Home » , , , » Allah Makbul Doa Nabi Ilyas

Allah Makbul Doa Nabi Ilyas



Allah Makbul Doa Nabi Ilyas
NABI Ilyas diutuskan Allah kepada kaumnya Bani Israel yang gemar menyembah patung Ba’al.


Nabi Ilyas menyeru mereka meninggalkan Ba’al dan menyembah Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ilyas adalah seorang Rasul Allah. Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapakah kamu tidak takut kepada Allah? Mengapakah kamu menyembah Ba’al yang sebaik-baik-Nya (Allah)? Tuhan Allah itulah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu.’” (Surah ash-Shafaat ayat 123-126)


Kaum Nabi Ilyas sering berdusta terhadap seruan Nabi Ilyas. Mereka akan menerima balasan Allah dengan seksaan yang berat. Akibat daripada sikap derhaka kepada Allah, mereka ditimpa seksaan musim kemarau yang berpanjangan. Hujan tidak turun membasahi bumi selama beberapa tahun sehingga menyebabkan mereka kehausan. Seluruh binatang ternakan dan kebun tanaman mereka mati kebuluran dan menjadi kering-kontang. Kaumnya yang derhaka itu mengalami kebuluran yang sangat teruk keadaannya. Kesengsaraan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam diri mereka.

Pada satu ketika Ilyas memasuki rumah seseorang wanita bersama seorang putera bernama Ilyasa’. Anak itu berada di bawah penjagaan Baginda. Kanak-kanak itu sebenarnya Ilyasa’ bin Akhtab bin Ayuz. Ilyas yang menjadikannya anak angkat sering membawanya ke mana saja sehingga Allah mengurniakan keberkatan kepada mereka.

Allah menganugerahkan rezeki yang melimpah kepada Ilyas dengan makanan terus terhidang di mana saja Baginda singgah untuk bersembunyi. Anugerah yang luar biasa itu berlaku apabila Ilyasa’ sudah dewasa. Keadaan itu menyebab­kan kaum Bani Israel sentiasa memburu Ilyas. Seorang daripada mereka berkata: “Tentu rumah ini dimasuki Ilyas.”

Walaupun nasihat dan amaran diberikan, kaumnya langsung tidak mendengarnya, malah terus memburunya. Disebabkan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman dan tidak tahan dengan kesengsaraan yang menimpa itu akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menemui IIyas dengan cara baik.

Rakyat datang berjumpa Nabi Ilyas supaya Baginda memohon kepada Allah hujan, sekali gus mengembalikan semula kesuburan di kawasan itu dan mereka terhindar daripada kebuluran. Ilyas berdoa kepada Allah: “Ya Allah! Hindarilah mereka daripada bahaya kelaparan yang menimpa mereka. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur kepada Engkau.”

Bagi memastikan Ilyas melakukan permintaan itu, seterusnya diterima Allah, mereka berjanji mahu mengikuti ajaran Ilyas, beriman kepada Allah dan meninggalkan penyembahan berhala. Ternyata doa Nabi Ilyas dimakbulkan dan Allah terus menurunkan hujan sehingga kawasan yang tandus tadi bertukar menjadi subur dan mereka dapat menjalani kehidupan dalam kemakmuran seperti dulu.

Namun, lama-kelamaan janji itu dilupai dan akhirnya Allah lenyap dalam hati mereka. Mereka kembali dengan amalan sebelum ini iaitu menyembah berhala. Malah, mereka bertambah kerap melakukan penyembahan itu. Memandangkan nikmat yang dikurniakan dibalas dengan perbuatan syirik, Allah menurunkan azab sekali lagi dan ia adalah azab terakhir sehingga semua mereka hancur binasa.

Bagaimanapun, Nabi Ilyas dan Ilyasa’ terkecuali daripada azab itu kerana mereka berdua beriman dan berbakti kepada Allah. Bagi Nabi Ilyasa’, kisahnya agak berlainan sedikit kerana tidak mendapat tentangan daripada kaumnya. Mereka patuh kepada ajarannya dan beriman kepada Taurat yang menyeru kepada mengesakan Allah. Baginda diangkat menjadi rasul ketika dewasa. Kerasulannya disebut di dalam al-Quran bersama beberapa rasul sebelumnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Lut, masing-masing Kami lebih­kan darjatnya atas umat pada masanya.”

Sewaktu hayat Nabi Ilyasa’, umatnya memang patuh kepada segala ajaran supaya beriman kepada Allah, dengan mengikuti nasihat yang terkandung dalam kitab Taurat, tetapi selepas kewafatannya keadaan berlaku sebaliknya. Umatnya terus membelakangkan kitab Taurat, menyebabkan mereka berada dalam kesesatan sehingga melakukan penderhakaan terhadap Allah. Perbuatan mereka yang salah itu dibalas Allah dengan azab iaitu menarik segala nikmat yang dikecapi mereka selama ini.

Share artikel ini:

Penafian! Maklumat yang dipaparkan di blog ini diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang masalah atau kemudaratan yang timbul akibat daripada penggunaan maklumat yang terkandung dalam blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

Translate

CLOSE