Golongan Yang Bersama Rasullullah SAW Dalam Syurga


Golongan Yang Bersama Rasullullah SAW Dalam Syurga


Dr Mehran Mahir Othman dalam satu makalah ilmiahnya telah menyenaraikan beberapa golongan orang yang beriman yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak. Keistimewaan tersebut bukanlah diperolehi secara percuma, malah ia merupakan ganjaran keatas amalan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia ini.  Antara golongan yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak ialah:

Golongan Pertama

Mereka yang sentiasa mengikuti dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya dalam kehidupan mereka. Mereka yang memastikan seluruh kehidupannya bertepatan dengan Syariat Allah SWT dan sunnah Nabi SAW. 

Imam al-Tabarani dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhu bahawa seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kebimbangannya tidak dapat lagi bersama baginda dalam syurga kelak. Berkaitan dengan kebimbangan ini maka Allah SWT menurunkan ayat 69 daripada surah al-Nisa’. 

Firman Allah SWT:


“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para Siddqin, orang-orang yang mati syahid, dan orangorang saleh, dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”

Golongan Kedua 

Mereka yang cinta kepada Rasulullah SAW. Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta yang membawa seseorang itu mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan hariannya. Iaitu cinta yang pernah ditunjukkan oleh para sahabat Radhiallahu Anhum terhadap Baginda Rasulullah SAW. 

Bukanlah seperti cinta Abu Talib terhadap baginda atau cinta orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap nabi-nabi mereka. Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallhu Anhu bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Maka Baginda bertanya kembali tentang persiapannya bagi menghadapi hari tersebut. Dia menjawab tiada suatupun persiapanku kecuali cintaku yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya. Mendengar jawapan tersebut maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan bersama dengan sesiapa yang engkau cintai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Golongan Ketiga 

Golongan lain yang juga akan dapat mendampingi Rasulullah SAW di akhirat kelak ialah orang yang banyak mendirikan solat. Solat yang didirikan itu bukan terbatas kepada solat-solat fardu sahaja, bahkan ditambah dengan pelbagai solat sunat yang disyariatkan sama ada malam ataupun siang. Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami pernah bermalam bersama Rasulullah SAW dan membantu menyediakan air wuduk dan keperluan Baginda. 

Pada malam tersebut Rasulullah SAW menawarkan kepada Rabi’ah untuk meminta apa-apapun permohonan kepada Baginda. Rabi’ah Radhiallahu Anhu hanya memohon satu perkara sahaja daripada Rasulullah SAW iaitu memohon untuk bersama Rasulullah SAW dalam syurga kelak. Setelah mendengar permohonan itu lantas Baginda bersabda:

“Oleh itu bantulah aku untuk mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud yakni solat.” (Riwayat Muslim). 

Golongan Keempat

Selain daripada memperbanyakkan solat, umat Islam juga diperintahkan supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Antara doa yang ma’thur yang diamalkan oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu ialah seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu dengan doanya:

“Ya Allah aku memohon kepada Engkau keimanan yang tidak akan murtad, kenikmatan yang tidak terputus dan bersama Nabi Muhammad SAW di puncak Syurga al-Khuldi.” (Riwayat Ahmad). 

Golongan Kelima

Seseorang yang sentiasa menghiasi pergaulan hariannya dengan akhlak yang mulia dan terpuji juga adalah antara golongan yang akan mendapat kedudukan yang hampir dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat kelak. Sebuah hadis daripada Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dari kalangan kamu dan orang yang paling hampir kedudukannya dengan aku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Tirmizi). 

Golongan Keenam

Begitu juga orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikir selawat ke atas Nabi SAW akan mendapat kemuliaan dengan mendapat syafa’at dan kedudukan yang istimewa bersama Nabi SAW pada hari kiamat kelak. Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang paling utama bersamaku pada hari kiamat kelak ialah orang paling banyak berselawat ke atasku.” (Riwayat al-Tirmizi). 

Golongan Ketujuh

Antara orang yang dijanjikan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak ialah orang yang menjaga dan menguruskan kehidupan anak yatim. Memberi kasih sayang kepada mereka, memastikan mereka membesar dengan mendapat pendidikan yang sempurna sehingga mereka dapat hidup berdikari. Sahal bin Sa’ad Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Aku dan orang yang menjaga anak yatim dalam syurga nanti seperti ini. Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah serta membuka-buka kedua-duanya.” (Riwayat al-Bukhari). 

Oleh itu marilah para jemaah sekalian sama-sama kita merenung sejenak dan muhasabah diri di manakah kedudukan kita di akhirat kelak. Sama-samalah kita memperbaiki amalan soleh kita semoga kita memperolehi ganjaran mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga Allah SWT di akhirat kelak.


Wallahualam.


Kredit/Sumber: e-masjid.jais.gov.my

Cara-cara Rawatan Nabi SAW Untuk Memulihkan Daripada Gangguan Jin dan Syaitan


Cara-cara Rawatan Nabi SAW Untuk Memulihkan Daripada Gangguan Jin dan Syaitan


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian", tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?", jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah SAW. "Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".(Hadis Riwayat Bukhari)

Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.

Selain daripada qarin (jin pendampin), satu lagi bentuk gangguan keatas manusia adalah jin kafir yang bernama 'saka'.

'Saka' adalah jin yang berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku sama ada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunannya. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek- moyangnya dahulu. Boleh jadi Jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki tersebut ditinggalkan oleh nenek moyang pembawa saka apabila mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka hidup, mereka telah berkawan dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama. Jin yang dijadikan khadam oleh nenek moyang inilah akhirnya menjadi saka yang diperturunkan dari ayah kepada anak dan kepada cucu oleh pembela-pembela jin-jin tersebut.

Kebiasannya seseorang yang ada mendapat gangguan daripada jin saka adalah selalu mendapat gangguan di malam hari dan mengalami mimpi-mimpi ngeri :

1. Susah tidur malam atau tidak boleh tidur malam.

2. Sering terjaga pada waktu malam jam 2 malam atau 3 dan malamselepas itu sukar untuk tidur.

3. Mimpi melihat binatang-binatang seperti kucing, anjing, ular, serigala,dan sebagainya.

4. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.

5. Mimpi di Kawasan Kotor atau Perkuburan.

6. Mimpi Jatuh tempat tinggi.

7. Mimpi Berjumpa atau melihat Makhluk halus.

8. Mimpi Budak Kecil (Menyusukan bayi bagi wanita).

9. Mimpi di ancam benda tajam seperti pisau,paku dan sebagainya.

Ketika berjaga sering mendapat gangguan seperti :

1. Selalu pening kepala (perubatan moden tidak dapat kesan).

2. Hilang ingatan atau cepat lupa dan mungkin menjadi gila.

3. Sering lesu dan malas bekerja.

4. Sentiasa sakit di tulang belakang.

5. Lenguh-lenguh sendi.

6. Terasa sesuatu berjalan didalam badan.

7. Mudah marah dan panas baran.

8. Cepat mengantuk (terutama mendengar ayat-ayat al-Quran dan tazkirah)

9. Lemah semangat untuk meneruskan kehidupan

10. Bila memejamkan mata, bulu mata berkedip-kedip.

Sahabat yang dimuliakan,

Cara yang berkesan untuk melawan gangguan jin-jin kafir atau syaitan adalah dengan kita kuatkan semangat ,berfikiran positif semasa berubat dan yakin janji-janji Allah SWT bahawa syaitan adalah makhluk yang lemah.. Lidah sentiasa berzikir dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan yang terkutuk.

Antara kesan-kesan daripada gangguan iblis dan syaitan adalah: 

1) Rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena. 

2) Rasa takut yang tidak diketahui puncanya. 

3) Terlalu sukar untuk bangun solat. 

4) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.

5) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.

Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.

Terdapat beberapa kaedah perubatan Rasulullah SAW yang dijalankan :

Di antara cara Nabi SAW bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah seperti berikut :-

1) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. 

Sabda Nabi SAW di dalam musnad Ahmad Hanbal yang bermaksud, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".

2) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.

3) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu "Aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan". 

Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah SAW kepada para sahabat.

Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".

4) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah SAW.

5) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq",

Bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau".

Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika Nabi terkena sihir, dan Rasulullah SAW sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.

6) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.

7) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.

8) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita. 

Begitu juga syaitan, syirik, hasad dengki dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita beramal dengan sunah Nabi SAW ketika kita menjalankan rawatan untuk mengubati daripada gangguan jin kafir dan syiatan.

Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah SAW, dan tiada sunah yang lebih baik dari sunah Rasulullah SAW. dengan bantuan Al-Quran dan sunah yang sahih, in shaa Allah segala gangguan dapat kita hindari.

Wallahualam.

Kredit/Sumber: Facebook Ustaz Makmum Sundari

Siapakah Yang Memandikan Jenazah Nabi Muhammad SAW?



Siapakah Yang Memandikan Jenazah Nabi Muhammad SAW?


Anas Bin Malik berkata:

Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf.[1]

[1] Iaitu ibarat yang menggambarkan bahawa wajah Rasulullah SAW yang lawa, suci putih dan bercahaya. 

Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. 

Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi : Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.” Riwayat Muslim (874) 

Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat islam. 

Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW. Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya : 

Maksudnya :” Kata Ibnu Ishak : ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. 

Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali : Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar. Kata Ali : masuklah. 

Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. 

Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata : Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.” Rujuk Sirah Ibnu Hisyam (4/451) 

Kesimpulannya ,berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah : 

Ali Bin Abi Talib 
Abbas Bin Abdul Muttalib 
Al-Fadhl Bin Abbas 
Qutham Bin Abbas 
Usamah Bin Zaid 
Syuqran Maula kepada Rasulullah 
Aus Bin Khauli 

Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. 

Wallahu’alam. 

Kredit/Sumber:
salam.my/ Mufti Wilayah Persekutuan (Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

7 Dosa Besar Yang Perlu Di Jauhi


7 Dosa Besar Yang Perlu Di Jauhi

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan, Rasulullah saw. telah berkata pada sahabatnya dengan satu peringatan; “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.”

Maka sahabatnya pun bertanya kembali, "ya Rasulullah, apakah tujuh perkara itu?"

Baginda pun menjawab, "Syirik kepada Allah, mengamalkan ajaran sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita muhsan yang beriman berbuat perbuatan zina.”

Hadis ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. ini dengan jelas menyampaikan pada kita tujuh kategori kesalahan yang akan menyebabkan kerosakan paling besar di muka bumi. 

1. Syirik kepada Allah swt.

Syirik atau menyekutukan Allah swt. merupakan kesalahan atau dosa paling besar. Ini kerana sudah banyak larangan terkandung dalam al-Quran dan hadis mengingatkan manusia untuk hanya menyembah Allah swt. Syirik dari segi bahasanya bererti kufur, sehingga seseorang Muslim meminta atau berdoa kepada satu makhluk atau pihak lain - seperti mana dia berdoa pada Allah swt.

Syirik terbahagi kepada enam jenis kesemuanya. Syirik istiqlal bermakna seseorang yang mempercayai adanya Tuhan lain selain Allah. Syirik tab'id pula berlaku apabila seseorang meletakkan Tuhan sebaris dengan makhluk atau perkara lain. Syirik taqrib bermakna tindakan seseorang yang percaya dengan sesuatu yang lain, atas tujuan mahu mendekatkan diri dengan Allah swt.

Syirik aghrad adalah perbuatan di mana seseorang melakukan amalan baik bukan kerana Allah dan syirik asbab pula apabila seseorang itu berpegang sesuatu itu berlaku kerana tindakannya, bukan kerana Allah. Yang terakhir syirik taqlid pula terjadi apabila seseorang menuruti ibadah hanya kerana ajakan orang lain.

2. Melakukan sihir

Sama ada melakukan sihir, belajar atau mengajar sihir - hukumnya haram. Ini termasuklah sekiranya mana-mana individu pergi bertemu pengubat yang menggunakan sihir dalam ilmunya. Ada hadis yang menyebut sesiapa yang pergi bertemu pengamal sihir dan mempercayai kata-katanya, automatik solatnya tidak akan diterima 40 malam.

Bagaimanapun, dalam Islam ada ilmu-ilmu yang boleh dipelajari seperti ilmu ruqyah berasaskan ayat al-Quran yang mampu menjadi penawar atau ubat kepada masalah yang dihadapi.

3. Membunuh seseorang tanpa haknya

Kami sudah menulis satu artikel ringkas berkenaan tiga golongan yang dibenarkan hukuman bunuh ke atasnya. Membunuh seseorang individu lain tanpa hujah atau sebab yang kukuh adalah satu tindakan yang membelakangi konteks permintaan Islam. Pelakunya pula sudah melakukan satu kesilapan yang amat sukar dimaafkan.

4. Memakan hasil riba'

Dalam surah al-Baqarah ayat ke 275 wujud arahan dan larangan yang jelas dalam urusan jual beli atau pertukaran antara dua pihak yang bersetuju dan mempunyai perjanjian. Ini kerana dalam Islam, riba' atau faedah yang terbentuk sebarang perjanjian, merupakan satu bentuk kezaliman sama ada kepada pihak penjual atau pembeli.

Salah satu salah faham berkenaan riba' adalah tuduhan ke atas kadar keuntungan yang tinggi dinikmati oleh peniaga. Harus diingatkan tidak ada halangan untuk peniaga menetapkan kadar keuntungan setinggi mana pun dan perkara ini bukan riba.

Ada dua jenis riba' yang boleh berlaku iaitu riba' al-buyu melibatkan transaksi yang bertangguh dan riba al-duyun yang kerap berlaku dalam akad pinjaman atau hutang, melibatkan penambahan jumlah hutang, atas beberapa situasi seperti tempoh atau denda.

5. Memakan harta anak yatim

Ada dua cara memakan harta anak yatim boleh berlaku, sama ada secara zalim di mana seseorang itu mencuri atau tidak memberikan hak kepada mereka. Bagaimanapun, bagi mereka yang bertanggungjawab menjaga anak yatim itu, mereka boleh menggunakan harta anak-anak tersebut dengan cara yang baik.

Asalkan dia sedar dirinya berhutang jumlah yang diambil dan mengambilnya berdasarkan keperluan. Sekiranya dia bekerja menjaga anak-anak itu, dia juga layak mendapatkan upah atas usahanya. Selain itu, individu dalam keadaan darurat yang sukar juga boleh meminjam harta anak yatim, asalkan dia faham dia perlu membayarnya semula bila mampu.

6. Lari daripada perang

Umat Islam dididik untuk tidak mahu bermusuh tetapi dalam masa yang sama diperingatkan, sekiranya berhadapan dengan musuh di medan perang - janganlah sesekali pun berpaling dan lari. Ini kerana tindakan itu dianggap sebagai satu kesalahan besar dalam Islam.

Ini kerana tindakan melarikan diri sudah pasti akan memberikan kesan pada psikologi tentera yang lain, melemahkan tentera Muslim seterusnya menyebabkan kekuatan musuh bertambah. 

7. Menuduh wanita yang baik berzina

Kami berpandangan perkara ini akan semakin kerap berlaku, apatah lagi dalam dunia sekarang di mana kaum wanita perlu selalu berada di tempat kerja sehingga mampu menimbulkan syak wasangka - sekiranya terpaksa bermalam di pejabat dengan lelaki lain. Walaupun begitu, kita seharusnya mengelakkan diri daripada membuat tuduhan melulu tanpa mempunyai bukti dan saksi yang zina telah berlaku.

Peringatan ini sangat baik untuk diingati para suami zaman moden agar lebih menjaga hati dan mulut daripada terus memfitnah isteri masing-masing telah berlaku sumbang. Seandainya ada kemusykilan, carilah jalan dalam mematikan atau membetulkan dakwaan, bukan terus menuduh. 

Ketahuilah, berdasarkan syariat Islam - seseorang yang menuduh wanita lain berzina tanpa mendatangkan bukti sama ada dalam bentuk empat saksi atau dalam bentuk taazir, perlu disebat sebanyak 80 kali sebatan atas kesalahannya.

Wallahualam.

Sumber/Kredit: iluminasi.com

Syafaat Rasulullah Sebagai Peluang Terakhir

Syafaat Rasulullah Sebagai Peluang Terakhir

Sesungguhnya perkataan syafaat itu tidaklah bagitu asing kepada kebanyakan penganut islam di Nusantara ini, kerana sebahagian orang lantaran ghairahnya kepada syafaat itu maka ia menamakan anaknya dengah nama Supaat yang berasal dari perkataan Syafaat yang ertinya pertolongan dari nabi SAW pada hari kiamat nanti. Dalam Al-Quran kalimat syafaat ini disebut sebanyak empat kali, antara lain Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 109:

“Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredai perkataannya”. 

Al-Imam Al-Tahawiy dalam matan Al-Tahawiyyah ada menegaskan:

“Sesungguhnya Syafaat yang disimpan untuk umatnya adalah benar seperti mana yang diriwayatkan dalam beberapa banyak hadis Nabi SAW. Hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: 

“Setiap para Nabi mempunyai satu doa yang mustajab, aku ingin menyimpan doa itu untuk memberikan syafaat kepada umatku pada hari kiamat nanti”. (Riwayat al-Bukhari). Hadis dari Usman bin Affan, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga golongan yang akan memberikan syafaat pada hari kiamat nanti, mereka ialah para Anbia, para Ulama dan para Syuhada.” (Riwayat Ibnu Majah). 

Menelusuri ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, para ulama menyimpulkan bahawa syafaat terbahagi kepada dua: iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus. Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada. Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW. Syafaat ini juga dikenali sebagai alSyafaat al-Uzma. Ia adalah permohonan yang dirafakkan oleh baginda nabi SAW kepada Allah SWT supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan mahsyar. Hadis daripada Aisyah Radhiallahu Anha beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: 

“Kamu akan dihimpunkan di padang Mahsyar dalam keadaan tiada berpakaian”. (Riwayat Al-Bukhari). Jelasnya semua manusia sudah tidak tahan dengan kesengsaraan yang dialami di mahsyar itu, akhirnya mereka beramai-ramai pergi berjumpa Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa supaya dipercepatkan proses perbicaraan dan pengadilan. Kesemua Nabi tersebut enggan menolong malah ada yang mengatakan bahawa kami dapati hari ini Allah sedang murka yang amat sangat dan tidak pernah Allah murka sebegitu rupa sebelumnya. 

Mereka masing-masing mengatakan “nafsi nafsi ” diriku, diriku, dirimu dirimu selamatkanlah diri masing-masing. Akhirnya orang ramai sepakat pergi berjumpa Nabi kita Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya perbicaraan dan pengadilan segera dijalankan, Nabi Muhammad SAW bersetuju lantas sujud bermunajat kepada Allah di bawah Arasy, permohonan nabi itu dikabulkan dan pengadilan pun dimulakan. 

Selain dari Syafaat al-Uzma ada lagi syafaat-syafaat yang lain yang dianugrahkan kepada Nabi SAW seperti berikut: 

Pertama: Syafaat yang diberi kepada para aulia dan solihin untuk meninggikan tingkat kedudukan mereka di dalam syurga. 

Kedua: Syafaat untuk menjemput orang-orang yang masih ada saki baki iman dalam diri mereka walau sebesar gandum, mereka dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Syafaat ini diperolehi oleh Rasulullah SAW dengan rasa belas kasihan baginda SAW yang berdoa sambil menangis kepada Allah. Al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis melalui Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW berdoa “Ya Allah! Umatku umatku (mereka masih berada didalam neraka). Permintaan Nabi dikabulkan Allah dengan firmannya: ِ

“…Kami sesungguhnya redha terhadap umatmu dan kami tidak akan menyakitkan hatimu (maksudnya mereka dikeluarkan dari neraka)”  

Ketiga: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk membantu orang yang timbangan amal kebaikannya dan kejahatannya sama berat. Maka dengan pertolongan tersebut akhirnya orang itu berjaya memasuki Syurga. 

Keempat: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memasukkan orang-orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab dan azab. Mereka yang sangat bernasib baik ini akan masuk kedalam syurga melalui laluan khas yang telah ditentukan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kumpulan ini, Amin!. Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis melalui Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Tuhanku telah mengurniakan kepadaku seramai tujuh puluh ribu dalam kalangan umatku mereka masuk syurga tanpa hisab. Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW, “tidakkah tuan minta ditambah bilangan itu?, Rasulullah menjawab ya! Saya telah memohon tambahan, lalu Allah mengurniakan kepadaku tambahan setiap seorang membawa tujuh puluh ribu orang bersama. Umar berkata: tidakkah Tuan meminta tambah lagi?, Rasulullah menjawab ya! Setiap seorang membawa tujuh puluh ribu lagi. Umar bertanya lagi: tidakkah Tuan meminta tambah lagi? Rasulullah SAW menjawab ya! Aku telah meminta tambah tetapi setakat itu sahaja yang diberi. 

Kelima: Syafaat yang dikurniakan kepada Nabi SAW untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar dari seksaan neraka. Hadis daripada Anas Bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Syafaatku untuk orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan ummatku.” (Imam Ahmad).

Akhirnya mari kita bisikkan ke lubuk hati kita dengan pertanyaanpertanyaan seperti berikut: Adakah kita termasuk orang yang layak mendapat habuan dari syafaat-syafaat tersebut? Adakah Rasulullah cukup mengenali kita melalui selawat dan salam yang telah kita tujukan kepadanya? Adakah kita telah menjadi pendokong setia kepada ajaran yang Baginda bawa sehingga melayakkan kita mendapat pertolongan baginda?

Wallahualam.

Kredit/Sumber: e-masjid.jais.gov.my

Jin Islam Membunuh Jin Kafir

Jin Islam Membunuh Jin Kafir

Semasa Rasulullah s.a.w. berdakwah di Mekah, satu pertemuan telah dirancang secara diam-diam untuk memalukan Rasulullah s.a.w. Berhala pujaan kafir bernama Walid ditempatkan dan Walid bersujud padanya. Jin kafir yang bernama Masfir telah memasuki badan berhala itu, mempamerkan kebolehannya bersembunyi di balik patung dengan mengeluarkan suara-suara yang mendustakan Rasulullah saw.

Jin itu memasuki patung berhala, menggetarkan badan patung dan berkata;Sungguh Muhammad bukanlah nabi. Tak perlu kau membenarkannya.

Ibnu Masud, yang kukuh imannya, menyaksikan berhala ini mengerutkan dahinya, Meracaukah berhala ini, ya Rasulullah saw?

Rasulullah s.a.w. tenang bersabda, Ibnu Masud, sahabatku. Engkau jangan gusar, ini hanyalah permainan syaitan yang nyata.; Sesudahnya Rasulullah s.a.w diikuti Ibnu Masud meninggalkan pertemuan muslihat kaum musyrik itu.

Dalam perjalanan pulang Rasulullah s.a.w dan Ibnu Masud dihentikan seorang penunggang kuda yang berpakaian hijau. Penunggang kuda tak dikenali itu turun dari pelana kuda dan mengucap salam kepada Rasulullah saw. Beliau menjawab dengan pantas, lalu bertanya “Siapakah engkau wahai penunggang kuda? Sungguh aneh salammu”.

Penunggang kuda misteri itu mengangguk; “Ya Rasulullah s.a.w. Sungguh diriku adalah dari golongan jin yang setia menganut Islam sejak zaman Nabi Nuh. Ketahuilah, aku telah meninggalkan negeriku sangat lama. Dan sekembalinya aku di rumahku, aku hairan melihat isteriku menangis tersedu-sedu. Aku bertanya apa yang telah terjadi dan membuatnya begitu sedih. Isteriku menjelaskan, Engkau sama sekali belum tahu, beberapa masa lalu Masfir telah mendustakan Rasulullah saw!”

“Aku marah besar kepada Masfir dan terus memburunya. Di antara Shaffa dan Marwa aku berjaya menangkapnya. Kepalanya kupancung dan aku tinggalkan badannya bak anjing hina tiada kepala. Lihatlah, darahnya masih segar di mata pedangku ini.”

Rasulullah saw mengangguk-angguk. Beliau mendoakan jin yang memiliki kebajikan itu, “Siapa namamu? Jin mukmin itu menyebutkan, Namaku Muhair bin Abhar, ya Rasulullah saw. Saya berhuni di bukit Thursina. Adakah engkau mengizinkan aku membalas penghinaan kaum musyrik melalui mulut berhala, seperti Musfir telah dustakan dirimu? Rasulullah saw bersabda, Lakukan sesukamu.

Beberapa penduduk kota Mekkah mengundang Rasulullah s.a.w untuk suatu pertemuan. Beliau menghadirinya dan di sana berhala Hubbal kembali diletakkan di atas meja. Satu demi satu orang-orang musyrik mulai bersujud pada;Wahai Hubbal. Sabdakan sesuatu tentang Muhammad pada kami. Patung berhala beku, diam tidak kuasa bertindak. Jin Muhair bin Abhar lalu merasuki berhala dan berkata, Hai penduduk Mekkah, camkanlah! Muhammad itu benar. Agamanya benar. Dia mengajak kamu kepada kebenaran. Kamu yang bergantungan kepada berhala-berhala mati ini adalah sesat. Jika kamu tidak mengimani Muhammad dan membenarkannya nescaya kamu akan kekal tinggal di neraka Jahanam. Berimanlah kamu kepadanya. Dialah nabi Allah dan sebaik-baik makhluk Allah.

Orang-orang musyrik meradang. Abu Jahal menerjang Hubbal dengan marah. Patung berhala yang tidak berdaya ini ia terpelanting jatuh berkeping-keping. Rasulullah s.a.w tenang meninggalkan pertemuan itu .Kepada jin yang mukmin itu Rasulullah s.a.w berkenan untuk memberi nama baru kepadanya iaitu Abdullah bin Abhar.

Wallahualam.

Kredit/Sumber: nasbunnuraini.wordpress.com
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE