia rindu kepada mereka, berilah mereka rezeki yang berupa buah-buahan mudah-mudahan mereka mengucapkan syukur kepada Tuhan." (Surah Ibrahim ayat 37).

Sepeninggalan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan puteranya Ismail tinggal berdua di kawasan terpencil dan sunyi itu. Mereka harus menerima nasib yang ditakdirkan Allah ke atas dirinya dengan penuh kesabaran dan keyakinan terhadap perlindungan-Nya.

Makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim. Ketika Hajar kehabisan air, dia terasa haus dan susunya semakin berkurangan. Bayinya Ismail turut lapar kerana kekurangan susu. Ibu menjadi panik dan cemas mendengar tangisan anaknya yang begitu menyayat hati. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri sambil berlari-lari anak mencari air.

Namun usahanya sia-sia. Demi memikirkan kehidupan anak yang tersayang, Siti Hajar bermundar-mandir berlari-lari anak sehingga tujuh kali di antara bukit Safa dan Marwah. Siti Hajar akhirnya duduk termenung kerana penat dan hampir berputus asa. Diriwayatkan bahawa ketika Siti Hajar berada dalam keadaan tidak bermaya dan hampir putus asa itu datanglah rahmat dari Allah bersama pertolongan-Nya. Malaikat Jibril turun lalu bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau? Aku adalah hamba sahaya Ibrahim," jawab Siti Hajar. "Kepada siapa engkau diamanahkan di sini?" Tanya Jibril. "Hanya kepada Allah," jawab Siti Hajar. Lalu berkata Jibril; "Jika demikian, maka engkau diamanahkan kepada zat yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, memenuhi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan Ibrahim kepada-Nya." Siti Hajar kemudian diajak pergi bersamanya ke satu tempat di mana Jibril memijakkan telapak kakinya sekeras-keras mungkin di atas tanah. Dengan serta merta terpancut air yang jernih pada tempat itu berikutan kekuasaan Allah. Ia di kenali sebagai air Zam Zam yang hingga kini masih ada telaganya.

Sejarah menyebutkan mata air itu dikenali sebagai 'Injakan Jibril'. Siti Hajar terasa amat gembira dan lega melihat air yang terpancut itu. Dia segera membasahkan puteranya dengan menggunakan air Zam Zam untuk mengembalikan kesegaran bayinya. Raut wajah Siti Hajar kelihatan ceria dan bahagia menerima kedatangan mukjizat dari Allah itu.

Allah mengembalikan kesegaran hidup kepada mereka berdua anak beranak sesudah dibayangi kematian akibat kebuluran. Malaikat Jibril berkata: "Wahai Siti Hajar! Janganlah engkau takut akan kehausan ketika berada di sini kerana sesungguhnya Allah menjadikan air ini sebagai bekalan minuman buat seluruh penghuni kawasan ini. Air ini akan terus mengalir tanpa henti dan Ibrahim akan kembali semula ke sini untuk mendirikan kaabah.

Pada satu hari, tibalah rombongan masyarakat Arab Jurham. Mereka secara kebetulan terasa kehausan sehingga mencari bekalan air. Mereka kemudian memerhatikan burung yang berterbangan ke arah sebuah bukit. Masyarakat Arab tahu bahawa biasanya burung itu gemar kepada air. Mereka mengagak bahawa di sana pasti ada air lalu berjalan menuju ke arah bukit itu untuk mencari air. Sangkaan tepat mereka mendapatkan air dan bertemu dengan Siti Hajar bersama bayinya Ismail. Mereka meminta air kepada Siti Hajar untuk diminum sehingga puas.

Nabi Ibrahim kembali ke Makkah untuk menemui anak dan isterinya. Baginda terkejut melihat air yang memancut tanpa henti dan sungguh banyak sekali. Siapa yang tidak merasa bahagia apabila berjumpa dengan keluarga selepas lama berpisah. Begitulah keadaan Nabi Ibrahim ketika bertemu dengan anaknya Ismail dan isterinya Siti Hajar di Makkah.

Siti Hajar menceritakan pengalaman hidup kepada suaminya. Nabi Ibrahim memuji kebesaran Allah yang mengabulkan doanya. Kemudian Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah (Baitullah) yang menjadi kiblat seluruh umat Islam beribadah kepada Allah.

Pada satu ketika, sewaktu Nabi Ismail berusia remaja, Nabi Ibrahim bermimpi bahawa baginda perlu menyembelih Ismail. Mimpi itu adalah salah satu cara penyampaian wahyu daripada Allah kepada Nabi pilihannya. Perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan Nabi Ibrahim. Baginda duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang berat yang perlu dihadapinya. Baginda berfikir, sebagai seorang ayah yang dikurniakan seorang putera selepas puluhan tahun perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ayahnya.

Seorang putera yang diharapkan sebagai pewaris dan penyambung zuriat keturunan terpaksa dijadikan korban oleh ayahnya sendiri. Sebagaimana disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah akan pendapatmu! Baginda menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah kamu akan melihat diriku sebagai golongan orang-orang sabar." (Surah as-Shaffaat ayat 102).

Perintah Allah dilaksanakan ayahnya Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: "Kami menyeru kepada Ibrahim: "Sesungguhnya engkau menurut mimpi itu dan Kami akan membalas kepada orang yang melakukan kebaikan dan sesungguhnya ini adalah cubaan yang terang dari Allah, maka kami tebus anaknya itu dengan seekor biri-biri besar." (Surah as-Shafaat ayat 104-107).

Selepas meningkat dewasa Nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita dari Jurhum. Baginda merasa bahagia mendirikan rumah tangga bersama isterinya. Walaupun Ismail sudah dewasa dan berkeluarga, Nabi Ibrahim tidak lupa mengunjunginya sekali-sekala kerana kerinduan kepada puteranya.

Pada satu ketika, dalam kunjungan Nabi Ibrahim ke Makkah, baginda datang ke rumah Nabi Ismail tetapi baginda tiada di rumah. Ketika berbual bersama isteri Ismail, dia mengeluh memikirkan keadaan rumah tangganya dan kehidupan mereka yang melarat.

Isteri Ismail itu juga tidak menjamu sesuatu pun kepada tetamunya itu. Nabi Ibrahim meminta diri dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salamnya kepada Ismail disertai nasihat supaya ambang pintu rumahnya diubah dan diganti. Selepas itu, Nabi Ismail pun pulang dan isterinya menyampaikan khabar berita dan pesan tetamunya tadi. Isterinya turut memberitahu bahawa Nabi Ibrahim berpesan, agar pintu rumahnya diganti.

Nabi Ismail segera mengetahui bahawa tetamu tua yang dimaksudkan itu adalah ayahnya, Nabi Ibrahim. Maksud nasihat itu alah agar ia menceraikan isterinya. Nasihat itu segera dilaksanakan Nabi Ismail. Isterinya diceraikan dan dikembalikan kepada keluarganya. Tidak lama kemudian baginda menyunting seorang gadis lain yang juga berasal daripada suku Bani Jurhum sebagai isteri barunya. Tidak lama kemudian, Nabi Ibrahim datang mengunjungi puteranya di Makkah dan kali ini baginda tidak dapat menemui Ismail di rumah.

Baginda mengetuk pintu rumah, isteri Nabi Ismail yang baru keluar lalu mempelawanya masuk. Dia menerima kunjungan ayah mentuanya dengan wajah manis dan peramah. Nabi Ibrahim bertanyakan mengenai keadaan suaminya dan rumah tangganya. Isteri Nabi Ismail menerangkan suaminya masih kuat mencari nafkah walaupun keadaan rumah tangganya sudah cukup baik, sejahtera dan bahagia.

Melihat perwatakan menantunya menyambut serta menerima dan kata-kata manis yang memberikan kepuasan hati. Nabi Ibrahim meminta diri dan meninggalkan rumah dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salam kepada Ismail supaya ambang pintu rumahnya dipertahankan. Ia tidak perlu diubah atau diganti kerana masih cukup kuat.

Begitulah gambaran ketinggian dan ketaatan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah. Nabi Ismail dianugerahkan Allah keturunan yang ramai. Anaknya adalah pemimpin kaumnya dan mereka di kenali sebagai masyarakat Arab Musta'ribah. Untuk mengembalikan bangsa Arab terselamat daripada kesesatan menyembah berhala, Allah mengutuskan seorang nabi yang berasal daripada keturunan Nabi Ismail dan Ibrahim iaitu Nabi Muhammad. 

Kredit/Sumber: harianmetro

Kelahiran Nabi Isa luar biasa

Nabi Isa adalah putera Maryam yang tiada berbapa. Itu adalah kekuasaan Allah. Ketika itu Maryam sedang beriktikaf di mihrabnya, bersolat, bersujud, bertasbih dan berzikir dengan penuh ketekunan sebelum tiba-tiba dihantui perasaan takut lalu dia berpeluh.

Dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali berdiri tegak di hadapannya. Maryam tidak mengetahui dari mana dan bagaimana dia masuk ke mihrabnya. Nabi Isa dilahirkan hasil perantaraan ibunya, tidak seperti kelahiran manusia biasa melalui hubungan suami isteri.

Baginda dilahirkan pada tahun 622 sebelum Hijrah. Kelahiran tanpa bapa adalah ujian besar buat dirinya. Apakah manusia percaya kekuasaan Allah? Maryam atau Imran Matsan, seorang wanita soleh. Pada satu hari malaikat Jibril datang membawa khabar dia akan mendapat bayi lelaki.

Jibril datang kepadanya dalam keadaan menyerupai manusia lalu ditolaknya Maryam dengan berkata: "Jauhi diri engkau dari sini dan aku berlindung kepada Tuhan atas kejahatan yang akan terjadi dan aku takut kepada Allah." Jibril meniupkan roh yang suci ke dalam kandungannya yang membawa kepada kehamilannya. Hal itu dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: Jibril berkata: "Aku ini pesuruh Tuhanmu dan aku memberi khabar gembira bahawa engkau akan melahirkan seorang anak lelaki yang suci." (Surah Maryam ayat 19) Maryam berkata: "Bagaimana aku akan mendapat anak sedangkan aku belum bersuami dan aku bukan orang jahat." (Surah Maryam ayat 20) Maryam disahkan hamil dan kandungannya semakin membesar. Penduduk kampung gempar melihat seorang anak gadis hamil dan menuduh Maryam melakukan maksiat dengan lelaki.

Sewaktu kandungannya menjangkau usia tujuh bulan diceritakan Maryam terpaksa melalui segala kepayahan dan duka dengan penuh derita. Dia melalui proses kandungan yang luar biasa. Apabila berada dalam kesakitan ketika tanda tempoh kelahiran, dia ke kawasan sunyi jauh daripada masyarakat.

Maryam kemudian berhenti di bawah satu pohon kurma kerana rasa sakit yang semakin kuat, Berkat keizinan Allah, lahirlah bayi itu tanpa bantuan sesiapa, hanya di bawah pohon kurma yang gersang.

Maryam bergelar ibu ketika dia masih anak dara. Dia memandang raut wajah bayi itu dengan linangan air mata kerana sedih bayi itu ditakdir lahir tanpa ikatan perkahwinan. Maryam amat malu memikirkan keadaan dirinya hamil tanpa bersuami sehingga menerima cemuhan masyarakat.

Maryam ditanyakan soalan bertubu-tubi: "Bagaimana kamu mendapat zuriat berkenaan? Kami melihat kamu belum pernah bersuami sedangkan orang tuamu orang yang baik. Mengapa sekarang engkau menjadi insan tercemar?" Maryam tidak menjawab. Namun, berkat kekuasaan Allah, bayi itu dapat berbicara seperti diceritakan dalam al-Quran, bermaksud: "Ia berkata: 'Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia berikan kepadaku Kitab Injil dan Dia menjadikan aku Nabi. Dan Dia menjadikan aku orang yang berbakti di mana saja aku berada dan Dia mewajibkan aku sembahyang dan zakat selama aku hidup. Dan (Dia menjadikan aku) berbakti kepada ibuku dan tidak pula Dia menjadikan aku orang yang sombong celaka. Dan keselamatan (bercucuran) atasku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku akan mati dan pada hari aku akan dibangkitkan dalam keadaan hidup. Dia itu Isa anak Maryam. Allah berfirman perkataan benar yang ditentangnya mereka berselisihan.'" (Surah Maryam ayat 30-34).

Maryam berpindah ke Mesir untuk menyelamatkan anaknya daripada dibunuh. Dia menetap di Mesir kira-kira 11 tahun. Kemudian, mereka berpindah ke Syam apabila tiba waktunya Isa dilantik menjadi Rasul seperti diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan diajarkan kepadanya ilmu al-Kitab dan ilmu pengetahuan yang lain, mengetahui isi Kitab Taurat dan Injil dan ia diutuskan untuk kaumnya iaitu Bani Israel." (Surah Ali Imran ayat 48-49) Sebagai bukti kerasulannya, Nabi Isa dikurniakan mukjizat, antaranya boleh mencipta burung daripada tanah, menyembuhkan orang buta, penyakit kusta dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah, memberitahu apa yang dimakan dan disimpan di rumah orang dan turun dari langit ketika diminta oleh kaumnya.

Nabi Isa menghadapi pelbagai rintangan dalam menjalankan tugasnya. Baginda sentiasa ditentang kaum kafir. Golongan munafik merancang menangkap dan membunuh Nabi Isa. Bagaimanapun, Allah menyelamat pesuruh-Nya dan orang yang mereka tangkap dan disangka Nabi Isa ialah seorang lelaki munafik. Allah mengangkat Nabi Isa ke alam ghaib (mikraj).

Allah menerangkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Adapun orang yang derhaka itu tiadalah mereka membunuh dan menyalib Isa hanya orang yang menyerupai dengan Isa yang tersalib." Pandangan Islam terhadap Nabi Isa dinyatakan di dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan bahawa Tuhan itu ialah Isa anak Maryam dan Isa berkata kepada orang Bani Israel: "Sembahlah Allah. Itulah Tuhanku dan Tuhanmu! Ingatlah barang siapa yang mempersekutukan-Nya, maka Allah haramkan ia masuk syurga dan tempatnya dalam neraka. Tidak ada penolong bagi yang zalim.'" Isa hanyalah seorang nabi utusan Allah. Kelebihan yang ada padanya tiada melebihi pemberian Allah sebagai mukjizat dan bukti kerasulannya. Justeru, tidak benar jika ada berpendapat Nabi Isa itu ada sifat ketuhanan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Tidaklah (Isa) sal-Masih itu anak Maryam melainkan seorang Rasul Allah (sebagaimana) rasul-rasul yang terdahulu daripadanya, dari ibunya seorang perempuan yang sangat taat; adalah dua-duanya memakan makanan. Lihatlah bagaimana Kami terangkan kepada mereka tanda-tanda, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan." (Surah Maryam ayat 75)

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Makan Nabi Daud di Jerusalem, Israel 
NABI Daud adalah anak bongsu daripada 13 bersaudara. Ayahnya bernama Yisya. Baginda adalah generasi ke-13 daripada keturunan Nabi Ibrahim.

Baginda berasal dari keluarga Bani Israel. Mereka bermukim di Baitullaham yang menjadi kota kelahiran Nabi Isa. Ketika dewasa, Daud dan dua kakaknya ikut berperang melawan pasukan Jalut dari Palestin yang menjajah Bani Israel.

Selepas mengalahkan Jalut, Daud dinikahkan oleh Raja Talut dengan Mikyal, puterinya. Mikyal sangat setia kepada Daud. Raja Talut, yang sebelumnya berniat membunuh Daud, akhirnya meninggalkan mahkota kerajaannya. Daud dinobatkan menjadi raja Bani Israel ketika berusia 20-an tahun. Dia kemudian menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kerajaannya. Ketika berusia 40 tahun, Daud menerima risalah kenabian. 

Allah memberinya kitab Zabur dan beberapa mukjizat. Nabi Daud memerintah Bani Israel kira-kira 40 tahun dan dianugerahi usia 100 tahun enam bulan. Diceritakan, suatu ketika Talut ke medan perang bersama pasukannya. Daud yang baru berusia sembilan tahun ketika itu ikut mengangkat senjata bersama kedua-dua kakaknya. Di tengah perjalanan, pasukan Talut menghadapi berbagai ujian. Kebanyakan anggota pasukan Talut tidak sanggup menjalani ujian itu. Pada awalnya, pasukannya berjumlah 80,000 orang (riwayat lain menyatakan seramai 303,313 orang).

Kemudian bilangan menyusut menjadi 319 (riwayat lain 313). Meskipun demikian, Talut tetap maju melawan Jalut. Kedua-dua pasukan bertemu dan terjadilah perang satu lawan satu. Daud mendapat giliran. Dia berani melawan Jalut, pemimpin pasukan lawan. Melihat susuk kecil Daud, Jalut menggertak: "Aku tidak suka membunuh anak kecil." Enggan mengaku kalah, Daud menyahut: "Aku suka membunuhmu." Serangan Daud ternyata mampu mengalahkan, bahkan membunuh Jalut. Dengan demikian, pasukan Talut mendapat kemenangan. Kepahlawanan Daud meniti di bibir kalangan Bani Israel. Suatu ketika Allah mengutus seorang pemimpin agama, Samuel ke tengah Bani Israel. Berkat kepemimpinannya, Bani Israel bersatu kembali, namun mereka tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu menghimpun kekuatan. 

Samuel menerima petunjuk daripada Allah untuk memilih Talut menjadi raja dan pemimpin perang Bani Israel, padahal dia belum mengenal Talut. Tiba-tiba Talut menemui Samuel, ketika dia sedang mencari ternakannya yang hilang. Mereka berdua menemui bangsa Israel. Di hadapan mereka, Samuel menegaskan bahawa Talut adalah raja dan pemimpin Bani Israel. Bagaimanapun, bukan semua yang patuh kepada Talut kerana dia hanya seorang petani dan penternak yang miskin dari desa. Kebanyakan menghormati Talut sebagai raja pertama Israel dan memintanya menjadi pemimpin untuk melawan pasukan Jalut dan bangsa Palestin. 

Sebelum Talut diangkat sebagai pemimpin, Bani Israel dipimpin hakim selama 356 tahun. Mereka melupakan ajaran Nabi Musa dan tidak pernah lagi membuka tabut iaitu peti pemberian Allah yang berisi kitab Taurat. Diceritakan juga Nabi Daud dikurniakan suara yang sangat merdu. Ketika mendengar Daud melagukan ayat kitab Zabur, orang dan jin yang sakit menjadi sembuh, burung terbang mendekat, angin menjadi tenang, gunung serta burung pun bertasbih kepada Allah.

Daud turut dikurniakan beberapa mukjizat oleh Allah iaitu berkemampuan melembutkan besi dengan tangannya tanpa api.

Daud juga dikurniakan ilmu pengetahuan dan kepandaian untuk menghakimi suatu perkara secara bijaksana. Banyak ajaran Nabi Musa yang ditaati oleh Bani Israel. Salah satu antaranya adalah larangan berdagang dan melaksanakan hal duniawi pada Sabtu. Nabi Daud mempertahankan larangan itu bagi seluruh Bani Israel. Daud meminta bangsa Israel menyucikan hari Sabtu, tetapi ada yang mengabaikannya. Pada satu hari Sabtu, pasar menjadi sepi. Ikan berenang bebas di permukaan air dekat desa Ailat di tepi Laut Merah. Nelayan Ailat belum pernah melihat ikan sebanyak itu pada hari lain. 

Mereka menggunakan kesempatan sebaik-baiknya dengan menangkap ikan. Nabi Daud berdoa kepada Allah agar mereka diberi ganjaran dengan seksa dan azab yang setimpal. Doa itu dikabulkan Allah lalu terjadilah gempa bumi dahsyat yang membinasakan mereka yang membangkang serta mengabaikan hari Sabtu. Talut dan pengikutnya terus mengejar Daud. Tetapi Daud mengetahuinya, lalu mengutus mata-mata untuk mengintai tentara Talut. Utusan itu melaporkan Talut bersama tenteranya sedang tidur nyenyak di sebuah lembah. Daud menggunakan kesempatan itu dan menyusup ke persembunyian Talut.

Kemudian memotong baju Raja (kisah lain menyebutkan 'mengambil lembing raja). Daud tidak jemu mengingatkan Talut bahawa pengawalnya tidak akan mampu menyelamatkannya apabila Allah hendak mencabut nyawanya.

Peringatan itu menyedarkan Talut. Dia menanggalkan mahkotanya, lalu pergi ke luar kota. Di sana ia mengisi hidupnya dengan taubat hingga akhir hayatnya (sekitar 1010 SM). Setelah Talut meninggalkan tahtanya, Daud dinobatkan rakyat menjadi raja Israel. Daud memerintah selama 40 tahun (1010 SM - 970 SM). 

Kredit/Sumber: Harian metro
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE