Saidina Jaafar Terputus Tangan Ketika Mempertahankan Panji Islam
SAIDINA Jaafar bin Abi Talib bersama isterinya, tinggal di bawah perlindungan Raja Najjasyi selama hampir sepuluh tahun. Hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram.
Beliau dan isteri akhirnya dapat merasakan kelazatan beribadah selepas tidak mengecapinya ketika di Mekah kerana gangguan oleh kaum kafir Quraisy. Pada tahun ke-7 Hijrah, Jaafar bersama kumpulan kaum Muslimin meninggalkan Habsyah lalu berhijrah ke kota Madinah.
Ketika mereka tiba di kota Madinah, saat itu Baginda Rasulullah SAW baru pulang dari Peperangan Khaibar sesudah berjaya menguasai Khaibar dan keseluruhannya. Kegembiraan mengenai ketibaan Saidina Jaafar di kota Madinah itu bukan sahaja dirasai oleh Baginda SAW, bahkan seluruh kaum Muslimin turut merasai kegembiraan tersebut.
Saidina Jaafar adalah orang yang sangat prihatin kepada orang miskin sehinggakan beliau diberi gelaran dengan panggilan 'Abu al-Masakin' iaitu bapa kepada orang miskin.
Abu Hurairah mengatakan bahawa: "Orang yang sangat baik kepada kami ialah Jaafar bin Abi Talib. Beliau pernah mengajak kami ke rumahnya dan memberikan makan minum kepada kami sehingga habis makanan yang dihidangkan dan beliau sanggup mengeluarkan bekas kecil yang berisi manisan di situ dan kami menikmatinya bersama-sama."
Kegembiraan itu tidak berlanjutan lama. Selepas setahun lebih Saidina Jaafar berada di Madinah dan pada Jamadilawal tahun ke-8 Hijrah, Baginda SAW menggerakkan satu angkatan untuk menentang kerajaan Rom di negara Syam.
Baginda SAW mempersiapkan satu angkatan yang disertai oleh Saidina Jaafar. Kejadian itu berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan Harith bin Umair sebagai utusan untuk menyampaikan surat kepada Kaisar, Maharaja Rom.
Tetapi ketika Harith tiba di Mu'tah, Jordan, beliau disekat oleh ketua kabilah di sana yang akhirnya beliau dibunuh. Ia adalah satu tamparan hebat buat Baginda SAW dalam urusan dakwah kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang utusan dibunuh.
Bahkan di dalam undang-undang pada ketika itu juga, seluruh bangsa mengetahui bahawa utusan tidak boleh dibunuh.
Apabila Harith bin Umair dibunuh, Baginda menggerakkan sejumlah 3,000 angkatan perajurit perang dan melantik tiga ketua untuk memimpin angkatan itu.
Panji peperangan itu diberikan kepada Zaid bin Harithah dan Baginda berpesan: "Sekiranya Zaid gugur syahid, maka yang akan mengetuai kumpulan tersebut ialah Jaafar bin Abi Talib.
Sekiranya Jaafar juga terbunuh, maka ketika itu yang akan menjadi ketua kepada seluruh angkatan kaum Muslimin ialah Abdullah bin Rawahah. Sekiranya Abdullah juga gugur, maka ketika itu hendaklah kaum Muslimin melantik seorang amir dalam kalangan mereka yang mereka rasakan mampu untuk memimpin mereka."
Tatkala angkatan Muslimin ini tiba di Mu'tah, mereka dapati orang Rom membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi mereka. Ketika itu, berkumpul 100,000 angkatan tentera Rom dan mereka bergabung pula dengan 100,000 pasukan Arab yang beragama Nasrani.
Melihatkan itu, sahabat kemudian berbincang sama ada perlukah mereka menghantar utusan kepada Baginda Nabi SAW mengenai jumlah angkatan musuh.
Kemudian Abdullah bin Rawahah lantas berkata: "Tidakkah kita ini berperang untuk agama ini. Kita bukan berperang kerana jumlah kita yang ramai. Kita juga tidak berperang kerana cukup kelengkapan. Sebaliknya kita berperang untuk agama ini dan kita dijanjikan Allah dengan dua kemenangan, sama ada kemenangan di dalam medan peperangan atau kemenangan dengan mati syahid."
Api peperangan mula marak menyala. Zaid bin Harithah mula meluru ke arah angkatan musuh dengan gagah berani sambil mengikat erat panji peperangan yang ada pada dirinya. Angkatan musuh memerhatikan ke arah orang yang membawa panji peperangan tersebut.
Mereka menyerang Zaid bertalu-talu dan akhirnya Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah jatuh dan gugur ke bumi.
Tatkala Saidina Jaafar melihat Zaid dan panji peperangan jatuh, Jaafar terjun daripada haiwan tunggangannya dan terus meluru ke arah Zaid dan mengambil panji peperangan tersebut lalu ditegakkan semula.
Kemudian, beliau pula mula mempertahankan panji peperangan tersebut daripada angkatan musuh. Namun dalam masa yang singkat saat beliau bergelut dengan musuh, beliau juga dikepung angkatan musuh dan pada saat itulah angkatan musuh menetak tangan kanannya sehingga putus.
Sebelum panji tersebut jatuh ke bumi, beliau mengambil panji itu dengan tangan kirinya. Mereka kemudian menetak tangan kirinya lalu putus maka diapit dengan kedua lengannya. Kemudian mereka menetak bahunya sehingga tercabut dan pada ketika itu, mereka menyerbu dan menikam beliau dengan banyak yang akhirnya beliau jatuh tersungkur.
Panji peperangan itu sebelum jatuh ke bumi disambar pula oleh Saidina Abdullah bin Rawahah. Beliau juga tidak mampu bertahan lama kerana diserang oleh angkatan musuh dan saat beliau rebah, maka panji itu diserahkan kepada Saidina Khalid bin Al-Walid.
Khalid sangat pintar dalam strategi peperangan mula mengawal peperangan tersebut dengan baik. Akhirnya dengan strategi perang yang disusun oleh Khalid bin Al-Walid, maka beliau berjaya menyelamatkan tentera Muslimin daripada terkorban semuanya. Hanya 12 orang sahaja yang gugur syahid di medan Mu'tah ini.
Saidina Jaafar, saat gugur di medan peperangan beliau sedang berpuasa. Saat dibawa air kepadanya agar beliau dapat minum selepas luka teruk dan cedera parah, beliau tetap tidak mahu membatalkan puasanya.
Beliau kemudian berkata: "Aku sedia untuk menunggu minuman-minuman syurga." Berita kematian ketiga-tiga pemegang panji itu sampai kepada Rasulullah SAW. Berjurai air mata Baginda mendengarkan berita tersebut. Selepas itu, Baginda mendongak ke langit sambil tersenyum dan mengungkapkan: "Ketiga-tiga mereka telahpun dibawa ke syurga."
Lalu Rasulullah segera mengunjungi rumah Jaafar dan menemui isteri Jaafar, Asma binti Umais. “Wahai Asma, di mana anak-anak kamu, Muhammad, Abdullan dan Auf, bawalah mereka semua kepadaku,” tanya Rasulullah.
“Wahai Pesuruh Allah, apakah ada sebarang berita mengenai suamiku, Jaafar sampai kepada kamu?” balas Asma.
Sambil memeluk ketiga-tiga anak lelaki Jaafar yang tidak mengerti apa-apa itu, baginda menangis dan dengan suara yang tersekat-sekat kesedihan baginda lantas berkata: “Jaafar kini sudah syahid wahai Asma pada jalan Allah. Dia kini berada di samping-Nya di syurga atas segala pengorbanannya memerangi pihak musuh tanpa sebarang perasaan gentar dan takut.
“Tetapi janganlah kamu meraung dan meratap sehingga menepuk dada, kepala dan mengoyakkan pakaian akibat terlalu sedih,” kata baginda. Baginda memberi panduan kepada isteri Jaafar dan semua pengikut yang lain supaya tidak meratapi kematian seperti kebiasaan adat orang Arab dahulu kala.
Sedangkan Rasulullah sendiri berasa sangat sedih atas kematian sepupunya itu tetapi memadai dengan menitiskan air mata dan bersabar. Manakan tidak, dahulu baginda yang paling gembira menyambut kepulangan Jaafar yang berhijrah ke Habsyah dan kini telah gugur di medan perang.
Pertalian rapat antara mereka digambarkan seperti antara sahabat yang paling mirip kepada baginda daripada apa juga aspek termasuk akhlak, tubuh badan dan rupa paras adalah Jaafar bin Abi Talib. Maka tidak menghairankan baginda begitu merasai kehilangan Jaafar.
Bagi mengubati kesedihan yang ditanggung oleh keluarga Jaafar, baginda meminta para sahabat yang lain supaya mengunjungi dan menghantar makanan kepada isteri dan anak-anak Jaafar.
Wallahualam.
Kredit/Sumber: bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan