Harta Qarun masih diburu hingga kini
Segelintir pihak percaya di suatu lokasi rahsia di Mesir, tersembunyi harta karun melimpah ruah yang masih belum dijumpai mana-mana pemburu harta sehingga kini.
Harta karun itu dipercayai masih kekal terkubur di lokasi rahsianya sejak tenggelam ke perut bumi ribuan tahun lalu dan usaha pihak tertentu untuk mencarinya masih gagal sehingga kini.
Kisah kewujudan harta itu adalah sahih lantaran dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 76-81 yang bermaksud: "Sesungguhnya Qarun adalah kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya daripada pelbagai jenis kekayaan yang anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah (seperti lagakmu itu).
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."
"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, daripada umat yang lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.
"Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar.
"Lalu Kami timbuskan dia bersama rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri".
Kisah al-Quran itu meyakinkan segelintir pihak bahawa Qarun ditenggelamkan ke dalam tanah bersama harta kekayaannya. Tanggapan itu kemudian menjadi pencetus semangat untuk mereka menjejaki lokasi Qarun ditenggelamkan dengan harapan dapat menjumpai harta lelaki terbabit. Mengikut riwayat silam dan kepercayaan masyarakat setempat, tempat tinggal Qarun dikenal pasti terletak di Al-Fayyum iaitu sekitar 90 kilometer dari Kaherah, Mesir.
Di daerah itu, terdapat danau besar dikenali sebagai Tasik Qarun. Penduduk sekitar tasik amat yakin di situlah Qarun ditenggelamkan bersama hartanya. Menurut buku Jejak Ketamadunan Dalam Islam, kajian geologi pernah dilakukan penyelidik Barat sekitar tasik itu dan hasilnya, mereka mendapati pernah berlaku gempa dahsyat di lokasi terbabit pada zaman dahulu.
Hasil kajian itu ternyata bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Qasas dan semakin meyakinkan ramai pihak bahawa Qarun dan hartanya ditelan bumi dalam gempa yang berlaku di lokasi itu pada ribuan tahun lalu. Bagaimanapun, usaha mencari kesan arkeologi tinggalan Qarun di tasik itu amat mencabar lantaran teramat luas iaitu sepanjang 30 kilometer, lebar sekitar 10 kilometer manakala kedalamannya sehingga 40 meter.
Penduduk sekitar Tasik Qarun percaya harta Qarun tersembunyi di dasar tasik tetapi dijaga 'makhluk' tertentu menyebabkan cubaan mencari kekayaan itu tidak pernah berjaya. Sekitar 1980 -an, tersebar khabar angin kononnya harta Qarun hanya akan muncul selepas 200 kanak-kanak dikorbankan. Khabar angin itu mencetuskan panik sehingga ibu bapa mengurung anak mereka kerana khuatir diculik pemburu harta. Walaupun harta Qarun tidak ditemui, bukti kekayaan tokoh antogonis itu dapat dilihat apabila satu daripada istana Qarun dikatakan masih wujud sehingga kini.
Istana terletak kira-kira dua kilometer dari Tasik Qarun itu dibina dengan hebat, berseni dan banyak bilik. Bagaimanapun, istana itu dikatakan belum habis digali. Banyak bilik dan ruang bawah tanah yang belum diteroka. Walaupun ramai pihak terutama penduduk setempat meyakini Al-Fayyum menjadi lokasi Qarun bersama hartanya ditenggelamkan, ada juga pihak berpendapat kejadian itu berlaku di tempat lain.
Sehingga kini, lokasi sebenar harta Qarun masih menjadi teka-teki tetapi legenda dan iktibar menimpa tokoh zaman Nabi Musa itu terus kekal diingati terutama dalam budaya Melayu.
Demi mengenangkan kisah Qarun yang tamakkan harta dunia sehingga mengabaikan perintah Allah, maka semua harta silam yang dijumpai akan disebut sebagai 'harta karun' oleh masyarakat Melayu.
Kredit/Sumber: bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan