Home » , , , , , » Matahari Terbit Dari Barat Tanda Kiamat Kubra (Besar)

Matahari Terbit Dari Barat Tanda Kiamat Kubra (Besar)

Matahari Terbit Dari Barat Tanda Kiamat Kubra (Besar)

Salah satu tanda kiamat kubra (besar) adalah terbitnya matahari dari barat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Muslim dari Abu Hurairah bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari arah terbenamnya (barat). Apabila ia telah terbit dari arah barat dan semua manusia melihat hal itu maka semua mereka akan beriman dan itulah waktu yang tidak ada gunanya iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu". (Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim dari Abu Hurairah).

Kata ulama, pada setiap pagi perkara paling mereka takut ialah apabila bangun melihat sama ada matahari terbit dari sebelah timur atau terbit dari sebelah barat. Sebelum matahari terbit dari barat, seluruh bumi ini akan gelap. Kita boleh bayangkan, setiap pagi biasanya kita bangun tidur jam 5.30 pagi untuk bersiap-siap melaksanakan solat Subuh serta persiapan ke tempat kerja.

Bagaimanapun, setibanya di pejabat jam 9 pagi, kita melihat keadaan itu tidak seperti biasa di mana keadaannya masih gelap. Keadaan itu pastinya menyebabkan manusia berasa takut dan tertanya-tanya fenomena berkenaan. Disebabkan suasana itu amat pelik dan tidak pernah berlaku, pasti manusia mula panik dan keadaan menjadi kecoh.

Menurut pendakwah, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub, terdapat riwayat menyatakan suasana gelap itu berlaku selama dua hari dan riwayat lain menyatakan akan bergelap selama tiga hari. Katanya, seandainya gelap itu berlaku selama tiga hari, bermakna pada hari keempat matahari tidak lagi muncul dari sebelah timur, sebaliknya dari sebelah barat.

Ketika seluruh penduduk bumi menyaksikan tanda besar itu, mereka mula beriman kepada Allah. Bagaimanapun, Allah sudah menutup pintu taubat serapat-rapatnya. Pada waktu itu, tidak berguna lagi taubat serta segala amal ibadat yang hendak dipersembahkan kepada Allah. Bagi yang ditakdirkan masih hidup, mereka akan meneruskan kehidupan mengikut ajal masing-masing.

Seandainya sepanjang usia yang berbaki itu, seseorang bersungguh-sungguh melakukan ibadat, namun Allah tetap tidak akan menerima amalannya. Manakala bagi orang beriman, mereka akan hidup dalam keadaan beriman sehingga akhir hayat.

Pada hari pertama matahari terbit dari barat itu mengambil masa selama setahun. Tempoh setahun itu seperti dinyatakan oleh Nabi SAW seperti hari-hari yang dilalui manusia. Hari kedua juga panjang iaitu seperti sebulan. Berikutnya, hari ketiga panjangnya seperti seminggu manakala pada hari keempat baru ia kembali seperti biasa.

Ketika itu baru manusia menyedari betapa nikmatnya Allah kurniakan waktu malam. Pada hari ini, ramai manusia mengubah cara hidup mereka dengan tidur waktu siang, manakala malam mereka berjaga untuk melakukan perkara sia-sia.

Rasulullah menyatakan, apabila muncul tanda besar kiamat pertama, maka akan muncul tanda-tanda besar lain. Tanda besar kiamat kedua, ketiga dan seterusnya muncul dengan cepat sekali. Ia ibarat mutiara di dalam satu ikatan di mana setiap satunya akan mengikuti yang lain.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda (kiamat) seperti mutiara yang tersusun pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti sebahagian yang lain (jatuh).” (Riwayat Ahmad).

Wallahualam.

Kredit/Sumber: hmetro.com.my

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

1 comments:

Translate

CLOSE