Pages

29 November 2019

Golongan Yang Bersama Rasullullah SAW Dalam Syurga


Golongan Yang Bersama Rasullullah SAW Dalam Syurga


Dr Mehran Mahir Othman dalam satu makalah ilmiahnya telah menyenaraikan beberapa golongan orang yang beriman yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak. Keistimewaan tersebut bukanlah diperolehi secara percuma, malah ia merupakan ganjaran keatas amalan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia ini.  Antara golongan yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak ialah:

Golongan Pertama

Mereka yang sentiasa mengikuti dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya dalam kehidupan mereka. Mereka yang memastikan seluruh kehidupannya bertepatan dengan Syariat Allah SWT dan sunnah Nabi SAW. 

Imam al-Tabarani dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhu bahawa seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kebimbangannya tidak dapat lagi bersama baginda dalam syurga kelak. Berkaitan dengan kebimbangan ini maka Allah SWT menurunkan ayat 69 daripada surah al-Nisa’. 

Firman Allah SWT:


“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para Siddqin, orang-orang yang mati syahid, dan orangorang saleh, dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”

Golongan Kedua 

Mereka yang cinta kepada Rasulullah SAW. Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta yang membawa seseorang itu mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan hariannya. Iaitu cinta yang pernah ditunjukkan oleh para sahabat Radhiallahu Anhum terhadap Baginda Rasulullah SAW. 

Bukanlah seperti cinta Abu Talib terhadap baginda atau cinta orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap nabi-nabi mereka. Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallhu Anhu bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Maka Baginda bertanya kembali tentang persiapannya bagi menghadapi hari tersebut. Dia menjawab tiada suatupun persiapanku kecuali cintaku yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya. Mendengar jawapan tersebut maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan bersama dengan sesiapa yang engkau cintai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Golongan Ketiga 

Golongan lain yang juga akan dapat mendampingi Rasulullah SAW di akhirat kelak ialah orang yang banyak mendirikan solat. Solat yang didirikan itu bukan terbatas kepada solat-solat fardu sahaja, bahkan ditambah dengan pelbagai solat sunat yang disyariatkan sama ada malam ataupun siang. Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami pernah bermalam bersama Rasulullah SAW dan membantu menyediakan air wuduk dan keperluan Baginda. 

Pada malam tersebut Rasulullah SAW menawarkan kepada Rabi’ah untuk meminta apa-apapun permohonan kepada Baginda. Rabi’ah Radhiallahu Anhu hanya memohon satu perkara sahaja daripada Rasulullah SAW iaitu memohon untuk bersama Rasulullah SAW dalam syurga kelak. Setelah mendengar permohonan itu lantas Baginda bersabda:

“Oleh itu bantulah aku untuk mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud yakni solat.” (Riwayat Muslim). 

Golongan Keempat

Selain daripada memperbanyakkan solat, umat Islam juga diperintahkan supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Antara doa yang ma’thur yang diamalkan oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu ialah seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu dengan doanya:

“Ya Allah aku memohon kepada Engkau keimanan yang tidak akan murtad, kenikmatan yang tidak terputus dan bersama Nabi Muhammad SAW di puncak Syurga al-Khuldi.” (Riwayat Ahmad). 

Golongan Kelima

Seseorang yang sentiasa menghiasi pergaulan hariannya dengan akhlak yang mulia dan terpuji juga adalah antara golongan yang akan mendapat kedudukan yang hampir dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat kelak. Sebuah hadis daripada Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dari kalangan kamu dan orang yang paling hampir kedudukannya dengan aku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Tirmizi). 

Golongan Keenam

Begitu juga orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikir selawat ke atas Nabi SAW akan mendapat kemuliaan dengan mendapat syafa’at dan kedudukan yang istimewa bersama Nabi SAW pada hari kiamat kelak. Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang paling utama bersamaku pada hari kiamat kelak ialah orang paling banyak berselawat ke atasku.” (Riwayat al-Tirmizi). 

Golongan Ketujuh

Antara orang yang dijanjikan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak ialah orang yang menjaga dan menguruskan kehidupan anak yatim. Memberi kasih sayang kepada mereka, memastikan mereka membesar dengan mendapat pendidikan yang sempurna sehingga mereka dapat hidup berdikari. Sahal bin Sa’ad Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Aku dan orang yang menjaga anak yatim dalam syurga nanti seperti ini. Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah serta membuka-buka kedua-duanya.” (Riwayat al-Bukhari). 

Oleh itu marilah para jemaah sekalian sama-sama kita merenung sejenak dan muhasabah diri di manakah kedudukan kita di akhirat kelak. Sama-samalah kita memperbaiki amalan soleh kita semoga kita memperolehi ganjaran mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga Allah SWT di akhirat kelak.


Wallahualam.


Kredit/Sumber: e-masjid.jais.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan