Pages

25 Oktober 2019

Keindahan bilik & Sungai Syurga


Keindahan bilik & Sungai Syurga

RASULULLAH SAW menggambarkan bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga sangat indah dan cantik, di dalam keadaan terapung-apung di awangan dan kedudukannya menjulang tinggi ke langit sejauh 60 hasta dari permukaan lantainya. Bagi orang-orang yang bertakwa ditempatkan di dalam bilik yang tinggi dan dibawahnya mengalir anak-anak sungai yang indah sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT. Selain itu penghuni syurga berada di tempat yang penuh ketenangan, manakala di dalam setiap bilik itu ditempatkan bidadari yang sangat cantik di dalam khemah-khemah di bilik tersebut, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Rahman, ayat ke 70-72: “Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing…”

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada minggu ini, menerangkan bahawa Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW bersabda, “Ahli-ahli syurga ini, apabila dia masuk sahaja ke dalam syurga dan ke bilik-biliknya, bagaikan ahli dunia yang melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit.” Imam Ahmad juga pernah meriwayatkan, Abu Hurairah bertanya kepada Baginda,“Ya Rasulullah, jika kami boleh melihat kamu maka tenanglah hati kami dan menjadi ahli-ahli akhirat, tetapi saat kami berpisah denganmu maka kami hanyut dengan dunia yang menyebabkan kami lena dengan anak-anak dan isteri kami yang sering meracuni kami. Lalu Baginda menjawab, “Kalian ini tetap seperti ketika bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Malaikat akan berjabat tangan dengan kalian dan tangan-tangan mereka dan menziarahi kalian di rumah-rumah kalian. Jika kalian duduk denganku dan boleh ingat kepada Allah, mengapa apabila duduk bersama keluarga kalian tidak boleh mengingati Allah? Kerana nanti para malaikat akan datang merahmati dan mendoakan kalian, walaupun kalian berada di rumah. Seandainya kalian tidak pernah berdosa, Allah akan datangkan kaum yang melakukan dosa supaya Allah dapat mengampuni mereka.”

Kemudian para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang syurga, bagaimana bentuk bangunan-bangunannya?” Baginda menceritakan batu-batanya diperbuat daripada emas dan perak, campuran simennya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara dan yakut. Tanahnya daripada za’faran dan sesiapa yang memasuki syurga akan bersenang-senang dan tidak akan susah, kekal dan tidak mati. Pakaian penghuni syurga tidak akan lusuh dan usia menjadi muda dan tidak akan punah ranah. Seterusnya Rasulullah berkata, tiga kelompok manusia yang doanya tidak pernah ditolak ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga tiba waktu berbuka dan doa orang-orang yang teraniaya. Doa itu dibawa awan lalu dibuka pintu-pintu langit dan Rabb tabaraka wataala menyebut, “Demi kehormatan-Ku, aku akan menolong walaupun tertunda doa kamu dimustajabkan oleh Allah. Aku akan menjawab setiap doa yang kamu pohon itu, akan sampai kepada-Ku. Adapun firman Allah sungai-sungai yang mengalir dibawahnya itu tanpa ada lubang-lubang di dalamnya.”

Rasulullah sering menceritakan kepada para sahabat betapa indahnya syurga untuk memberi rangsangan kepada mereka. Pernah seorang tua Arab Badawi berkata kepada Baginda, “Ya Rasulullah, cerita-cerita kamu tentang bilik-bilik di dalam syurga ini, milik siapakah ya Rasulullah?” Baginda menjawab bahawa semuanya milik orang yang baik perkataannya, dan menjaga tutur katanya. Oleh itu elakkan menyebut perkataan yang tidak baik, jangan biasakan mulut dengan menyebut kalimah-kalimah yang boleh menyakiti hati orang yang mendengarnya dan jangan suka menulis perkara-perkara yang buruk dan caci-maki hingga menyebabkan akhirnya kita tidak melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah.

Selain itu orang yang suka memberi makan orang lain berhak memasuki syurga. Begitu juga golongan manusia yang solat pada waktu malam sedangkan manusia lain sedang nyenyak tidur. Saidina Ali pernah meriwayatkan Rasulullah menceritakan bahawa cantiknya syurga sehinggakan orang yang di luar boleh melihat orang di dalam dan orang di dalam boleh melihat orang di luar. Allah menyediakan syurga yang cantik sehingga jelas kelihatan butiran-butiran di dalamnya untuk manusia yang suka mengajak orang lain makan, orang yang lembut tutur katanya, orang yang sentiasa menjaga puasanya dan orang yang rajin berjaga malam di saat orang lain sedang tidur.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qais, Rasulullah SAW bersabda, bagi orang mukmin Allah sediakan bilik-bilik yang indah di dalam syurga dalam keadaan mutiara yang menjulang tinggi, jaraknya sepanjang 60 hasta dan ia memiliki keluarga-keluarga yang bergilir-gilir memasuki bilik itu tanpa dapat dilihat oleh orang lain. Ummu Habibah meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang rajin mengerjakan solat sunat 12 rakaat sehari semalam, Allah akan binakan istana yang indah untuknya di dalam syurga.” Manakala Uthman bin Affan menyebut Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang telah membina masjid di atas dunia untuk mengharapkan keredaan Allah, Allah akan bina secantik itulah istana untuknya di dalam syurga.”

Kredit/Sumber: ikimfm.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan