Pages

13 Disember 2008

Kisah Nabi Yusuf A.S

Kisah Nabi Yusuf A.S

Nabi Yusuf a.s. - (نبي يوسف عليه السلام) - merupakan salah seorang daripada golongan nabi dan rasul yang wajib diketahui. Kisah baginda dikisahkan dalam al-Qur'an iaitu dalam Surah Yusuf. Kisah baginda turut dikisahkan dengan nama Joseph, dalam Perjanjian Lama.

Baginda merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a.s. dan baginda berkongsi ibu yang dikenali sebagai Rahil dengan adiknya, Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang adik beradik lelaki dan baginda mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai oleh bapanya. Walau bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia 12 tahun.

Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk membunuh baginda.

Yahudza, anak lelaki keempat dari Nabi Ya’akub dan yang paling cekap dan bijaksana di antara mereka tidak bersetuju dengan cadangan pembunuhan memandangkan perlakuan tersebut adalah dilarang. Maka, demi menghalau Yusuf, dia mencadangkan untuk mencampakkan baginda ke dalam sebuah "perigi buta" yang terletak di persimpangan jalan kafilah-kafilah dagang dan para musafir beristirehat. Dengan itu, berkemungkinan Yusuf akan diselamatkan dari perigi tersebut dan di bawa oleh sesiapa sahaja untuk dijadikan hamba.

Mimpi agung

Pada malam saudara baginda mengadakan komplot tentang baginda, Yusuf sedang tidur dan bermimpikan suatu yang aneh lalu menceritakan kepada ayahnya:

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia." Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu tafsir mimpi serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’akub sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (12:4-6)

Mimpi tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada baginda Nabi Yusuf. Amatlah berbahaya untuk membongkarkan mimpi tersebut kepada adik-beradiknya yang lain memandangkan dia dan adiknya, Bunyamin sudahpun dicemburui.

Yusuf dimasukkan ke dalam perigi

Pada hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Yusuf menghadap Nabi Ya’akub untuk meminta izin membawa Yusuf bermain bersama mereka tetapi bapanya bimbang akan keselamatan Yusuf yang berkemungkinan baginda akan dimakan serigala jika mereka tidak menjaganya.

Mereka berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Yusuf ke dalam perigi dan pulang ke rumah pada senjanya dengan berpura-pura menangis dan mengatakan Yusuf dimamah serigala sambil menunjukkan baju Yusuf yang dilumuri darah palsu.

Sementara itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti untuk mengambil air lalu baginda dibawa ke Mesir. Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam al-Qur'an digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah ketua polis). Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.

Isteri Futhifar (Zulaikha)

Yusuf hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak ia menginjakkan kakinya di rumah itu dan kepercayaan penuh dari kedua majikannya. Nabi Yusuf yang telah dewasa mempunyai rupa yang menawan dan menarik minat ramai perempuan Mesir dan salah satu daripadanya ialah isteri kepada tuannya.

Setelah lama menahan kehendak, isteri Futhifar memancing Yusuf agar baginda terlebih dahulu mendekatinya dan bukannya dia dulu yang mendekati Yusuf demi menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua Polis. Dia selalu berdandan dan berhias malah menggoda Yusuf apabila baginda berada di rumah. Sikap dingin dan acuh tak acuh baginda terhadap rayuan dan ajakan Zulaikha membuat Zulaikha terdesak dengan nafsunya dan memerangkap baginda untuk ke bilik tidurnya dan menawarkan dirinya. Penolakan baginda membuatkan wajah Zulaikha kemerahan, tanda marah yang meluap-luap kerana merasakan dirinya dihina dan diremehkan oleh Yusuf dan menganggapnya suatu perbuatan kurang ajar dari seorang hamba terhadap seorang tuan .

Akhirnya, Yusuf terperangkap apabila Futhifar pulang ketika Zulaikha menarik koyak belakang baju baginda ketika mengejar baginda yang hendak ke pintu. Tanpa sempat Yusuf membuka mulut, Zulaikha memfitnah baginda di hadapan suaminya. Walau bagaimanapun, baginda terselamat dengan bukti yang berada di hadapan mereka iaitu baju baginda koyak di belakang dan bukan di hadapan. Akhirnya, Futhifar menyebelahi Yusuf dan berita itu sampai ke masyarakat umum.

Cacian dan cemuhan yang diterima Zulaikha membuatkan Zulaikha mempunyai niat untuk mengenakan Yusuf kembali. Lalu diadakan satu jamuan (di kalangan wanita) dan para jemputan diberikan pisau untuk memotong makanan mereka. Kemudian, Yusuf disuruh untuk keluar di hadapan para jemputan lalu rupa parasnya membuatkan mereka ternganga hingga mereka tidak sengaja telah melukai jari-jari tangan sendiri dan mengatakan yang Yusuf bukanlah manusia biasa tetapi malaikat.

Dengan mengambil kesempatan tentang apa yang terjadi, Zulaikha menerangkan betapa Yusuf tidak mendengar arahan tuannya dan betapa Zulaikha tidak bersalah dalam hal ini dengan mengatakan pasti dia takkan jatuh hati kepadanya kalau bukan kerana paras rupanya. Maka, ramai undangan bersetuju dan menggesa Yusuf untuk menurut sahaja. Yusuf yang tidak rela dengan gesaan itu berdoa agar dia lebih rela dimasukkan ke dalam penjara.

Futhifar, Ketua Polis Negara, suami Zulaikha memang pasti Yusuf bersih dari tuduhan yang dilemparkan dan sedar isterinya yang mencemarkan nama baik keluarganya. Kerana itu dia sanggup mengikut kata isterinya untuk memenjarakan Yusuf agar orang berpendapat yang Yusuf bersalah untuk mengembalikan nama baiknya.

Penjara dan tafsiran mimpi

Yusuf dimasukkan ke dalam penjara bukan disebabkan telah melakukan kesalahan, tetapi kerana tuannya ingin meletakkan kesalahan pada diri baginda. Walau bagaimanapun, bagi baginda, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar dan keadaan yang sempit dan tidak selesa membolehkan baginda beribadat.

Yusuf dipenjarakan bersama dua orang pegawai istana Firaun yang dituduh hendak meracuni Firaun atas perintah dan dengan kerjasama pihak musuh istana. Salah seorang daripada mereka ialah penjaga gudang makanan dan seorang lagi ialah pelayan meja istana. Pada suatu hari, kedua tahanan itu menceritakan kepada baginda bahwa mereka telah mendapat mimpi.

Si pelayan bermimpi dia akan memerah anggur dan si penjaga gudang melihat dirinya menjunjung roti sambil dipatuk dan disambar burung. Mereka berharap agar Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut memandangkan mereka melihat baginda sebagai orang yang boleh berbuat demikian.

Yusuf memberi tafsiran bahawa si pelayan yang memerah anggur akan dibebaskan manakala yang disambar burung akan dihukum mati. Maka, benarlah apa yang dikatakan baginda dan si pelayan itu dibebaskan.

Baginda memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan siapa dia bekerja iaitu Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan atas kesalahannya. Walau bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa dan menyebabkan baginda terperangkap di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.

Ganjaran Firaun

Pada suatu hari, firaun Mesir mengumpulkan para pembesar, penasihat dan cendekiawan untuk mentafsir mimpi yang telah merunsingkan dan menakutkannya. Firaun itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus. Dia juga melihat dalam mimpinya tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai yang lain kering.

Tiada siapapun yang dapat memberikan tafsiran bagi mimpi Firaun bahkan sebahagian mereka menganggapnya hanyalah mimpi kosong yang tidak bererti dan menganjurkan Firaun agar melupakan saja mimpinya itu.

Pelayan Firaun, pemuda yang pernah berjumpa Yusuf di dalam penjara teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia dikeluarkan dari penjara. Lalu dia memberanikan diri untuk menghampiri Firaun mengesyorkan agar Firaun merujuk kepada Yusuf.

Dengan izin Firaun, pelayan tersebut mengunjungi Nabi Yusuf di dalam penjara dan menceritakan apa yang berlaku kisah mimpi Firaun dan jawapan penasihat Firaun. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf jika Firaun dapat dipuaskan dengan tafsir mimpinya, berkemungkinan baginda akan dikeluarkan dari penjara setelah bertahun lamanya.

Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (12:47-49)

Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai banduan yang tidak berdosa enggan keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara diselesaikan terlebih dahulu dan fitnah yang dituduh ke atasnya. Baginda ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih.

Firaun Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan terkesan oleh tafsir mimpi baginda, membantu baginda lalu Firaun Mesir mengeluarkan titah untuk mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan terhiris jari ketika itu. Mereka menceritakan tentang apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan itu dan mengatakan Nabi Yusuf adalah ia seorang yang jujur, dan bersih. Zulaikha pula mengaku dialah yang bersalah.

Hasil pertemuan itu diumumkan ke seluruh lapisan masyarakat dan atas perintah Firaun, Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara secara hormat dan bersih dari segala tuduhan.

Sebagai wazir Mesir

Kecerdasan, pengetahuan, kesabaran , kejujuran, keramahan dan akhlak serta budi pekerti baginda membuatkan Firaun terfikir untuk menyerahkan tugas untuk membantunya memimpin negara dan rakyat. Maka, Yusuf ditawarkan untuk tinggal di istana dan mewakili Firaun menyelenggarakan pemerintahan serta pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan sulit.

Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Firaun Mesir itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada bahagian perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf dinaikkan sebagai wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah.

Kemudian, Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha, janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf masih dalam penjara. Yusuf menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat ulama, putera baginda dinamakan Ifratsim dan Minsya).

Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan untuk semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran.

Pertemuan kembali

Musim kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin datang untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf sendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Yusuf masih hidup malah menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.

Yusuf ingin menguji mereka dengan meragukan identiti dan mengesyaki mereka sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka adalah orang-orang musafir gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk memberi bukti atau membawa saksi. Nabi Yusuf memberi peluang kepada mereka dengan membenarkan mereka membeli gandum dari gudang dengan syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka tidak akan mempunyai peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin memandangkan bapa mereka Ya’akub menyayanginya dan lebih berat untuk meninggalkannya selepas khabar akan “kematian” Yusuf.

Yusuf bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah. Kemudian baginda memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa mengambil sedikitpun barangan mereka untuk ditukar.

Tanpa mengetahu hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu Ya'akub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka. Tetapi ayah mereka tidak mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana tidak mempercayai mereka lagi setelah apa yang berlaku ke atas Yusuf. Setelah mengetahui bahawa barang untuk ditukar dengan makanan dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah mereka, Bunyamin dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.

Setibanya di istana, mereka disambut oleh Yusuf yang masih mereka belum menyedari hakikat bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan jamuan dan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap di istana. Di istana, Yusuf memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya memberitahu tentang ayahnya pula.

Bunyamin ditahan

Selepas meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar pengawal istana berkuda untuk memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan bekas minuman firaun telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka telah mencurinya.Mereka mengatakan mereka ke sana bukan untuk mencuri tetapi penggeledahan tetap dilakukan lalu mereka menemui belas minuman itu.

Oleh kerana bekas itu ditemui dalam karung kepunyaan Bunyamin, maka Bunyamin ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan untuk pulang. Kerisauan muncul dalam fikiran yang lain kerana khuatir akan ayah mereka yang telahpun sengsara dengan kehilangan Yusuf.

Lalu mereka menghadap Yusuf dan merayu agar Bunyamin digantikan dengan sesiapa daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak diterima, Yahudza sanggup menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk memberitahu ayah mereka.

Pertemuan kembali keluarga Ya'akub

Nabi Ya'akub berterusan bersedih atas kehilangan putera-puteranya lalu puteranya yang sembilan itu kembali mendapatkan Yusuf. Mereka merayu agar membantu mereka melepaskan Bunyamin agar mengurangkan penderitaan ayah mereka yang sudah sedia sakit. Yusuf terharu dan akhirnya mengenalkan dirinya kepada mereka dan mereka memohon maaf atas kesilapan mereka dahulu. Akhirnya, mereka semua pulang ke Palestin termasuk Yusuf untuk berjumpa kembali bapanya.

Yusuf mengajak keluarganya untuk berhijrah ke Mesir dan mereka menuruti ajakan baginda. Menurut cerita riwayat tradisi, baginda wafat ketika berumur 110 tahun di Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar Mesir agar dapat dikebumikan di sana.

05 Disember 2008

Kisah Hajarul Aswad

Kisah Hajarul Aswad

Kisah Hajarul Aswad: Batu yang Disucikan

Hajarul Aswad adalah salah satu simbol penting dalam sejarah Islam. Batu hitam yang terletak di sudut Kaabah ini bukan sahaja menjadi penanda arah bagi jemaah haji yang bertawaf, tetapi juga memiliki nilai sejarah dan spiritual yang mendalam. Dalam artikel ini, kita akan menelusuri kisah asal-usul Hajarul Aswad, peristiwa peletakannya, serta pengajaran yang dapat diambil daripadanya.

Asal-usul Hajarul Aswad

Hajarul Aswad dipercayai merupakan batu yang diturunkan oleh Allah dari syurga sebagai penanda yang disucikan. Ketika Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. membina Kaabah, mereka mengalami banyak kesulitan dalam proses pembinaannya. Salah satunya adalah kekurangan batu untuk disusun di Kaabah. Nabi Ibrahim a.s. kemudiannya memerintahkan Nabi Ismail a.s. untuk mencari batu yang sesuai. Dalam perjalanan mencari batu, Nabi Ismail a.s. bertemu dengan malaikat Jibril a.s. yang membawa batu yang sangat cantik. Batu ini akhirnya dikenal sebagai Hajarul Aswad.

Dalam hadis riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Hajarul Aswad adalah batu yang Allah turunkan dari syurga, ia lebih putih dari susu, tetapi dosa-dosa anak-anak Adamlah yang menjadikannya hitam." (Hadis riwayat al-Tirmidhi)

Peristiwa Peletakan Hajarul Aswad

Seiring berjalannya waktu, Kaabah mengalami kerosakan akibat banjir besar yang melanda Makkah. Banjir ini menyebabkan dinding-dinding Kaabah retak dan perlu diperbaiki. Orang-orang Quraisy pun memutuskan untuk membaiki Kaabah, namun mereka menghadapi dilema besar ketika tiba masanya untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya. Perselisihan mengenai siapa yang berhak meletakkan batu tersebut hampir menimbulkan peperangan antara suku-suku Quraisy.

Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka membuat keputusan bijak dengan menyerahkan keputusan kepada orang yang pertama kali memasuki kawasan Shafa pada keesokan harinya. Orang yang pertama kali muncul adalah Rasulullah SAW, yang terkenal dengan gelaran Al-Amin (yang dipercayai). Ketika beliau melihat keadaan mereka, Rasulullah SAW meminta kain besar dan meletakkan Hajarul Aswad di atas kain tersebut. Setiap ketua suku diminta memegang hujung kain itu, dan bersama-sama mereka membawa batu tersebut ke tempat asalnya.

Dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, perselisihan ini akhirnya diselesaikan tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan Rasulullah SAW di kalangan masyarakat Mekah sebelum beliau diangkat menjadi Rasul.

Hajarul Aswad dalam Islam

Hajarul Aswad bukan hanya sekadar batu, tetapi ia memiliki makna yang mendalam dalam agama Islam. Batu ini merupakan penanda penting bagi jemaah haji ketika mereka bertawaf mengelilingi Kaabah. Menyentuh atau mencium Hajarul Aswad adalah amalan sunat yang dilakukan oleh jemaah haji yang menunaikan ibadah haji dan umrah.

Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, berkata:

"Apabila kamu mendekati Hajarul Aswad, maka ciumlah batu itu. Sesungguhnya ia adalah batu yang diambil dari syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran dari Kisah Hajarul Aswad

  1. Keadilan dan Kebijaksanaan Rasulullah SAW: Dalam menyelesaikan perbalahan antara suku-suku Quraisy, Rasulullah SAW menunjukkan keadilan dan kebijaksanaan yang luar biasa. Walaupun pada masa itu beliau masih muda dan tidak memiliki kuasa politik, masyarakat Quraisy menghormati beliau kerana kejujuran dan kebijaksanaannya.

  2. Menjaga Kesucian dan Kehormatan Kaabah: Kaabah dan Hajarul Aswad adalah simbol kesucian dalam Islam. Jemaah haji yang mencium Hajarul Aswad seharusnya melakukannya dengan penuh rasa hormat dan tawadhu', mengingat bahawa batu ini adalah tempat yang telah diberkati oleh Allah.

  3. Keutamaan Tawaf dan Doa: Di samping mencium Hajarul Aswad, setiap jemaah yang bertawaf di Kaabah disarankan untuk berdoa dan memohon kepada Allah. Salah satu tempat yang mustajab doa adalah di sekitar Kaabah, terutama berhampiran Hajarul Aswad.

Rujukan Hadis dan Surah

  1. Hadis:
    • Dari al-Tirmidhi dan Ibn Majah: "Hajarul Aswad adalah batu yang Allah turunkan dari syurga, ia lebih putih dari susu, tetapi dosa-dosa anak-anak Adamlah yang menjadikannya hitam."
    • Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Apabila kamu mendekati Hajarul Aswad, maka ciumlah batu itu. Sesungguhnya ia adalah batu yang diambil dari syurga."
  2. Surah Al-Baqarah (2:158): "Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barang siapa yang melakukan haji atau umrah, maka tidak ada dosa baginya untuk berjalan di antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan kebaikan dengan ikhlas, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."

Kesimpulan

Kisah Hajarul Aswad dan peristiwa peletakannya di Kaabah menunjukkan betapa besar peranan Rasulullah SAW dalam menjaga keharmonian dan keadilan dalam masyarakat. Batu ini bukan hanya menjadi penanda tempat dalam ibadah, tetapi juga simbol kebesaran Allah yang harus dihormati oleh seluruh umat Islam. Setiap kali kita bertawaf di Kaabah dan mencium Hajarul Aswad, kita tidak hanya mengikuti sunnah Nabi SAW, tetapi juga merenungkan makna dan keberkatan yang terkandung dalam setiap amalan tersebut.

03 Disember 2008

Kisah Syurga

Kisah Syurga

Sesungguhnya di dalam syurga itu berupa sesuatu yang belum pernah di lihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas oleh hati manusia. Ahli syurga bagaikan raja bersenang-lenang dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka seusia dengan putera. Usia mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika nabi Isa AS di angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi nabi Adam AS yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta. Mereka sangat kacak dan suara mereka sangat merdu. 

Mata mereka seakan bercelak, putih kulitnya, tiada berbulu badannya kecuali di kepala (kerinting rambutnya), alis dan kelopak mata. Sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan licin tidak berbulu. Mereka tidak kencing dan tidak buang air besar, tidak berludah dan tidak berhingus dan peluh mereka berbau kasturi. Bejana mereka dari emas dan perak, sisir rambut mereka dari emas, kayu bakar mereka dari kayu gahru yang harum (kayu kemenyan). 

Mereka sentiasa merasa aman dari azab. Hati mereka sentiasa bersatu dan tidak pernah berselisih dan benci membenci antara sesama mereka.Mereka diberi pakaian dari sutera halus yang hijau dan tebal lagi tidak akan reput atau lusuh. Di kepala mereka ada mahkota yang dapat menerangi antara timur dan barat. Mereka juga diberi pakai 70 macam perhiasan yang berubah warnanya setiap jam, berbeza warna dengan perhiasan yang lain, sedang jari-jari mereka ada sepuluh cincin, terukir pada yang; 

-Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)
-Ud khuluha bisalamin aminin (Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman)
-Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun (Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu)
-Rufi'at ankumul ahzana wal humum (Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita)
-Albasakum alhuli wal hulal (Kami berimu pakaian dan perhiasan)
-Zawwa jakum ul hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan bidadari)
-Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu)
-Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin (Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin)
-Shirtum syababa laa tahromun (Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya)
-Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya)

Penglihatan mereka dilapangkan sehingga ia memandang yang jauh-jauh seperti memandangnya dari jarak dekat. Penghabisan orang yang masuk syurga dan paling rendah kedudukannya, diberi kerajaan sepanjang penglihatannya, serupa dengan jarak 100 tahun perjalanan. Dan didirikan bagi mereka kubah dari mutiara, zabarjat dan yakut. Lebarnya seperti antara Al-Jabiyah ke Sana'a. 

Setiap pagi dan petang mereka diberi makan dengan 70,000 piring dari emas, sedangkan warna pada setiap piring tidak sama, sedang rasa makanan pada tiap suapan tidak sama, ditemukan rasa makanan pada suapan yang pertama sama rasanya dengan rasa pada suapan terakhir.Terdapat 70,000 kampung yang terdiri dari mutiara dan yakut. Setiap kampung ada 70,000 rumah sedangkan rumah-rumah itu tidak satu pecah atau rosak. 

Sebahagian bangunan di syurga diperbuat dari jalinan bata dari emas dan bata dari perak. Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik atau za'faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah, maka seseorang tidak menghadapi kesukaran untuk makan walaupun dalam keadaan berdiri, duduk ataupun baring. 

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT telah menciptakan wajah-wajah bidadari terdiri dari 4 warna; putih, hijau, kuning dan merah. Dan tubuhnya diciptakan dari za'faran, misik dan kafur. Dan rambutnya diciptakan dari cengkeh. Bahagian tubuhnya mulai dari kaki sampai lutut tercipta dari za'faran. Dari lutut sampai buah dada tercipta dari anbar. Dari leher sampai kepala tercipta dari kafur. Andaikata meludah ke dunia, maka ludahnya akan menjelma menjadi misik. 

Pada setiap dadanya tertulis nama suaminya dan nama dari nama-nama Allah SWT. Pada setiap tangannya mengenakan 10 gelang dari emas, memakai cincin sebanyak 10 pada jari-jarinya, memakai 10 perhiasan gelang kaki dari mutiara dan permata."Sekurang-kurangnya penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari). Mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. 

Dicipta bidadari secara langsung oleh Allah SWT dan bukan melalui proses kelahiran. Kejelitaan digambarkan seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. Yang sentiasa dara lagi sebaya umurnya, cantik, manja, rindu dan amat mencintai suaminya. Yang suci dari sebarang kotoran, haid, nifas, kencing dan air mani. Sopan menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh oleh mana-mana jin atau manusia sebelum mereka. 

Sangat putih kulitnya. Bermata jeli, anak mata hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan, bahkan lebih jernih dan lebih becahaya. Lebar matanya disertai bulu mata bagaikan sayap burung yang sedang terbang. Mempunyai betis yang tembus, yang sangat indah mata melihat sehingga boleh terlihat sumsum betis dari belakang dagingnya. 

Mempunyai kelembutan seperti lembutnya selaput telur di dalam telur yang melekat di kulit luar. Dikurniakan Allah SWT cahaya pada wajah seperti bulan purnama. Cahaya serta bau harum semerbak pada tubuh mereka dapat memenuhi dunia antara langit dan bumi. Sedangkan tutup kepala bidadari itu lebih baik dari dunia dan seisinya. Terdapat kemah-kemah yang mengandungi berpuluh-puluh bilik dari mutiara yang berlubang. 

Ada bilik yang bagaikan taman yang luas yang dipenuhi pohon-pohon palma dan di kelilingi sungai yang mengalir, yang tepiannya dilitupi oleh bunga mawar, melati dan lain-lain bunga yang tumbuh dari lembah. Ketika angin meniup taman bunga ini, seluruh taman dipenuhi bau harum semerbak. Di dalam bilik ada ruangan luas yang diperbuat dari kayu cendana dan pokok gaharu serta dilapisi dengan segala macam marmar berwarna. 

Berterbangan burung-burung seperti burung bul-bul, murai atau merpati yang pandai menyanyi. Setiap bilik dihiasi dengan perhiasan dari zamrud, batu merah, batu delima merah jingga, serta emas dan perak. Di dalam bilik yang sebegini indah inilah tempat tinggalnya bidadari itu. Mereka menantikan kedatangan suami mereka dengan menyanyikan lagu-lagu rindu bagaikan orang yang sedang mabuk cinta. 

Setiap kali mereka menyenandungkan lagu-lagu pujaan yang menyebut-nyebut suami mereka setiap itu pula bangkit nafsu kecemburuan mereka.Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Di sediakan tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana mereka beryanyi semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara semerdu itu. 

Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu senang tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia orang yang untuk kami dan kami untuknya." Ketika mereka yakni suami bidadari melintasi kawasan perkemahan di mana para bidadari berkumpul, maka para bidadari akan menyambut kedatangan suami mereka dengan sepenuh jiwa dan raga mereka kepadanya. 

Para bidadari akan melayan sepenuhnya keinginan suaminya, bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya. Para bidadari sentiasa inginkan kehidupan di atas tilam-tilam sutera yang lembut, dengan cadar yang berilau-kilauan, sentiasa berpegangan erat tangan suaminya. Hubungan senggama bersama bidadari adalah hubungan kenikmatan tanpa sebarang keletihan, peluh mahupun kotoran berupa air mani. 

Seorang suami boleh menggauli 100 bidadari dalam sehari.Bagi mereka yang menduduki syurga 'Adn, mereka akan menduduki istana-istana yang diperbuat daripada mutiara. Di dalam setiap istana terdapat 70 buah rumah dari permata yakut merah. Di dalam setiap rumah terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam setiap bilik terdapat ranjang. 

Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam pelbagai warna, dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan diberi hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam benang emas. Ahli syurga akan lupa akan segala kenikmatan yang mereka alami di dalam syurga apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis yang agung. 

Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan bagi penduduk syurga kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan sendiri kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat redha dari Allah SWT dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal selamanya di dalam syurga oleh Allah SWT.

Wallahu'alam.

Kisah Neraka Jahannam

Neraka Jahannam

Allah menciptakan neraka bertujuan untuk menyiksa dan memberikan hukuman setimpal kepada manusia yang ingkar pada suruhannya serta ajarannya. Neraka itu dicipta beribu2 tahun lamanya dimana Allah telah memerintahkan malaikat untuk menyalakan api dan baranya pada 3 peringkat iaitu pada peringkat pertama api dinyalakan sehingga seribu tahun dan api itu bewarna merah..

Kemudian Allah menyalakan api itu pada peringkat kedua selama 1000 tahun sehingga api itu bewarna putih dan pada peringkat terakhirnya api dinyalakan berterusan selama 1000 tahun lagi sehingga api tersebut bewarna kehitaman seperti hitamnya malam dan api dan baranya sentiasa menyala dan tidak akan padam. Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hiam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.

Dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa pada setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.

Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahannam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka disebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan mereka (Jin dan Mausia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami, selamatkanlah."

Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras."Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan. Pintunya sentiasa terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda panasnya. Setiap pintu mempunyai penduduknya masing-masing..

Berikut ialah penduduk pada setiap pintu neraka:
  • Pintu pertama untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. 
  • Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, 
  • Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. 
  • Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, 
  • Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. 
  • Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir
  • Pintu ke tujuh tempat orang-orang yg berdosa besar dari kalangan ummat Nabi Muhammad SAW yg sampai mati belum sempat bertaubat
Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu: 

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat 
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah 
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung 
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah 
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik 
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak 
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum 
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular 
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat. 
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai 
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat 

Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.

Wallahua'lam. 

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159 

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami,kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH. Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu YA ALLAH,namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu YA ALLAH. Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN..... 

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Buraq kenderaan tunggangan Nabi Muhammad SAW

Buraq Kenderaan Tunggangan Nabi Muhammad SAW

Buraq adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda. Saiznya kecil sedikit daripada kuda tapi lebih besar dari keldai. Lariannya sepantas kilat. Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang jaraknya. Buraq akan memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki manakala akan memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun. Menggerak-gerakkan telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq. Di samping rupanya yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya. Sayap ini adalah untuk membantu kecepatan lompatannya.

Semasa peristiwa Israk dan Mikraj iaitu pada malam tanggal 27 Rejab, Allah telah memerintahkan Jibrail mengambil buraq sebagai kenderaan tunganggan Nabi Muhammad SAW dan ketika Jibrail pergi mendapatkan buraq di syurga, dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad SAW. 

Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail terpandang pada seekor buraq yang berwarna putih sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail lalu menghampirinya lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?" Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad SAW sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan." 

Berkata Jibrail, "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu." Kemudian Jibrail memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW. Ketika sampai di bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail itu menojang-nojangkan kakinya. Ia seolah-olah enggan ditunggangi. 

Melihat demikian, malaikat Jibrail memegangnya dan berkata: "Wahai buraq! tidak malukah engkau? Demi Allah, orang yang akan menunggangi engkau adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT". Mendengar perkataan Jibrail itu maka bercucuranlah peluhnya. Ia kelihatan kemalu-maluan dan tidak lagi resah. Nabi SAW pun naik ke tempat yang tersedia di atas badan buraq, sebagaimana dilakukan oleh nabi-nabi sebelum baginda nabi SAW. 

Setelah siap segalanya, terbanglah buraq membawa nabi Muhammad SAW memulakan Israk. Dalam perjalanan itu, Jibrail mendampingi nabi SAW di sebelah kanan baginda SAW manakala Mikail di sebelah kiri.Wallahu'alam.

Telaga Zam Zam

Telaga Zam Zam

Telaga Zam-Zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.
Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;

"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?"

"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? ".
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.

Siti Hajar bertanya lagi;

"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"

Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.

27 November 2008

Kisah Nabi Ayub a.s.

Kisah Nabi Ayub A.S

Pada suatu hari, seluruh Malaikat berkumpul membicarakan makhluk Allah, mengenai ketaatan manusia dan maksiatnya, keburukan manusia dan kebaikannya. Akhirnya semua Malaikat itu memutuskan dengan sebulat suara bahawa Nabi Ayublah di kala itu manusia yang paling baik di atas dunia, yang paling banyak ibadatnya kepada Allah dan yang paling tinggi keimanan dalam dadanya. 

Dengan harta kekayaan yang banyak, anak keturunan yang banyak pula dia tidak pernah sekali juga terlambat beribadat dan bersujud kepada Allah. Dia selalu memperhatikan dan menolong orang-orang yang melarat dan fakir miskin. Mendengar keputusan Malaikat itu, Iblis ingin menjalankan siasat kotornya. Iblis tak sudi kalau ada manusia di muka bumi ini tebal imannya kepada Allah, sempurna ibadat dan syukurnya. Tiap-tiap orang beriman itu, akan dicubanya membelokkan dan menyesatkannya. Dengan berbagai cara dan akal yang busuk, dengan pujukan yang halus dan dengan senjatanya yang paling ampuh, ialah dengan berbohong. 

Iblis ini lalu datang menghadap ke hadhrat Allah, lalu berkata: “Ya, Tuhan! HambaMu yang bernama Ayub itu bukanlah beribadat menyembah Engkau, bukan bersyukur memuji Engkau. Ibadat dan syukurnya itu hanya kerana hartanya yang banyak, keturunannya yang cukup. Dia menyembah Engkau itu hanya agar Engkau menambah harta dan keturunannya. Dia bersyukur kepada Engkau itu agar semua harta dan anak-anaknya itu tetap banyak, supaya kambing dan biri-birinya yang berjumlah ribuan itu tetap tidak berkurang, supaya unta dan lembunya yang berjumlah ratusan itu semakin Engkau tambah, supaya binatang perahan dan yang dikerjakan semakin gemuk-gemuk dan kuat-kuat, supaya anak lelaki dan perempuannya yang sudah banyak itu ditambah banyak lagi. 

Ayub hanya menyembah harta, bukan menyembah Engkau. Mensyukuri anak keturunannya, bukan mensyukuri Engkau. Cuba Engkau izinkan saya merampas harta kekayaan itu, tentu dia tidak akan menyembah Engkau lagi. Sebab itu cubalah izinkan saya, ya Tuhan, untuk melenyapkan semua harta kekayaan itu. Allah menjawab: “Ayub adalah hambaKu yang beriman penuh dengan keimanan yang suci ikhlas. Dia menyembahKu kerana memang dia menginsafi akan keharusan menyembahKu ini. Ibadatnya suci dan pengaruh harta dunia, suci dari sifat-sifat loba dan tamak.” Tetapi kerana Allah ingin menjadikan Nabi Ayub lebih suci dan bersih imannya, agar dapat menjadi contoh teladan tentang keimanan dan kesabaran bagi seluruh ummat manusia, si Iblis diberiNya izin untuk merampas semua harta kekayaan Ayub. 

Tuhan lalu berfirman kepada Iblis: “Boleh kau coba, kumpulkanlah semua kakitangan dan kawan-kawanmu. Lakukanlah apa-apa yang kamu rencanakan itu. Perhatikanlah nanti bagaimana kesudahannya!” Iblis lalu bersiap mengumpulkan semua kakitangannya, semua tentera dan pembantu-pembantunya dan dia berkata kepada mereka: “Tuhan sudah mengizinkan kita untuk merampas harta kepunyaan Ayub, agar Ayub menjadi orang melarat, agar dengan kehilangan hartanya itu, hilang pula keimanan dan ibadatnya." Dalam waktu sebentar saja, hilang lenyaplah semua harta dan kekayaan Nabi Ayub itu. Tidak seekor pun kambing atau biri-birinya lagi yang tinggal, tidak seekor pula unta dan lembunya, kebun dan tanaman-tanamannya pun habis kesemuanya. 

Dengan berbentuk sebagai seorang tua yang berpengalaman dan penuh dengan kasihsayang, Iblis itu lalu datang kepada Ayub mahu menggodanya; dia berkata: “Sekarang hartamu sudah musnah semuanya. Tuhan yang selalu engkau puji dan sembah itu, rupanya tidak menolongmu sedikit jua pun. Sia-sialah engkau beribadat dan menyembahNya.”Berbagai-bagai pula percakapan antara manusia sesama manusia, melihat nasib yang menimpa Nabi Ayub itu. 

Di antaranya ada yang berkata: “Itulah tanda bahawa Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya, tidak beres sembahyang dan zakat hartanya.” Ada pula yang berkata: “Ayublah manusia yang paling baik dan paling ikhlas ibadatnya. Kenapa Tuhan tidak memelihara hartanya? Kalau Tuhan memang Pengasih dan Penolong, maka Ayublah yang paling pantas dikasihi dan ditolong Tuhan.” Ada pula orang lainnya berkata: “Semua itu terjadi, kerana Tuhan akan menguji keimanan Nabi Ayub dan mahu memberi pelajaran yang nyata kepada manusia.” 

Mendengar semua perkataan itu, Nabi Ayub tinggal tenang dan sabar. Tidak sedikitpun dia merasa sedih dan menyesal. Tidak sedikit juga menggoyangkan keimanan dan keikhlasannya dalam beribadat, malah sebaliknya, Nabi Ayub semakin kuat dan bersungguh-sungguh beribadat dan memuji Allah. Terhadap orang ramai itu, Nabi Ayub berkata: “Semua itu, adalah kepunyaan Allah. Diberikan Allah kepadaku, kemudian diambil Allah kembali. Maka terpuji Allah yang telah memberi harta itu kepadaku dalam masa yang begitu lama dan Maha terpuji Tuhan yang telah mengambil kembali harta itu, kerana memang milikNya. 

Puji bagi Allah yang memberi dan mengambil, di waktu memberi nikmatNya dan mencabut nikmatNya itu kembali. Maha terpuji Tuhan yang mendatangkan bahagia dan menurunkan seksa. Dia Tuhan satu Raja dan segala raja. DiberikanNya kekuasaan dan kekayaan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia cabut kekuasaan dan kekayaan itu dan siapa saja yang Dia kehendaki.” Sehabis berkata begitu, Nabi Ayub kembali bersujud menyembah Allah dengan khusyuknya, lebih dari biasanya lagi. Setelah melihat kejadian itu, Iblis merasa kecewa besar, gagal segala niat dan usahanya. Tetapi Iblis masih mempunyai akal dan daya-upaya lain. 

Dia segera datang menghadap Allah pula dan berkata: “Ayub menerima nikmat dengan pujian dan menerima cubaan dengan sabar, itu adalah disebabkan kerana Ayub masih mempunyai anak yang banyak, kepada siapa dia dapat minta tolong dan dengan siapa dia dapat kaya kembali. Bila Engkau izinkan saya, ya Tuhan, untuk melenyapkan semua anak lelaki dan perempuannya, saya yakin bahawa Ayub akan nyata kekafiran dan keengkarannya terhadap Engkau.”Tuhan menjawab: “Boleh engkau lenyapkan semua anak-anaknya, tetapi akan engkau lihat sendiri, bahawa Ayub akan tetap imannya, takkan berkurang sedikit juga.” 

Kembali Iblis mengumpulkan semua kakitangan dan pembantu-pembantunya. Semuanya bersiap memasuki istana anak-anak Ayub, lalu menewaskan mereka, serta menghancurkan mahligai-mahligai dan istana yang mereka diami. Lalu Iblis pergi mendapatkan Nabi Ayub dan berkata: “Seluruh anak dan mahligaimu sudah hancur luluh. Mereka ada yang mati kerana luka-lukanya dan ada pula kerana terbanting keras terhimpit barang-barang yang berat. Demikianlah Allah membalasi engkau, hai Ayub, atas semua ibadat engkau kepada Allah itu.” 

Dengan airmata bercucuran dan menangis tersedu-sedu, Ayub menjawab perkataan Iblis yang sedang berbentuk manusia yang berlagak teman itu: “Allah memberi, Allah mengambil, Allah menghidupkan dan Allah mematikan. Atas semua itu aku memuji akan Allah yang menjalankan hakNya itu.” Nabi Ayub lalu sujud menyembah dan bersyukur memuji Tuhannya. Iblis kembali kecewa besar dan gagal lagi usahanya itu, tetapi Iblis tidak kekurangan daya-upayanya. 

Dia kembali mendapatkan Tuhan Allah dan berkata: “Dengan habisnya harta kekayaan dan anak-anaknya itu, Nabi Ayub masih tetap sabar, kerana ia yakin dengan badannya yang sihat dan kuat itu, dia masih dapat mengumpulkan harta dan beroleh anak kembali. Izinkanlah saya sekarang juga untuk melenyapkan kesihatan badan Nabi Ayub, serta mendatangkan berbagai-bagai penyakit kepada-nya. ‘Dengan hilangnya kesihatan badannya dan dengan adanya berbagai-bagai penyakit itu nanti akan terbuktilah kepadaMu, hai Tuhan, bahawa Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya kepada Engkau. Dengan hilangnya kesihatan dan datangnya penyakit itu, dia akan membelakangi Engkau, akan derhaka dan tidak memuji Engkau.” 

Tuhan ingin menjadikan Nabi Ayub seorang hambaNya yang benar-benar teguh memegang tampuk keimanannya, hambaNya yang tabah dan sabar, hambaNya yang tetap syukur dan memuji Allah, untuk dijadikan contoh bagi semua manusia dalam keimanan dan kesabarannya, lebih-lebih bagi orang-orang yang kehilangan harta, kehilangan anak dan pula bagi orang-orang yang ditimpa berbagai-bagai penyakit yang berat-berat. 

Kepada Iblis diperbolehkan Allah untuk menjalankan tipu muslihatnya yang bagaimana juga hebatnya untuk menyesatkan keimanan Nabi Ayub yang teguh itu, kerana Tuhan Maha Mengetahui bahawa Ayub benar-benar teguh imannya, kuat dan tabah menderita, walaupun penderitaan yang bagaimana juga hebatnya, sedikitpun dia tidak akan lupa memuji syukur dan menyembah Tuhannya. Iblis kembali muncul, menyeludup ke dalam tubuh Ayub. Lalu meniupkan kepada Ayub semacam penyakit yang amat berbahaya, sehingga kerananya, Nabi Ayub jatuh terhampar di tempat pembaringannya. Makin hari semakin kurus badannya, dia tidak berdaya; habis segala kekuatan dan kegagahannya. Mukanya muram dan pucat, dengan mata yang cukam. 

Semua penderitaannya ditanggungkannya dengan keimanan tak berkurang, malah semakin bertambah; bukan dengan keluh-kesah dan kesal, tetapi dengan tetap memuji-muji Allah. Demikianlah penanggungan Nabi Ayub, bukan berhari-hari dan berbulan-bulan, tetapi bertahun-tahun lamanya, sehingga keadaan badan Nabi Ayub sungguh menyedihkan dan hampir-hampir tak sanggup hidup lagi tampaknya. Kerana sakitnya berjalan lama, mulailah berkurang jumlah teman dan kawannya, sehingga akhirnya tidak seorang juga yang datang menengok dan menolongnya, kerana tidak ada yang diharapkan lagi daripadanya. Teman satu-satunya yang masih tinggal di sampingnya, yang selalu menolong dia menanggungkan sengsara hidupnya ini, ialah isterinya sendiri, bernama Rahmah. 

Isteri yang setia itu dengan tak kenal penat, meladeni Ayub yang sedang sakit payah itu dengan segala kasihmesra dan susah-payahnya. Segala kesakitan yang diderita Ayub, seakan-akan dia sendiri ikut menderitanya pula. Nabi Ayub dihibur dan diladeninya.hal mana menunjukkan keimanan seorang isteri yang kuat dan teguh, yang tidak kalah pula dengan keimanan suaminya sendiri. Penderitaan Ayub dan isterinya (Rahmah), bukan hanya sampai di situ saja, penderitaan ini semakin melonjak lagi, lebih tinggi dan lebih hebat. Ayub dan isterinya bukan hanya kehilangan hartabenda, anak, kesihatan badannya, kehilangan semua kawan dan temannya, tetapi ditarnbah lagi dengan penghinaan dan ejekan dan orang-orang bekas kawan dan temannva sendiri. 

Mereka bukan kasihan dan datang menolong, tetapi mereka keberatan bila Ayub dan isterinya tetap berada di rumahnya dan bertetangga dengan mereka. Mereka bukan hanya merasa jijik saja melihat Ayub, tetapi juga takut kalau-kalau penyakitnya yang hebat itu dapat menular kepada mereka. Dengan tidak menaruh perasaan sedikitpun, mereka mendatangi Rahmah dan berkata: “Hai Rahmah, kami takut kalau penyakitnya Ayub berpindah kepada anak-cucu kami, sebab itu keluarkanlah Ayub dan ketetanggaan kami dan kalau engkau tidak suka mengeluarkannya, maka kami akan mengeluarkannya dengan paksa!” 

Mendengar ucapan yang kasar dan menyayat perasaan itu, Rahmah melolong menangis dengan sekuat-kuat suaranya: “Aduh nasib, mengapa mereka mengusir kami dan kampung dan rumah kami sendiri?” Rahmah, isteri yang setia itu mengeluarkan segenap tenaga yang ada padanya, untuk memangku suaminya dan membawanya ke luar kampung dan tinggal di sebuah pondok yang sudah ditinggalkan orang. Di sanalah Nabi Ayub beserta isterinya menanggungkan derita lahir dan batin, dengan penuh kesabaran dan keimanan yang tidak pernah berkurangan. 

Untuk penghidupannya, Rahmah terpaksa bekerja memotong-motong roti pada seorang pedagang roti. Setiap petang dia pulang mendapatkan suaminya, dengan membawa beberapa potong roti yang dihadiahkan orang kepadanya. Tetapi setelah orang ramai tahu, bahawa Rahmah itu adalah isteri Ayub, maka pedagang roti itupun tidak membenarkannya bekerja lagi sebagai tukang potong roti, kerana khuatir kalau-kalau penyakit Ayub itu menulari roti yang akan dijualnya. 

Kerana ketiadaan pekerjaan dan makanan, maka beberapa hari lamanya, baik Ayub mahupun isteninya tidak makan dan minum sedikitpun. Ya, penanggungan di balik penanggungan, penderitaan di balik penderitaan. Kerana sudah tidak tahan menahan lapar dan dahaga, Rahmah minta izin kepada Ayub untuk pergi menjalankan ikhtiar mencari makanan dan minuman. Melihat itu, Ayub berteriak kepada isterinya: “Ya Rahmah, janganlah engkau pergi meninggalkan aku seorang diri, aku takut kalau engkau tidak kembali lagi !“ Rahmah menjawab: “Jangan khuatir, ya Saiyidi, selama hayat masih berada dalam tubuhku. Aku pergi hanya sebentar dan akan segera kembali lagi.” 

Maka pergilah Rahmah dan tidak lama kemudian dia pulang kembali dengan membawa sepotong roti dan air minum. Setelah Nabi Ayub melihat sepotong roti segar yang dibawa isterinya itu, Ayub mengira bahawa isterinya sudah menjual kehormatan dirinya untuk mendapatkan sepotong roti itu. Lalu Rahmah menceritakan kepada Ayub, bagaimana caranya ia mendapatkan roti itu: “Ya, Saiyidi, aku bukan menjual kehormatan diriku, aku berlindung diri kepada Allah dari segala perbuatan yang menodai diriku. Roti ini aku perolehi sebagai tukaran dengan rambutku yang panjang.” 

Lalu Rahmah membukakan kepalanya yang tertutup itu, yang semula tertutup oleh rambut yang panjang kini sudah menjadi gondol samasekali. Melihat kejadian itu, Ayub sangat sedih hatinya, lalu dia menangis, bukan menangisi nasibnya, tetapi menangisi rambut isterinya, kerana diantara yang paling menarik hatinya terhadap isterinya, ialah kerana rambutnya yang panjang itu menambah kecantikan isterinya yang amat cantik. Berkatalah Rahmah: “Janganlah engkau menangisi rambutku yang sudah hilang. 

Ketahuilah bahawa rambut itu akan tumbuh kembali dan mungkin akan lebih indah dari yang sudah hilang itu.” Demikianlah katanya menghibur suaminya. Mendengar jawapan isterinya itu, Ayub merasa puas dan senang hatinya. Dia kembali bersyukur, bertasbih, bertakbir memuji-muji Allah. Dia merasa puas dan senang atas segala penderitaan yang dialami dan ditanggungkannya dan seketika itu juga Nabi Ayub a.s. bermunajat (berbisik) dengan segenap jiwa raganya ke hadhrat Tuhan: 

“Ya Allah, Tuhanku, aku redha kalau Engkau cabut daripadaku akan nikmat Mu yang bernama hartabenda, anak turunanku dan kesihatan badanku, bahkan aku redha kalau Engkau cabut dariku akan segala darah dan dagingku, serta kalau perlu boleh cabut segala tulang-belulang dan semua anggota badanku. Hanya aku berharap agar jangan sampai Engkau mencabut dua perkara (nikmat) Mu, iaitu akal fikiran dan lidahku, kerana aku memerlukan akal dan fikiran itu, guna mengingatMu dan aku memerlukan lidah itu, untuk dapat menyebut nama dan memujiMu.” 

Ya, dengan cara begitu, Nabi Ayub a.s. sesaat pun tak pernah lupa kepada Allah. Tak pernah ketinggalan menyebut dan memuji-muji Allah. Setelah Iblis melihat bahawa Nabi Ayub dengan percobaan dan penderitaan-penderitaan yang sudah tiba di puncak ketinggian dan kehebatannya itu masih tetap sabar dengan keimanan yang tak goyang sedikitpun, maka Iblis masih belum putusasa. Dia kini mencoba membelokkan perhatiannya, bukan terhadap Nabi Ayub, tetapi terhadap isterinya. 

Isteri Ayub sekarang ini mendapat godaan yang tidak terhingga dari Iblis la’natullahi ‘alaihi. Iblis mencoba mengingat-ingatkan kepada isteri Ayub akan masa-masa yang silam, yang penuh dengan kemeawahan dan kesenangan; Iblis mencoba pula membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan yang silam itu dengan penderitaan dan kepahitan yang sedang mereka alami sekarang ini. Iblis mencoba menanamkan keluh-kesah dan putusasa kepada Rahmah. 

Daya-upaya Iblis ini ada juga pengaruhnya sedikit. Pada suatu hari Rahmah duduklah di samping suaminya dan berkata: “Sampai bilakah Allah akan menyiksamu, ya Ayub? Ke mana perginya hartabenda kita, ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang sihat dan gagah itu?”Alangkah terkejut dan sedihnya hati Ayub mendengar kata-kata isterinya yang mulai berputar pendiriannya itu, kata-kata yang terang menunjukkan hilangnya keimanan dan kesabaran, bahkan kata-kata yang seakan-akan keluar dari jiwa yang tidak kenal Tuhan: kata-kata yang melupakan samasekali segala nikmat dan pemberian Allah yang berlimpah-limpah dalamasa yang panjang. Dia hanya mengingat akan cubaan Allah dalam waktu yang begitu singkat, harta dan anak serta kegagahan di waktu muda saja yang teringat olehnya. 

Ayub menjaawab kata-kata isterinya dengan rasa pedih dalam hati: ‘Sungguh engkau ini sudah dapat disesatkan syaitan dan Iblis. Engkau menangis atas kemewahan hidup yang telah hilang, anak-anak yang sudah meninggal.” Isterinya menjawab pula: “Kenapa engkau tidak mendoa kepada Tuhan untuk melenyapkan kesedihan dan petaka atas dirimu ini." “Berapa tahunkah kita mendapat kesenangan dan bahagia?” tanya Ayub pula. “Selama berpuluh-puluh tahun,” jawab isterinya. “Berapa tahunkah kita menderita?” tanya Nabi Ayub. “Baru tujuh tahun,” jawab isterinya pula. “Dari itu aku malu kepada Tuhan meminta hilangnya petaka yang baru sebentar ini. Terbukti kepadaku, bahawa engkau sudah goyang pendirian dan menjadi tipis imanmu. Mulai hari ini, saya tidak mahu memakan makanan yang engkau buat, tidak mahu meminum minuman air yang engkau sajikan. Engkau tidak boleh lagi mengurus dan meladeniku. Sekarang juga engkau harus pergi.

Kisah Malaikat Israfil

Kisah Malaikat Israfil

Malaikat Israfil adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah SWT Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitik pun akan jatuh melimpah.

Jumlah sayap malaikat Israfil itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya. Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA:"Sewaktu Rasulullah SAW bersama-sama dengan malaikat Jibrail tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. 

Berkata malaikat itu: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi". Adapun "rajanya nabi" mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah SWT kepadanya. Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. 

Mereka menghindari dari sesuatu yang menimbulkan dosa. Nabi yang menjadi raja adalah seperti nabi Sulaiman AS, nabi Daud AS dan lain-lain. Adapun "nabinya hamba" tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah SWT. Ia tidak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang mengkehendakinya, dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda: "Jibrail memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, "hambanya nabi". Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail? Jibrail menjawab, Itulah dia malaikat Israfil Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya."Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. 

Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil dengan malaikat Jibrail kira kira tujuh puloh dinding. Imam Ahmad RAH. meriwayatkan dari Abu Said RA, Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: "Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail"Salah satu tiang Arasy berada di atas pundaknya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut. 

Adapun apabila setiap keputusan Allah SWT tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail, maka malaikat Israfil akan memerintahkan malaikat Jibrail untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail dan malaikat Izrail, ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.

Malaikat Israfil sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya. Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarah kan ke langit yang ke tujuh. Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puluh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi AS, arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil: "Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur".

Warna malaikat Israfil adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah SWT yang selalu meliputi malaikat Israfil Sabda Rasulullah SAW: "Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah".Wallahu'alam.

23 November 2008

Malaikat Mikail

Malaikat Mikail

Malaikat Mikail a.s. adalah salah satu di antara pembesar malaikat yang empat. Ia dicipta oleh Allah s.w.t. selepas malaikat Israfil a.s. dengan selisih kira-kira lima ratus tahun. Dari kepala malaikat Mikail a.s. hingga kedua telapak kakinya berbulu za'faron. Jika seluruh air di lautan dan sungai di muka bumi ini disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat sebanyak satu juta muka.

Setiap muka malaikat Mikail a.s. ini pula mempunyai satu juta mulut dan setiap mulut mempunyai satu juta lidah manakala setiap lidah-lidahnya boleh berbicara satu juta bahasa atau lisan. Setiap satu juta lisan tersebut adalah membaca istighfar pada Allah s.w.t. bagi orang-orang mukmin yang berdosa.

Setiap satu juta muka atau wajahnya mempunyai satu juta mata. Tiap-tiap matanya sentiasa menangis kerana memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Tiap-tiap matanya yang menangis itu mengeluarkan tujuh ribu titisan air mata dan setiap titisan air mata itu Allah s.w.t. ciptakan satu malaikat Karubiyyuun yang serupa dengan kejadian malaikat Mikail a.s. Setiap malaikat-malaikat ini ditugaskan untuk bertasbih pada Allah s.w.t. sehingga hari kiamat.

Di samping bertasbih, para-malaikat Karubiyyuun ini juga berperanan sebagai pembantu bagi malaikat Mikail a.s. dalam menjalankan tugas menyelia angin, membahagikan rezeki pada manusia, tumbuh-tumbuhan juga haiwan-haiwan dan lain-lain di muka bumi ini. Dikatakan setiap satu makhluk yang memerlukan rezeki untuk hidup di dunia ini akan diselia rezekinya oleh satu malaikat Karubiyyuun

Imam Ahmad rah. dengan sanadnya, dari Anas bin Malik r.a., ketika Rasulullah s.a.w. Mikraj ke langit baginda ada bertanya pada malaikat Jibrail a.s.:"Mengapa aku tidak pernah nampak malaikat Mikail tertawa?" Malaikat Jibrail a.s. menjawab: "Malaikat Mikail tidak pernah tertawa semenjak neraka diciptakan"

22 November 2008

Malaikat Jibrail

Perihal Malaikat Jibrail 

Malaikat Jibrail adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul AS. Imam Ahmad RAH dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud RA Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai 600 sayap".Setelah Allah SWT mencipta Jibrail dengan bentuk yang cantik, Allah SWT mencipta pula baginya 600 sayap yang panjangnya antara timur dan barat. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. 

Di antara sayap-sayap itu, terdapat 2 sayap berwarna hijau seperti sayap burung merak. Setelah Jibrail memandang dirinya, ia berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik dari aku?". Allah SWT berfirman: "Tidak". Kemudian Jibrail berdiri serta solat 2 rakaat kerana syukur pada Allah SWT, dan tiap-tiap rakaat lamanya 20,000 tahun. Setalah Jibrail selesai bersolat, Allah SWT pun berfirman: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak seorangpun yang menyembah Aku seperti kamu. 

Akan tetapi, di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, nama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka mengerjakan solat 2 rakaat yang hanya sebentar sahaja, mereka dalam keadaan lupa dan serba kurang. Fikiran mereka melayang dan bermacam-macam dan dosa merekapun besar juga. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai dari solat kamu kerana mereka mengerja solat atas perintahKu sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu." 

Kemudian Jibrail berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang engkau hadiahkan pada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?" Lalu Allah SWT berfirman: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal"Malaikat Jibrail mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah SAW, belumpun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibrail telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah SWT padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh 500 tahun perjalanan.

Di sebelah kanan sayap malaikat Jibrail terdapat gambar syurga beserta dengan isinya saperti bidadari, istana, pelayan dan sebagainya. Di sebelah kiri sayapnya terdapat gambar neraka dan segala isinya seperti ular, kala jengking, neraka yang bertingkat-tingkat, penjaganya yang terdiri dari malaikat yang garang iaitu malaikat Zabaniah dan sebagainya. Apabila sampai ajal seseorang yang beriman maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang sedang nazak itu dapat melihat kedudukannya di dalam syurga. 

Apabila sampai ajal seseorang yang seorang yang munafik maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kiri, maka orang yang sedang nazak itu akan melihat kedudukannya di dalam neraka.Ketika Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail turun untuk memusnahkan kaum nabi Lut AS, dikatakan malaikat Jibrail mampu mengangkat kesemua 7 bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jibrail sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

#Sembahyang lima waktu secara berjemaah

#Duduk bersama para ulamak

#Menziariahi orang sakit

#Menghantar jenazah

#Memberi air minum

#Mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan

#Memuliakan jiran dan anak-anak yatimmaka bersungguh-sungguhlah kamu dalam perkara tersebut"

Wallahu'alam.

21 November 2008

Kisah Nabi Ismail A.S (koleksi 2)

Kisah Nabi Ismail A.S

Baginda merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a.s. dan baginda berkongsi ibu yang dikenali sebagai Rahil dengan adiknya, Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang adik beradik lelaki dan baginda mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai oleh bapanya. Walau bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia 12 tahun.

Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk membunuh baginda.

Yahudza, anak lelaki keempat dari Nabi Ya’akub dan yang paling cekap dan bijaksana di antara mereka tidak bersetuju dengan cadangan pembunuhan memandangkan perlakuan tersebut adalah dilarang. Maka, demi menghalau Yusuf, dia mencadangkan untuk mencampakkan baginda ke dalam sebuah "perigi buta" yang terletak di persimpangan jalan kafilah-kafilah dagang dan para musafir beristirehat. Dengan itu, berkemungkinan Yusuf akan diselamatkan dari perigi tersebut dan di bawa oleh sesiapa sahaja untuk dijadikan hamba.

Mimpi agung

Pada malam saudara baginda mengadakan komplot tentang baginda, Yusuf sedang tidur dan bermimpikan suatu yang aneh lalu menceritakan kepada ayahnya:

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia." Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu tafsir mimpi serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’akub sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (12:4-6)

Mimpi tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada baginda Nabi Yusuf. Amatlah berbahaya untuk membongkarkan mimpi tersebut kepada adik-beradiknya yang lain memandangkan dia dan adiknya, Bunyamin sudahpun dicemburui.

Yusuf dimasukkan ke dalam perigi

Pada hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Yusuf menghadap Nabi Ya’akub untuk meminta izin membawa Yusuf bermain bersama mereka tetapi bapanya bimbang akan keselamatan Yusuf yang berkemungkinan baginda akan dimakan serigala jika mereka tidak menjaganya.

Mereka berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Yusuf ke dalam perigi dan pulang ke rumah pada senjanya dengan berpura-pura menangis dan mengatakan Yusuf dimamah serigala sambil menunjukkan baju Yusuf yang dilumuri darah palsu.

Kehidupan di Mesir

Sementara itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti untuk mengambil air lalu baginda dibawa ke Mesir. Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam Al-Qur'an digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah ketua polis). Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.