Pages

27 Februari 2015

Pokok Zaqqum, Pokok Neraka

Pokok Zaqqum, Pokok Neraka
Gambar Hiasan: Pokok Zaqqum, Pokok Neraka

Pokok Zaqqum, Pokok Neraka

‘Zaqqum’ (Bahasa Arab: زقوم) adalah pokok yang tempat tumbuhnya di neraka yang buahnya menjadi makanan penghuni neraka. Pokok Zaqqum bukanlah sebagai tempat untuk berteduh atau menikmati kelazatan buahnya. Menurut Al-Quran, buahnya seperti kepala syaitan dan jika dimakan rasanya seperti kuningan nanah dan besi yang dicairkan bahkan lebih teruk lagi daripada itu.

Sekiranya pokok ini diletakkan di dunia, maka akan hancur bumi beserta isinya. Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Kalaulah setitik air buah zaqqum itu menitik ke dalam dunia ini nescaya ia merosakkan penghidupan penduduk bumi, maka betapa halnya orang yang buah zaqqum itu menjadi makanannya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi r.a.)

Manusia secara logik akal mungkin sukar menerimanya tetapi itulah hakikat sebenarnya. Orang-orang kafir sentiasa mengingkarinya dan mengejek Rasulullah ﷺ disebabkan fikiran mereka terbelenggu oleh kedangkalan teori bahawa pokok adalah bahan bakar api.

Mustahil pokok Zaqqum tumbuh sehingga berbuah di dalam api, lebih-lebih lagi di dalam neraka yang panasnya tujuh puluh kali ganda lebih panas daripada api dunia atau adanya pokok yang juraian tangkai dan buahnya berbentuk kepala syaitan.

Firman Allah :

“Dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; Dan Kami menakut-nakutkan mereka (dengan berbagai-bagai amaran), tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besarkan kederhakaan mereka dengan kekufuran yang melampau.”

(Surah Al Israa; Ayat 60)

Bagi mereka perkara ini dianggap lawak belaka. Sehinggakan Abu Jahal la’natullah alaihi boleh berjenaka dengan mengatakan, “Pokok Zaqqum adalah pokok kurma.”

Pokok Zaqqum

Meskipun ulama berbeza pendapat mengenai jumlahnya, samada tumbuhnya hanya sebatang Pokok Zaqqum di neraka atau Zaqqum merupakan nama dari sejenis pokok di neraka tetapi ianya adalah tetap tumbuhan dahsyat di neraka.

Allah berfirman:

“(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqqum (buahnya) menjadi makanan bagi orang-orang yang berdosa (dalam neraka), makanan ini pula panas, seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.” 

(Surah Ad-Dukhan: Ayat 43-46)

Batang Dan Akar Pokok Zaqqum

Pokok Zaqqum ini tumbuhnya di dasar neraka. Akarnya menghujam jauh ke dalam, ia tidak akan terjejas oleh sekuat manapun badai neraka itu. Batangnya juga kuat, tak boleh diukur dengan kekuatan benda logam duniawi yang meleleh oleh panasnya api.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya dia adalah sebatang pokok (Zaqqum) yang keluar dari dasar neraka Jahim (yang marak menjulang).”

(Surah Ash-Shaffat; Ayat 64)

Tinggi Pokok Zaqqum

Pokok Zaqqum bercabang-cabang dan menjalar menjulang tinggi keseluruh penjuru neraka. Sungguh tak terbayangkan tingginya pokok ini. Apabila seketul batu dilemparkan ke dalam neraka, dalam masa tujuh puluh tahun, belum tentu batu itu sampai ke dasar neraka. Maka setinggi neraka itulah pokok Zaqqum.

Buah Zaqqum

Setiap dahan pokok Zaqqum menghasilkan buah yang melimpah lebat, buahnya juga boleh dipetik pada bila-bila masa dan di mana saja, kerana sememangnya neraka bertingkat-tingkat. Ada yang di bawah dan ada yang lebih ke atas.

Jangan ada yang membayangkan bahawa buahnya itu ranum mengundang selera, nikmat dan lazat. Tempat tumbuhnya pun di neraka, tentu saja buahnya mencerminkan keburukan, dan kepedihan seksanya. Buahnya seperti kepala syaitan, sungguh mengerikan dan sememangnya begitulah keadaannya.

Firman Allah:

“Buahnya seperti kepala-kepala syaitan.”

(Surah Ash-Shaffat; Ayat 65)

Tersebut di dalam Al-Quran:

“Mereka benar-benar akan makan dari pokok Zaqqum.”

(Surah Al-Waqiah; Ayat 52).

Buah Zaqqum Makanan Penghuni Neraka

Buah itu menebarkan aroma busuk menusuk hidung. “Sekiranya setitis air dari buah Zaqqum itu jatuh ke bumi, tentu akan merosakkan kehidupan penduduk bumi. Lalu bagaimana dengan orang yang memakannya?” (Hadis Riwayat. Nasai. Turmudzi dan Ibnu Majah)

Penghuni neraka akan sentiasa lapar dan mereka akan sentiasa tergesa-gesa ke dasar neraka untuk memakan apa sahaja yang mereka temui. Di dasar neraka ini mereka akan dipaksa memakan buah dari pokok Zaqqum yang pahit rasanya dan busuk baunya bagai tahi minyak kotor serta buah tersebut juga akan membakar wajah beserta organ dalaman tubuh mereka.

Dahsyatnya Zaqqum… Belum pun sempat disentuh, bibir penghuni neraka akan terbakar sehingga menampakkan gigi-gigi mereka. Tidak hanya itu, mereka akan menelan duri yang akan mengoyakkan kerongkong ketika buah itu ditelan dan sebelum buah itu sampai ke perut, buah itu akan membakar dan mengeluarkan segala isi perut.

Meskipun demikian keadaannya, penghuni neraka tetap saja memakannya dengan lahap, sehingga perut mereka mengelembung tetapi tidak juga berasa kenyang. Mereka memang tiada mempunyai pilihan lain, tidak ada makanan yang boleh dijadikan sebagai pengganti.

Firman Allah:

“Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian daribuahnya (sekalipun pahit dan busuk) sehingga mereka memenuhi perut dengan buah Zaqqum itu.” 

(Surah Ash-Shaffat; Ayat 66)

Padahal, sebelum masuk ke perut makanan itu tersangkut dan menusuk-nusuk di kerongkong. Tidak mungkin untuk dikeluarkan semula, sungguh tidak terkira deritanya.

Firman Allah lagi :

“Dan makanan yang menyumbat di kerongkong dengan azab yang pedih.”

(Surah Al-Muzammil; Ayat 13)

Mereka akan makan dan terus makan seperti tidak pernah puas. Walaupun buah Zaqqum itu membakar dan menggelodak dalam perut bagaikan minyak menggoreng, kepanasannya tak dapat dibayangkan.

Sesungguhnya tumbuhan Zaqqum itu memang mengerikan dan menakutkan bagi sesiapa saja. Cubalah kita bertanya pada diri sendiri, sudah berapa jauhkah kita meninggalkan dosa agar kita tidak akan rasakan pokok Zaqqum yang mengerikan itu dan sudah sebanyak mana akrabnya kita dengan amal soleh supaya kita boleh menggantikan buah Zaqqum dengan buah-buahan syurga yang tidak terbayangkan nikmatnya!

Banyak nas-nas dan keterangan yang menyatakan nikmat Syurga dengan menyebut makanan yang lazat, minuman yang sedap, buah-buahan yang nyaman, hamparan yang berseri, perabot yang indah, pelayan dan bidadari yang cantik jelita dan beradab sopan, maka semuanya itu hanya memberi gambaran sekadar yang boleh difaham oleh manusia mengikut apa yang ada di dalam masyarakatnya untuk menggalakkan mereka bergiat mengesahkan aqidah kepercayaan dan membanyakkan amal ibadat mereka kepada Allah سبحانه وتعالى .

“Kampung yang kedua pula, yang disediakan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah bagi kediaman hamba-hambaNya yang soleh menikmati segala kesenangan dan kelazatan, ialah kampung yang dinamakan “Jannah” atau “Syurga”, iaitu kampung yang boleh didapati padanya segala perkara yang diingini oleh nafsu dan yang sedap dipandang oleh mata; (71 Surah Az-Zukhruf); juga kampung yang ada padanya perkara-perkara yang tak pernah dipandang oleh mata, tak pernah didengar oleh telinga dan tak pernah terlintas di hati manusia.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan