Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat." Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing." Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).(al-Baqarah: 83 dan 84)
Firman Allah s.w.t., Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Sebagaimana Kami membuat perjanjian terhadap nenek-moyang mereka, hai golongan Yahudi dengan sesungguh-sungguhnya.
Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, iaitu kamu hanya menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya. Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: Perkhabaran di sini dengan makna larangan dan ia lebih kuat daripada lafaz larangan atau suruhan yang biasa.
Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, di mana Kami arahkan mereka supaya berbuat ihsan terhadap ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin, juga kepada anak-anak yatim iaitu mereka yang kematian ayah ketika masih kecil (belum baligh). Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam al-Nawawi yang telah menghasankannya iaitu tidak dianggap yatim selepas baligh. Dan orang miskin pula ialah mereka yang lemah daripada berusaha atau bekerja. Maksud asal perkataan miskin ialah keperluan bertapak dan singgah padanya.
Seterusnya arahan Allah, Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; seperti berkata dengan lemah-lembut, tawaduk dan memilih percakapan yang sesuai lagi manis.
Ulama telah berselisih pendapat tentang siapakah yang ditujukan dengan ayat ini:
- Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a., Ibn Jubair dan Ibn Juraih. Maknanya ialah benarkanlah segala sifat Nabi s.a.w..
- Mereka itu ialah umat Muhammad s.a.w.. Inilah pendapat Abu al-Aliah. Maknanya berkatalah kepada manusia dengan cara yang makruf atau baik.
Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Iaitu arahan supaya bersolat dan berzakat sebagaimana Allah s.w.t. fardukan ke atas kamu supaya menunaikan rukun-rukun tersebut kerana kedua-duanya merupakan sebesar-besar jenis ibadat sama ada badaniyah atau maliyah (harta benda).
Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. Di mana kamu menolak dan menentang, begitu juga mereka sebelum kamu sehingga sedikit sahaja di kalangan kamu yang dapat melakukannya.
Sayyid Qutub berkata: Demikianlah terbukanya sesetengah rahsia daripada perubahan gaya penjelasan kisah-kisah dan lainnya dalam kitab al-Quran yang amat mengagumkan ini. Ayat yang berikut terus menunjukkan pembicaraannya kepada Bani Israel dengan mendedahkan tindakan-tindakan mereka yang bertentangan dengan perjanjian mereka dengan Allah.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: (Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, begitu juga ingatlah hai Bani Israel perjanjian yang begitu sungguh-sungguh supaya sebahagian kamu jangan membunuh yang lain tanpa hak dan sebenarnya.
Syeikh Syarawai dalam tafsirnya berkata: Apabila kamu mendengar kalam Allah menyebut iz maka ketahuilah bahawa maknanya ingat atau sebut. Sebagaimana kita ketahui bahawa sesungguhnya perjanjian yang kukuh iaitu beribadat kepada Allah sahaja, berbuat baik kepada ibu bapa, kaum keluarga, anak yatim, orang miskin, berkata baik sesama manusia, mendirikan solat hingga kepada arahan yang lain. Semuanya merupakan perintah-perintah yang memberi maksud lakukanlah sebagai penyempurnaan kepada perjanjian sedangkan dalam ayat ini Allah mengungkapkan jangan kamu buat.
Sebagaimana kita ketahui ibadat merupakan ketaatan segala arahan dan menegah segala larangan. Justeru, bermulalah larangan di sini. Antaranya jangan menumpahkan darah. Kenapa disebut darah? Ini kerana selepas Allah menyebut, Dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing, ia merupakan hukum iman yang ditujukan kepada sekumpulan iman bahawa ia adalah satu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang beriman dalam kasih sayang dan merahmati sesama mereka seumpama jasad yang satu. Apabila mengadu sakit salah satu daripada anggotanya, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam."
Di mana di kalangan kamu terdapat sebahagian yang melampau terhadap yang lain dengan menghalau orang dari negeri mereka.
Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya). Iaitu kamu benar-benar mengetahui perjanjian yang semestinya kamu memeliharanya dan kamu sendiri menyaksikan hal tersebut.
Syeikh Syarawi berkata: Allah s.w.t. menujukkan ucapan kepada Yahudi sezaman Rasulullah s.a.w. bagi mengingatkan mereka tentang tindakan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka. Begitu juga dengan pendirian mereka daripada mengambil perjanjian ketika diangkat Bukit Tur di atas kepala mereka. Dan al-Quran seolah-olah berkata: Sesungguhnya kamu telah mengubah dan meminda apa yang kamu ketahui. Maka yang datang mengikut hawa nafsumu kamu laksanakannya sedangkan apabila bersalahan dengan nafsumu kamu tidak lakukannya.
nici info gan
BalasPadamberkunjung..