Nabi Muhammad SAW Mengenali Umatnya Melalui Selawat
NABI Muhammad SAW adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang dianugerahkan syafaat membantu umatnya di akhirat kelak.
Malangnya, masih ramai yang hanya mengakui bahawa mengasihi, mencintai dan mengharapkan syafaat Baginda tetapi tidak melakukan sebarang inisiatif mahupun berusaha mendekati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sedangkan Baginda sentiasa mendahulukan umatnya dalam segenap perkara, bahkan Rasulullah SAW sanggup dihina, dicerca, diuji dengan pelbagai fitnah bahkan menerima ugutan bunuh demi menegakkan syiar Islam.
Pengorbanan itu tidak lain tidak bukan demi memastikan umatnya tidak terjerumus ke lembah kesesatan. Rasulullah SAW menyatakan orang paling baik dan dekat dengan kedudukannya pada kiamat ialah insan paling baik akhlak dan berselawat kepadanya.
Dua perkara ini tidak boleh ditinggalkan atau cuma diambil satu daripadanya. Penuhkanlah diri dengan selawat kerana ia doa untuk diri kita sendiri.
Lebih banyak berselawat, Rasulullah SAW pasti lebih mengenali kita. Begitu juga jika sedikit jumlah selawat diucapkan, sudah tentulah Baginda sukar mengenali dan bagaimana pula untuk memberikan syafaat kepada kita kelak.
Rasulullah SAW terkenal dengan sifat amat luhur, Baginda bukan sahaja tidak menyakiti orang lain, bahkan tidak menzalimi orang berbuat jahat kepadanya.
Ada banyak sirah Rasulullah SAW wajar diteladani termasuk bagaimana Baginda menyantuni seorang Yahudi yang datang untuk mengutip hutang sedangkan belum tiba tempohnya dengan pelbagai makian.
Dalam satu kisah, Rasulullah SAW dicekik seorang pemuda sehingga Saidina Umar RA mengangkat pedang untuk menikamnya tetapi ditenangkan oleh Baginda.
Lihat sahaja kesabaran Rasulullah SAW ketika diuji dengan kata hinaan, dihalau dan dibaling dengan batu hingga cedera ketika menyampaikan dakwah kepada penduduk Kota Taif. Pada waktu itu, Jibril ingin menghancurkan bumi Taif sebagai balasan kepada kejahatan dilakukan mereka.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW pula bertindak sebaliknya dengan memohon doa kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati dan keturunan mereka menerima Islam. Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya berterusan sehingga di akhirat nanti.
Baginda Rasulullah SAW akan tampil sebagai satu-satunya pemilik syafaat. Ketika itu, semua Nabi selain Baginda tidak mampu mengangkat tangan untuk membantu umatnya. Namun, Baginda yang melihat umatnya kebingungan, dengan segera naik ke Arasy Allah untuk memohon pertolongan-Nya.
Walaupun Baginda sudah wafat 1,400 tahun lalu, tetapi tidak mustahil untuk mengembalikan adab dimiliki Baginda pada zaman serba moden ini. Misalnya, ketika hati kita disakiti orang, mengapa tidak ikut acuan Rasulullah SAW dengan menghadiahkan doa kebaikan kepadanya. Bangunlah solat di saat tengah malam, merayu kepada Allah SWT permudahkan urusan orang yang kita tidak sukai itu, dengan jalan ini syaitan akan kalah dan segera pergi.
Wallahualam
Kredit/Sumber: bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan