Umar Amanah Menjaga Harta Baitulmal
UMAR al-Khattab adalah khalifah Islam yang kedua. Pada ketika itu pusat pemerintahan berada di kota Madinah. Umar adalah khalifah yang sangat disegani, bertanggungjawab dan amanah pada tugasnya. Segala arahan yang dikeluarkannya adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas termasuk oleh ahli keluarganya terlebih dahulu.
Tidak ada pengecualian kerana Umar amat teliti dengan segala suruhan Allah dan Nabi Muhammad. Terdapat kisah bagaimana semasa Umar sedang mengira dan membahagikan wang baitulmal, tiba-tiba anak perempuannya datang mengambil satu dirham wang itu.
"Saya jumpa wang. Ini wang saya. Saya ada wang sekarang," kata anak perempuan Umar sambil terlompat-lompat kerana gembira mendapat wang satu dinar. Seperti kanak-kanak lain, anak perempuan Umar itu memang tidak mengerti bahawa wang itu bukan milik ayahnya. Walaupun ayahnya adalah pemerintah pada masa itu, tidak bermakna anaknya dapat boleh mengambil wang baitulmal sesuka hati.
Wang itu diberikan kepada orang yang berhak menerimanya. Sudah menjadi tanggungjawab Umar membahagikan wang baitulmal itu kepada individu-individu yang berhak menerimanya. Umar menyuruh anak perempuannya menyerahkan kembali wang itu.
"Tolong berikan ayah wang itu kembali," kata Umar kepada anak perempuannya itu.
"Kembalikan wang itu," katanya lagi.
"Tidak mahu. Saya yang jumpa wang ini. Wang ini milik saya," kata anak perempuannya sambil berlari-lari anak.
Bagi Umar, sekiranya anaknya mengambil wang itu, bermakna beliau sendiri tidak bersifat amanah pada wang baitulmal itu. Khalifah Umar tidak mahu melanggar perintah Allah. Beliau juga tidak mahu menjadi pengkhianat kepada negara yang diperintahnya itu. Umar pun mengejar anaknya yang sedang menuju ke rumahnya. Anaknya menjadi takut melihat ayahnya mengejarnya. Lalu anak perempuannya menangis teresak-esak.
"Baik saya masukkan wang ini ke dalam mulut saya. Untung-untung ayah tidak dapat mengambil wang ini," bisik anak perempuannya itu. Anak perempuannya memasukkan wang satu dirham itu ke dalam mulutnya. Puas Umar memujuk anaknya.
"Kembalikan wang itu, wahai puteri ayah," pujuk Umar kepada anaknya itu.
Anaknya masih berdegil. Tanpa berlengah, Umar terpaksa memasukkan jarinya ke dalam mulut anaknya itu.
"Maafkan ayah kerana terpaksa mengorek mulut kamu bagi mendapatkan semula wang baitulmal ini," kata Umar kepada anak perempuannya itu.
Umar mengorek wang itu dengan jarinya. Wang itu berjaya dikeluarkan. Kemudian Umar berkata kepada anak perempuannya itu: "Maafkan ayah. Wang ini bukan kamu yang punya. Wang ini milik baitulmal." Anak perempuannya masih menangis, sementara ibunya memujuk anaknya itu. Orang lain yang berada di baitulmal turut melihat kejadian itu. Mereka sangat kagum dengan sikap Umar yang tegas.
Selepas berjaya mendapatkan wang satu dirham itu, Umar kembali ke baitulmal dan meletakkan semula wang itu ke tempat asalnya. Kemudian Umar berkata kepada orang Islam yang melihat kejadian itu: "Harta baitulmal bukan milik saya atau keluarga saya. Harta dan wang Baitulmal adalah milik orang Islam yang berhak menerimanya."
Peristiwa itu menjadi contoh teladan kepada semua masyarakat Islam. Ketegasan dan keadilan Umar dalam melaksanakan kepimpinannya, menjadikan beliau lebih dihormati oleh orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan