Home » , , , , » Debaran Titian Sirat & Amalan Mengharunginya

Debaran Titian Sirat & Amalan Mengharunginya

Debaran Titian Sirat & Amalan Mengharunginya

SETELAH melalui saat-saat mendebarkan ketika berada di Padang Mahsyar, diadili dan dimizankan amalan, seluruh manusia akan digerakkan untuk menerima balasan masing-masing sama ada dihumban ke neraka atau dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi sebelum itu mereka akan melalui beberapa lokasi pusat semakan atau ‘checkpoint’ yang mendebarkan dan seterusnya berjalan melalui sirat atau jambatan. Selepas melalui titian sirat yang utama, adanya titian kecil sebelum masuk ke syurga.

Menurut para ulama ada tujuh pusat semakan yang akan dilalui oleh manusia dan mereka bergerak dengan cara masing-masing bergantung kepada amalan ketika hidup di dunia dahulu. Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, pusat semakan yang awal yang dilalui, manusia akan ditanya mengenai iman iaitu kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Sekiranya syahadah yang dilafazkan itu sesuai dengan perbuatan dan amalan, maka akan terselamatlah mereka. 

Pusat semakan kedua pula akan disoal mengenai solat dan jika dilakukan dengan sempurna, maka mereka juga akan terselamat untuk meneruskan perjalanan. Kemudian ujian ketiga disoal pula mengenai ibadah puasa pada bulan Ramadan, jika disempurnakan dengan baik maka akan terselamat. Ujian keempat di lokasi seterusnya akan disoal mengenai zakat dan jika ditunaikan dengan baik, akan terselamatlah mereka.

Setelah berjalan menuju lokasi seterusnya, manusia akan disoal pula mengenai haji dan umrah, sama ada beroleh haji yang mabrur atau tidak diterima oleh Allah. Jika kedua-dua ibadah ini dilakukan dengan penuh kesempurnaan maka mereka akan terselamat. Kemudian apabila tiba di lokasi keenam, disoal pula mengenai mandi janabah atau mandi hadas besar serta wuduk yang dilakukan sama ada sempurna atau tidak. 

Setelah meneruskan perjalanan dan tiba di lokasi ketujuh iaitu yang terakhir, akan dipersoal tentang perbuatan penganiayaan terhadap manusia, sama ada ketika hidup di dunia dahulu mereka pernah melakukan kezaliman kepada manusia atau mengambil hak orang lain. Pusat semakan yang terakhir ini adalah lokasi yang paling sukar untuk ditempuhi manusia.

Ketika melalui titian sirat, Rasululullah SAW adalah manusia pertama yang akan melaluinya dan umat Baginda adalah umat pertama yang akan meniti titian ini. Perjalanan meniti titian sirat adalah berbeza keadaannya di antara setiap manusia dan menurut Baginda ada yang dapat melalui titian ini sepantas buraq. Setelah Rasulullah melalui titian sirat, Baginda akan berada di penghujung titian dan setiap kali umatnya naik meniti titian sirat ini Baginda akan menyebut “Ummati ya Rabb” (Umatku wahai Tuhanku). Lalu Rasulullah akan terus berdoa dan menyebut “Selamatkanlah ya Allah” dan berharap umatnya selamat ketika meniti titian itu.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Qudri menyebut, “Sewaktu dibentang al-jisr (jambatan) di atas neraka jahannam, pada waktu itu Rasulullah akan dibenarkan memberi syafaat dan berdoa: “Ya Allah, selamatkanlah”. Baginda akan merasa berdebar, begitu jugalah umatnya yang sedang meniti titian itu. Apabila ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan al-jisr itu, Baginda berkata ia adalah titian sirat yang licin, mempunyai lengan yang hujungnya runcing dan duri yang ada padanya dikenali sebagai as-sa’dan. 

Duri yang tajam dan beracun itu akan mengait manusia yang melalui titian sirat itu. Menurut Rasulullah, ada di kalangan orang mukmin yang berlari meniti titian itu hanya sekelip mata. Ada yang sepantas buraq dan selamat menitinya, ada yang bagaikan angin, ada yang menitinya bagai burung yang berterbangan dan ada pula yang berlalu seperti kuda dan tunggangan lain. 

Malah ada juga orang Islam yang terkena kaitan duri ketika meniti titian itu lalu dilempar ke neraka jahannam. Titian sirat itu sehalus sehelai rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam daripada mata pedang, dalam keadaan gelap, berbau hanyir dan kedengaran api neraka sedang marak serta duri yang sedang kait-mengait di bawahnya.

Selain itu ada juga orang Islam yang meniti titian itu di dalam keadaan merangkak lalu terjatuh dan menaiki semula titian. Apabila titian itu digoncang dan dikait sehingga terjatuh, ada yang terselamat, manakala ada juga yang terus terjatuh ke dalam neraka. Sewaktu tercampak dan melayang ke dalam neraka, kedengaran bunyi api marak yang akan memusnahkan dirinya. 

Datang penjaga neraka dan bertanya kepadanya: “Tidak adakah orang yang mengajar dan memberitahumu tentang agama ketika hidup di dunia dahulu?”. Dijawabnya: “Ya aku pernah mendengarnya dahulu, sudah datang segala peringatan untuk kami. Tapi sayangnya kami dusta dan tidak mempedulikan apa yang berlaku, menjadikan kami sesat dan tidak mendengar terhadap pengajaran agama ini sendiri”.

Manusia yang menyelamatkan orang mukmin daripada menjadi munafik atau menyelamatkan orang mukmin daripada kejahatan orang munafik akan melihat kelebihan amalannya melalui malaikat yang diutuskan untuk melindunginya daripada neraka Allah. Tetapi sesiapa yang memburuk-burukkan dan menuduh orang mukmin melakukan kejahatan, dia akan ditahan di atas titian sirat sehingga dia mengakui perbuatannya itu. 

Rasulullah SAW juga menggambarkan tempoh masa manusia akan berada di atas titian sirat sekurang-kurangnya selama 100 tahun dan ada yang menitinya selama 1000 tahun. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Faraj bin al-Jawzi, orang yang paling ramai terhumban jatuh ke dalam neraka ketika melalui titian sirat ialah di kalangan wanita kerana tidak menjaga Allah dan Rasul serta tidak menjaga hati suami.

Rasulullah SAW bersabda, ketika manusia melalui titian, malaikat daripada bawah Arasy akan memanggil: “ Wahai hamba Allah, seberangi sirat itu. Kamu bergerak sekarang! Siapa yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan maka hendaklah dia kekal di atas titian sirat itu.” Pada ketika itu suasana amat menakutkan dan keadaannya sangat panas. Orang yang lemah dan hina ketika berada di dunia dahulu dengan sentiasa ke masjid dan membaca Quran akan menjadi laju ketika melalui titian sirat, sedangkan mereka yang ketika di dunia di dalam keadaan mulia akan menjadi orang yang terakhir. Semua akan melalui titian mengikut baik dan buruknya amalan mereka dan apabila tiba giliran umat Baginda, akan didoakan, “Ya Allah, selamatkanlah umatku”.

Maka terdapat tip-tip untuk meniti titian sirat itu yakni, enam amalan yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW seperti berikut:

1. Sentiasa berada di masjid

Abu Darda’ berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: Masjid itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertakwa dan Allah akan memberikan kesenangan, rahmat dan (keselamatan) di atas sirat menuju keredaan Allah ke dalam syurga bagi sesiapa sahaja yang menjadikan masjid-masjid sebagai rumahnya.”

Sentiasa berada di masjid untuk mendapatkan ilmu-ilmu agama dan juga membaca al-Quran akan membuatkan seseorang mendapat kelebihan ketika meniti Titian Sirat. Maksud orang yang sentiasa pergi ke masjid ialah melakukan solat berjemaah, belajar ilmu agama di masjid, bergaul dengan orang soleh di masjid dan melakukan pelbagai aktivit keagamaan di masjid atau surau. Nabi SAW bersabda dalam hadis tadi bahawa di masjid adalah tempat orang yang bertakwa kepada Allah.

Sebenarnya banyak kelebihan masjid sehinggakan orang berada di dalam masjid dalam majlis ilmu akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar Allah mengampuni dan merahmati mereka.

2. Bersedekah dengan baik

Maksudnya sedekah tadi ialah daripada sumber yang halal, cara sedekah yang baik dan juga tepat sasarannya. Bersedekah lebih afdal kepada kaum keluarga terdekat dahulu yang mana Allah akan berikan dua jenis ganjaran pahala: Pertamanya ialah pahala sedekah, keduanya pahala menghubungkan silaturrahim di antara ahli keluarga.

Bersedekah juga hendaklah dengan cara yang baik seperti penuh keikhlasan, tidak disusuli dengan ungkit-mengungkit bertujuan berbangga-bangga selain mahu menyakitkan hati orang yang kita bantu.

Dalam riwayat Ibnu Hibban disebutkan bahawa: “Barang siapa yang memaafkan kesalahan seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Nabi SAW bersabda daripada Abu Nuaim dan Asbahani meriwayatkan secara marfu’: “Barangsiapa bersedekah dengan baik, maka dia akan melintas di atas sirat dengan lapang dada”.

3. Menerima pembatalan pembelian seseorang muslim dan memaafkan kesalahannya

Maksudnya kita dalam urusan transaksi jual beli atau apa-apa urusan kalau ada kecacatan pada barang yang dibeli contohnya, maka jika pembeli membatalkan pembelian tersebut, maka kita menerimanya dan meyelesaikannya dengan cara yang baik.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menerima pembatalan pembelian saudaranya, maka Allah SWT akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Dalam riwayat Ibnu Hibban disebutkan bahawa: “Barang siapa yang memaafkan kesalahan seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Sifat suka memaafkan kesalahan orang lain ini sebenarnya sangat mulia dan akan menenangkan hati kita dengan sebab tiada dendam kesumat.

4. Memudahkan kesulitan orang lain

Saidatina Aisyah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang menjadi penghubung bagi saudaranya yang muslim kepada penguasa dalam menyampaikan satu kebaikan atau memudahkan satu kesulitan, maka Allah akan membantunya dalam melintasi sirat pada hari kiamat ketika tergelincirnya kaki-kaki”.

Menolong memudahkan kesulitan yang dihadapi orang lain antara tip diberikan nabi agar perjalanan ketitika di Titian Sirat menjadi mudah. Gambar hiasan - Bernama

Contohnya dalam kehidupan kita seharian banyak urusan kita dengan pihak berkuasa bermula dengan pendaftaran surat beranak, urusan membuat kad pengenalan, mendaftarkan sekolah anak, permohonan-permohonan permit, lesen dan sebagainya sehinggalah kepada urusan kematian.

Maka jika kita menolong orang lain mempermudahklan urusan mereka, maka Allah akan selamatkan kita meniti titian sirat.

5. Membantu memenuhi keperluan orang lain

Dalam satu hadis Nabi SAW daripada Anas bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai oleh Allah?”

Baginda bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang membahagiakan seseorang muslim; mengatasi kesulitannya, membayar hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya, serta berjalan bersama saudaraku untuk satu keperluan lebih aku cintai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama satu bulan.

"Dan barangsiapa yang dapat menahan amarahnya pada hal dia mampu untuk melempiaskannya jika dia mahu, maka Allah akan memenuhi hatinya pada hari kiamat dengan keredaan, dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk satu keperluan sehingga dia dapat memenuhinya, maka Allah akan memantapkan kedua kakinya pada hari di mana kaki-kaki akan tergelincir” - [HR al-Asbahani dab Ibnu Abi Dunya].

Lihatlah betapa kalau kita teliti isi kandungan hadis ini berkisar tentang akhlak yang baik: Menolong menyelesaikan masalah saudara kita, tolong bayarkan hutangnya atau halalkan hutangnya dengan kita, belanja makan dan pelbagai cara lagi. 

Sebab itulah Nabi SAW mengatakan bahawa amalan yang paling berat timbangan di neraca Allah adalah akhlak yang baik.

6. Melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang munafik

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang yang nampak munafik, maka Allah akan mengutus kepadanya seorang malaikat yang akan melindungi dagingnya daripada api neraka Jahannam pada hari kiamat. Barangsiapa menuduh seorang muslim dengan tujuan ingin mencemarkannya, maka Allah akan menahannya di atas sirat Jahannam sehingga dia dibersihkan dari dosa yang telah dia katakan.” - [HR Abu Daud].

Pada zaman sekarang ini masya Allah banyaknya umpatan, kutukan Ya Allah kalau kita baca pun takut, fitnah, adu-domba, caci-maki dan sebagainya sangat kurang sopan dan sangat kesat bahasanya di media sosial.

Bahkan ulama, tok-tok guru dan orang-orang alim pewaris nabi dikeji, dihina sebegitu rupa. Oleh itu ambillah peluang ini dengan mempertahankan saudara muslim kita daripada kutukan, hinaan, kejian, tuduhan orang munafik ini kerana Allah akan selamatkan kita semasa meniti titian sirat pada hari kiamat nanti.

Semoga dengan mengamalkan tip-tip yang diberikan oleh Nabi SAW ini insyaAllah, Allah akan permudahkan kita meniti titian sirat untuk menuju ke syurgaNya.

Wallahualam.

Kredit/Sumber: ikimfm.my, mstar.com.my

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE