Nabi Muhammad Bertemu Allah di Sidratul Muntaha.
NABI Adam a.s gembira apabila menoleh kepalanya ke kanan kerana menyaksikan kalangan zuriatnya, iaitu umat manusia melakukan amalan baik dan akhirnya melayakkan mereka masuk syurga.Namun apabila baginda menoleh ke kiri, di dapati ada juga kalangan umat manusia yang diseksa dalam neraka akibat balasan amalan-amalan jahat yang mereka lakukan, Ini menyebabkan Nabi Adam sedih dan kecewa.
Demikianlah di sebalik makna perlakuan yang ditunjukkan oleh lelaki bertubuh sasa dan tinggi yang pertama ditemui oleh Nabi Muhammad sejurus memasuki langit pertama dalam perjalanan Mikraj untuk menemui Allah di singgahsana Sidratul Muntaha.
Baginda begitu gembira dapat bertemu dan mengenali manusia pertama ciptaan Allah itu yang kemudiannya menjadi bapa kepada seluruh manusia di muka bumi ini.
Selepas memberi salam kepada Nabi Adam, Nabi Muhammad kemudiannya dibawa naik ke langit kedua dan di situ baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Diikuti langit ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf, langit kelima, Nabi Harun dan Musa di langit keenam.
Nabi Muhammad akan memberi salam dan mengakui kenabian kepada setiap nabi yang baginda temui.
Apabila tiba di langit ketujuh, Nabi Muhammad berpeluang menyaksikan Baitul Makmur, iaitu rumah ibadat, binaan sama seperti Kaabah bagi penghuni langit terutamanya para malaikat beribadah dan melakukan tawaf.
Sesetengah mengatakan terdapat hampir 70,000 malaikat yang melakukan tawaf di Baitul Makmur itu. Ia dikatakan mempunyai kedudukan yang bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi. Di situ juga baginda melihat ada seorang lelaki yang wajahnya dikatakan hampir menyerupai Rasulullah sendiri.
Lalu baginda bertanya kepada Jibrail siapa lelaki berkenaan. Jibrail berkata: "Dialah nenek moyang kamu, Nabi Ibrahim."
Baginda sungguh gembira dengan pertemuan ini kerana dapat mengenali Nabi Ibrahim yang mempunyai sejarah kenabian sangat hebat terutama mampu mengalahkan Raja Namrud, berhijrah ke Palestin dan terpaksa meninggalkan isterinya Siti Hajar dan si anak Nabi Ismail.
Dari situ ia menjadi titik permulaan pembukaan Kota Mekah dan mendirikan Kaabah seperti yang diperintahkan oleh Allah.
Sejurus pertemuan yang sungguh bermakna itu, baginda berjalan sehingga ke penghujung langit ketujuh. Di situ baginda melihat bagaimana malaikat Jibrail yang menyerupai manusia berubah kepada bentuk asalnya. Bentuk yang sama seperti yang baginda pernah temui buat pertama kali semasa berjalan ke pulang ke rumah dari Gua Hira'.
Kebenaran perkara ini tidak dapat disangkal. Ia benar- benar terjadi sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, iaitu ayat 13 hingga 18 surah an-Najm yang bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail itu dalam rupanya yang asli iaitu berdekatan dengan Sidratul Muntaha, yang juga berdekatan dengan syurga al Makwa, (Muhammad melihat Jibrail) ketika di Sidratul Muntaha dilitupi oleh sesuatu yang melitupinya.
Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhan-Nya yang paling besar.
Selain bagi mengesahkan pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat Jibrail pada rupanya yang asal, ayat ini juga sebagai mengesahkan mengenai pertemuan agung antara Nabi SAW dengan Allah Rabbul Jalil secara bersemuka.
Inilah keistimewaan Nabi Muhammad dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan jaga dan bersemuka walaupun pertemuan tersebut tidak turut dihadiri oleh malaikat Jibrail.
Sebelum itu Jibrail telah meminta Nabi Muhammad mara ke hadapan iaitu memasuki Sidratul Muntaha, tempat sangat luar biasa yang tidak akan mampu terfikir oleh manusia biasa.
Apabila Nabi Muhammad turut mengajak malaikat Jibrail untuk bersama-sama dengan baginda, Jibrail berkata: "Kalau aku selangkah mara ke hadapan, maka aku akan hangus terbakar."
Nabi Muhammad Bertemu Allah
Lalu di hadapan Allah itu yang dikatakan jaraknya hanyalah 'dua busur panah' atau lebih dekat lagi dari itu, Nabi Muhammad diperintahkan sembahyang 50 waktu sehari semalam.
Iaitu ibadat menyembah-Nya untuk dilakukan oleh Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda setiap hari.
Berbanding ibadat lain yang difardukan melalui turunnya wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail namun ibadat solat adalah perintah secara langsung daripada Allah. Sebab itu di hari kiamat perkara pertama yang ditanyakan oleh Allah terhadap setiap individu umat Islam ialah mengenai perihal solatnya.
Nabi Muhammad Bertemu dengan Nabi Musa
Segala amalan kebaikan dan kebajikan yang lain seolah- olah tidak bermakna jika seseorang itu mengabai dan meninggalkan solat secara sengaja. Selepas pertemuan itu, Nabi Muhammad pun turun ke langit ke enam dan bertemu semula dengan Nabi Musa yang bertanyakan mengenai hasil pertemuan baginda dengan Allah.
"Apa yang Allah perintahkan untuk umat kamu wahai Muhammad," tanya Nabi Musa. "Allah memerintahkan aku dan umatku supaya mendirikan solat 50 fardu waktu sehari semalam," jawab Nabi Muhammad. Musa pun berkata lagi: "Kaum Israel pernah diperintahkan kurang daripada itu tetapi itupun mereka tidak mampu laksanakan.
Kamu naiklah lagi dan minta Allah ringankan (kurang jumlah fardu) solat itu."
Sesetengah riwayat menceritakan baginda terpaksa berulang kali menemui Allah semula bagi tujuan untuk meringankan jumlah fardu solat itu. Sehinggalah akhirnya ditetapkan ibadat solat itu difardukan lima kali sehari tanpa boleh dikurangkan lagi.
Itupun Nabi Musa tetap menggesa Nabi Muhammad dikurangkan lagi lima waktu itu. Lalu baginda pun berkata: "Aku rasa malu dengan tuhanku, namun aku reda dan aku menyerah diri."
Sepanjang mikraj itu juga Nabi Muhammad diperlihatkan dengan pelbagai kehidupan di alam
akhirat, iaitu alam yang kekal bakal didiami oleh seluruh umat manusia. Turut diperlihatkan ialah pelbagai gambaran bentuk pembalasan terhadap apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia semasa hidup mereka di dunia.
Namun yang paling berkesan pada baginda yang diceritakan kepada para pengikutnya ialah mengenai gambaran syurga dan neraka. Apa pun gambaran mengenai syurga dan neraka tersebut, namun yang jelas kedua-duanya wujud di akhirat sebagaimana yang disebut berkali-kali dalam al- Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan