Nabi Muhammad SAW Mengenali Umatnya Melalui Selawat

Nabi Muhammad SAW Mengenali Umatnya Melalui Selawat

NABI Muhammad SAW adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang dianugerahkan syafaat membantu umatnya di akhirat kelak.


Malangnya, masih ramai yang hanya mengakui bahawa mengasihi, mencintai dan mengharapkan syafaat Baginda tetapi tidak melakukan sebarang inisiatif mahupun berusaha mendekati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sedangkan Baginda sentiasa mendahulukan umatnya dalam segenap perkara, bahkan Rasulullah SAW sanggup dihina, dicerca, diuji dengan pelbagai fitnah bahkan menerima ugutan bunuh demi menegakkan syiar Islam.

Pengorbanan itu tidak lain tidak bukan demi memastikan umatnya tidak terjerumus ke lembah kesesatan. Rasulullah SAW menyatakan orang paling baik dan dekat dengan kedudukannya pada kiamat ialah insan paling baik akhlak dan berselawat kepadanya.

Dua perkara ini tidak boleh ditinggalkan atau cuma diambil satu daripadanya. Penuhkanlah diri dengan selawat kerana ia doa untuk diri kita sendiri.

Lebih banyak berselawat, Rasulullah SAW pasti lebih mengenali kita. Begitu juga jika sedikit jumlah selawat diucapkan, sudah tentulah Baginda sukar mengenali dan bagaimana pula untuk memberikan syafaat kepada kita kelak.

Rasulullah SAW terkenal dengan sifat amat luhur, Baginda bukan sahaja tidak menyakiti orang lain, bahkan tidak menzalimi orang berbuat jahat kepadanya.

Ada banyak sirah Rasulullah SAW wajar diteladani termasuk bagaimana Baginda menyantuni seorang Yahudi yang datang untuk mengutip hutang sedangkan belum tiba tempohnya dengan pelbagai makian.

Dalam satu kisah, Rasulullah SAW dicekik seorang pemuda sehingga Saidina Umar RA mengangkat pedang untuk menikamnya tetapi ditenangkan oleh Baginda.

Lihat sahaja kesabaran Rasulullah SAW ketika diuji dengan kata hinaan, dihalau dan dibaling dengan batu hingga cedera ketika menyampaikan dakwah kepada penduduk Kota Taif. Pada waktu itu, Jibril ingin menghancurkan bumi Taif sebagai balasan kepada kejahatan dilakukan mereka.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW pula bertindak sebaliknya dengan memohon doa kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati dan keturunan mereka menerima Islam. Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya berterusan sehingga di akhirat nanti.

Baginda Rasulullah SAW akan tampil sebagai satu-satunya pemilik syafaat. Ketika itu, semua Nabi selain Baginda tidak mampu mengangkat tangan untuk membantu umatnya. Namun, Baginda yang melihat umatnya kebingungan, dengan segera naik ke Arasy Allah untuk memohon pertolongan-Nya.

Walaupun Baginda sudah wafat 1,400 tahun lalu, tetapi tidak mustahil untuk mengembalikan adab dimiliki Baginda pada zaman serba moden ini. Misalnya, ketika hati kita disakiti orang, mengapa tidak ikut acuan Rasulullah SAW dengan menghadiahkan doa kebaikan kepadanya. Bangunlah solat di saat tengah malam, merayu kepada Allah SWT permudahkan urusan orang yang kita tidak sukai itu, dengan jalan ini syaitan akan kalah dan segera pergi.

Wallahualam

Kredit/Sumber: bharian.com.my

Adakah Wabak Covic-19 Antara Tanda Akhir Zaman?

Wabak Penyakit Tanda Akhir Zaman

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.



Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” - [HR Ibnu Majah 4009].

Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". - [HR Bukhari 3215]2.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” - [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. - [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Wallahualam

Sumber/Kredit: mstar.com.my

Doa Memohon Perlindungan Dari Penyakit Covid-19


Kredit/Sumber: facebook.com/SINARdotmy

Doa Hannah, Ibu Maryam Untuk Mendapatkan Anak


Doa Hannah, Ibu Maryam Untuk Mendapatkan Anak

Keluarga Imran antara keluarga yang dipilih oleh Allah dengan meninggikan darjat mereka sebagai hamba di muka bumi ini. Mereka lebih mulia daripada segala isi alam pada zamannya.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 33;

"Sesungguhnya Allah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi semua umat pada zaman mereka masing-masing."

Kisah Hanah binti Faqud, ibu Maryam terkandung di dalam al-Quran. Bapa Maryam, Imran menjadi salah satu nama surah di dalam Al-Quran iaitu surah Ali Imran. Nama Maryam juga diabadikan dengan surah Maryam.

Setelah sekian lama Hanah berkahwin dengan Imran, mereka masih belum memperoleh anak. Beliau berdoa kepada Allah swt,

"Ya Allah, kurniakanah seorang anak kepadaku."

Doanya dimakbulkan, beliau mendapat tanda-tanda hamil. Beliau gembira dan bersyukur kepada Allah swt. Beliau berdoa lagi,

"Ya Allah, semoga engkau jadikan bayi yang aku kandung ini anak yang soleh." beliau juga bernazar mahu menghantar anaknya berkhidmat di Baitulmuqaddis apabila besar nanti.

Semua sudah diaturkan oleh Allah swt, Hannah melahirkan anak perempuan dan menamakannya Maryam.

"Wahai isteriku, kamu melahirkan anak perempuan! Bagaimana dengan nazaarmu? Bolehkah anak kita ini menjadi khadam di Masjid Al-Aqsa, sedangkan dia perempuan?"

Hannah mengeluh mendengarkan pertanyaan suaminya itu.

"Ya Tuhanku, mengapa aku melahirkan anak perempuan?"

Beliau menamakan dengan panggilan Maryam, yang bermaksud pelayan Tuhan dalam bahasa mereka pada zaman itu. Beliau berdoa lagi,

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menamakan anakku Maryam dan aku memohon engkau memberikan perlindungan kepadanya dan kepada keturunannya daripada syaitan yang terkutuk."

Hanah menyerahkan anaknya Maryam kepada suami ibu saudaranya, Nabi Zakaria. Ketika itu Nabi Zakaria adalah khadam di Masjid Al-Aqsa. Beliau melakukan ini atas petunjuk Allah.

Nabi Zakaria dan isterinya Hamillah pada ketika itu tidak mempunyai anak hingga usia mereka sudah lanjut usia. Mereka gembira kerana dapat menjaga Maryam seperti anaknya sendiri.

Maryam terlihat ciri-ciri wanita yang cerdas, mulia dan suci terhormat. Semua itu menunjukkan Allah swt menerima doa dan nazar ibunya.

Maryam tinggal di mihrab Masjid Al-Aqsa yang dibina oleh Nabi Zakaria. Beliau membesar menjadi anak yang taat beribadah dan menunjukkan sifat sebagai pelayan Allah. pendapat lain mengatakan, Maryam adalah seorang gadis yang suci kerana tidak pernah mengalami haid.

Suatu hari, Nabi Zakaria masuk ke mihrab Maryam dan melihat terdapat banyak makanan dan buah-buahan segar. Beliau bertanya dari mana semua ini datang. Maryam hanya menjawab,

"Semua ini makanan daripada Allah."

Doa ibu Maryam, Hannah betul-betul dimakbulkan oleh Allah. Maryam menjadi wanita terbaik pada zamannya. Darjat beliau melebihi darjat lelaki. Inilah bukti dahsyarnya doa seorang ibu untuk anaknya.

Dengan kuasa dan izin Allah, Maryam melahirkan seorang bayi yang dinamakan Isa. semata-mata atas kehendak Allah swt, Allah menciptakan Nabi Isa tanpa persenyawaan dari seorang laki-laki, sama seperti Dia menciptakan Nabi Adam tanpa ibu bapa.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 4;

"Ingatlah ketika malaikat Jibrail berkata, Wahai, Maryam. Sesungguhnya Allah memilihmu, menyucikanmu dan melebihkan dirimu daripada semua wanita di dunia yang sezaman denganmu."

Wallahualam.

Sumber/Kredit: pts.com.my

Unta Gagalkan Rancangan Abu Jahal


Unta Gagalkan Rancangan Abu Jahal

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.


Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.

Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.

Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.

Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.

Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba sahaja diam membisu.

Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.

Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Biodata 4 Sahabat Nabi SAW





Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE