Pages

14 April 2020

Keistimewaan Bulan Ramadan Dan Pengisiannya


Keistimewaan Bulan Ramadan Dan Pengisiannya

Seluruh umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini (2020) mulai pada tarikh 24 April 2020 (Masihi) Bersamaan 1 Ramadhan 1441 (Hijrah). Diharapkan pada tarikh ini, kita semua telah bebas daripada Wabak Covic 19 dan semoga Allah panjangkan umur kita untuk bertemu Ramadan seterusnya. 

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardhukan atas kamu berpuasa di dalamnya. Dibuka di dalamnya segala pintu Syurga, dikunci di dalamnya segala pintu Neraka dan dibelenggu di dalamnya segala syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan (malam lailatul qadar). Barangsiapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sesungguhnya tidak diberikan kebajikan kepadanya” (Sabda Rasulullah S.A.W - Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah)


Terdapat banyak keistimewaan bulan Ramadhan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Jom ketahui 10 keistimewaan bulan Ramadhan yang utama.

1. Bulan kemenangan bagi umat Islam

Kemenangan terbesar bagi umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan, dalam peperangan Badar Al-Kubra. Peristiwa bersejarah ini berlaku pada 17 Ramadhan pada Hari Jumaat, tahun 2 Hijrah. Tahun ini merupakan tahun pertama umat Islam disyariatkan berpuasa pada bulan Ramadhan. Perang ini dianggap kemenangan terbesar kerana jumlah umat Islam yang sedikit pada masa tersebut iaitu seramai 313 orang berjaya menewaskan tentera kafir yang berjumlah 1300 orang.

2. Ganjaran pahala di bulan Ramadhan berlipat kali ganda

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal, hingga tujuh ratus kali ganda. Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR. Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)

Petikan hadis di atas jelas menunjukkan ganjaran pahala yang berlipat ganda yang bakal didapatkan oleh orang yang mengamalkan ibadah di bulan Ramadhan.

Jadi marilah kita sama-sama meningkatkan amalan ibadah pada bulan ini.

3. Dosa-dosa lalu diampunkan

“Disebutkan di dalam hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. (Hadith Sahih: Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Pintu rahmat terbuka luas

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079 

Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka akan dibuka seluas-luasnya. ALLAH S.W.T meluaskan rahmat-NYA kepada seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

5. Pintu langit terbuka luas

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899. 

ALLAH S.W.T membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA.

6.Pintu syurga terbuka luas

"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898 

Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. 

7. Pintu neraka tertutup rapat

“Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup” Hadis Riwayat Bukhari dalam sahihnya, Hadis no. 1899 

8. Syaitan dibelenggu

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Apabila masuk bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)” 

9. Malam Lailatul Qadar 

Terdapat Surah khusus di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kemuliaan malam Lailatul Qadar iaitu Surah Al-Qadr, ayat 1-5.

Malam ini digambarkan sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang melakukan ibadat pada malam ini akan mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah S.W.T. 

Bilakah berlakunya malam Lailatul Qadr?

a) Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 2017 

b) Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1165.

Daripada kedua hadis berikut, dapat kita simpulkan bahawa kita seharusnya mengambil peluang untuk menambahkan pahala dengan menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Ini kerana, pada sepuluh malam terkahir inilah Rasulullah s.a.w mempergiatkan ibadahnya. 

c) Aisyah r.a berkata:

​Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1174.

Antara ibadah yang amat dianjurkan oleh Rrasulullah S.A.W pada bulan Ramadhan adalah qiamullail (solat malam), memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran dan amal soleh yang lain. 

10. Ibadat solat terawih

Solat sunat terawih merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ibadah ini hanya dapat dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Dan boleh dilakukan secara berjemaah ataupun bersendirian. Solat sunat terawih dan bulan Ramadhan sudah cukup sinonim antara satu sama lain. Ibadat solat sunat terawih cukup istimewa kerana dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada sesiapa yang melakukannya.

PENGISIAN RAMADHAN

1. Berpuasa pada siangnya dengan puasa yang sebenarnya.

2. Menghidupkan malam dengan amalan yang disyariatkan termasuk qiamullail

3. Meningkatkan amalan harian

4. Menunaikan solat tarawih

5. Bertadarus al-quran

6. Menunaikan zakat fitrah dan zakat yang lain

7. Beriktikaf terutama 10 malam terakhir

8. Memperbanyakkan sedekah

9. Memberi makanan kepada orang yang berpuasa

10. Bersahur

11. Bersederhana dalam berbelanja dan makan minum

12. Menjaga pancaindera dari melakukan maksiat

13. Menunaikan umrah jika mampu

Kita seharusnya mengambil peluang untuk menambahkan amalan ibadat sebanyak mungkin pada bulan yang penuh berkah ini. Semoga ibadah kita semua diberkati dan diberikan balasan pahala yang berlipat kali ganda.

Selamat beribadah dan Salam Ramadhan 2020.

Wallahualam.

Kredit/Sumber: iluvislam.com, syariah.perak.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan