Pages

07 April 2017

Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” menuju ke Sidratul Muntaha bertemu dengan ALLAH SWT

Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” menuju ke Sidratul Muntaha bertemu dengan ALLAH SWT

Gambar Hiasan

Pengembaraan Israk Mikraj adalah kisah agung ini ditempuh Rasulullah SAW, dicatat oleh ilmuwan Islam melalui jalurjalur hadis yang sahih. Kisah pengembaraan secara horizontal dan vertikal yang dijalani dalam satu malam sahaja. 

Perjalanan berjuta batu ditempuh dengan sekelip mata. Ajaib malah di luar logika; seperti magis! Kerana itu al-Quran memulakan kisah ini dengan sebuah ungkapan tasbih. “Maha Suci ALLAH, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’, ayat 1) Kalimat tasbih ini diucapkan ketika daun telinga mendengar peristiwa besar dan saat mata melihat perkara yang menakjubkan.

Sedangkan perkataan hamba menunjukkan berkumpulnya roh dan jasad. Demikian pula jika jasad tanpa roh dikenal sebagai mayat. Oleh itu, perjalanan yang ditempuh Rasulullah SAW dari Makkah ke Sidratul Muntaha berlaku secara sedar dan bukannya mimpi. Imam Ja’far At Thahawi berkata dalam kitab Aqidahnya: “Mikraj adalah benar. Nabi SAW melakukan Israk dan Mikraj dengan tubuh beliau dalam keadaan terjaga ke atas langit...” Baginda melakukan Israk dengan menunggang Buraq, sejenis haiwan berwarna putih yang kakinya boleh melangkau sejauh mata memandang; panjangnya lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal (rujuk: Shahihain). Setelah sampai di Masjidil Aqsa, kemudian Nabi mengikat Buraq lalu bersolat sebentar di dalam Masjidil Aqsa.

Setelah itu, Rasulullah SAW menaiki tangga “ajaib” bagi meneruskan perjalanan menuju ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan ALLAH SWT.

Tangga inilah yang diistilahkan sebagai Mikraj. Sesetengah riwayat menyebutkan Nabi SAW bersabda: “Maka aku mendapati dua tangga, salah satunya daripada emas dan yang lainnya daripada perak”. Wallahu’alam. Pastinya beriman kepada Mikraj adalah wajib, tanpa mempersoalkan bentuk dan rupanya. (rujuk: Mu’jam Alfazhil Qur`an karya Ar-Raghib Al- Ashfahany dan Syarh Al-‘Aqidah Ath-Thohawiyah karya Ibnu Abil ‘Izz) 

Setiap kali Jibrail sampai ke tingkat langit, dia harus meminta kebenaran untuk dibukakan pintu langit agar boleh dilintasi Rasulullah SAW. Perkara ini berulang sehingga mereka sampai ke langit yang ke tujuh. Dalam setiap tingkat langit ini Rasulullah SAW bertemu dengan golongan Rasul yang sebelum baginda. Tatkala setelah sampai di Pohon Muntaha yang daunnya seperti telinga gajah dan buah-buahannya seperti guci yang besar, lalu wahyu ALLAH menyeliputi pohon tersebut, lantas berubahlah bentuknya. 

Tidak ada seorang pun daripada makhluk ALLAH yang mampu untuk menggambarkan keadaan Pohon Muntaha ini setelah wahyu menyeliputinya disebabkan tersangat indah. (Sahih Muslim) Solat lima waktu Setelah itu ALLAH menurunkan kewajipan solat 50 waktu kepada umat Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW bersabda: “ALLAH pun mewahyukan kepada ku dengan memerintahkan kepada ku solat 50 waktu sehari semalam. Aku pun turun dan berjumpa dengan Musa AS. Dia pun bertanya: ‘Apa yang diwajibkan Rabbmu kepada umatmu?’ Aku pun menjawab: ‘Solat 50 waktu.’ Musa berkata: ‘Kembalilah kepada Rabbmu, mohonlah keringanan kepada-Nya kerana umatmu tidak akan sanggup memenuhi kewajipan ini, sungguh aku telah menguji Bani Israil.” (Shahih Muslim) Berlakulah setelah itu proses turun naik antara langit ke enam dan Sidratul Muntaha yang dilakukan Nabi uhammad SAW dalam upaya mengurangkan jumlah solat. Sehinggalah Rasulullah SAW berasa malu untuk terus meminta pengurangan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terus menerus aku turun-naik antara Rabbku tabaraka wata’ala dengan Musa ‘alaihissalam sampai ALLAH menyatakan: ‘Wahai Muhammad, kewajipan solat itu sebanyak lima waktu sehari semalam, setiap solat bernilai sepuluh (kebaikan), sehingga nilai keseluruhan dari lima waktu solat adalah sebanyak 50 waktu solat.” (Sahih Muslim) Setelah termaktub pensyariatan solat sebanyak lima waktu, Rasulullah SAW turun ke bumi sehingga menjejakkan kakinya di Masjidil Aqsa. Lalu baginda menunggang Buraq untuk kembali ke Makkah. Peristiwa ini disampaikan kepada golongan Sahabat. Lantas ada daripada kalangan kaum munafik yang membantah cerita ini. Lalu ALLAH menurunkan wahyu dari langit: “Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya. Maka apakah kamu hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya?

Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibrail) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar”. (Surah An-Najm : 11-18) Bantahan kaum yang sesat Kaum munafik menggunakan logik akal dalam berdalil; mereka mempersoalkan tentang perjalanan Israk yang berlangsung dari Makkah ke Palestin dalam masa beberapa saat, walhal perjalanan tersebut memakan masa berbulan-bulan.

Maka manusia yang mempercayai kerasulan Muhammad SAW akan terus beriman, dan yang ragu terus menjadi kafir. Waktu inilah pemisah antara manusia yang mempertuhankan akal dan manusia yang beriman kepada naqal (wahyu). Waktu ini jugalah tersingkap sifat kemunafikan di antara orang yang mengikuti seruan Nabi Muhammad SAW. Rupa-rupanya ada daripada kalangan umat Islam pada zaman ini yang menafikan peristiwa perjalanan vertikal – mikraj, atas alasan ia adalah peristiwa yang direkodkan hadis ahad.

Walhal hadis mengenai peristiwa ini direkodkan 16 Sahabat. Mereka adalah: Anas bin Malik, Abu Dzar, Malik bin Sho’sho’ah, Ibnu ‘Abbas, Jabir, Abu Hurairah, Ubay bin Ka’ab, Buraidah ibnul Hushoib Al-Aslamy, Hudzaifah Ibnul Yaman, Syaddad bin Aus, Shuhaib, Abdurrahman bin Quroth, Ibnu ‘Umar, Ibnu Mas’ud, ‘Ali, dan ‘Umar. Justeru Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah Ar Rojihy berkata dalam Syarh Ath-Thohawiyah: “Jadi, sesiapa yang mengingkari Israk, maka dia kafir. Kerana dia menganggap Allah berdusta. Sesiapa yang mengingkari Mikraj maka tidak dikafirkan sampai ditegakkan padanya hujah serta dijelaskan padanya kebenaran.”

Ada juga antara kaum Muslimin yang membaca kisah ini tanpa mengerti; dalam masa mereka menetapkan peristiwa turun naik yang dilakukan Nabi untuk berjumpa ALLAH bagi mengurangkan jumlah solat, mereka menetapkan ALLAH wujud tanpa tempat.

Seandainya ALLAH bukan bersemayam di atas Arasy, malah sebaliknya ALLAH wujud tanpa tempat, lalu mengapa berlakunya Mikraj? Lebih ironi mengapa Musa menyuruh Nabi Muhammad SAW menghadap ALLAH di Sidratul Muntaha berulang kali? Cukup sahaja di langit ke enam - tempat Nabi Musa tinggal - Rasulullah SAW menyeru Tuhannya, tidak perlulah baginda naik turun berulang kali. Lalu di sinilah pemisah antara golongan yang beriman kepada naqal dan akal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan