Rasulullah difitnah sebab kahwini Zainab

APABILA Rasulullah SAW tidak segera mengahwini Zainab binti Jahsy sebagaimana diperintahkan Allah kerana bimbang timbul cemuhan masyarakat kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya sendiri, Allah menurunkan satu lagi wahyu buat baginda.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (al-Ahzab: 37)

Apabila Rasulullah menerima wahyu itu, baginda perlu memberitahunya kepada Zainab agar wanita itu mengetahui maksud sebenar di sebalik perkahwinan yang bakal berlangsung.

Akhirnya mereka pun berkahwin setelah Zainab tamat idah dari perceraiannya dengan Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah.

Dikatakan Zainab sangat gembira kerana merasakan perkahwinan dengan Rasulullah itu sangat istimewa.

Beliau dikatakan berkata kepada Rasulullah: "Rasulullah, bahawa aku (perkahwinan) sangat berbeza dengan isteri-isterimu yang lain. Mereka dikahwinkan oleh wali-wali mereka seperti ayah, saudara lelaki atau sanak keluarga. Sementara aku, Allahlah yang mengahwinkan aku denganmu."

Namun seperti yang dijangka, apabila baginda mengahwini Zainab apa yang dikhuatiri akhirnya terjadi. Masyarakat mula bercakap mengenainya.

Berita baginda mengahwini janda anak angkatnya sendiri tersebar di seluruh pelosok dan Kota Madinah itu sendiri.

Sedangkan hikmah di sebalik perkahwinan itu semata-mata bagi menghapuskan tradisi Arab jahiliah sebelum ini yang menganggap anak angkat mempunyai taraf seperti anak kandung.

Bukan sahaja tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa angkat bahkan bagi menunjukkan bahawa anak angkat benar-benar berbeza keadaannya dengan anak kandung, bekas isteri mereka boleh dikahwini oleh bapa angkat.

Bekas isteri kepada anak angkat tidak termasuk dalam senarai calon isteri yang haram dinikahi dalam Islam sebagai mana ditetapkan oleh Allah dalam surah an-Nisa' ayat 23-24.

Namun, perkahwinan Rasulullah dengan Zainab tetap diputarbelitkan oleh para musuh Islam dari dahulu sehinggalah kini.

Walaupun telah jelas sebab musabab dan hikmah di sebalik perkahwinan itu, namun Rasulullah tetap dituduh dan difitnah.

Sesetengahnya mencipta kisah perkahwinan Rasulullah itu dengan menokok tambah cerita daripada peristiwa yang sebenarnya berlaku.

Antaranya, dikatakan selang beberapa hari selepas terjadinya perkahwinan antara Zaid dengan Zainab, Rasulullah ke rumah Zaid untuk mengunjungi anak angkat baginda itu. Kebetulan Zaid tidak ada di rumah pada masa itu, yang ada hanyalah isterinya, Zainab seorang diri.

Zainab dikatakan memberanikan diri bersemuka dengan Rasulullah dan berkata: "Zaid tidak ada di rumah, Ya Rasulullah! Silalah masuk dahulu!"

Namun Rasulullah pun memalingkan muka dengan cepat kerana adalah lebih baik lagi baginda beredar daripada menerima ajakan dari Zainab.

Akan tetapi secara tiba-tiba, angin bertiup agak kencang sehingga menyingkap hijab yang menutup wajah Zainab.

Maka dengan secara tidak sengaja, maka ternampaklah akan rupa paras Zainab yang menyebabkan baginda terpukau dan terpikat dengan kecantikan Zainab itu.

Namun baginda terus mengucapkan: "Maha Suci Allah yang mengawal hati!" berulang-ulang kali sehingga dapat didengari sendiri oleh Zainab.

Maka tahulah Zainab bahawa Rasulullah sudah jatuh hati terhadapnya.

Selepas itu Zaid pun pulang ke rumah lalu diceritakan oleh Zainab kepada Zaid akan kehadiran Rasulullah dan termasuk juga mengenai baginda yang kononnya sudah jatuh hati terhadapnya.

Mendengarkan itu dengan keadaan yang sangat marah Zaid pun segera menemui Rasulullah lalu berterus terang dengan baginda.

"Ya Rasulullah! Benarlah bagai dikatakan bahawa Zainab itu memang panjang lidahnya dan banyak mulutnya.

"Oleh itu saya hendak menceraikannya!"

Namun Rasulullah menasihatkan Zaid supaya bersabar dengan tingkah laku Zainab itu.

"Saya tidak tahan lagi dengannya, dia sangat suka bercakap yang bukan-bukan ya Rasulullah," kata Zaid.

"Sekiranya begitu, ceraikanlah Zainab itu kalau itu jalan terbaik yang mampu kita lakukan," kata baginda.

Sesudah itu, Zainab pun diceraikan oleh Zaid. Selang beberapa lama kemudian, Rasulullah pun meminang Zainab untuk diri baginda.

Akhirnya terjadilah pernikahan antara Zainab dan Rasulullah yang kononnya tidak ada kena mengena langsung dengan soal menghapuskan adat lama. Tetapi disebabkan Rasulullah sendiri dikatakan telah terpikat dengan Zainab.

Kisah Rasulullah Sebagai Pengajaran




1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah... menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga..

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?

6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini? Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

Translate

CLOSE